Aman saja Sasha
Amira rasa pagi ini. Air diceburkan ke muka setelah gigi habis diberus.
Kemudian dia tenung wajahnya lama-lama di depan cermin. Satu nafas panjang
dihela perlahan. Ringan pula mulutnya memberitahu Puan Damia tadi yang dia
tidak sihat. Malas pula rasa hendak ke kolej hari ini. Nanti terserempak lagi
dengan budak-budak kelab budaya, entah apa pula yang diminta mereka.
Dia mahukan
ketenangan. Mama pun sudah lama tidak membawanya ke hulu hilir menjual muka
depan kawan-kawannya. Tapi, Saif Azrai pula yang muncul menjadi pengacau.
Menyemak betul singgah dalam hidup Sasha Amira. Sekejap menjual burger dan
sekarang hari-hari Sasha Amira terpaksa menghadap muka dia. Tapi kadang-kadang
bagus juga lelaki itu ada. Seperti semalam. Tenang sikit kepala Sasha Amira
yang sesak petang semalam. Berkesan juga Saif Azrai membawanya duduk-duduk di
tasik, rehatkan minda. Semua masalah terus ditolak tepi. Pandai-pandailah
Fauziah selesaikan masalah sendiri lepas ini.
Sasha Amira keluar
dari bilik mandi. Tengah hari sikitlah baru dia bersihkan badan. Sejuk.
Tubuhnya menggigil perlahan. Katil yang belum berkemas menjadi tumpuan semula.
Lekas-lekas dia hayun kaki dan hempas ke tilam. Melantun-lantun tubuhnya
sekejap dek spring tilam yang menganjal.
Hai. Kalau sambung
tidur memang best betul ni! Sasha Amira bermalas-malasan atas katil. Matanya
cuba dilenakan walaupun tidak terasa begitu kantuk.
Saif Azrai baring
di atas pondok di sebelah kolam ikan di laman rumah Encik Rahim. Setelah Puan
Damia memberitahunya yang Sasha Amira tidak sihat dan tidak mahu ke kolej,
terus saja dia duduk di situ. Puan Damia juga tidak ke mana-mana yang perlu
dibawanya.
Tangannya
diletakkan di dahi. Matanya pula memandang ke atas, ke arah tingkap bilik Sasha
Amira. Dia tahu bilik yang menghadap ke taman itulah bilik Sasha Amira kerana sudah
beberapa dia nampak gadis itu mengintai ke bawah dari tingkap itu. Tidak sihat
lagikah gadis itu? Sejak akhir-akhir ini, gadis itu selalu tidak sihat.
Mungkinkah memang begitu sebelum dia muncul dalam hidup Sasha Amira?
Suara orang memberi
salam di depan laman mengejutkannya. Segera tubuhnya diangkat bangun mencari
suara yang di luar. Suara Saif Azrai perlahan menyahut salam bila sampai ke
depan. Kelihatan Intan Nazira manis yang berbaju kurung tersenyum ke arahnya.
Senyuman itu dibalasnya lambat. Di benak, ada rasa hairan.
Intan Nazira
tersipu-sipu melambai. “Sasha... ada?” tanya beberapa ketika.
“Sasha tak berapa
sihat hari ni.”
Terus saja wajah
Intan Nazira berubah cemas. Kakinya dianjak lagi mendekati Saif Azrai. “Tak
sihat?” ulangnya. “Boleh saya jenguk dia?”
Saif Azrai merenung
muka Intan Nazira tanpa berkata apa-apa. Lambat dia menganggukkan kepala lalu
mengiringi Intan Nazira masuk ke dalam.
“Awak okey ke
dengan Sasha?” Sempat Intan Nazira mengajukan soalan itu. “Perangai dia tu
memang panas baran sikit. Suka nak marah-marah, selamba, degil, keras kepala.”
Saif Azrai menoleh
ke arah Intan Nazira dengan kerutan di dahi. Sepatah pun dia tidak membalas.
Menjawab tidak, mengiakan pun tidak. Kebetulan pula Puan Damia hendak naik ke
atas dengan membawa dulang berisi bubur dan air menegur mereka. Elok benarlah
Puan Damia yang membawa Intan Nazira menziarah Sasha Amira. Sementara Saif
Azrai meminta izin kembali duduk di luar.
“Biar Intan bawakan
mak cik.” Intan Nazira berbahasa dengan Puan Damia. Puan Damia tersenyum lalu
menghulurkan dulang yang di bawanya. Lantas dulang itu bertukar tangan.
“Kamu tak pergi
kelas ke hari ni?”
“Cadangnya memang
nak ke kelas dengan Sasha tadi mak cik. Tapi dengar khabar dia tak sihat,
alang-alang Intan dah datang apa salahnya ziarah sekejap.”
Manis saja Intan
Nazira menjawab. Sejuk hati Puan Damia mendengar. Lama kawan anaknya itu tidak
nampak batang hidung di rumah ini. Dua tiga tahun lepas, selalu juga Sasha
Amira membawa kawan-kawannya yang balik. Yang seorang lagi, emm... Puan Damia
kurang ingat namanya. Tapi kalau lihat rupanya, mungkin Puan Damia dapat
mengecam.
“Lama kamu tak
datang rumah mak cik ni...”
Intan Nazira
tersenyum saja. Tidak dijawabnya soalan itu dengan bait kata. “Macam mana Sasha
boleh tak sihat mak cik? Semalam okey aje.”
“Emm.. tak
tahulah.”
Pintu bilik Sasha
Amira kemudiannya diketuk Puan Damia dari luar. Dalam beberapa saat, pintu itu
sudah dikuak Puan Damia dari luar. Puan Damia dan Intan Nazira melangkah masuk.
Kelihatan sekujur tubuh terbaring di atas katil.
Puan Damia
melangkah ke arah anak gadisnya. Bahu Sasha Amira digoyangkan sedikit untuk
mengejutkannya dari lena. Nama Sasha Amira dipanggil lembut menyuruhnya
bangkit.
Lambat-lambat Sasha
Amira menyelak kelopak mata. Dia terpisat-pisat memandang Puan Damia. Di
belakang Puan Damia, seorang gadis tercegat dengan membawa dulang. Gadis itu
tersenyum. Macam kenal. Intan Nazira.
Kemudian dulang
yang dibawa Intan Nazira diletak di meja sisi sebelah katilnya. Sasha Amira
menegur perlahan. Dia berkerut. Sekali lagi, nama Intan Nazira disebut
perlahan. Matanya makin bulat dengan tangan meraba tekak.
Alamak! Aku
betul-betul tak sihat ke? Hatinya berdetak. Dia cuba menyoal sesuatu. Tapi
makin perit tekaknya lalu soalan itu mati.
“Isi perut kamu tu
sikit. Nanti sakit melarat...” Puan Damia menarik meja kecil itu dekat kepada
anaknya. Gelas berisi air kosong dihulur kepada Sasha Amira. “Nah, biar tekak
tu rasa lega sikit.”
Sasha Amira hanya
mengikut kata. Gelas yang dihulur Puan Damia disambut lalu meneguk sedikit air
di dalamnya. Seketika, Intan Nazira duduk melabuhkan punggung di sebelah Sasha
Amira. Tangannya diletak di dahi Sasha Amira. Panas sedikit lalu dia menggumam
bibir.
“Kau demam
rupanya.” Intan Nazira mula bersuara. Mangkuk berisi bubur diambil dari dalam
dulang. Sesudu dicedoknya lalu ditiup perlahan. “Ingatkan kau sengaja tak mahu
datang kolej lagi. Kan semalam kau kata nak quit.”
Mata Sasha Amira
sudah membulat mendengar kata-kata Intan Nazira. Bubur yang disuakan ke
mulutnya oleh kawannya itu juga tidak masuk ke dalam mulut. Malah bibirnya
tidak sedikit pun terbuka.
Puan Damia yang
sibuk mengemas bilik anak daranya tadi juga cepat menoleh. “Quit? Berhenti apa? Berhenti kolej?”
Ajunya bertalu-talu membuatkan Sasha Amira dan Intan Nazira serentak berpaling
ke arahnya. “Kamu nak berhenti kolej lagi?” Wajah Puan Damia menyinga.
Sasha Amira gelabah
menggeleng. Hendak bersuara menafikan telahan mama suara pula tidak mahu
keluar. Hanya gerak gayanya saja yang menolak dakwaan itu. Namun Puan Damia
tidak percaya.
“Apa nak jadi
dengan kamu ni? Asyik-asyik nak berhenti. Bila ada masalah sikit aje, kamu
terus nak berhenti belajar. Bila nak habis belajar kalau macam ni?”
Sasha Amira
menafikan lagi dengan gerak tangan. Mata melirik tajam ke arah Intan Nazira
yang sudah tergamam di sebelah. Pandai-pandai saja kawannya itu buat cerita.
Seketika Intan Nazira meminta diri. Sebaik bersalaman dengan Puan Damia, Intan
Nazira berlalu pergi. Puan Damia berlembut sikit dengan Intan Nazira. Tersenyum
kelat dan berterima kasih kerana sudi menjenguk Sasha Amira.
Sebaik Intan Nazira
lesap dari kamarnya, Puan Damia kembali meninggi suara. Marahkan itu dan ini.
Panas telinga Sasha Amira sedangkan mama tidak seikit pun beri peluang
kepadanya memberi penjelasan. Serak-serak suaranya memanggil nama mama untuk
mencelah. Tapi langsung tidak diberi peluang. Sasha Amira juga rasa makin lemah
tubuhnya. Lantas dia menarik bantal dan baring semula. Dari katil, dia
memerhati Puan Damia.
Mulut mama terus
berleter dengan tangan sekejap mencekak pinggang, sekejap laju menyusun
barang-barang dalam biliknya. Mama, mama... marah-marah pun sempat lagi
mengemas. Lagi bengkak hati Sasha Amira mengenangkan Intan Nazira. Sudah
pandai-pandai menyampai cerita kurang benar, bukannya hendak menjelaskan
situasi sebenar. Boleh pula dia minta izin untuk pergi.
No comments:
Post a Comment