Aduh! Mulut Sasha
Amira asyik mengaduh sakit sedang tangannya cuba mengurut belakang badan. Tapi
tidak kesampaian. Pendek pula rasa tangan ni. Khusyuk sangat agaknya membaca
skrip hingga terlena di kerusi dengan meja dijadikan alas kepala.
Aduh, lenguhnya
badan! Dia terus mengaduh. Lambat-lambat dia bangun dan bergerak ke bilik air
walaupun dia sedar yang dia sudah terlewat. Subuhnya di akhir waktu. Matahari
di luar seakan mengacah di luar tidak sabar mahu memunculkan diri. Selesai doa,
dia bermalasan semula di atas katil.
Wah! Baru terasa
nikmat berbaringan atas tilam. Segala anggota diregangkan sedikit. Ada rasa
sengal mencengkam di sana sini. Namun, tubuhnya rasa lebih ringan berbanding
awal tadi. Matanya dipejam seketika. Rancangnya untuk lena cuma sesaat dua.
Manakan tahu, celik mata saja sudah lebih setengah jam rupanya masa berlalu
sebaik dia melirik jam loceng di tepi katil. Rasanya baru sekejap dia pejamkan
mata.
Dengan segera dia
bingkas. Terasa semula sengal menyerang otot belakang badan hingga ke pinggang.
Seperti sudah uzur pula rasanya. Macam nenek bertongkat tiga. Berjalan pun
mengengkang ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Hari ini, kelas Puan Rania
dijadualkan seawal jam 8.30 pagi dan yang paling Sasha Amira tidak sabar adalah
untuk menunggu waktu petang. Perjumpaan dengan kelab budaya akan diadakan
petang ini. Maka berakhirlah penderitaan Sasha Amira setelah dia menyerahkan
skrip kepada cik pengarah nanti.
Yes! Tak sabarnya! Hatinya melonjak gembira sambil
membelek-belek pakaian di dalam almari. Wajahnya disolek lebih tebal dari biasa
untuk menutupi wajah yang sedikit pucat. Pemerah pipi dengan warna merah jambu
disapu ke tulang pipi. Pelembap bibir lip ice sheer color dicolet ke bibir.
Selesai bersiap,
Sasha Amira menyanyi kecil menuruni tangga ke bawah. Kaki dilenggok sekejap ke
kanan sekejap ke kiri mengikut melodi. Akhirnya tubuhnya dipusing sekali lagak
penari balad. Riangnya hati hari ini.
Namun buka saja
pintu, dia tergamam. Kunci yang tadinya berpusing-pusing dalam gelung jari
digenggam perlahan. Matanya memandang kurang percaya, melihat Saif Azrai sudah
duduk bertenggek di depan kereta. Lelaki itu menayang senyum hingga terlihat
barisan giginya sambil melambai ke arah Sasha Amira. Seakan lambaian selamat
pagi untuknya.
“Selamat pagi!”
ucap lelaki itu tenang. Tenang seperti biasa. Susah hendak melihat reaksi lain
di muka lelaki itu. Cuma sekali... cuma sekali Sasha Amira dapat melihat reaksi
kalut Saif Azrai mengelak serangan bantalnya kelmarin.
Namun Sahsa Amira
tidak mampu berlagak tenang. Memang dia terkejut melihat lelaki itu. Ada
terkejut ada juga rasa suka. Eh, pelik juga bila hatinya senang melihat wajah
lelaki itu muncul depan mata. Senang hati kerana lelaki itu telah tolong
menyiapkan kerjanya atau senang kerana tahu lelaki itu bukanlah merajuk
semalam? Tidak sempat pula Sasha Amira menyelam dasar hati untuk tahu
jawapannya.
Tanpa diminta
mahupun dipaksa seperti selalu, kunci di tangan diserahkan kepada Saif Azrai.
Lelaki itu juga senang hati menyambutnya. Senyuman hinggap lagi di bibir.
Melebar hingga ke pipi.
“Laratkah nak ke
kolej ni? Awak dah betul-betul sihat?” Terlontar soalan itu dari mulut Saif
Azrai sebaik Sasha Amira menganjak ke pintu kereta. Sekilas Sasha Amira
menoleh. Senyumannya telah lenyap. Sebaliknya ada garis gusar terpancar di
wajah lelaki itu.
Tidak sempat Sasha
Amira menjawab soalan itu. Deruan enjin kereta yang berhenti di luar pagar
menarik tumpuannya. Segera dia berpaling. Dia pula berkerut dahi meliat sebuah
teksi biru berhenti di luar.
Aik! Takkan mama
balik naik teksi pula kut! Fikirannya berdetak-detik sambil mata mengecil
melihat orang di dalam. Tidak lama soalannya berlegar di ruang fikiran, keluar
seorang gadis dari teksi itu. Matanya dikecilkan lagi. Lantas Sasha Amira terus
berkerut buat sekian kalinya melihat Intan Nazira berjalan ke arahnya dengan
senyuman manis.
“Good morning Sasha!” Tangan Sasha Amira
dipaut erat sambil menayang senyum paling lebar. Kepada Saif Azrai juga
diucapkan selamat pagi sambil melambai sakan. Saif Azrai hanya tersenyum halus.
Sedang Sasha Amira
makin berkerut wajahnya. Pegangan tangan Intan Nazira ditolak dari lengannya.
Demam agaknya kawannya itu. Tidak pernah-pernah buat perangai pelik macam ni,
salah makan ubat ke?
“Kau datang sini
pagi-pagi ni buat apa?” Terus saja Sasha Amira melempar soalan itu kerana tidak
mahu membiarkan bermacam kebarangkalian disimpul otaknya sendiri.
“Laa, mestilah nak
pergi kolej dengan kau! Lama tau tak borak-borak dengan kau, macam dulu.
Iyalah, orang tu sekarang dah ada bodyguard
rasmi.” Intan Nazira beria menjawab, bagai benar dia rindukan kawannya itu.
Sedfang ekor matanya melirik jauh ke arah Saif Azrai.
“Daripada kau
membazir duit naik teksi datang sini, lagi baik kau pergi kolej terus! Sini
lagi jauh kan. Apalah!” Sasha Amira geleng kepala. Pintu kereta ditarik lalu
memberi isyarat kepada Intan Nazira supaya masuk ke dalam. Dia tidak mahu buang
masa. Nanti disebabkan melayan cakap Intan Nazira, terlewat sampai ke kuliah.
Cukuplah sekali rekodnya buruk sebelum ini. Dibuatnya markahnya dipotong lagi
oleh pensyarah yang memang suka memotong markah itu, teruklah dia masa
peperiksaan akhir nanti. Hendak skor bagaimana kalau banyak markah sudah
terlebih dulu melayang.
Intan Nazira masuk
ke dalam perut kereta dengan hati riang. Bukannya dia rindu sangat pada Sasha
Amira. Itu semua lakonan semata-mata. Niatnya cuma satu. Mahu menjamah muka
Saif Azrai. Atau mungkin dua, untuk mencuri perhatian lelaki itu. Atau mungkin
juga tiga. Dia juga mahu tahu sejauh mana hubungan Sasha Amira dengan lelaki
itu. Kalau ada kesempatannya, dia akan merencana rancangan untuk mendapatkan
anak bos besar itu!
“Eh, kenapa kau tak
duduk depan?” Hairan benar Intan Nazira bila Sasha Amira menolak tubuhnya ke
tepi. Lantas kawannya itu juga duduk di sebelah. Soalannya tidak berjawab.
Sasha Amira sekadar tayang muka toya. Musykil pula hati Intan Nazira.
Sekejap saja kereta
itu sudah bergerak. Saif Azrai yang memandu di depan juga tidak bersuara walau
sepatah. Sasha Amira sudah melempar pandangannya ke luar tingkap sejak kereta
itu bergerak tadi.
Sekali lagi Intan
Nazira membisikkan soalan ke telinga Sasha Amira. Bertanya tentang hubungan
Sasha Amira dengan Saif Azrai. Sengaja hendak ambil tahu padahal anak bos besar
itu yang dia mahu pancing. Kalau mereka berdua tiada hubungan, senanglah kerja
Intan Nazira. Tapi kalau ada, Intan Nazira sudah siap sedia untuk melancarkan
perang.
“Kita borak fasal
topik lainlah!” Sasha Amira mahu mengelak. Dia tahu Saif Azrai sedang
memandang. Lantas dia pura-pura berikan tumpuan pada Intan Nazira. Tiada pula
perbualan Intan Nazira mulakan selepas itu. Bibirnya saja bagai menguit untuk
memulakan bicara namun sepatah pun tidak kedengaran.
Kemudian Intan
Nazira geleng kepala. Giliran dia pula memandang ke luar. Tadi hendak sangat
berbual. Rindulah konon. Sasha Amira menjeling sekejap ke depan. Pandangan
dalam Saif Azrai memanah ke mata. Ish! Kenapalah asyik pandang belakang saja
ni? Lekas-lekas Sasha Amira alihkan perhatian. Ke mana lagi kalau bukan keluar
tingkap. Suasana dalam kereta terus sunyi. Panas pula punggungnya. Tidak apa.
Tidak jauh lagi perjalanan mereka. Sasha Amira cuba memujuk diri.
Intan Nazira pula
entah apa sakitnya, tiba-tiba mahu mengorek rahsia. Hai, memang tidak pernah
Intan Nazira bersikap begini. Selalunya Zaimah saja yang suka menyibuk.
Bercakap tentang Zaimah, nasib baik Zaimah juga tidak buat perangai macam Intan
Nazira hari ini. Kalau tidak, sudah tentu Saif Azrai yang ditemuramahnya.
Alhamdulillah.
Sasha Amira menarik nafas lega sebaik kereta yang dipandu Saif Azrai masuk ke
tapak parkir kolej. Tangannya sudah bersiap sedia mengemas buku di tangan.
Tidak sabar hendak turun cepat-cepat.
“Kalau awak rasa
tak sihat, datang aje ke kereta. Saya ada tunggu dekat sini.” Terhenti tindakan
Sasha Amira yang baru saja mahu menolak kaki keluar apabila lelaki itu
bersuara. Dia memandang ke depan dengan riak tidak senang. Perlukah lelaki itu
buat begitu? Hari-hari duduk menunggu dari pagi hingga ke petang. Tidakkah
bosan begitu?
“Jangan lupa makan
nanti. Awak tu belum sihat sangat. Muka tu pun dah pucat.”
Sasha Amira meraba
pipi. Nampaknya tidak berkesan alat solek yang disapu tebal di muka hari ini.
Atau Saif Azrai yang sengaja hendak tunjuk pandai berlagak macam ambil berat
sangat padanya? Ah, Sasha Amira makin kurang senang. Baru saja hatinya hendak
berlembut awal tadi terhadap lelaki itu, dia pula hendak membebel lagak ibu.
Tak kena langsung.
“Saya bukan budak
kecil lagi. Tak payah nak pesan macam-macam! Tahulah saya jaga diri!” Keras
suaranya lalu dengan marah Sasha Amira keluar. Pintu ditolak kasar dan terus
melangkah laju.
Saif Azrai
memandang dari dalam. Kali ini tiada senyuman di bibirnya. Lama dia memandang
hingga Sasha Amira hilang dari pandangan, barulah dia bersandar seraya menarik
nafas dalam-dalam. Tergamam sejenak dia melihat kelibat di cermin. Intan Nazira
masih terpaku di belakang, memandang ke arahnya.
“Kenapa awak tak
turun lagi?” Tubuhnya ditegakkan semula. Intan Nazira ditenungnya dengan
kerutan di dahi.
“Boleh tak awak
temankan saya breakfast?”
Saif Azrai diam.
“Saya nak ajak
Sasha tadi tapi dia menonong aje jalan. Masih ada lebih kurang setengah jam
lagi sebelum kuliah. Sempat lagi kalau nak pergi makan. Perut saya ni pun
lapar. Tak sempat nak jamah apa-apa tadi.” Panjang lebar Intan Nazira
menyambung bila Saif Azrai tetap membisu dengan reaksi muka yang sama.
Alang-alang Sasha Amira tidak pedulikannya seakan lupa yang mereka datang ke
kolej bersama hari ini, lebih baik Intan Nazira gunakan peluang yang sudah
terhidang depan mata. “Please.
Sekejap aje...”
Saif Azrai diam
lagi. Mengenangkan Intan Nazira itu kawan Sasha Amira, keberatan pula dia mahu
menolak. Apatah lagi dengan mimik Intan Nazira yang begitu meminta-minta. Bagai
ada hantu pula di kafe kolej itu yang dia takutkan sangat hendak pergi seorang.
Lambat dia menganggukkan kepala. Terus saja terbit senyum lebar di bibir Intan
Nazira.
Dalam hati mahu
saja Intan Nazira melonjak gembira. Ingin diberitahu satu kampung terutama pada
abang Fauzi yang dia berjaya mengajak Saif Azrai makan bersama. Walau hanya
untuk sarapan pagi. Peluang untuknya makin luas. Ini cuma satu permulaan.
Intan Nazira
membetulkan sedikit skirt labuhnya setelah keluar dari kereta. Kemudian ditariknya
pula blaus moden yang dipakainya ke bawah sedikit walaupun tiada beza parasnya.
Sengaja dia mengenakan pakaian yang menonjolkan ciri kewanitaan hari ini.
Nampak lebih lembut dan sopan daripada biasa. Kerana dia tahu akan bertemu Saif
Azrai hari ini.
Khabarnya dari
abang Fauzi, bosnya ini tidak ramai teman wanita. Entah mana abang Fauzi yakin
benar, Intan Nazira tidak tahu. Tapi kalau betullah kata abangnya itu, tidaklah
boleh dia meneruskan rancangan asal hendak memikat dengan kecantikan semata-mata.
Orang tua Saif Azrai juga kata abang orang yang menjaga adab susila. Emmm...
nampaknya memang molek benarlah Intan Nazira ubah cara.
Mereka berjalan
seiringan. Namun sedepa jaraknya antara mereka. Senyum Intan Nazira kian
melebar. Seronoknya dalam hati.
“Terima kasihlah
sebab sudi nak temankan saya. Terima kasih sebab luangkan masa awak kejap.”
Intan Nazira cuba bermanis mulut. Lembut saja nadanya menuturkan kata.
Saif Azrai pula
dari tadi tidak bersuara. Hanya membalas dengan senyuman tawar.
Brip! Brip!
Saif Azrai
mengangkat tangannya, tanda maaf sebelum menyambut panggilan telefon. Seketika
kedengaran lelaki itu bercakap sepatah dua. Kemudian diam lama dan diiakan saja
selepas itu. Intan Nazira menekur ke lantai. Hatinya masih berbunga setaman
kerana Saif Azrai di sebelah.
“Err awak...”
Segera Intan Nazira
menoleh. Adakah lelaki itu mula mahu berbicara dengannya? Hatinya makin
kembang.
“Maafkan saya. Saya
ada hal yang perlu diuruskan.” Begitu saja kata-kata Saif Azrai dan terus
berkejaran ke kereta. Serentak senyuman Intan Nazira luluh dari mulutnya.
Melihat kereta MyVi milik Sasha Amira berlalu pergi dibawa Saif Azrai. Luluh
juga hatinya kerana hasratnya untuk menjamah makan pagi bersama lelaki itu
gagal walaupun pelawaan pertama kalinya berjaya. Ah, tidak ada jodoh kali ini.
Tapi kecewa tetap
ada. Saif Azrai pergi macam itu saja. Sekurang-kurangnya beritahulah yang dia
akan teman lain kali. Sedap sikit telinga Intan Nazira mendengarnya.
No comments:
Post a Comment