Awal-awal pagi,
Sasha Amira sudah nampak muka Saif Azrai tercongok di tepi kereta.
“Tidur dalam kereta
aku ke mamat ni? Pagi-pagi nak tengok muka dia menyemak dekat sini!” Dia
merungut sendiri.
Dijelingnya ke arah
kereta Mitsubishi milik Encik Rahim masih di garaj. Itu menandakan papanya itu
masih belum ke tepat kerja. Dipalingnya pula ke belakang. Melihat kalau-kalau
Puan Damia atau Encik Rahim memerhati dari muka pintu. Tiada. Ah, mungkin masih
sibuk menjamu sarapan pagi.
“Selamat pagi. Awal
hari ni?” tegur Saif Azrai sebaik Sasha Amira mendekati kereta itu.
Namun sapaan Saif
Azrai sengaja dibuat enteng dan terus berlalu ke luar pagar. Kebetulan pula
sebuah teksi lalu di depan. Cepat-cepat Sasha Amira menahannya.
Sementara dari
ruang tamu, Puan Damia mengintai dari balik jendela. Satu nafas halus dihempas
spontan.
“Hai, budak bertuah
ni...” Kepala Puan Damia digeleng sama dan melangkah semula ke ruang makan di
dapur. “Abang tengoklah anak bertuah abang tu. Kita upah pemandu untuk dia, dia
boleh pula tahan teksi. Semalam, dia balik sendiri. Entah mana dia tinggalkan
budak Azrai tu.” Menceceh mulut Puan Damia berleterkan perihal anak daranya.
Kemudian dia duduk semula di sisi Encik Rahim.
“Awak tu berkeras
sangat dengan dia. Tengok, membazir duit saya aje upah pemandu. Tapi, bukannya
dia nak ikut. Dia tetap ikut kepala dia juga.”
“Sampai bila kita
nak ikut saja rentak dia, bang. Dia tu dah besar panjang. Harap badan aje yang
dah besar tapi macam tak fikir masa depan. Kerja tidak, belajar tak
habis-habis, suruh kahwin pun liat.”
Encik Rahim tidak
membalas. Jika sudah masuk soal kahwin, akan meleret cerita isterinya nanti.
Anaknya yang dileterkan tapi telinga Encik Rahim pula yang ditadah.
“Saya tahu apa
patut kita buat lepas ni, bang.” Puan Damia bingkas bangun dan bergegas ke muka
pintu. Nama Saif Azrai dipanggilnya berkali-kali lalu dimintanya lelaki itu
masuk ke dalam.
“Sasha!” Zaimah
memanggil lalu mengejar Sasha Amira yang sudah angkat kaki. “Hari ni boleh tak
aku nak tumpang kereta kau?” soalnya setelah sudah berjalanan seiringan dengan
Sasha Amira.
“Hari ni tak
bolehlah. Aku tak bawa kereta...”
“Oh, yakah. Tak
apalah. Eh, jom pergi makan dulu sebelum balik. Aku laparlah. Dekat dengan
rumah sewa aku tu bukannya ada kedai makan.”
“Oi, mak cik! Asal
punya monyok aje dua tiga hari ni?” Tiba-tiba Intan Nazira pula menyergah dari
belakang. Fuh, semangat. Tidak reti-reti agaknya hendak beri salam. Menyergah
orang saja tahunya. Nasib baik Zaimah tidak buka langkah silat gayung sebab
terkejut.
“Kau pergilah makan
berdua. Aku tak ada mood...” Sasha Amira terus melambai dan mengubah haluan dari
kawan-kawannya.
Zaimah dan Intan
Nazira berpandangan sesama sendiri.
“Apasal dengan
minah tu?” Intan Nazira menyoal serentak menguis bahu Zaimah. Sedangkan Zaimah
juga tidak pasti. Hanya bahunya saja mampu dijungkit ke atas.
Dari jauh Sasha
Amira sudah nampak Saif Azrai melambai di bawah pohon kemboja. Huh, ada lagi
rupanya mamat ni. Langkahan kakinya dipantaskan sedikit menuju ke arah Saif
Azrai.
Sasha Amira
menghulur tangan di depan Saif Azrai sebaik mendekati lelaki itu. Sementara
Saif Azrai sekadar melihat huluran tangannya tanpa sepatah kata. Seketika,
wajah Sasha Amira ditenung semula tanpa rasa bersalah.
“Kunci kereta!”
Keras suara Sasha Amira meminta. Tidak lalu lagi rasanya mahu menghadap muka
Saif Azrai yang berlagak tenang. Tengoklah berapa lama lelaki itu boleh
setenang ini. “Aku minta kunci keretalah!”
Saif Azrai menyeluk
seluar slack hitam yang dipakainya. Sasha Amira memerhati kurang sabar.
Kemudian segugus kunci berada dalam genggaman Saif Azrai lalu ditayang di depan
muka Sasha Amira.
Pantas tangan Sasha
Amira hendak menyambar kunci itu tapi pantas lagi Saif Azrai melarikan
tangannya. Nampaknya lelaki itu sudah dapat membaca tindakan Sasha Amira.
Lantas ada selebar senyuman di wajah Saif Azrai.
“Saya ni diupah untuk
jadi pemandu peribadi awak. Jadi, lebih baik kalau saya yang bawa awak balik
hari ni. Awak duduk aje diam-diam dekat belakang. Nak tidur pun boleh.”
Sasha Amira ketap
gigi. Dia tidak perlukan cadangan Saif Azrai. Mahu setuju akan cadngan itu,
jauh sekali. Jangan mimpi! Lantas dengan sekuat hati, Sasha Amira menghenyak
sebelah kaki Saif Azrai dengan tumit tingginya. Saat lelaki itu tersentak dek
keperitan, Sasha Amira menghempuk pula bahu Saif Azrai dengan beg tangannya
kuat-kuat. Rasakan penangan Sasha Amira. Bila peluang terbuka, lekas-lekas
Sasha Amira merampas kunci kereta dari tangan Saif Azrai yang tidak lagi
menggengamnya erat kerana menahan kesakitan.
Sebaik kunci sudah
bertukar tangan, Sasha Amira segera berlari ke kereta kesayangannya meninggalkan
Saif Azrai yang sudah terhinjut-hinjut.
Tidak mampu Saif
Azrai mahu mengejar. Pandangannya juga sekejap jelas sekejap kabur dek kelopak
mata yang berkerut menanggung perit. Kaki yang dipijak Sasha Amira masih terasa
berdenyut.
“Aduh! Boleh tahan
juga perempuan ni!” Saif Azrai terus mengaduh sakit.
***********************************************************
Sebaik usai makan
malam, seperti biasa Sasha Amira pasti duduk di pondok di laman rumah. Sasha
Amira suka duduk di situ pada waktu malam. Sunyi tapi hatinya seakan terisi sebaik
melihat ke langit. Melihat gemerlapan bintang dan cahaya bulan yang cantik
menghiasi latar yang gelap.
Tambah-tambah Sasha
Amira dileter lagi oleh mamanya apabila pulang sendiri petang tadi. Harapan
Sasha Amira agar bulan dan bintang malam itu dapat memujuk hatinya seperti
selalu.
Kali ini dibawanya
sekali segelas air bagi menyejukkan tekak nanti. Cadangnya mahu melepak lama di
luar malam ini. Namun langkah kakinya terus terhenti tatkala terlihat sesusuk
tubuh berbaringan di atas pondok kesayangan.
‘Dia lagi!’
rusuhnya dalam hati melihat Saif Azrai masih di rumahnya. Entah apa pula lelaki
itu buat hingga ke malam di sini. Leka benar nampaknya Saif Azrai memandang
langit hingga tidak sedarkah langit yang ditenungnya itu sudah hitam pekat?
“Buat apa lagi
dekat sini? Tak ada rumah ke nak balik?” Nada Sasha Amira keras seperti biasa
tiap kali berdepan Saif Azrai.
Masa mula-mula dulu
saja yang dia berlembut. Itu pun sebab ketika itu memang Sasha Amira terdesak
mahukan pertolongan lelaki itu. Kalau Sasha Amira tahu begini jadinya, tidak
ingin Sasha Amira ambil risiko sambar tangan Saif Azrai dulu. Memang silap
besar!
Saif Azrai sudah
menoleh. Lambat lelaki itu bangun dari baringan dan duduk menghadap Sasha
Amira. Kakinya dilepaskan jejak ke tanah. Dalam kesamaran lampu di laman, dia
melihat wajah Sasha Amira. Lebih kurang satu meter saja jaraknya.
“Awak bawakan saya
air ke? Baiknya awak...” ujar Saif Azrai sengaja menyakat apabila melihat
segelas air di tangan Sasha Amira. Dia tahu ia bukan untuknya tapi sengaja dia
mahu melihat reaksi Sasha Amira. Akan terus marahkah gadis itu nanti?
“Jangan nak
perasan!” Sepantas kilat Sasha Amira menafikan. Hatinya tambah bengkak apabila
Saif Azrai membuah senyum akan jawapannya tadi. Sasha Amira tidak rasa lucu
langsung. “Kenapa kau dekat rumah aku ni lagi? Jawab ajelah soalan tu!”
“Mama awak tak
beritahu apa-apa ke?”
“Mama?” Ini yang
Sasha Amira paling marah. Bila dia menyoal, dia pula disoal balik. Tidak
bolehkah dijawab terus soalan itu dengan jawapan yang tidak perlu Sasha Amira
tanyakan balik. Kalau sudah masing-masingkan pulangkan soalan, siapa pula yang
akan berikan jawapan. Sampai bila pun tidak terjawab. Rela tidak rela, Sasha
Amira kenang-kenangkan kembali segala cakap Puan Damia dua tiga hari ini.
Selain daripada dileter petang tadi, tidak ada pula Puan Damia memberitahunya
apa-apa.
Seketika Sasha
Amira dikejutkan dek suara keluhan Saif Azrai. Sasha Amira memandang semula ke
arah lelaki itu. Tangannya yang panjang didepangkan ke belakang lalu mengalas
kepala pada tiang pondok. Kakinya pula panjang berlunjur memenuhi ruang tepi
pondok itu.
“Cantiknya bintang
malam ni.” Saif Azrai mendongak ke langit. “Secantik gadis yang berdiri tak
jauh dari saya ni. Pakai baju tidur pun nampak comel...” Lebar senyum Saif Azrai
dilemparkan ke arah Sasha Amira.
Sekaligus Sasha
Amira terkedu sekejap. Ditenungnya baju tidur bercorak anak kucing yang
tersarung di tubuh. Di rabanya pula atas kepala. Lantas mata Sasha Amira
terbelalak besar.
“Mama!” jeritnya
dan terus berlari masuk ke dalam rumah.
Saif Azrai
melebarkan senyum, menahan tawa yang menjolok-jolok mahu meletus keluar apabila
melihat gelagat Sasha Amira.
“Kenapa pula
terpekik-terlolong malam-malam ni? Nampak hantu ke?” Puan Damia di ruang tamu
menegur apabila namanya dipanggil Sasha Amira berkali-kali. Tidak bolehlah
lihat Puan Damia rehat sekejap menonton drama bersiri kegemaran. Lelah
menunaikan tanggungjawab sebagai surirumahtangga juga belum semapat hilang.
“Kenapa lelaki tu
ada lagi dekat rumah ni?”
“Lelaki? Lelaki
mana?” soal Puan Damia pula. Potongan buah epal dicapai dari dalam piring dan
digigit separuh. Berkerut-kerut muka Puan Damia melihat anak gadisnya
terkinja-kinja sambil beria menuding jari keluar. Kemudian tangannya digayakan
pula seperti sedang memegang stereng. “Oh... si Azrai tu ke?” Puan Damia meneka
sambil senyum meleret. “Muali hari ni, dia akan duduk dekat rumah ni. Dengan
kita.”
“Ha?!” Melopong
Sasha Amira mendengar jawapan Puan Damia. Ini semua pasti rancangan Puan Damia.
Entah apa pula rencana mamanya itu kali ini. “Kenapa pula dia nak duduk sini?
Papa...”
Sasha Amira beralih
kepada Encik Rahim. Punggungnya dihenyak di sebelah papanya. Tangan Encik Rahim
dirangkul manja. Namun Encik Rahim sekadar mengangkat bahu.
“Padan muka kamu.
Degil sangat tak mahu terima dia jadi pemandu peribadi kamu. Papa dah keluarkan
duit menggajikan si Azrai tu, kamu pula tinggalkan dia merata tempat.” Puan
Damia menjawab bagi pihak suaminya. Sememangnya ini semua rancangan Puan Damia.
Hendak tidak hendak, kenalah suaminya itu terima. “Kalau dia tinggal sekali
dengan kita, kan senang. Tak payah dia susah-susah datang pagi-pagi. Petang
pula nak balik rumah dia. Ha, kalau duduk sekali kan jimat.”
“Alah, yang jimat
dia. Bukan duit papa yang jimat!”
“Aik! Sejak bila
pula kamu pernah risaukan fasal duit papa jimat tak jimat? Kamu belajar
macam-macam course tu ingat siapa
yang bayar?” Suka hati Puan Damia mengenakan anak daranya itu. Lihat muka Sasha
Amira terdiam mencuka bikin Puan Damia hampir tergelak.
“Kalau ya pun,
beritahulah awal-awal.” Sasha Amira sudah menarik muncung panjang. “Malulah
Sasha menayang kepala ni dekat dia. Mama ni...” tambahnya lagi sambil menunjuk
rambut panjang yang berikat dua. Kemudian dituding pula ke baju tidur yang
dipakainya.
“Kenapa? Malu?”
Puan Damia sudah menutup mulut dengan tangan. Tawanya makin tidak tertahan
lagi. Sementara anaknya itu semakin tarik muka lalu terhentak-hentak bangun dan
naik ke bilik. Hilang saja Sasha Amira dari mata, Puan Damia terus tergelak.
“Awak ni, saja nak
budak tu merajuk. Kenapa awak tak beritahu dia pasal Azrai tu?” Encik Rahim
menegur sekaligus mematikan tawa Puan Damia.
“Kalau saya
beritahu tak surpriselah, bang!” Puan Damia membalas bersama tawa yang masih
bersisa.
“Hai, dua beranak ni...”
Encik Rahim menggeleng kepala. Pening kalau hendak dilayan isteri dan anak
bongsunya itu. Seorang isteri, seorang lagi anak. Kalau hendak diikut, dua kali
lima saja dua beranak itu. Sikap yang ada pada Sasha Amira sebenarnya itulah
sikap Puan Damia. Cuma isterinya itu saja yang lupa, dia masa muda-muda dulu
pun begitu perangainya.
No comments:
Post a Comment