Berbunga-bunga hati Joe Redzuan setelah mendapat panggilan
daripada buah hati. Ops! Nurul Syakira belum sah menjadi buah hati Joe Redzuan
lagi. Joe Redzuan pun masih belum pasti siapa gadis itu dalam hatinya. Tapi
rasanya tempat Nurul Syakira lebih daripada seorang kawan. Entah. Kenalah
tunggu perkembangan hubungan mereka kalau menjadi.
Tidak sangka Nurul
Syakira sendiri sudi menelefonnya. Itu satu petanda baik. Tentu gadis itu sudah
bersusah-payah mendapatkan nombor telefonnya. Tiba-tiba Joe Redzuan rasa
terharu. Tambah seronok Nurul Syakira hendak berjumpa Joe Redzuan. Yes! Akhirnya.
Dulu, Nurul Syakira
juga yang menyuruh Joe Redzuan pergi jauh-jauh dari hidupnya, jangan muncul
depan dia lagilah. Macam-macam. Tapi sekarang gadis itu pula yang mahu
berjumpa. Itu sudah cukup bagus. Hebat juga penangan hadiah hari jadi yang
diberikan kepada Nurul Syakira sebelum ini. Bagus.
Joe Redzuan membuka
pintu almari. Baju miliknya yang tergantung kemas ditenung dari depan almari.
Jarinya mengetuk-ngetuk dagu sambil berkerut-kerut berfikir. Ini pertama kali
Nurul Syakira sendiri yang mahu berjumpa. Jadi, ini dikira temu janji
pertamalah kiranya. Mestilah Joe Redzuan hendak kelihatan segak di hadapan
Nurul Syakira. Setiap hari pun Joe Redzuan memang sudah segak tapi kali ini
mahu lebih sikit daripada biasa.
Akhirnya Joe
Redzuan sudah buat keputusan. Kemeja kotak-kotak gandingan warna merah dan
hitam menjadi pilihan. Dipadankan pula dengan jerki berwarna hitam. Joe Redzuan
berdiri di depan cermin sambil tayang baju itu ke tubuhnya.
Emm… kacak juga aku
ni. Pakai apapun nampak segak.
Joe Redzuan keluar awal dari rumah. Sebelum temujanji dengan
Nurul Syakira petang ini, Joe Redzuan ada latihan dengan New Band. Latihan
biasa untuk bikin kejutan bagi persembahan akan datang. Jika mereka asyik
membuat persembahan yang sama saja, bosan pula peminat mereka nanti. Peminat
zaman sekarang ini punya selera dan permintaan yang tinggi. Jadi terpaksalah
mereka kerah otak untuk fikirkan kelainan bagi setiap persembahan. Bila sudah
ubah itu dan ini, terpaksa pulalah mereka berlatih supaya tidak melakukan
kesilapan semasa persembahan sebenar. Hai, beginilah asam garam dan lumrah
hidup New Band sebagai pendatang baru dalam industri muzik. Rasa macam nak
pecah kepala untuk memikat serta memuaskan hati peminat.
Sampai saja Joe
Redzuan di studio, Daniel, Zafryl dan Ebby semuanya menegur. Kenapa Joe Redzuan
nampak lain macamlah, kenapa pakai segak-segak sangatlah, kenapa wangi
sangatlah, itulah, inilah. Aik, selama ini Joe Redzuan tak segak dan wangi ke?
Paling tak seronok, Loqman yang memang selalu datang lambat itu pun menegur
hal yang sama. Sekepala pula mereka berempat ini. Loqman pula lagi best. Siap bagi killer statement lagi.
“Botol minyak wangi kau pecah atas badan ke?” Tempelak Loqman sambil ketawa
berdekah-dekah selepas itu.
Terus saja hidung Joe Redzuan merayap satu badan. Lantas hidungnya juga
terasa perit. Sahlah Joe Redzuan terlebih hari ini. Sebab teruja sangat buah
hati hendak jumpa sehingga kawan-kawannya juga menegur. Kalau tidak, tidak
rajinnya mereka mahu komen apa-apa walaupun Joe Redzuan sudah azalinya memang
yang paling segak antara mereka.
Telefon berdering membantutkan latihan mereka. Joe Redzuan kelam-kabut
bangun dan menyeluk poket seluar. Kemudian dia tersengih di depan iphonenya.
Daniel yang seakan menghidu ada yang tidak kena mula pasang mata. Janggal pula
dia lihat kawannya yang seorang itu begitu perangainya. Selalunya Joe Redzuan
jarang mahu menjawab panggilan ketika latihan walaupun telefonnya itu berdering
tidak henti. Tapi hari ni lain macam pula. Sepantas kilat dia menjawab. Siap
tersengih-sengih lagi. Memang pelik. Panggilan dari siapalah agaknya tu.
“Helo sayang.” Lembut Joe Redzuan
menyambut panggilan itu sekaligus memulakan bicara.
Eh, ni apahal tiba-tiba panggil aku sayang ni? Buang tebiat ke otak dia tu
yang memang dah rosak? Suka-suka dia aje. Nak termuntah pula aku dengar.
“Kau kat mana?” terus saja Nurul Syakira menempelak dalam talian. Biar
pekak telinga Joe Redzuan. Pandai-pandai lagi panggil dia sayang.
“Ui, garangnya. Kecut perut abang,” sambut Joe Redzuan lagi sambil
tersengih-sengih nakal. Matanya pula menjeling jam di pergelangan tangan.
Dah abang pula dah. Memang rosak dia ni. Nurul Syakira merusuh dalam hati.
Namun malas dia mahu melayan kata-kata manis lelaki itu. Kalau dilayan nanti,
menjadi-jadi pula miangnya. Nurul Syakira juga yang makin sakit hati.
“Emm... aku dekat studio. Kenapa?”
“Studio kau dekat mana?”
Senyum Joe Redzuan dilebarkan lagi. “Emm.. kenapa ni? Takkan kau dah tak
sabar-sabar nak jumpa aku? Dah rindu dekat aku ke?”
Ei, perasan betul mamat seorang ni. Dia ingat aku ingin sangat ke nak jumpa
dia. Kalau tak kerana aku nak basuh otak kau yang dah rosak tu, pandang muka
kau pun aku tak ingin.
“Jawab ajelah, studio kau kat mana? Tak payah nak bermadah-madah segala!”
jerkah Nurul Syakira terus.
“Tak apalah. Kau tak payah datang ke sini. Aku datang rumah kau aje. Kejap
lagi aku muncul depan kau.”
Terdiam seketika Nurul Syakira mendengar cadangan Joe Redzuan. Suara Joe
Redzuan masih berlagak tenang walaupun Nurul Syakira berkali-kali meninggi
suara sejak menghubungi lelaki itu tadi.
Rumah aku? Detiknya sendiri. Uish, nak cari nahas suruh dia datang rumah
aku? Sudahlah Fara tak ada hari ni. Nanti kalau jiran-jiran aku nampak Joe
Redzuan dekat rumah aku macam mana? Jiran-jiran aku tulah rajin sangat ambil
tahu hal orang lain tanpa usul periksa. Nanti macam-macam cerita pula yang tak
best tersebar satu blok macam kes rombongan Joe Redzuan datang meminang aku
dulu. Ada saja leher burung unta yang datang menjengah. Lepas tu ada pula
mulut-mulut yang tak henti-henti mengusik.
Bukanlah Nurul Syakira sombong dengan jiran-jiran. Tapi itu kan hak Nurul
Syakira sama ada mahu menerima atau menolak pinangan orang. Dirinya sendiri
belum bersedia. Tambah-tambah pinangan itu mewakili mamat otak senget itu. Ah,
Nurul Syakira tak mahu! Melihat rombongan tersebut membawa pulang semua
hantaran semula, mulalah bermacam cerita sumbang yang sampai ke telinga. Lemas
Nurul Syakira dibuatnya.
“Tak payah! Aku dah memang dekat luar ni!” balas Nurul Syakira setelah agak
lama dia membisu. Sengaja dia fikirkan alasan itu untuk mengelak lelaki itu
muncul di depan pintu rumahnya lagi.
“Kalau macam tu, kau tunggulah dekat mana-mana. Aku datang jemput.”
“Tak payah!” Gerutu hati Nurul Syakira. Tak reti bahasa ke mamat ni? Aku
bukannya nak berdating dengan kau. Aku cuma nak lepaskan geram. Lepas tu balik.
Tak ada masa aku nak menghadap muka kau lama-lama. Tak lalu. Getusnya sendiri.
“Bagitau ajelah kau kat mana. Aku datang sendiri. Kalau tak, tak payah jumpa!”
Joe Redzuan tersengih-sengih lagi. Kalau sudah itu kata putusnya, Joe
Redzuan akur. Pucuk dicita, ulam mendatang. Bolehlah Joe Redzuan perkenalkan
bakal buah hati secara rasminya kepada kawan-kawannya yang sibuk mengusik dari
pagi tadi. Biar terjawab semua soalan-soalan mereka.
“Ha, kat mana studio kau tu?
Tingkat tiga ya?” Nurul Syakira terus menyergah sebaik panggilannya disambut.
Apa lagilah buah hati aku ni? Kata nak jumpa petang tapi dia pula yang tak
sabar-sabar nak jumpa sekarang. Lepas tu asyik nak marah-marah. Datang bulan ke
apa?
Belum sempat Joe Redzuan mengiyakan soalan Nurul Syakira tadi, Joe Redzuan
sudah terkesima di depan pintu studio. Baru saja dia berniat untuk keluar
mencari gadis itu di bawah saja. Tapi sudah terlambat. Wajah Nurul Syakira
sudah terpacul di balik pintu studio.
Dengan muka mencuka Nurul Syakira segera membuka langkah ke arah Joe
Redzuan. Lantas tangannya begitu ringan dihayun tinggi mengena tepat ke pipi
lelaki itu.
Kaku tubuh Joe Redzuan menerima habuan itu. Lambat dia menoleh, menghadap
muka Nurul Syakira yang menyinga sambil memegang pipi kirinya yang terasa
perit. Namun perit di pipi itu tidak setanding perit di hati. Joe Redzuan
terkejut berbaur terkilan apabila apa yang diharap berubah sebaliknya.
Ni apa kes pula ni? Aku bagi dia hadiah istimewa, dia boleh hadiahkan aku
penampar?
“Apasal semua yang kau buat mesti nak membabitkan aku? Kau tahu tak semua
yang kau buat selama ni menyusahkan hidup aku? Kau memang sengaja nak sakitkan
hati aku ke, nak susahkan aku ke atau otak kau tu memang dah rosak, hah?!”
Kenapalah perempuan ni asal jumpa aku aje mesti cakap otak aku rosak? Tak
ada benda lain ke dia nak cakap? Kata-kata itu hanya bermain-main di benak Joe
Redzuan. Sedangkan tubuhnya terus kaku tidak bergerak.
“Aku tak peduli berapa banyak gambar yang kau nak kongsi dekat facebook
kau. Tapi bukan gambar aku! Lepas tu kau pandai-pandai aje tag nama aku. Entah
macam mana kau dapat cari profil aku tu pun satu hal. Kau sengaja kan nak semua
orang tahu siapa perempuan gemuk dekat dalam gambar tu, bak kata peminat kau
sebelum ni? Seronok la ya tengok orang kutuk aku macam-macam dekat wall aku sendiri! Lepas tu, siap bagi
ucapan bodoh masa konsert kau tu. Eh, kau ingat aku akan terharu ke dengan apa
yang kau cakap tu. Sikit pun aku tak terharulah tapi aku tambah sakit hati,
faham tak. Sakit hati!” Nurul Syakira menekan-nekan jari telunjuknya ke dada.
Begitu sakit hatinya ketika itu.
Joe Redzuan terus terdiam. Tanpa sepatah bicara.
“Encik Joe Redzuan, dengar sini baik-baik. Aku tak perlukan publisiti
murahan kau tu. Aku tak ingin pun nak jadi popularlah. Lain kali jangan fikir
guna otak kau yang dah memang rosak tu... tapi guna akal. Tak payahlah kau nak
jatuhkan air muka aku atau populariti kau tu yang akan merudum nanti disebabkan
tindakan kau yang bodoh tu. Lembap!” Sempat Nurul Syakira melafazkan perkataan
terakhir itu ke muka Joe Redzuan. Geram betul hatinya. Rasa marah itu tidak
lagi mampu ditahan Nurul Syakira.
Nurul Syakira tidak menunggu lama di situ. Makin dihadap muka Joe Redzuan,
makin bengkak hatinya. Makin menjadi-jadi marahnya. Sebelum dia menggila,
sebelum dia hilang pedoman, lekas-lekas Nurul Syakira angkat kaki dan terus
berlalu bersama jelingan.
Sejurus Joe Redzuan memalingkan
tubuh, dia terpaku lagi melihat semua mata tertancap ke arahnya. Baik Daniel,
Zafryl, Ebby dan Loqman. Kesemua mereka terus berhenti dari latihan dan
rupa-rupanya memerhati apa yang berlaku.
Alamak! Serta-merta hati Joe Redzuan rasa berdebar. Baru saja dipasangnya
angan-angan untuk berlagak di depan mereka, terutama Loqman yang asyik melayan
kekasih hati. Sekarang, Joe Redzuan juga sudah ada bakal buah hati. Tapi lain
pula yang jadi. Malu pula yang dapat.
Sebelum kawan-kawannya bertanya lebih-lebih, terutama Loqman yang banyak
mulut macam dia tu pro doktor cinta, Joe Redzuan tayang muka bengang. Kemudian
dengan lagak samseng, Joe Redzuan menghayun langkah ke sofa lalu terus hempas
punggung. Joe Redzuan terus tunjuk muka tegang. Biar kawan-kawannya tidak
berani mahu buka mulut.
No comments:
Post a Comment