Huhhh... Nafas
panjang ditarik Intan Nazira setelah keluar awal dari mesyuarat kelab. Bosan.
Sisa-sia rasanya dia datang tadi. Ingatkan adalah berita terkini fasal teater
akan datang. Rupa-rupanya buang masa dengan borak kosong, gosip sana sini. Bila
dihubungi abang Fauzi supaya datang jemput, abang Fauzi pula sibuk dengan
kerja. Tidak sudah-sudah alasan yang sama abang Fauzi beri. Sibuk macam bos
besar tapi gaji tak pernah juga naik. Ish, manalah Intan Nazira perihal upah
abang Fauzi pula. Kalau sudah mengajuk, macam-macamlah yang tidak kena.
Kalau dulu, boleh
juga diharapkan Sasha Amira jika mereka berdua sama-sama menghadiri latihan
atau mesyuarat kelab. Tapi sejak dua menjak ini, memang payah benar hendak
berkepit dengan kawannya itu. Bila diajak keluar, alasannya ada hal, mama suruh
balik awal. Emm... baguslah kalau sudah jadi anak mak pula sekarang. Kejap
lagi, ikut kata mama dia supaya kahwin pula. Hai, jauh pula otak Intan Nazira
melencong. Sekarang, dia juga yang sendiri. Jadi terpaksalah Intan Nazira
menunggu teksi di luar.
Selangkah dia di
parkir, dia terlihat kelibat seseorang. Serta-merta hatinya berbuah ceria. Muka
yang tadinya tengik tersenyum hingga ke telinga. Saif Azrai. Baru tadi dia
bercerita tentang bos besar, anak bos besar sudah muncul nun di sana. Dengan
gembira Intan Nazira berlari ke arah Saif Azrai.
Eh! Dia kaku
tiba-tiba. Wajah cerianya bertukar terkejut apabila sebiji penumbuk hinggap ke
muka Saif Azrai. Terkejutnya bukan sedikit. Dia terus melihat... memerhati
dengan tubuh yang kaku. Saif Azrai tidak sedikit pun melawan atau tidak sempat
sehinggalah satu lagu tumbukan singgah di sebelah lagi.
Tak boleh jadi ni!
Pecahlah muka pengubah nasib aku! Bergegar rasanya satu dunia apabila Intan
Nazira cuba mendapatkan lelaki itu. Biar dirinya penjadi penyelamat lelaki itu
sekarang untuk menjadi modal masa depannya.
“Kau buat apa ni?”
Sekuat hati Intan Nazira menarik tubuh lelaki di depan Saif Azrai. Suka-suka
hati saja lelaki itu lenyek muka bakal buah hati ulam jantungnya macam cekodok.
Memang nak kena!
Eh? Kairel Azam?
Intan Nazira tergamam lagi buat sekian kali. Namun kali ini tidak lama bila
mengingati lelaki itu menyinga di depan bakal buah hatinya.
Apa masalah pula
mamat ni? Apa urusan dia dengan Azrai sampai perlu bertinju pula dekat parkir
ni? Nak tunjuk hero ke apa? Pelbagai soalan menujah mindanya sekarang tapi
tidak satu pun terjawab.
“Kau jangan masuk
campurlah!” Keras suara Kairel Azam meningkah seraya menolak tubuh Intan Nazira
ke tepi. Terganjak sedikit tubuh kurus Intan Nazira. Hatinya kuat merusuh.
Namun Intan Nazira lekas-lekas kembali mendapatkan Saif Azrai.
Wajahnya bergaris
halus, hatinya pilu apabila melihat mulut lelaki itu lebam-lebam. Kasihan buah
hati Intan Nazira. Kelam kabut dia menyelongkar beg.
“Awak tak apa-apa?”
soalnya dengan nada runsing sambil membersihkan cebisan darah di hujung bibir
Saif Azrai dengan tisu.
Cis! Tak guna punya
Azam. Tergamak kau tolak aku. Lepas tu, kau buat muka buah hati aku ni bengkak
macam ni. Jangan harap aku nak berlakon dengan kau lepas ni! Teringat akan
wataknya yang bakal digandingkan bersama Kairel Azam dalam pementasan akan
datang bikin hati Intan Nazira kian memberontak. Tidak kira bagaimana caranya,
dia mahu tunjuk mogok hingga tempat Kairel Azam digantikan. Tengoklah nanti.
Ini Intan Naziralah! Tak ada pelakon wanita lain yang layak menggantikan tempat
Intan Nazira, okey!
Deruan nafas Kairel
Azam yang berombak masih didengarinya. Namun Intan Nazira tidak mahu peduli.
Hendak menoleh melihat muka bengis lelaki itu, lagi Intan Nazira tidak ingin.
Bukannya handsome sangat, lagi nak
buat muka beast dia tu! Rusuhnya.
Lemah saja langkah
Sasha Amira berjalan pulang setelah habis mesyuarat kelab budaya. Penat
lelahnya dua tiga hari ini menyudahkan sebahagian besar skrip tidak berbayar
hari ini. Senang-senang cik pengarah teater menolak hasil tulisannya.
Balik-balik disuruhnya tambah episod cinta. Sekarang hendak Sasha Amira tulis
semula dari A hingga Z seperti mana yang dia mahu.
Huh! Si Fauziah ni
pun satu! Kalau pandai sangat, dia tulislah sendiri skrip cinta karat dia tu.
Hatinya merusuh. Dari awal lagi Sasha Amira mahu tarik diri tapi mereka juga yang
asyik memujuk. Fauziah juga pandai berkata-kata, mengumpan Sasha Amira dengan
ayat gahnya. Rasa mahu campak saja skrip di tangan dalam mangkuk tandas. Entah
romantik macam mana lagi yang Fauziah bayangkan. Penuh romantika? Kisah cinta
berliku? Aduh. Sudah puluhan kali dia mengeluh. Kalau melebih-lebih pun risau
orang yang tengok meluat. Yang hendak tulis ni pun rasanya beratus kali muntah
sebelum skrip sempat siap agaknya.
Aghh! Tension!
Sasha Amira menekan-nekan kepala. Boleh pecah kepalanya memikir perjalanan
kisah romantik bayangan minda Fauziah. Mampukah hasil tulisannya nanti setaraf
cerita epik cinta Laila dan Majnun. Berat... berat.
Langkah kakinya
kaku dari melangkah. Sasha Amira terpegun seketika. Drama apa pula ni? Detiknya
dengan wajah yang berkerut-kerut memandang ke arah kereta. Apatah lagi bila
melihat kawannya juga ada bersama, di sebelah kereta sana. Entah apa yang Intan
Nazira buat di situ... membelek-belek muka Saif Azrai?
Apa kena pula
dengan kawan aku ni? Yang si Azrai pula, nak mengumpan si Intan tu pula ke?
Bermacam soalan
menujah minda. Matanya terus memandang, memerhati dan menilik untuk mencari
sebuah jawapan. Apa yang berlaku? Tidak jauh di depan Saif Azrai, seorang
lelaki tegak berdiri. Sasha Amira dapat menduga tubuh itu walau hanya dari
belakang. Kairel Azam. Bukannya sukar untuk mengecam lelaki berambut honey orange dengan gaya rambut rugged
ala-ala model dalam iklan itu. Apatah lagi dengan jaket yang selalu dipakainya.
Dari jauh sudah tahu gerangan orangnya. Dan apabila lelaki itu mula melangkah,
menerkam Saif Azrai, kaki Sasha Amira juga serentak mengorak laju ke arah
mereka.
MasyaAllah.
Kolar baju Kairel
Azam ditarik menggunakan seberapa banyak kudrat yang ada. Ditolaknya lelaki itu
jauh-jauh dari tubuh Saif Azrai. Wajah seorang demi seorang di depannya
diperhati satu per satu dengan muka yang cukup berkedut tidak mengerti. Intan
Nazira juga tidak kurang reaksi terkejut. Terkejut akan kemunculan Sasha Amira
atau terkaman Kairel Azam sebelum itu? Tapi sekarang Sasha Amira lebih
terkejut. Kalau boleh masa ini juga dia mahukan penjelasan. Lantas dia
berpaling semula. Memandang muka Kairel Azam dengan muka ketat.
“Apa kena dengan
kau ni? Dah jadi kaki pukul pula ke?!” Suaranya bergegar kuat.
“Aku... aku...”
Muka bengis Kairel Azam tadi berubah kendur. Dia mahu memberi penjelasan dan
Sasha Amira menanti dengan rasa geram.
Huh! Tadi bukan
main lagi hebat nak tunjuk kuat. Sekarang tergagap-gagap depan aku ni kenapa
pula?
“Saya tak apa-apa.
Mari saya hantar awak balik.”
Sasha Amira menoleh
ke belakang. Matanya dicegilkan sedikit. Soalannya tadi belum sempat terjawab.
Lelaki itu pula masih boleh berlagak tenang seperti biasa. Memang begitu
perwatakannya atau juga sengaja mahu tunjuk kuat di depan Sasha Amira? Ah,
terlalu banyak persoalan yang mula mencurah. Kalaulah ideanya juga mencurah
untuk skripnya nanti...
“Tak apa-apanya
kalau muka dah lebam macam baru lepas bergusti! Kalau papa mama tanya, apa aku
nak jawab?”
“Awak tak perlu
jawab apa-apa. Biar saya yang beri alasan. Jatuh tangga ke, langgar tembok
ke...”
Spontan Sasha Amira
melepaskan keluhan halus. Lelaki itu buat lawakkah sekarang? Tidak kelakar
langsung.
“Tapi kalau awak
tak nak tengok muka saya macam ni, saya takkan ikut awak balik rumah. Lepas
saya hantar awak balik, saya akan pergi aje mana-mana. Awak beritahu aje kat
Encik Rahim dan Puan Damia yang saya jaga adik saya.”
Sekali lagi Sasha
Amira tergamam dan mengeluh. Adik Saif Azrai? Kata-kata lelaki itu bagai
sengaja menyindirnya. Hai, geram pula rasa hati. Orang risaukan dia yang muka
dah macam pisang benyek, ada masa lagi nak kenakan orang.
“Ah! Suka hatilah.
Baik pergi klinik dulu sebelum apa-apa. Nanti lambat surut lebam tu... lambat
pula-” Diam. Ayatnya tidak diteruskan. Kaki Sasha Amira lekas melangkah ke
pintu kereta sambil menunduk saja. Belum sempat dia membuka pintu, tangannya di
tarik.
“Sasha, please. Let me explain...” Kairel Azam
merayu.
“Jelaskan apa lagi?
Semuanya dah nyata depan mata aku. Ini bukan kali pertama!” Tangannya ditarik
dari genggaman Kairel Azam. Sasha Amira perlu bertindak tegas. Sudah diberi
peluang beri penjelasan sekejap tadi, lelaki itu tergagap-gagap hilang kata.
Sekarang Sasha Amira tidak mahu dengar lagi. Biar dia tidak tahu, lebih baik.
“Sasha, tolong
maafkan aku. Aku cuma tak boleh tahan marah sebab kau bertunang dengan lelaki
lain. Lepas tu asyik tayang tunang kau depan aku. Datang dihantar, balik
berjemput. Aku ni siapa, Sha? Aku pun ada perasaan.”
Sumpah Sasha Amira
hampir tenganga mendengar pengakuan Kairel Azam. Memang benarlah lebih baik
jika dia tidak tahu punca adegan tumbuk menumbuk tadi. Tapi yang menumbuk dan
ditumbuk cuma seorang. Yang menumbuk, lelaki yang baru saja buat pengakuan dan
yang ditumbuk, lelaki yang kononnya tunang Sasha Amira? Siapa yang sebarkan
cerita mengarut ni?
“Kau ni kan bukan
setakat kaki pukul tapi psiko juga rupanya.” Pedas kata-kata itu muntah dari
mulut Sasha Amira. Mangkuk hatinya tidak mampu lagi menampung rasa geram yang
kian melimpah. Ikut hati yang marah, dia tidak mahu lagi untuk melihat muka
Kairel Azam selepas ini. Siap skripnya nanti, pandai-pandailah mereka lakonkan.
Dia tidak mahu campur tangan hingga hari pementasan, dia tidak mahu datang
menonton. Rasa hendak baling saja skrip yang ditolak Fauziah ke muka Kairel
Azam. Menyampahnya dia tengok muka itu.
“Kalau pun aku dah
bertunang, apa masalah kau kalau aku nak tayang tunang aku dekat siapa pun.
Bukan aku tayang depan kau. Kau tu aje yang perasan.”
Pintu kereta
ditarik lekas-lekas lantas dengan segera Sasha Amira masuk ke dalam dan menarik
semula pintu itu rapat. Malas hendak melayan cakap Kairel Azam yang terus
merayu selepas itu. Pening! Tidak bolehkah Kairel Azam fikir bila melihat Sasha
Amira mengambil duduk di belakang sedangkan tempat di sebelah Saif Azrai masih
kosong? Mungkinkah kenyataan yang mereka itu pasangan tunang benar? Tidak
sedikit pun Sasha Amira memandang ke luar. Mukanya dipalingkan. Saif Azrai juga
tidak menunggu lama. Enjin kereta lekas dihidupkan lalu kereta dipandunya laju
meninggalkan perkarangan kolej.
Apa ni? Ingat aku
ni tunggul ke nak tengok drama korang pula? Hati Intan Nazira merusuh sejak
tadi. Dia hanya menjadi penonton sedangkan kehadirannya seperti tidak dikesan
sesiapa. Sekadar ditolak sekali oleh Kairel Azam, itulah satu-satunya babak
untuknya.
Air sengaja
dibiarkan terus mencurah dari pili dan memenuhi sinki. Tangannya dicekur ke
dalam takungan air itu lalu dipercikkan ke muka berkali-kali. Kulitnya terasa
dingin namun hatinya masih panas. Marah tentang apa, dia sendiri tidak pasti.
Kairel Azam
mengangkat muka dan memandang wajahnya di cermin. Kalau dikira sudah lama dia
memendam perasaan. Sejak dari hari pertama dia menyertai kelab budaya, hatinya
sudah terpaut pada Sasha Amira. Apabila mereka digandingkan atas pentas yang
sama, jantungnya berdetak begitu kencang. Mungkin juga kerana hanya terpendam
buatkan dia sendiri yang sudahnya gigit jari. Tapi untuk melupakan rasa itu
bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi untuk melepaskan saja gadis
kesukaan itu pergi kepada lelaki lain.
Pang!
Satu penumbuk
dilepaskan ke cermin. Retak sedikit kacanya. Sama ada buku limanya yang
sebegitu kuat ataupun cermin itu yang terlalu nipis. Kalaulah sebegitu mudah
juga dia melupakan apa yang dirasa.
Dari luar tandas
lelaki, Intan Nazira memerhati senyap-senyap. Sengaja dia mahu menonton terus
drama bersiri yang berterusan depan mata. Terkejut juga dia apabila mendapat
tahu Kairel Azam punya hati pada Sasha Amira. Dari pengakuan Kairel Azam di
depan Sasha Amira tadi, Intan Nazira percaya itulah yang berlaku. Dia sendiri
tidak pernah perasan.
Semakin menarik
cerita hidup Sasha Amira. Setelah berjaya lari berkali-kali daripada rancangan
mamanya yang tidak habis-habis menyuruhnya berkahwin, sekarang mungkinkah dia
akan lari pula dari lelaki yang meminatinya? Macam mana pula Saif Azrai, budak
burger yang sebenarnya anak bos besar itu? Bukan main lagi Sasha Amira berkepit
dengan Saif Azrai sekarang. Sudah benar-benar saling jatuh cinta seperti
lakonan mereka sebelum inikah?
Ish, tak boleh jadi
ni! Intan Nazira perlukan kepastian. Manalah tahu Kairel Azam juga boleh dia
jadikan umpan untuk rancangannya selepas ini.
Saif Azrai menolak
muka Izi Helmy jauh-jauh. Dari awal dia datang tadi tidak sudah-sudah sepupunya
itu membelek mukanya. Rimas pula dia dibuatnya. Macam tidak pernah tengok muka
anak lelaki lebam.
Izi Helmy masih
tayang muka tidak percaya. Tubuhnya dihenyak ke kerusi sekejap kemudian dibawa
ke depan, menekan kedua belah tangan ke meja dan terus menghadap muka Saif
Azrai. Melopong seketika.
“Lawa sangat ke
muka aku sekarang ni? Tak lekang kau tengok!”
Mahu tergelak Izi
Helmy mendengarnya. “Bukan lawa, bro! Dah rupa macam Mohamad Ali kalah tinju
hah!” Tawanya akhirnya meletup juga walaupun cuba ditahan. “Siapa yang berani
buat kau macam ni?” Tawanya masih bersisa.
Saif Azrai
mencerlungkan mata. Sepupunya itu lebih berani gelakkannya. Seronok sangatlah
tu. Sudahnya dia juga yang terumpan sama. Ketawakan diri sendiri.
“Kekasih gelap buah
hati aku punya kerjalah...”
“Woah!” Terkejut
Izi Helmy seraya membulatkan mata. Mati terus tawanya yang menggila tadi. “Kau
salah tangkap awek ke?”
Melopong Izi Helmy.
Respon Saif Azrai yang hanya menjungkit bahu bikin dia makin tidak mengerti.
Hai, cerita cintanya sebagai seorang karsanova tidak pernah sebegini rupa.
Sepupunya itu yang tidak pernah walau sekali bercinta sebelum ini pula sudah
lebam muka hanya kerana seorang perempuan.
“Sah! Kau kena
belajar strategi pikat perempuan dari pro macam aku ni dulu!”
Saif Azrai
mendengus. Ikutkan, mahu termuntah dia di depan Izi Helmy. Perasan pro konon!
Depan Aina terus longlai.
“Papa mana? Ada kat
office tak?” Terus saja Saif Azrai
menukar topik perbualan. Nanti entah tips dan petua entah apa-apa yang Izi
Helmy keluarkan.
“Tak. Uncle pergi London, sebulan dua kut!”
“Eh, tak tahu pun!”
“Eleh, yang kau
menghilang ada kau beritahu papa kau? Fairlah
tu!” Izi Helmy pulangkan paku buah keras lalu tersengih-sengih.
Saif Azrai membalas
cebikan. Ada saja akal jahat Izi Helmy hendak mengenakannya. Emm.. tapi bagus
juga papa tidak ada. Kalau papa nampak mukanya yang bengkak ni, panjang pula
cerita nanti.
No comments:
Post a Comment