Setelah
melambai-lambai kepada semua teman, Sasha Amira melangkah keluar dari panggung.
Fuh! Letih betul hari ini. Berbincang dengan semua krew pementasan yang
dijadualkan dua bulan lagi. Krew publisiti sudah bersedia untuk mempromosikan
teater mereka. Sedangkan skripnya masih belum tertulis walau sebaris ayat.
Hanya tajuknya saja baru tadi diputuskan bersama dengan sinopsis yang
dibincangkan bersama.
Sasha Amira sedikit
tertekan. Apatah lagi teman cerita yang langsung tidak mahu ditulisnya. Mujur
Fauziah ada memberi sedikit idea walaupun tidak banyak membantu. Idea itu juga
belum tentu lagi tertulis dalam skripnya nanti. Tapi sedikit sebanyak dapat
jugalah dia gambarkan jalan cerita yang diusulkan.
Kunci kereta
dikeluarkan dari beg sebaik tiba di lobi utama. Keretanya hanya diparkir di
luar itu saja pagi tadi. Teduh sedikit di bawah pohon besar. Tidak sabar
rasanya mahu pulang hari ini. Masa kelas tengah hari tadi, ada Sasha Amira
menerima mesej daripada Along. Katanya mahu balik dua tiga hari sebab suami
Along ada kursus di luar negara. Anak pula dua-dua sudah belajar di asrama
seawal tingkatan satu. Boring dia mahu tinggal seorang. Hai, lamanya tak jumpa
along. Setahun sekali saja nampak muka. Tahun lepas pula, tidak datang beraya
bersama kerana giliran keluarga mertua. Entah macam mana agaknya rupa along
sekarang. Entah-entah sudah makin memboyot ke depan.
Dari jarak beberapa
meter, langkahnya terhenti. Lantas perlahan diurutnya tengkuk lantas mendengus
keras apabila melihat Saif Azrai masih di situ. Enak benar nampaknya lelaki itu
berbaring di atas bonet depan dengan bersandarkan cermin.
Sasha Amira membuka
semula langkah dan dihayun laju menuju ke kereta. Ditolaknya tubuh Saif Azrai
dengan harapan lelaki itu tergolek ke bawah. Tapi nasib Saif Azrai memang baik.
Tubuhnya yang sedikit sasa sekadar beranjak sedikit. Matanya yang terkejut
terkebil-kebil menoleh ke sebelah.
“Apa kau buat dekat
sini? Siap baring atas kereta aku ni, kenapa?” Sasha Amira sudah menyinga.
Namun tidak sedikit
pun Saif Azrai kesah. Boleh lagi dia tersenyum bila mengenangkan kata-kata Izi
Helmy tentang Sasha Amira. Wanita yang garang di luar selalunya lembut di
dalam. Jual mahal kononnya. Benarkah? Saif Azrai ingin tahu dan dia semakin
ingin menguji sejuah mana kesasihan teori mamat budaya darat itu.
“Eh, tak payah nak
tayang senyum kau tulah. Tak comel pun! Kan aku dah suruh kau balik pagi tadi,
kenapa menyemak lagi dekat sini?”
“Tunggu awaklah.
Saya bukannya ada duit nak pergi mana-mana,” jawab Saif Azrai dengan nada
tenang. Senyuma di bibir masih terulit kemas.
“Kan aku dah cakap
tak payah tunggu. Tak reti bahasa agaknya. Ah, sudah! Turun... turun!” Tubuh
Saif Azrai ditolaknya lagi supaya lelaki itu turun dari keretanya. Sedap saja
lelaki itu duduk lagi di situ dari tadi tidak mahu bergerak-gerak. Geram. Tanpa
membuang masa, Sasha Amira masuk ke dalam perut kereta. Saif Azrai juga
bergerak ke pintu sebelah. Lekas-lekas Sasha Amira mengunci pintu dari dalam.
Cermin pintu
diketuk dari luar. Muka Saif Azrai tercegul mengintai di sebelah.
“Habis saya macam
mana?” Kedengaran suara Saif Azrai menjerit dari luar.
Sasha Amira
memandang enteng ke muka Saif Azrai. Kunci di cucuh lalu enjin dihidupkan.
Lambat-lambat dia menurunkan cermin kereta lantas bersuara.
“Pandai kau tunggu,
pandailah kau balik!” Cermin kereta dinaikkan semula. Kemudian kereta yang
dipandu Sasha Amira diundur ke belakang. Selanjutnya berlalu pergi.
Saif Azrai
menghantar dengan pandangan, seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Sedangkan dia masih tercicir di situ. Lantas dia tergelak kecil memikirkan
sikap Sasha Amira.
Macam budak-budak!
Tawanya dalam hati.
Sesampainya keretanya meluncur masuk ke perkarangan rumah, kebetulan Encik Rahim juha
nampak baru keluar dari pacuannya. Segera Sasha Amira percepatkan tindakannya.
Tidak mahu Puan Damia yang menyambut kepulangan Encik Rahim sedar akan
kepulangannya. Tapi mustahil Sasha Amira dapat mengelak jika suara enjinnya
saja sudah mengalahkan kereta milik papa.
Serta-merta Encik
Rahim dan Puan Damia menoleh pintu kereta ditolak lembut. Puan Damia sudah
sibuk melingas mata. Mencari kelibat Saif Azrai barangkali.
“Kenapa kamu balik
sendiri? Mana Azrai?”
Tepat sekali tekaan
Sasha Amira. Pasti soalan itu yang terlintas dahulu dari mulut mama. “Dia pergi
lawat adik dia kat hospital.” Pantas juga Sasha Amira menjawab. Harap-harap
Puan Damia terima saja alasannya itu tanpa bersoal banyak.
Tidak lama, sebuah
teksi berhenti betul-betul di depan pagar. Ketiga-tiga mereka beralih pandang
ke luar. Sasha Amira menjeling apabila seorang lelaki keluar dari perut teksi.
Dia mendengus. Mati-mati diingatkan along yang sampai.
Huh! Kata tadi tak
ada duit. Boleh pula naik teksi! Hatinya merusuh lantas langkahnya dibuka
selaju mungkin.
Saif Azrai nampak
Sasha Amira pergi terhentak-hentak. Kemudian dipalingnya pula ke arah Encik
Rahim dan Puan Damia. Kepalanya ditundukkan sedikit tanda hormat. Sekilas dia
mengukir senyuman.
“Macam mana adik
kamu?” Terus saja Encik Rahim mengajukan soalan itu. Sebagai majikan dia rasa
bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan stafnya. Soalannya itu tadi tidak
berjawab.
“Adik saya?” Lambat
Saif Azrai mengulang soalan Encik Rahim. Jelas sekali wajahnya berkerut tidak
mengerti.
Encik Rahim dan
Puan Damia mula berpandangan. Mulut Puan Damia sudah herot seraya melepaskan
nafas halus. Faham benar dia dengan perangai Sasha Amira. Ada hati budak itu
mahu mengelak dari orang tua yang telah terlebih dulu makan garam. Memang sah
anaknya tadi mereka-reka cerita.
****************************************************
Sasha Amira menarik
nafas panjang. Sesak! Sudah hampir tiga jam dia memikirkan jalan cerita tapi
belum satu muka surat pun yang siap. Jangan kata satu episod. Buku-buku novel
di sebelah juga menjadi rujukan. Tidak cukup dengan itu, CD drama cinta
dimainkan di komputer riba.
Along pula kata
hendak datang tapi tiba-tiba tidak jadi kerana adik iparnya tiba-tiba hendak
datang menemani di rumah. Cis! Mentang-mentang sudah habis sekolah, menunggu
keputusan SPM sebelum tahu ke mana hala tuju selanjutnya, adik abang Haikal
yang bernama Nina itu asyik saja melekat di rumah mereka. Naik Kedah dari KL
pun sanggup.
Along pun baik
benar dengan adik abang Haikal itu. Mengalahkan sayangnya pada adik sendiri.
Cerita along tadi, dia masak lauk gulai tempoyak lauk kegemaran Nina. Esok
mereka rancang hendak jalan-jalan cuci mata bersama, kemudian ke Langkawi dan
bercuti di sana. Cemburu pula Sasha Amira rasa. Dia ni yang adik kandung pun
along tak pernah turutkan begitu.
Kehadiran sepiring
buah epal yang siap dipotong menyentak tumpuan Sasha Amira. Kepalanya diangkat
melihat orang yang membawanya.
“Berkali-kali mama
awak ajak makan tadi. Kenapa tak makan? Takkan diet sampai tak jamah apa-apa.”
Selamba nada suara Saif Azrai lalu turut menghenyakkan punggung di hujung
pondok. Matanya menjeling buku-buku di depan Sasha Amira. Kemudian tangannya mencapai
salah satu buku. Dibeleknya buku itu sekilas.
Sasha Amira
memerhati dengan hati jengkel. Dalam hati sudah merungut bermacam ayat.
Ish! Mamat ni ada
aje akal nak sakitkan hati orang!
Pantas tangan Sasha
Amira merampas buku dari tangan Saif Azrai. “Jangan kacaulah! Aku tak diet.
Jadi, tak payah kau nak sibuk-sibuk.” Semua bukunya dipungut bersama komputer
riba lalu Sasha Amira angkat punggung. Sempat dihantar jelingan tajam dari
hujung mata kepada Saif Azrai.
Saif Azrai membalas
dengan senyuman. Dia melihat saja Sasha Amira pergi.
“Baik-baik jalan
tu. Gelap ni!” Saif Azrai mengusik. Pasti gadis itu sudah mengomel sendiri.
Buah epal yang dibawanya tadi disumbat ke mulut sepotong. Emm... manis.
Intan Nazira duduk
menghadap televisyen. Kusyen besar berbentuk hati dipeluknya erat. Rancangan
televisyen langsung tidak diendah. Hanya Fauzi sahaja dari tadi asyik tergelak
besar. Sementara fikiran Intan Nazira melayang-melayang memikirkan lelaki yang
ditemuinya di luar pejabat abangnya tengah hari tadi. Rasanya betullah lelaki
itu Saif Azrai.
Fuh! Kalau betul
lelaki burger tu anak bos besar, alang-alang Sasha tak suka lebih baik aku yang
kebas! Terdetik di hatinya untuk memikat lelaki itu selepas itu. Jadi untuk
memikat hati enggang, rancangan perlu diatur dengan teliti.
Nama Fauzi
dipanggil berkali-kali. Namun abangnya itu lebih khusyuk menonton Maharaja
Lawak Mega di kaca televisyen. Hingga tidak langsung dengar panggilan Intan
Nazira yang serupa mahu pecahkan semua cermin di rumah. Lantas kusyen di
tangannya dilontar ke tubuh Fauzi. Abangnya itu masih tidak menoleh. Malah
kusyen tadi pula yang dipeluk Fauzi. Geram pula Intan Nazira dibuatnya.
Alat kawalan jauh
disambar dari atas meja lantas punat di hujung atasnya ditekan. Habis cerita.
Serentak Fauzi
tersentak. Tawa dan sengihnya serta-merta bertukar keruh. “Ha, black out ke?!” Fauzi menggelabah
pandang keliling. Dilihatnya semua lampu yang terpasang tadi masih terang
menyala. Seketika terdengar bunyi hentakan atas meja. Fauzi menoleh.
Muka Intan Nazira
mencuka setelah alat kawalan dihempasnya.
“Kenapa Intan off tv tu. Kan abang tengah tengok!” Ada
hampa dalam nada Fauzi. Namun hampa lagi hati Intan Nazira. Alat kawalan jauh
itu cepat-cepat disambarnya semula dan dipeluk ke tubuh apabila melihat Fauzi
cuba mencapainya.
“Intan nak bincang
dengan abang sesuatulah!” Lekas Intan Nazira bersuara sebelum Fauzi merenung
tajam. “Pasal bos abang... Intan kenal dia!” Dia nampak pandangan abangnya
redup semula. Intan Nazira menyimpul senyum nakal. Punggung dibawa ke sebelah
Fauzi. Lengan abangnya itu dipaut manja seperti biasa.
“Kalau Intan cuba
pikat dia macam mana? Bos abang tu suka perempuan yang macam mana?”
Fauzi melirik tidak
percaya. Tubuh adiknya dibelek dari atas ke bawah, bawah ke atas dengan muka
tidak yakin. “Macam mana Intan boleh kenal bos abang tu?”
“Alah, itu belakang
kira. Yang penting, kalau Intan berjaya pikat dia... cuba abang bayangkan,
abang akan jadi abang ipar kepada anak bos besar. Dah tentu lepas tu nanti,
abang pun akan naik pangkat. Takkan dia nak biarkan abang ipar dia jadi kuli
orang lain!”
Fauzi ternganga.
Fuh! Ayat adiknya itu memang boleh tahan pedas. Tahan sajalah telinga. Tapi
bila difikir-fikir, macam bagus juga idea itu. Merasa juga dia naik gaji bila
pangkat juga sudah lebih tinggi. Bukan senang hendak naik pangkat di syarikat
besar yang menggajikan ramai pesaing yang lebih hebat. Manalah tahu, diberi
pula bilik sendiri. Tidak perlu berkongsi ramai-ramai. Mungkin juga diberi
kereta milik syarikat. Fuh! Mengancam jika hendak dibandingkan dengan kereta
viva yang dimilikinya sekarang.
“Macam mana, bang?
Cantik tak rancangan Intan?” Soalan Intan Nazira itu sekaligus mematikan
khayalan Fauzi yang baru hendak berangan-angan.
“Cantik tu memang
cantik tapi...”
“Alah bang, Intan
tahu benar perangai anak orang kaya macam dia tu. Takkan dia tak terpikat
dengan perempuan yang badan cantik dan seksi macam adik abang ni kan! Sekali
aje Intan main mata, entah-entah dah angau.” Intan Nazira penuh yakin.
Sedar tidak sedar
sudah melepasi lewat malam. Kalau diikutkan mata yang memberat, sudah lama dia
tidur beralaskan tilam. Tapi kerja Sasha Amira masih banyak perlu disiapkan.
Tarikh akhir yang diberi padanya hanyalah sehingga awal minggu depan. Sama ada
Isnin atau Selasa, tarikah mesyuarat seterusnya akan diberitahu kemudian
melalui pesanan ringkas. Mujur esok hari cuti. Tapi dalam dua hari itu pun,
mampukah dia siapkan kerja?
Krukkk!
Sasha Amira cuba
menegakkan tubuh. Sengal di bahagian pinggang dan belakang mula terasa.
Perutnya juga sudah bernyanyi-nyanyi kelaparan. Lama dibiarkan perutnya kosong.
Kalau dibiar terus, tidak mampu rasanya untuk meneruskan kerja. Tumpuannya
pasti terganggu dek perut yang bergoncang meminta diisi.
Dengan malas Sasha
Amira bangun dan turun ke dapur. Hasrat di hati untuk menjamah sesuatu agar
perutnya tidak merajuk nanti. Diselaknya tudung saji, kosong. Dalam peti sejuk
juga tiada lauk yang masih tinggal.
“Mama ni... suruh
orang makan tapi sikit pun tak tinggalkan?” Rungutnya sendiri. Kabinet dapur
kemudiannya dijengah untuk mencari sesuatu. Mi segera perisa kari menarik hati.
Laju saja tangannya mencapai sebungkus mi segera.
Pintu peti sejuk
dikuak semula. Mencari telur, sayur dan makanan beku yang boleh dicampur
bersama. Bawang merah dikupas dan dihiris halus, menjadi perisa. Siap semua
bahan tersedia, Sasha Amira capai periuk lalu diisi air separuh penuh.
Ditenggeknya di atas dapur kemudiannya. Sementara menanti air mendidih, Sasha
Amira membersihkan bebola daging dua tiga biji di bawah air mengalir. Setiap
tindakan dilakukan seteliti mungkin agar tidak mengeluarkan bunyi yang mampu
bikin orang lain terjaga dari lena.
Selepas hampir
sepuluh minit, semuanya hampir siap. Bau kari harum menusuk ke hidung. Emmm...
sedapnya. Hanya tinggal langkah terakhir, Sasha Amira sedia telur di tangan.
“Awak buat apa tu?”
“Oh, makcik kau!”
Latah Sasha Amira perlahan gara-gara terkejut dek sapaan suara di belakang.
Telur yang baru hendak dipecahkan masuk ke dalam periuk juga terpelanting ke
dinding.
Aduh, buat kerja
orang aje! Rusuhnya dalam hati melihat telur itu meleleh sepanjang dinding
hingga ke bawah. Bila ditoleh, Saif Azrai sudah terpacak kurang setapak
darinya. Kepalanya pula terjengah-jengah melihat isi dalam periuk. Tambah sebal
Sasha Amira melihat wajah itu.
“Awak masak apa
tengah-tengah malam ni? Nampak macam sedap!” Saif Azrai tersenyum-senyum.
Hidungnya didekatkan ke muka periuk. Terliur juga baunya.
Sasha Amira melirik
tajam dari pinggir mata. Melihat gelagat Saif Azrai membuat hatinya kian
jengkel. Ikutkan geram, mahu saja dia tekup muka lelaki itu ke dalam periuk.
Sibuk sangat. Kain di tepi sinki dicapai lalu bekas telur tadi dibersihkannya
lekas-lekas. Malas dia mahu menjawab soalan Saif Azrai. Lelaki itu sendiri
sudah nampak isi dalam periuk tadi, sengaja lagi mahu banyak soal.
“Kata diet. Takkan
makan tengah-tengah malam pula. Habislah diet.”
Sasha Amira
menjeling lagi. Saif Azrai masih tersenyum simpul sambil menyandar ke kabinet
dapur. Sajalah tu hendak sakitkan hati Sasha Amira. “Bila pula aku cakap aku
diet. Aku tak cakap pun kan. Kau tu aje yang sibuk cakap aku diet. Ish, tak
lalu dah aku nak makan. Kenyang tengok muka kau yang menyakitkan hati!” Picu
dapur dipusing dan api terus terpadam.
“Wow! Hebatnya muka
saya boleh buat orang yang lapar jadi kenyang.” Saif Azrai terus menyakat.
Sasha Amira tidak peduli. Matanya dijeling lagi seraya melangkah pergi.
Namun tidak jauh dia
melangkah, perutnya berdondang sayang cukup kuat. Erk! Sasha Amira terpaku.
Perutnya diraba perlahan sambil melirik ke muka Saif Azrai. Kebetulan pula
perutnya itu manja sangat merengek saat kakinya memijak lantai di depan lelaki
itu. Dia dapat lihat muka Saif Azrai sudah tersengih-sengih.
Ah! Pedulikan kalau
mamat tu nak tersengih macam kerang busuk sekalipun. Perut ni perlu diisi juga!
Langkahnya berpatah semula mendekati dulang yang terbuka. Terus saja diangkut
bersama tanpa memindahkan dulu isinya ke dalam mangkuk. Biarlah apa Saif Azrai
hendak kata. Anak dara tak senonoh makan dalam periuk? Terpulang!
Seboleh mungkin
Sasha Amira tayang muka selamba. Langkahnya dibesarkan dan kian laju menuju ke
bilik. Si jejaka Saif Azrai yang tertinggal di dapur makin lebar senyumnya.
Sedangkan dalam hati sudah berguling-guling menahan lucu melihat reaksi Sasha
Amira tadi. Dengan mi segera juga gadis itu boleh jual mahal walaupun mahu. Ha,
apatah pada lelaki. Entah-entah suka tapi kata benci. Hai, seperti sudah
diracuni sepupunya Izi Helmy, fikirannya melayang, merencana idea-idea nakal
untuk hari-hari mendatang.
No comments:
Post a Comment