“Kau memang gila Sasha!”
Sasha Amira hanya
tunjuk muka toya apabila kata-kata itu dilontarkan kepadanya oleh Intan Nazira,
teman rapatnya sendiri. Sedikit pun Sasha Amira tidak ambil peduli. Apatah lagi
terasa hati. Kawan baiknya yang seorang ini memang mirip Puan Damia. Nampak
saja silap Sasha Amira. Tidak macam Zaimah, kawannya yang seorang lagi yang
selalu sekepala dengan Sasha Amira.
“Ada ke patut kau
main rembat aje mamat yang entah dari mana asal usulnya tu jadi boyfriend kau. Tak takut ke?” tujah
Intan Nazira lagi. Terkejut dia mendengar cerita Sasha Amira tadi. Sedangkan
Sasha Amira boleh selamba saja seperti tiada apa yang berlaku.
Bukan setakat
selamba, malah boleh pula Sasha Amira tayang muka bangga dengan rancangannya
yang konon berjaya menggagalkan niat baik Puan Damia. Kalaulah Intan Nazira
berada di tempat Sasha Amira, yang mana ibunya asyik memperkenalkan
lelaki-lelaki hebat, tidak payah dipaksa Intan Nazira memang rela berkahwin.
Tidak payah Intan Nazira asyik berangan-angan mahu menambat kumbang diraja seperti
sekarang.
“Apa nak takut?
Sasha pinjam laki tu sehari aje. Bukan jadi boyfriend
betul!” Zaimah pula menjawab bagi pihak Sasha Amira. Sekaligus membuahkan
senyum di bibir Sasha Amira. Memang bagus kawannya ini. Tidak perlu Sasha Amira
membazir air liur berbuih menjawab soalan Intan Nazira. “Itu pun nasib baik dia
tak sambar mamat bangla!” Tempelak Zaimah lalu terkekek-kekek ketawa.
“Kalau mama kau
suruh kau kahwin cepat macam mana?” soal Intan Nazira lagi sambil bulat mata
kepada Zaimah. Kalau Zaimah juga yang menjawab soalannya kali ini, Intan Nazira
sudah bersiap sedia melayang penamparnya. Dapat lengan sebagai sasaran
cukuplah. Puas juga hati Intan Nazira. Pembantu peribadikah dia pada Sasha
Amira sampai sibuk menyampuk bagi pihak? Siap boleh buat loyar buruk dia yang
tidak berapa hendak kelakar. Kalaulah betul mamat bangla yang dicekup Sasha
Amira semalam, lagi padan muka. Mahu pengsan agaknya Puan Damia melihat bakal
menantunya itu.
“Alah, sebelum kau
cakap memang mama aku dah cakap benda yang sama.”
“Ha, padan dengan
muka kau! So?”
“So? What?” Sasha Amira masih tayang muka
seposennya depan Intan Nazirah. Wajah Intan Nazirah pula yang berkerut seribu
melihat sikap Sasha Amira.
“So, mana kau nak cekup laki nak buat
suami mak cik oi!” Pantas Intan Nazira menyoal terus-terang. Pandai-pandai
sangat kawannya itu buat akal gila. Biar dia sedar sikit akibatnya. Berjuta
lelaki dalam negara ini, entah berapa ribu pula di kotaraya ini, di mana pula
Sasha Amira mahu mencari teman lelakinya itu. Entah dari corok mana lelaki itu
datang.
Kisah pasal Puan
Damia hendak Sasha Amira naik pelamin bukan setakat baru-baru ini heboh antara
mereka tiga sekawan. Tapi sejak dua tahun lepas Intan Nazira mendengar cerita
Sasha Amira yang terpaksa bertemujanji dengan lelaki-lelaki pilihan orang
tuanya. Tambah-tambah bila sudah lama rumah mereka tidak berseri dengan majlis
walimatul urus. Cucu pula sudah berderet. Bila lagi mahu melihat anak dara
bongsu mereka naik pelamin. Kalau sudah Sasha Amira mengaku sudah berpunya,
sudah tentulah Puan Damia akan cepat-cepat menyuruhnya berkahwin pula. Itu
Intan Nazira sangat pasti!
“Apa yang nak
dirisaukan? Pandailah aku nak jawab nanti,” jawab Sasha Amira mudah. “Aku ni muda
lagilah. Buat apa tegopoh-gapah nak kahwin. Mama aku tu aje yang tak sabar nak
dapat menantu baru!”
“Excuse me! Yang muda lagi tu kami. Kau
tu dah 29 tahun. Awal tahun depan kau dah nak masuk 30 tahun. Nak dibandingkan
dengan kami ni, lagi dua tiga jari ni boleh kira sepuluh tahun bezanya. Tak
sedar ke?” Intan Nazira menayang jarinya ke depan. Ikut hati mahu saja dipamer
terus kad matrik betul-betul depan muka Sasha Amira. Biar dia lihat beza umur
mereka hingga juling mata.
Kasihan. Perasan
muda rupanya kawan aku ni. Getus Intan Nazira dalam hati.
“Ak’ah... betul
juga! Kau satu semester dengan kita orang ni pun sebab kau asyik tukar course aje kan. Satu course pun tak pernah habis!” tempelak
Zaimah sekaligus menyokong kenyataan Intan Nazira tadi.
“Memang patutlah
mama kau tu beria-ia nak kau kahwin.” Intan Nazira menyampuk lagi. “Sekurang-kurangnya
ada jawatan yang paling sesuai untuk orang yang tak pernah nak belajar macam
kau ni. Jadi suri rumah, jaga makan minum laki kau! Kerja rumah pun entah reti
ke tak kau buat.”
Zaimah sudah gelak
sakan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Intan Nazira. Namun Sasha
Amira sekadar mencebik. Segala cakap Intan Nazira terus diambil ringan.
Balik-balik kahwin. Sasha Amira sudah mual mendengar perkataan itu. Buat-buat
tidak dengar lebih baik daripada dia muntah sudahnya gara-gara topik itu nanti.
“Lepas ni, kalau
mama kau nak kau bawa boyfriend kau
tu datang rumah macam mana? Mana kau nak cari dia?” soal Intan Nazira lagi. Banyak
pula soalnya pada Sasha Amira.
“Emm... entah.”
“Kau tak minta
nombor telefon dia ke?”
“Buat apa? Aku
memang cadang nak pinjam dia kejap aje. Bukannya aku nak dia jadi boyfriend aku betul-betul.”
“Habis tu kalau
mama dan papa kau nak jumpa dia?”
Sasha Amira
terkemung seketika. Tidak lama dia menjungkit bahu seraya mencebikkan bibir.
“Cakap yang aku dengan dia dah clashlah
kut!”
Melopong Intan
Nazira setelah mendengar jawapan mudah daripada Sasha Amira. Mudah sungguh
pemikiran Sasha Amira. Tidak seperti wanita seusianya. Kakak kandung Intan
Nazira juga hampir sebaya dengan Sasha Amira. Lebih tepat lagi, kakaknya muda
setahun dari usia kawannya itu. Tapi kakaknya sudah punya kerjaya sendiri malah
sudah berumahtangga dan memiliki dua orang anak.
Tapi wanita yang
duduk di depannya ini selalu mengambil jalan mudah. Bila bercerita tentang
cinta, langsung Sasha Amira tidak tunjukkan minat. Bukannya tiada yang berkenan
pada Sasha Amira tapi kawannya itu saja yang jual mahal. Entah-entah Sasha
Amira ni anti lelaki agaknya.
“Beb, sampai bila
kau nak mengelak macam ni? Takkanlah kau nak tunggu kerepot baru kau nak ikut
cakap mama kau tu supaya kahwin? Masa tu nanti, aku berani kerat jarilah beb.
Tak adanya laki yang nak kau lagi masa tu!”
“Ish, kau ni
membebel ajelah...” rungut Sasha Amira lalu lekas bangun. Telinganya digosok
berkali-kali sambil tayang muka bengang di depan Intan Nazira. Hai, banyak pula
cekadak mak cik ni. Ingatkan dah habis tadi. Meleret-leret pula dia. Tahulah
yang dia tu jaguh debat dekat kuliah. Banyak pula idea dia!
“Kau, kalau nak
teruskan hujah-hujah pidato kau tu lebih baik lepaskan dekat depan pokok tu.
Sekurang-kurangnya pokok tu akan balas bila angin bertiup kencang nanti. Aku
malas nak dengar. Aku nak chow dulu!”
Sasha Amira menunjuk ke arah sebatang pokok berdekatan tempat mereka duduk
sebelum dia mengangkat kaki meninggalkan Intan Nazira dan Zaimah.
“Eh, kau nak pergi
mana tu?” terus saja Zaimah menyoal sebaik melihat Sasha Amira sudah pergi.
Dilihatnya jam, masih terlalu awal untuk kuliah seterusnya. Masakan Sasha Amira
mahu masuk kuliah seawal ini? Selalunya awal seminit pun tidak pernah. Memang
muka dia saja yang datang lewat.
“Lapar perut aku
kena leter. Nak cari makanlah!” Sasha Amira memekik selamba. Sedikit pun dia
tidak menoleh ke belakang dan terus menghayun langkahnya agak perlahan. Saja
hendak makan angin.
“Nak ikut! Nak
ikut!” Pantas betul reaksi Zaimah bila disebut tentang makan. Walau baru saja
dia menyuap dua biji pau daging selepas kuliah kurang sejam lalu, bila disebut
tentang makan terus saja perutnya berlagu.
Terkedek-kedek
Zaimah berlari mengejar Sasha Amira. Sebenarnya bukan mahu mengejar Sasha Amira
tapi makanan yang Sasha Amira cari itu yang mahu dikejarnya. Sudah terbayang
bermacam jenis menu di fikiran Zaimah. Entah makanan apa yang dicari Sasha
Amira. Mungkinkah Pizza Hutt atau McDonalds yang tidak jauh dari kampus mereka?
Zaimah sudah menelan liur.
No comments:
Post a Comment