Daniel menghempas keluhan
melihat keadaan Joe Redzuan sejak awal kawannya itu masuk ke studio beberapa
jam lalu. Teman bandnya yang lain semua tidak berani menegur. Masing-masing
pura-pura tidak ambil endah. Takut Joe Redzuan menyinga lagi seperti sebelum
ini. Semenjak akhir-akhir ini Daniel sedar Joe Redzuan banyak termenung dan
asyik naik berang. Lain benar dari sikapnya sebelum ini.
Daniel bimbang jika Joe Redzuan terus berkeadaan begini akan menjejaskan
persembahan mereka. Apatah lagi banyak rancangan untuk kumpulannya sepanjang
beberapa bulan ini dalam usaha mempromosikan lagu baru mereka. Malahan malam
ini juga mereka perlu berlatih untuk showcase
pertama mereka yang dijadualkan awal bulan depan.
“Apa hal pula kali ni, bro?” Daniel terus saja bersuara. Dalam benaknya
seakan dapat mengagak sebabnya. Tidak lain tidak bukan, pasti disebabkan isteri
facebook Joe Redzuan.
“He’s back!” Lambat Joe Redzuan
menjawab. Lemah suaranya. Serta-merta dahi Daniel berkerut kurang mengerti.
Ternyata sangkaan di benaknya tadi jauh meleset.
“He? Who is he?” Terus saja
soalan itu terpacul keluar dari mulut Daniel.
Sudah dekat sejam Nurul Syakira
menghadap nota yang baru dicetaknya sejam lalu. Tapi sejak sejam lalu juga baru
halaman pertama itu yang dihadapnya. Malah dia masih tidak berganjak walau
sebaris. Fikirannya tiba-tiba saja tidak dapat ditumpukan kepada nota yang
dibaca. Sedangkan banyak lagi artikel yang perlu dikajinya untuk menyiapkan
kertas cadangan penyelidikan untuk dia melanjutkan pelajaran ke peringkat
sarjana.
Nurul Syakira termenung sambil jarinya mengetuk-ketuk kepala. Peristiwa
yang berlaku tengah hari tadi benar-benar mengganggu kosentrasi Nurul Syakira.
Nurul Syakira patutnya rasa puas setelah meluahkan rasa yang berbuku dalam
hatinya pada Joe Redzuan tadi. Tapi kenapa Nurul Syakira rasa sebaliknya? Wajah
Joe Redzuan yang marah itu tidak henti-henti melintas di fikirannya.
“Syakira.”
Nurul Syakira tersentak apabila terdengar namanya seperti dipanggil. Lantas
dia mula kalut apabila melihat Prof Narimah tercegat di depan mejanya dan
merenung ke arahnya.
“Ops, maafkan saya prof. Saya...” Nurul Syakira cuba mencari alasan tapi
ayatnya langsung tergantung di situ. “Err... ada apa yang saya boleh tolong
prof?” soalnya pula cuba mengalih perhatian Prof Narimah.
“Ada apa-apa perkembangan?”
Air muka Prof Narimah yang tenang melegakan hati Nurul Syakira namun soalan
Prof Narimah itu membuatkan dia berkerut dahi. “Perkembangan? Perkembangan apa
prof?” soalnya kembali.
“Tentang projek master kamu. Ada
apa perubahan?”
“Oh, master...” Nurul Syakira
hempas nafas lega. Fuh, ingatkan Prof Narimah bertanyakan perkembangannya
dengan Joe Redzuan. Jika itulah halnya, ops. Nurul Syakira tidak mampu berikan
jawapan. Fikiran Nurul Syakira juga cukup kusut pasal lelaki itu. Joe Redzuan
benar-benar bikin hidupnya serabut. Segalanya tentang Joe Redzuan buat Nurul
Syakira serabut, kusut dan tidak menentu. “Saya masih tengah nak siapkan proposal prof. Saya tahu tarikh untuk
hantar permohonan berakhir minggu depan. Saya akan siapkan segera.”
“Good. Jangan fikir banyak
sangat. Kamu cuma perlu fokus apa yang patut kamu buat. Saya yakin kamu boleh
buat.” Prof Narimah memberi perangsang sambil menepuk lembut bahu Nurul
Syakira. Begitulah Prof Narimah. Selalu memberi galakan dan pendorong. Mungkin
Prof Narimah sangka Nurul Syakira rasa terbeban dengan kerjanya hingga
termenung lama dengan wajah tertekan.
Nurul Syakira hanya mampu tersengih dan menganggukkan kepala. Kalaulah Prof
Narimah tahu apa yang sebenarnya bermain dalam fikiran Nurul Syakira, apa
agaknya reaksi Prof Narimah? Nurul Syakira cuba membayangkan tapi tiada
bayangan yang muncul.
“Sampai bila kau berdua nak bergaduh macam ni, bro. Macam mana sekali pun,
kau dengan dia masih adik beradik. Air walau dicincang tak akan putus, bro!”
Daniel cuba menasihatkan Joe Redzuan. Sebagai kawan yang paling rapat dengan
Joe Redzuan, malah tahu banyak perkara tentang keluarga Joe Redzuan rasanya
Daniel harus juga bertindak menjernihkan keadaan.
Malah kedua-dua ibu bapa Joe Redzuan, Encik Sulaiman dan Prof Narimah juga
mengenali Daniel. Hati orang tua mana yang tidak sedih melihat anak-anak mereka
bercakaran. Daniel faham situasi itu kerana dia juga pernah melakukan kesilapan
yang sama semasa hayat ibunya masih ada. Dia dan abangnya tidak pernah sehaluan
sehinggalah ibu mereka pergi menyahut seruan Ilahi, ibunya tidak sempat melihat
mereka dua beradik berbaik. Rasa kesal masih membuku di jiwa. Namun rasa kesal
itu tidak akan membawa ibunya kembali ke dunia.
Jadi, Daniel tidak mahu teman rapatnya itu mengulangi kesilapan dirinya
yang lalu. Tidak sama sekali.
“Adik-beradik?” Joe Redzuan mendengus. “Dia fikir ke pasal semua tu masa
dia menyusahkan hidup aku dulu? Adik-beradik ke tak, aku tetap tak akan biarkan
lelaki tu rampas apa-apa daripada aku lagi. Macam apa yang dia buat dulu!” Joe
Redzuan tetap dengan pendirian.
No comments:
Post a Comment