Bunyi butang
kekunci pada komputer riba rancak diketuk dek jari-jemari Sasha Amira. Tekun
benar dia menghadap .komputer ribanya sejak pulang dari kolej tadi. Hanya
meninggalkan kerja sekejap-sekejap untuk mengerjakan kewajipan seorang muslim.
Habis diaminkan doa, lekas-lekas dia bergegas menyambung semula kerja. Skrip
teater perlu dia siapkan secepat mungkini kerana Fauziah hanya memberinya
masanya yang suntuk. Hanya tiga hari! Semuanya kerana hari pemenetasan semakin
hampir. Ah, buang masa terlalu banyak atas skrip. Itu tidak kena. Ini tidak
kena. Asyik tidak cukup babak cintanya. Tidak cukup romantik madahnya.
Sasha Amira sudah
kering idea untuk bermadah cinta. Dia sendiri tidak pernah membuka pintu hati
untuk sebuah percintaan. Ini kan pula mahu membentangkan pengalaman itu dalam
bentuk gambaran yang semua orang boleh sama-sama tonton. Bagaimana? Soalan itu
sering bermain di fikiran. Keadaannya tidak ubah seperti tahun lepas. Kalau
tahun lepas berjaya dilepasi dengan sukses, ceritanya sensasi dan mendapat
pujian ramai… mungkinkah kali ini juga begitu baik kesudahannya?
Saat ini dia
mengharapkan ada yang datang menolong. Perah otak bersama memikirkan plot
cerita untuk pementasan selama dua jam atau sekurang-kurangnya menggantinya
menaip setiap patah kata. Jarinya sudah cukup lenguh. Seperti hendak patah
rasanya.
Sesekali dia
membelek lagi novel-novel cinta yang masih menjadi rujukan. Kisah cinta epik
dan fiksyen tempatan dan luar negara. Bukanlah keseluruhan cerita yang
dibacanya kerana dia sudah pernah membacanya sebelum ini. Hendak diulang semua,
tidak cukup seminggu. Sekadar membelek bab-bab yang dipilihnya secara rawak.
Memerhati permainan kata yang sesuai untuk babak romantik seperti yang
dikehendaki Fauziah. Di situlah kelemahannya paling ketara.
Berkerut-kerut
dahinya berfikir. Hendak ikut bulat-bulat atau olahnya semula, dia makin kusut.
Jarinya kembali mengetuk papan kekunci. Menyambung ceritanya, sambil sesekali
menjeling buku di sebelah. Walau sukar, dia akan cuba kerana dia telah berjanji
untuk menyiapkannya juga walaupun hati tidak sanggup menerima tugas ini sejak
awal. Tapi ini kali terakhir. Kalau Fauziah masih tidak puas hati lepas ini,
dia tekad suruh saja Fauziah tulis sendiri. Sasha Amira tetap akan mengalah.
Sepinggan nasi yang
lengkap dengan lauk-pauk dan sepotong limau mandarin disorong ke depan Sasha
Amira sekaligus mematikan tumpuannya. Wajahnya segera diangkat mengikut huluran
tangan yang memberi makan.
“Awak belum makan
lagi kan?”
Terkejutnya Sasha
Amira bukan kepalang apabila melihat Saif Azrai terpacak di depannya sambil
tersenyum nipis. Lelaki itu duduk berjuntai di pondok yang sama dengan Sasha
Amira. Kemudian sebelah kakinya diangkat ke atas dan dilipatkan ke dalam
kelengkang. Sekilas makanan yang dibawa Saif Azrai itu dijelingnya.
Pandangannya kembali ke skrin komputer. Jarinya kembali menaip tanpa
mempedulikan reaksi lelaki itu. Bukan berlakon sibuk di depan Saif Azrai tetapi
sejujurnya itulah realiti. Dia bagai tidak cukup tangan sekarang.
“Makanlah sikit.
Saya tahu awak tak makan lagi. Kalau awak sibuk memang awak akan abaikan perut
awak tu. Kerja kuat kena makan tau. Nanti awak sakit.”
Lembut suara Saif
Azrai seakan memujuk Sasha Amira supaya mengisi perut. Namun tidak sedikit pun
Sasha Amira tunjukkan respon. Dia tidak mahu hilang idea yang mula berlegar di
otaknya sekarang dan jemarinya kian laju meneruskan plot cerita. Sedar tidak
sedar sudah penuh semuka dan berganjak ke muka seterusnya.
Come on Sasha. You can do
it! Kata-kata semangat terus mendorongnya. Dia tidak boleh berputus asa
sekarang. Tidak sehinggalah ia siap dan bertukar tangan kepada Fauziah. Dan
ketika ini, dalam masa getir ini, dia tidak mahukan gangguan.
Buat sekian
kalinya, Sasha Amira tersentak lagi. Kali ini lebih terkejut apabila komputer
ribanya dibawa lari. Matanya dicegilkan memandang Saif Azrai mengangkat
komputer riba miliknya ke atas pehanya. Meninjau isi di dalamnya, kemudian
tayang muka tidak bersalah di depan Sasha Amira. Pinggan nasi pula yang
disorong lagi ke depan Sasha Amira. Menggantikan tempat komputer ribanya tadi.
“Kalau sibuk kerja
pun, kena makan juga. Kerja-kerja, makan tetap kena makan.”
Sasha Amira
menjeling tajam. “Kalau tahu saya sibuk, tak payahlah kacau!” Tujahnya keras.
Tangannya segera merampas komputer dari pegangan Saif Azrai. Dikatup rapat
dan dipeluk ke tubuh. Dipungut bersama
buku-buku yang menjadi rujukan. Tidak cukup tangan untuk dibawa semua. Sekadar
yang menjadi pihan saja dibawa bersama.
Dengan segera juga
dia terhentak-hentak berjalan meninggalkan Saif Azrai sendiri. Sudah Sasha
Amira letakkan sebagai syarat pertama. Dia tidak mahukan gangguan. Dia perlu
siapkan skrip ini secepat yang mungkin dan kalau boleh dia mahu selesaikannya
malam ini juga kerana Sasha Amira sudah tidak mahu memikirkan fasal itu lagi
esok hari. Dia letih. Letih hendak mengerah idea yang kian kontang. Biar
dikorek semalaman sekaligus. Tidak perlu dipam dan dikeringkan idea itu
berulang kali. Air dalam sungai pun kalau dikeringkan selalu, nampak kerak
buminya.
Setelah beberapa
langkah dihayunnya laju, Sasha Amira rebah tiba-tiba ke lantai bumi. Belum
sempat pun dia menjejak ke depan pintu rumah. Beralaskan rumput yang menebal,
dia tidak sedarkan diri. Buku-buku dalam pelukannya turut sama gugur,
bertaburan di bawah. Tinggal komputer riba saja yang masih setia dipeluk erat.
Innalillahhirwainnailaihirojiun!
Saif Azrai mengucap
panjang apabila melihat tubuh Sasha Amira rebah tiba-tiba. Berkejaran dia
mendapatkan gadis itu. Lengan Sasha Amira ditolak berkali-kali tapi tiada
respon dari gadis itu. Kemudian beralih pula ke ;pipi halus Sasha Amira.
Ditampar sekali dua. Senyap membisu.
“Dia cuma tak cukup
rehat. Sebab tu badan dia lemah. Insya-allah, lepas dia akan okey sikit. Tapi
janganlah biar dia kerja kuat sangat dua tiga hari ni...” Dr. Aina, atau lebih
dikenali Saif Azrai sebagai Aina, teman wanita sepupunya memberi penjelasan
setelah selesai merawat Sasha Amira.
Kepalanya menjeling
sekilas hasil kerja tangan Aina. Kreatif. Hat
stand yang disangkut pelbagai jenis beg milik Sasha Amira dijadikan tiang
menggantikan drip stand untuk
menyangkut bekalan air yang disalur ke tangan gadis itu. Wajah pucat Sasha
Amira ditenungnya sekali. Cuma sejenak. Ada masanya gadis itu memang keras
kepala. Disuruh makan, tidak mahu. Sekarang tengok siapa yang sakit.
Mujurlah buah hati
Izi Helmy ini seorang doktor. Senang juga Saif Azrai menelefon minta
bantuannya. Hendak di hantar ke klinik, Saif Azrai bukan masak akan kawasan di
sini. Jauh mana dia perlu pergi mencari klinik yang masih buka hampir tengah
malam ini.
“Takkan aku minta
tolong pun nak angkut buah hati sekali. Takut aku sambar hati kau pula ke?”
Saif Azrai menayang senyuman nakal. Hujung matanya melirik ke arah Izi Helmy
yang menunggu di depan pintu. Bersandar di tepi pintu sambil memerhati gerak
langkah Aina dari situ.
“Kenapa? Kau suka
pada aku ke?” Aina juga tidak kurang nakal mengikut rentak Saif Azrai. Senyum
dilebarkan. Seketika kedengaran suara garau berdehem dari jauh. Mereka berdua
menjeling dari pinggir mata. Sudah dapat mengagak gerangan yang mendekati.
“Ada hati nak ambil
buah hati intan payung aku ya...” Terus saja Izi Helmy melangkah melepasi Saif
Azrai dan kemudian berhenti di sebelah Aina. Tangannya memaut bahu Aina dan
menarik gadis itu ke tubuhnya. “Sorry
ya bro. She is mine!”
Serentak tangannya
yang memaut bahu Aina terasa perit apabila diketuk gadis itu dengan kotak
stetoskop di tangan. Ouch! Dia mengaduh perlahan. Namun jelingan manja Aina
menjadi balasan.
“Since when I am yours? Kita belum diijab
kabulkan lagi okey dan sehingga masa tu, jangan harap you boleh sentuh I
sembarangan tau.”
Muncung seribu Izi
Helmy mendengar amaran itu. Tapi dia angkat tangan. Kalau dulu, perempuan jual
mahal macam ni dah tentu dia angkat kaki. Bukan susah hendak cari pengganti.
Tapi hanya untukmu Aina, Izi Helmy mengalah. Hendak buat macam mana kalau hati
sudah suka.
Saif Azrai sudah
ketat rahang menahan gelak yang mahu meletup keluar. Geli hati melihat gelagat
Izi Helmy. Padan muka sepupunya itu. Padanlah dia ditemukan dan jatuh hati
dengan Aina. Gadis itu bukan setakat seorang doktor yang merawat pesakit, tapi
doktor cinta juga rupanya. Ubatnya cukup berkesan ke atas Izi Helmy. Buaya
darat itu sudah makin jinak nampaknya.
“Sebenarnya, kami
memang kebetulan tengah dinner
sama-sama masa you telefon tadi. So,
itu yang terus datang berdua. I tak bawa kereta.”
Saif Azrai sekadar
mengangguk sedikit mendengar jawapan Aina. Muka Izi Helmy masih dijeling sekali
dua. Masih muncung pak depa. Merajuk pula ke?
“Muka you tu pula
kenapa? Teruk benar I tengok. Marilah I tolong tuamkan.” Aina mengajak Saif
Azrai beralih ke meja tulis dalam bilik Sasha Amira. Peralatannya diletak atas
meja. Kemudian dia memberi arahan supaya Saif Azrai menunggunya di situ.
“Tulah, aku dah
kata muka kau dah cckodok pisang. Kau tak caya!” Izi Helmy pula menempelak,
sengaja hendak menyakat.
Ada ke patut dia
kata muka aku yang handsome ni macam cekodok pisang! Gerutu sedikit hati Saif
Azrai tapi dibiarkan saja cakap Izi Helmy tadi. Kemudian Izi Helmy turut
menghilang, mengikut teman wanitanya ke hulu hilir. Sayang benar dia pada Aina.
Kerusi ditarik lalu
punggung dihenyak perlahan. Sempat Saif Azrai merenung Sasha Amira dari
tempatnya duduk. Tidak lama, Aina muncul semula. Di belakangnya, Izi Helmy. Aina
membawa sehelai tuala tebal di tangan.
Ouch! Terasa panas
kulitnya apabila tuala itu menyentuh muka.
“If you don’t mind, I rasa nak tanyalah
sikit. Emm... siapa that lady yang
pengsan tu? Is she a friend or someone
special?” Muntah soalan itu dari mulut Aina tiba-tiba. Tergamam Saif Azrai
seketika. Jawapan yang macam mana ya hendak dia beritahu Aina?
“Ha! Mestilah orang
teristimewa!” Tempelak Izi Helmy lagi menyahut soalan Aina. Saif Azrai hanya
mampu melempar renungan tajam. Mujur Aina masih sibuk menyapu itu dan ini di
mukanya. Kalau tidak memang sudah digigit-gigit sepupunya itu. Terima kasihlah
banyak-banyak sebab susah-susah tolong jawab bagi pihaknya.
Aina senyum
meleret. Matanya memberi isyarat kepada Saif Azrai supaya memegang tuala yang
diletakkan tepi mata lelaki itu. Tangannya dilepaskan sebaik Saif Azrai
mengambil alih.
“Rajin-rajinlah
tuam muka tu, cepat sikit lebam tu surut. Kalau buah hati you tengok muka you
masa dia sedar nanti, silap-silap pengsan balik dia tau!” ujar Aina bernada
seloroh. Senyumnya dilebarkan lagi menahan tawa.
Izi Helmy sudah
gelak suka hati. Dalam hati memuji-muji teman wanita tersayang. Pandai juga
buah hati aku ni buat lawak. Namun gelakkan tidak lama bila Aina pula
meletakkan jari telunjuknya di bibir. Kemudian dituding pula ke arah Sasha
Amira yang terbaring atas katil. Suruh senyaplah tu!
“Okeylah. Aku balik
dulu. Jangan lupa bagi buah hati kau tu makan!” Barang-barangnya atas meja
dipungut semula.
“You nak balik
seorangkah?”
Aina menoleh. Lama
dibiarkan jawapan itu tidak berjawab dan hanya tersenyum nipis. “You nak I
balik sendiri? I okey aje...” jawabnya lambat.
Izi Helmy mengalah
lagi. Sudah tentu dia tidak akan biarkan kekasih hati pulang sendirian. Apatah
lagi tengah-tengah malam begini. Huish... tak sayang bakal bini namanya tu.
Hendak dipaut
lengan Aina, nanti mesti kena tegur lagi. Tersengih-sengih dia memberi ruang
Aina berjalan di depan. Gentlemenlah konon!
“Thanks anyway for coming!”
“Aik, takkan terima
kasih aje. Ajaklah kami lunch sekali dengan kekasih you tu ke... boleh
kenal-kenal.” Aina juga pandai mengusik. Izi Helmy sudah tayang senyum bangga.
Bangga benar agaknya dapat teman yang sekepala.
Saif Azrai membalas
dengan senyuman. Hendak belanja mereka berdua, bukannya dia tidak pernah. Tapi
bersama Sasha Amira, memang berat. Dia diam saja sepanjang menghantar Aina dan
Izi Helmy ke kereta. Pasangan itu saja yang becok bercerita. Sedangkan Saif
Azrai sekadar mencelah dengan tawa sekali sekala. Apa yang hendak dikata kalau
dia seorang yang disakat. Dua lawan satu. Yang dua itupun sehati sejiwa
nampaknya. Tidak terbela dirinya mahu melawan. Biarkan sajalah.
No comments:
Post a Comment