“Apa yang kamu dah
buat tadi? Kamu tahu tak yang kamu dah malukan mama? Datin Kistina tu bukan
calang-calang orang. Keluarga mereka tu orang yang dihormati. Anak dia pun
berpelajaran. Baru balik dari UK. Mama baru nak kenalkan dengan kamu, kenapa
kamu buat hal pula?” Puan Damia sudah naik angin sebaik terlihat muka Sasha
Amira di ruang tamu rumah.
Baru saja Sasha
Amira mahu menyuap megi ke dalam mulut sambil menonton televisyen. Sudah dijamu
pula dengan leteran Puan Damia. Terkebil-kebil Sasha Amira melihat Puan Damia
yang terpacak di depan.
Puan Damia mencekak
pinggang apabila anak perempuannya itu tidak menjawab. Geram di hati
menjadi-jadi apabila mengenangkan hal yang berlaku di restoran tadi. Sasha
Amira terus berlalu bersama teman lelakinya setelah berkenalan dengan Izi, anak
Datin Kistina. Tidak lama setelah Sasha Amira pergi, Datin Kistina pula meminta
diri bersama anak lelakinya. Malu besar Puan Damia dibuatnya.
Kalau hendak dibandingkan
dengan dinding rumahnya, tebal lagi muka Puan Damia gara-gara tindakan anak
perempuannya yang seorang itu. Bila disebut hal kahwin, macam-macam alasan
diberikan. Sekarang pula sudah pandai buat hal dengan mempamer teman lelaki
tidak kena masa. Sengaja hendak mengelakkah atau saja hendak bikin Puan Damia
naik angin?
“Sudahlah semua
yang mama calonkan pada kamu sebelum ni, kamu tak suka. Yang ni pula kamu
pandai-pandai tayang teman lelaki. Entah lelaki mana pula yang kamu cekup. Tak
pernah pun kenalkan pada mama sebelum ni!”
Kalau betul anak
daranya itu sudah berpunya, legalah Puan Damia. Tapi biarlah kena pada masanya
hendak diperkenalkan padanya. Kalau diberitahu awal-awal, tidaklah Puan Damia
berjanji dengan Datuk Kistina. Bertuah punya anak. Buat malu saja.
Sekarang pula
anaknya itu boleh menayang muka tidak bersalah. Bukannya dia tidak nampak Puan
Damia mencekak pinggang dengan suara begetar. Megi pula yang disuapkan ke mulut
cepat-cepat. Memang panas betul hati Puan Damia dibuat anak daranya seorang
itu.
“Mama bercakap
dengan kamu. Bukan dengan kerusi!” Puan Damia tambah berang. Mangkuk megi
dirampasnya dari tangan Sasha Amira lantas diletak jauh di meja. Berbuih
mulutnya bercakap tapi megi itu pula yang dilayan Sasha Amira. “Kalau dah ada teman
lelaki sangat, suruh dia masuk meminang cepat. Tak payah nak bercinta
lama-lama. Mama dengan papa dulu pun lepas kahwin baru nak bercinta. Sebelum
kahwin, bukannya kenal!”
Sasha Amira
menghempas keluhan halus. Sudah berkali-kali Sasha Amira mendengar cerita cinta
mama dan papanya dari mulut Puan Damia sendiri. Masakan Puan Damia mahu Sasha
Amira juga mengikut rentak orang tuanya. Mengikat tali perkahwinan dengan
pasangan pilihan keluarga. Jika ditanya pendapat Sasha Amira, sudah tentu
jawapannya tidak. Sasha Amira tidak rela!
“Mama, Sasha belum
bersedia nak kahwin lagi. Bercinta lama sikit apa salahnya. Dapat juga kenal
hati budi masing-masing.” Sasha Amira membuah alasan. Sedangkan teman lelaki
juga dia tidak miliki. Hendak diharapkan lelaki tengah hari tadi, bukan Sasha
Amira kenal. Tamat lakonan mereka tadi, terus saja Sasha Amira berlalu pergi
setelah mengucapkan terima kasih. Cukuplah dua perkataan itu menjadi noktah
hubungan mereka. Kalau Puan Damia tahu akan hal sebenar, masak Sasha Amira kena
leter. Lepas itu terpaksa menghadap calon-calon suami pilihan Puan Damia
seterusnya. Tidak!!!
“Kalau nak tunggu
kamu tu cakap yang kamu dah sedia nak kahwin, sampai mama kerepot pun kamu tak
mahu-mahu juga kahwin. Buat apa nak kenal lama-lama. Kalau dah suka, ha kahwin
aje.” bidas Puan Damia keras.
Senyap.
“Sampai bila kamu
nak membujang?” Puan Damia menyambung. “Kamu tu bukannya muda lagi. Dah tua
bangka! Kalau kahwin dah ada anak empat. Entah-entah sepuluh!” Sudahnya Puan
Damia menarik nafas panjang. Punggungnya segera dihenyak di sofa. Letih pula
bercekak pinggang di depan Sasha Amira tapi anak perempuannya itu seakan tidak
endah.
Hilang megi di
tangan, bantal kusyen pula yang menarik perhatian Sasha Damia. Sarung kusyen
yang berbulu tebal itu dicarik-carik perlahan.
“Kamu tu perempuan.
Kita orang perempuan ni makin tua makin tak laku. Takkan kamu nak jadi anak
dara tua. Belum ada keturunan kita yang jadi andartu lagi. Kakak-kakak kamu
semuanya kahwin bila usia mereka pertengahan 20-an. Abang kamu yang lelaki tu
pun kahwin awal.”
“Alah, abang tu
miang. Sebab tu belum habis belajar lagi dah sibuk nak kahwin,” gumam Sasha
Amira perlahan. Namun masih dapat didengar Puan Damia.
“Ha! Menjawab!”
Terus saja suara Puan Damia meninggi semula. “Orang berleterkan dia, dia pula
mengutuk abang sendiri. Kalau dah abang kamu miang, yang kamu tu apa pula? Dah
nak masuk 30 pun masih tak ada calon suami.”
“Kan tadi Sasha dah
kenalkan teman lelaki Sasha pada mama. Itulah calon suami Sasha.” Cepat-cepat
Sasha Amira menjawab sebelum Puan Damia meneruskan bebelannya. “Mama janganlah
risau. Ada jodoh kami nanti, Sasha kahwin dengan dia.” Lantas dia segera bangun
sambil menayang senyuman paling lebar pada Puan Damia dan terus berlari ke
tangga untuk ke tingkat atas.
Puan Damia
memerhati anak perempuannya dengan riak marah. “Ha, itulah kamu! Asal cakap
pasal kahwin aje nak mengelak. Kalau kamu serius dengan teman lelaki kamu tu,
bawa dia jumpa mama dengan papa. Kenalkan betul-betul pada kami ni! Tak payah
nak sorok-sorok!” Puan Damia meneruskan leterannya walaupun bayang Sasha Amira
sudah lesap.
“Apalah liat sangat
anak aku seorang ni. Entah apalah dosa aku dulu dapat anak degil macam ni...” Kemudiannya
kepala Puan Damia digeleng beberapa kali serentak menghempas nafas yang
memberat.
No comments:
Post a Comment