Sasha Amira
menungkat dagu, melihat papan putih di depan dewan kuliah. Kawan sekuliah
semuanya sudah menyerbu keluar. Intan Nazira dan Zaimah juga turut pergi
mengisi perut. Tinggal Sasha Amira yang termenung sendiri.
Melihat nama subjek
yang tertera di atas papan putih itu buat dia makin gundah memikirkan
peperiksaan akhir tahun. Dia sudah pasang tekad untuk tamat pelajaran kali ini.
Tapi kalau sudah subjek kegemarannya juga bakal tersangkut, apa akan jadi pada
subjek-subjek lain yang cukup berat.
Kalau tidak kerana
Puan Damia yang tiba-tiba mengupah pemandu peribadi untuknya, mungkin sempat
juga Sasha Amira bergegas ke kuliah setelah terlewat bangun pagi tadi. Ah,
silap dia juga kerana enak lena lagi walau matahari sudah meninggi. Hai, itulah
yang selalu berlaku padanya bila sudah tiba datang bulan. Sekarang percuma saja
markahnya melayang.
Dengan malas Sasha
Amira bangun dan turut meninggalkan dewan kuliah. Kelas hari ini cuma kelas
Puan Rania satu-satunya. Sepatutnya petang ini Sasha Amira ada latihan pementasan
untuk kelab kebudayaan. Tapi dia sudah kehilangan mood hari ini. Lantas dia
bergerak ke tempat letak kereta.
Izi Helmy memandang
kertas-kertas atas mejanya. Sekali dia menarik nafas panjang. Tubuhnya dihempas
ke badan kerusi. Belum setengah hari dia duduk di pejabat, punggungnya sudah
terasa panas. Waktu kerjanya bermula jam sepuluh, namun seperti sudah lebih dua
puluh empat jam dia bersusah payah dalam pejabat ini walaupun jarum jam baru
saja melepasi angka satu. Letih.
Ini semua anak bos
punya pasal. Menghilang hampir seminggu tanpa sebarang berita. Hanya sebuah
mesej pesanan ringkas yang memberitahunya beliau cuti tanpa rekod untuk
menguruskan hal peribadi. Kerja yang berlambak atas meja Izi Helmy sekarang ini
lebih separuh adalah kerja anak bos merangkap sepupunya itu.
Bip!
Mata Izi Helmy
merenung telefon yang berbunyi. Suara Datuk Rauf terus bergetar dari pembesar
suara sebaik dia menekan punat di telefon itu tadi.
“Izi, kamu tahu ke
mana Azrai pergi?”
Bergetar juga
jantung Izi Helmy bila ditanya soalan itu. Tapi nasib baik dia sudah
menyediakan skrip jawapan awal-awal. Seawal selepas Saif Azrai sendiri yang
membuat permintaan itu. Dia ditugaskan untuk memberi apa saja alasan pada Datuk
Rauf mahupun Datin Kistina jika mereka bertanya apa-apa tentangnya. Itulah
salah satu pesanan yang dikirim Saif Azrai.
Ceh! Gumamnya
geram. Bila dihubungi untuk bertanya lebih lanjut tidak pula Saif Azrai
menjawab panggilannya. Penting hingga masuk dalam hutan tebal agaknya hal
peribadi yang dimaksudkan Saif Azrai. Entah-entah sepupunya itu sudah
tersangkut dek anak dara orang yang duduk jauh di pedalaman. Sebab itu payah
benar hendak dihubungi.
“Dia pergi ke
Penang, uncle. Uruskan masalah kat
tapak pembinaan di sana,” jawabnya lambat-lambat.
“Ada masalah?
Kenapa saya tak diberitahu apa-apa?”
“Masalah kecil
saja, uncle. Khabarnya dah selesai.
Dua tiga hari lagi agaknya dia akan balik, uncle.”
“Hai, kalau ya pun
telefonlah. Ayah sendiri pun tak diberitahunya. Ha, tak apalah. Nanti kalau dia
telefon kamu, beritahu pada uncle.
Mama dia dekat rumah pun dah risau dia tak balik-balik. Telefon tak berjawab.”
“Baiklah, uncle. Kalau dia telefon ke mesej nanti,
saya maklumkan pada uncle.”
Panggilan
diputuskan. Serentak Izi Helmy menarik nafas lega. Fuh, semangat.
“Nasib baik aku
pandai kelentong. Kalau tak mesti kau dah kantoi punya!”
Tersentak Sasha
Amira apabila berdiri di sebelah keretanya. Dilihatnya seorang lelaki enak
tidur di kerusi depan dalam keretanya itu. Sasha Amira gigit bibir. Lupa pula
yang sekarang dia sudah ada pemandu peribadi. Baru sekejap tadi dia asyik
memikirkannya tapi lupa juga.
Sasha Amira menarik
picu kereta. Berkunci. Serentak Saif Azrai di dalam tersedar dan membuka
kelopak mata. Sempat lelaki itu melontar pandangan redup dengan senyuman kepada
Sasha Amira. Tidak lama, pintu dibuka.
“Jom saya hantar
awak balik. Ops, cik Sasha...”
Sasha Amira
membalas senyuman Saif Azrai dengan renungan tajam. Ingat Sasha Amira akan
balas dengan senyuman manis yang tayang gigi sebaris? Jangan harap. Tidak
mahunya Sasha Amira hadiahkan senyuman pada lelaki itu. Lelaki tidak malu.
Sasha Amira pinjam sekejap, dia sudah lebih-lebih. Sampai ke sini dia tayang
muka depan Sasha Amira.
“Tak payah nak
bercik Sasha la. Geli aku tau!”
“Ok. Kalau macam
tu, saya panggil awak Sasha sayang. Puas hati?”
Sakit telinga Sasha
Amira bagai dicucuk selumbar. Ada masa pula lelaki itu melawak di depannya
sekarang. Sudahlah kerana lelaki itu pagi tadi Sasha Amira sudah melayang
markah. Sekarang nak menambah sakit hati Sasha Amira dengan kata-kata dia yang
meloyakan itu pula. Memang Sasha Amira tidak akan benarkan.
Tubuh Saif Azrai
yang lebih besar ditolak ke tepi. Cepat-cepat Sasha Amira masuk ke dalam kereta
dan pintu lekas dikuncinya. Saif Azrai hanya melihat Sasha Amira membawa kereta
itu pergi. Sekelip mata, bayang MyVi kuning itu hilang dari pandangan sebaik
membelok keluar dari perkarangan parkir.
Tenang saja Saif
Azrai mengangkat bahu sendiri dan juga melangkah pergi.
No comments:
Post a Comment