“Ish, mana anak
dara ni tak balik-balik lagi? Tiap-tiap hari balik lambat. Ada ke kelas sampai
langit gelap macam ni?”
Puan Damia resah
menanti di ruang tamu. Jendela berkali-kali diselaknya lalu mata mengintai
laman di luar. Namun deruan kereta Sasha Amira juga tidak kedengaran. Apatah
lagi bayang anak bongsunya itu.
Terus Puan Damia
menerpa dan mendapatkan suaminya yang sibuk menekan butang kalkulator.
“Abang... abang,” panggil Puan Damia sambil menepuk tangan suaminya
berkali-kali.
Encik Rahim
mengangkat muka seketika seraya menyahut. Kemudian beralih semula kepada
kerjanya.
“Tengoklah perangai
anak dara abang tu. Hari-hari balik lewat. Entah ke manalah dia merayap.” Jam
yang melekat di dinding dijeling sekilas. Pandangan Puan Damia kemudiannya
mengintai keluar sekali lagi. Lantas satu keluhan halus dihempas perlahan.
“Manalah budak ni pergi agaknya...”
“Abang! Abang
dengar tak saya cakap ni?” Puan Damia menepuk tangan Encik Rahim lagi apabila
melihat suaminya itu masih sibuk dengan kerja. Hatinya yang gundah dan tidak
senang duduk ini langsung tidak dia peduli.
“Ehmm...” Encik
Rahim sekadar menyahut bersahaja. Matanya terus meneliti kertas akaun atas meja
sambil tangannya sesekali menekan digit di badan kalkulator.
“Abang ni, saya
tengah bercakap pasal anak kita. Abang pula asyik sibuk dengan kerja aje.”
“Ehmm.. kalau saya
tak buat kerja, siapa lagi yang nak buat? Awak?” balas Encik Rahim bersahaja.
“Ish, abang ni.
Bukannya dia nak tenangkan hati orang ke apa. Kenakan lagi adalah.” Puan Damia
peluk tubuh dan terus memalingkan badan dari suaminya.
Encik Rahim
menggeleng melihat reaksi Puan Damia. Kertas-kertas yang dipegang tadi
diletakkan atas meja sebentar. “Hai, dah tua-tua pun nak merajuk. Hodoh
rupanya...” seloroh Encik Rahim perlahan. “Sasha tu kan dah besar. Tahulah dia
jaga diri. Entah dia keluar dengan kawan ke, ada kelas malam ke. Takkan dia tak
beritahu awak?”
“Anak orang lain tu
belajar juga. Tak ada pun saya nampak dia orang tu balik malam-malam macam anak
kita tu. Ni mesti merayap entah ke mana-manalah tu!” Puan Damia membuat
andaian. Jari telunjuknya diketuk ke udara, menyokong kesimpulan yang baru
dibuatnya.
“Mana awak tahu
anak orang lain balik pukul berapa. Awak ni, janganlah nak fikir bukan-bukan
pasal anak sendiri.” Tenang Encik Rahim menegur.
“Saya tahulah bang.
Saya yang hari-hari duduk rumah ni. Bukannya saya nak menjaga tepi kain orang.
Tapi si Sasha tu dah tiap-tiap malam balik lewat. Hati ibu mana yang tak
curiga. Takkanlah hari-hari ada kelas sampai ke malam. Lecturer tu pun tak ada masa punya nak mengajar sampai langit
gelap. Dia pun ada keluarga juga nak dihadap.”
“Alah, jalan jam lah agaknya tu.” Lekas Encik Rahim
memintas cakap isterinya. Melopong mulut Puan Damia bila ayatnya tidak mampu
diteruskan. “Kalau susah-susah sangat, awak telefon aje anak awak tu. Apa guna
ada telefon kalau dekat saya ni yang awak leterkan.”
“Ha, itulah
masalahnya!” Puan Damia menyambung semula. “Anak kita tu, kalau saya telefon
bukannya dia reti nak jawab. Kalau balik lewat pun tak reti nak beritahu. Buat
kita risau aje tunggu dekat rumah ni.”
“Macam mana dia tak
takut nak jawab panggilan awak. Awak tu selalu sangat telefon dia nak ajak
jumpa calon suami. Seriklah budak tu!”
“Eh, orang tua ni.
Orang serius, dia main-main pula...” Puan Damia tarik muka apabila tawa kecil
Encik Rahim menyinggah lagi ke telinga. “Anak kita tu bukannya muda lagi, bang.
Orang perempuan ni tak sama macam lelaki. Makin tua, makin kerepot, makin tak
laku pula nanti. Takkan abang nak tengok anak kita seorang tu jadi anak dara
tua? Dia tu aje yang liat sangat nak kahwin. Kakak abang dia semua dah beranak
pinak dah pun!”
Kali ini Encik
Rahim tidak membalas. Perhatiannya juga sejak tadi sudah beralih semula ke
kerja akaun yang dikerjakan sebaik selepas makan malam tadi.
“Abang... abang.”
Tangan Encik Rahim ditepuk lagi. Namun suaminya tidak menyahut kali ini. “Apa
kata abang upah driver untuk Sasha.”
“Ha? Driver? Nak buat apa? Saya pun tak pakai
driver, si Sasha tu pula kita nak
upah driver?” Terkejut benar Encik
Rahim mendengar cadangan Puan Damia. Entah apa pula rencana isterinya itu
sekarang ini.
“Alah, abang kan
tauke kilang cetak. Bukannya abang tak mampu nak upah driver. Anak kita tu kan anak dara. Hari-hari balik malam, saya
risaulah. Carilah orang yang baik-baik. Saya pun tak kesah sangat kalau nak
bermenantukan driver kalau dah anak
kita tu liat sangat nak kahwin.”
La, ke situ pula!
Encik Rahim menggeleng-geleng kepala. Pening juga kepala Encik Rahim melayan
kerenah Puan Damia yang susah hati sangat akan Sasha Amira yang tidak bersedia
untuk berkahwin. Kalau boleh sekarang juga dia mahu melihat anak bongsunya itu
bernikah.
“Awak ni, janganlah
suka hati aje nak paksa budak tu kahwin. Awak tu dulu pun liat juga.
Berkali-kali saya ajak kahwin awak tolak.” Encik Rahim terus menggeleng.
“Alah, itu pun
kalau ada jodoh bang. Yang penting, ada juga orang yang jemput dia kalau dia
balik lewat. Sekarang ni, macam-macam hal berlaku kat luar tu bang. Merompaknya
lain, menyamunnya lain. Ha, ada pula kes cabul. Risau saya, bang. Kalau abang
tak mahu upah driver, abang ajelah
pergi hantar dan jemput dia dari kolej.”
“Hai,
macam-macamlah awak ni. Saya pun belum solat Isyak lagi. Saya pergi solat
dululah.” Encik Rahim cuba mengelak.
Puan Damia muncung
melihat suaminya bangun dan meninggalkan ruang tamu. “Ish, orang tua ni.
Masa-masa nilah dia teringat belum solat. Dari tadi khusyuk benar hadap kertas-kertas
kerja dia. Saja nak mengelaklah tu,” gumam Puan Damia sendiri.
Tidak lama, Puan
Damia turut angkat punggung. Jendela diintai lagi. MyVi kuning milik Sasha
Amira masih belum muncul depan pintu pagar. Spontan Puan Damia hempas nafas
halus.
No comments:
Post a Comment