“Encik, boleh tak
saya minta tolong sikit? Saya pinjam awak sekejap ya!” Tanpa sebarang
persetujuan, Sasha Amira menarik tangan lelaki di depannya lalu berjalan masuk
ke dalam sebuah restoran di Hotel Shangri La. Mereka berjalan ke arah sebuah
meja di hujung sekali. Puan Damia dan beberapa orang lagi sedang menunggu.
“Perkenalkan teman
lelaki Sasha. Insyaallah, kami rancang nak bertunang tak lama lagi.” Sasha
Amira terus memperkenalkan lelaki di sebelahnya sebaik langkahan kaki mereka
berhenti di sebelah Puan Damia. Sengaja Sasha Amira menayang muka bangga di
depan Datin Kistina dan juga anak lelakinya yang duduk bertentangan dengan Puan
Damia. “Sasha sengaja bawa boyfriend
Sasha hari ni untuk perkenalkan pada mama. Lepas ni tak adalah mama sibuk nak
buat temujanji mencari jodoh lagi,” Sasha Amira berbisik ke telinga Puan Damia.
Terkejutnya Puan
Damia bukan kepalang. Herot-birut wajahnya menahan geram berbaur malu di depan
teman baiknya, Datin Kistina. Sementara Datin Kistina serta anak lelakinya yang
bernama Izi itu kelihatan terpinga-pinga seketika.
Puas hati Sasha
Amira melihat wajah kecewa Izi. Siapa nama sebenar lelaki itu pun Sasha Amira
tidak tahu. Malah dia malas hendak ambil tahu walaupun berkali-kali mamanya
bercerita tentang lelaki itu. Kononnya anak tunggal seorang usahawan berjaya.
Lelaki itu juga bukan sembarangan kerjanya. Arkitek di syarikat milik ayahnya.
Ah, kalau sudah anak-beranak, mestilah diberi jawatan yang elok darjat dan statusnya.
Anak tunggal pula tu.
Puan Damia juga
nampaknya beria-ia benar mahu Sasha Amira menamatkan zaman bujangnya. Bulan
lepas dicalonkan dengan anak teman rapat papa. Seorang pegawai perubatan di
hospital swasta. Minggu lepas pula dua temujanji yang Puan Damia rancang tanpa
pengetahuan Sasha Damia. Kononnya mahu mengajak Sasha keluar makanlah,
membeli-belahlah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Hai, kenapalah Sasha
Amira boleh termakan dek tipu helah mama?
Tapi hari ini,
Sasha Amira tidak akan tertipu lagi. Kata mama, mahu lunch bersama papa. Patutlah mama memilih meja di hujung sekali.
Tersorok hingga Sasha Amira tidak nampak kelibat orang di depan mama. Bijak
betul mama ni.
Nasib baik ketika
Sasha Amira sampai hanya beberapa meter dari meja itu, kebetulan Izi bangun dan
meninggalkan tempat duduk. Lekas-lekas Sasha Amira buka langkah sebelum Puan
Damia menyedari kehadirannya. Dijengahnya dari jauh, kelibat papa tidak sekali
kelihatan. Hai, sahlah semua ini permainan mama.
Aduh. Letih Sasha
Amira jika begitu terus. Diikutkan malas, memang panjang kakinya hendak cabut
lari. Pandailah dia beri apa-apa alasan bila mama bertanya selepas ini. Tapi
bila difikir-fikirkan balik, kalau terus mengelak juga mama tidak akan sesekali
patah hati walaupun setiap lelaki yang diperkenalkan oleh mama ditolaknya
mentah-mentah. Semangat orang tua itu bagai berkobar pula mahu mencari calon
menantu. Aduhailah nasib. Sampai bila agaknya Sasha Amira akan bertahan dengan
rancangan Puan Damia?
Bukannya pilihan
mama lelaki buruk-buruk. Kalau sayang anak, ibu mana yang mahu menjodohkan
anaknya dengan lelaki tidak baik. Pilihan mama bukan saja baik paras rupanya. Didikannya
elok, kerjayanya juga semua gah belaka. Seperti tidak setara pula diri Sasha
Amira berdiri sebaris mereka. Tapi itu bukan soal pokoknya. Masalah yang cukup
getir dalam hidup Sasha Amira, dia belum mahu hidup berdua bersama lelaki. Rasanya
sekarang ini dia sudah muak mendengar perkataan kahwin. Ya lah. Asal dicerita
tentang lelaki tentulah sudahnya episod mendirikan rumahtangga menjadi topik
mama. Sudah sememangnya itulah rencana utama.
Kerana itulah tanpa
berfikir panjang, Sasha Amira menarik tangan lelaki yang kebetulan baru keluar
dari restoran itu. Entah siapa, tidak pula dia bertanya. Niat di hati cuma mahu
mengelak daripada program mama. Harap-harap selepas ini tiada lagilah tipu
helah mama mahu menemukan dia dengan entah mana-mana lelaki.
Sasha Amira
tersenyum lebar mengenang rancangannya berjalan lancar. Rancangan yang
difikirnya dalam jangka yang begitu singkat. Melihat wajah terkejut mereka tadi
nampak macam rancangannya akan berjaya. Ya, rasanya pasti berjaya. Lepas ini
tidak perlulah dia mengikut Puan Damia ke sana ke sini menjaja muka dengan
calon-calon suami pilihan Puan Damia.
Beberapa ketika Izi
bangun dari kerusi sambil merenung wajah Sasha Amira. Gelisah juga hati Sasha
Amira mahu membalas renungan itu walau cuba berlagak setenang yang mungkin. Marahkah
lelaki itu padanya kerana menayang teman lelaki? Seperti ingin sangat lelaki
bernama Izi itu terhadap dirinya.
Alamak! Mamat ni
mesti bengang habis dengan aku bawa boyfriend
depan dia. Yalah, mama dia mesti beritahu dia yang dia akan jumpa calon isteri.
Lepas tu calon isteri dia pula bawa laki! Mestilah dia angin! Begitulah yang
berdetik dalam hati Sasha Amira ketika ini saat ini.
“Hai, saya Izi.
Selamat berkenalan,” Izi menyapa. Tapi rasanya bukan Sasha Amira yang
disapanya. Lantas Sasha Amira menoleh ke sebelah, mengikut huluran tangan Izi
kepada lelaki di sebelah Sasha Amira.
Lelaki itu
menyambut mesra. “Saya Dino,” ujarnya seraya mengulit senyuman.
Sasha Amira
menghela nafas lega. Nasib baik lelaki bernama Izi itu tidak naik angin
tiba-tiba. Lelaki yang kononnya teman lelaki Sasha Amira juga pandai berlakon.
Walaupun sekadar jadi pak pacak di sebelah Sasha Amira, sekurangnya-kurangnya
lelaki itu tidak melatah apabila Sasha Amira memperkenalkan dirinya sebagai
teman lelaki. Apatah lagi angkat kaki dan cabut lari. Sasha Amira rasa bernasib
baik. Memang tidak silap pilihannya tadi. Kali ini dia lebih yakin.
Rancangannya kali ini pasti berhasil hasil lakonan hebat lelaki bernama Dino
itu.
No comments:
Post a Comment