Nurul Syakira sudah pasang
tekad. Kali ini walau apapun, dia perlu berdepan dengan Joe Redzuan. Walaupun
hatinya pasti akan sakit, walaupun hatinya perit, walaupun rasa menyampah...
dia perlu berdepan dengan lelaki itu. Dia perlu berjumpa Joe Redzuan.
Setiap kali dia teringatkan muka depan laman facebook yang penuh komen dan
mesej dari manusia yang tidak dikenalinya, sakit hatinya. Segera Nurul Syakira
bertindak untuk menyahaktifkan akaunnya sebelum ia terus dibanjiri dengan
wajah-wajah asing. Semua itu kerana tindakan bodoh lelaki otak senget itu.
Kusut kepala Nurul Syakira dibuatnya. Rimas hidupnya kerana Joe Redzuan.
“Otak dia tu memang dah rosak! Buat apa-apa ikut suka hati dia aje. Tak
fikir langsung pasal perasaan aku! Senget!” Spontan ayat itu muntah dari mulut
Nurul Syakira dek terlampau geram.
Dengan pantas Nurul Syakira berjalan menuju ke bilik Prof Narimah. Di
tangannya membawa kertas cadangan penyelidikan yang telah dia siapkan semalam.
Sampai di depan pintu Prof Narimah, pintu Prof Narimah segera diketuk.
Kedengaran suara Prof Narimah menyahut dari dalam. Nurul Syakira menarik nafas
dalam-dalam. Kemudian dengan perlahan, dia menolak daun pintu itu.
Setelah menyerahkan kertas
cadangan penyelidikannya kepada Prof Narimah, Nurul Syakira menarik nafas lega.
Namun beban di dadanya seakan belum surut. Ada satu lagi yang perlu
diuruskannya.
“Kamu ada apa-apa yang nak dibincangkan dengan saya?” Prof Narimah menyoal
apabila melihat Nurul Syakira yang duduk di depannya seakan tidak keruan. Mulut
Nurul Syakira dilihatnya terkumat-kamit. Seperti ada sesuatu yang mengganggu
fikiran gadis itu tapi seolah-olah begitu sukar untuk dikongsikan.
“Emm... sebenarnya prof...” Nurul Syakira bermain jari-jemarinya.
Sememangnya sangat sukar untuk dia bertanyakan hal yang mengusutkan otaknya
sekarang. Tapi Nurul Syakira sudah bertekad. Jadi, Nurul Syakira perlu
melunaskannya.
Sedang wajah Prof Narimah masih kelihatan tenang menanti patah kata yang
bakal keluar dari mulut Nurul Syakira.
“Sebenarnya prof... saya nak nombor anak prof. Boleh tak kalau saya nak
minta nombor telefon Joe Redzuan.” Nurul Syakira berterus-terang. Nurul Syakira
nampak perubahan di wajah Prof Narimah. Wajah tenang tadi mulai berubah rona.
“Maafkan saya prof. Saya mungkin tak patut tanya prof direct macam ni tapi saya betul-betul perlukannya.” Nurul Syakira
seakan terdesak. Kulit muka Nurul Syakira memang rasa menebal. Malunya dia rasa,
terpaksa meminta sebegitu di depan Prof Narimah. Tapi Nurul Syakira sudah tidak
peduli. Dalam benaknya hanya memikirkan untuk bertemu Joe Redzuan.
‘Eh, kenapa aku tak mesej dia dekat facebook aje? Kan aku dah tahu profil
dia. Dia pun dah tahu aku punya. Jadi, tak ada maknalah kalau aku nak
rahsia-rahsia lagi. Terang-terang dia tahu Kira Hana tu aku...’ Tiba-tiba Nurul
Syakira terfikirkan jalan itu. Dalam masa yang sama juga Prof Narimah bersuara.
“Bukan saya tak nak bagi. Saya cuma terkejut,” jelas Prof Narimah. “Setahu
saya kamu berdua ni dah lama kenal kan. Sepanjang kamu berkenalan tu, kamu
memang tak ada nombor telefon Wan?”
‘Dah lama kenal?’ Nurul tersengih-sengih. Soalan Prof Narimah itu hanya
mampu dibalas dengan gelengan kepala. ‘Lama tu tak lamalah prof. Lagipun kami
ni sentiasa bergaduh aje. Tak pernah baiknya...’ gumamnya dalam hati.
“Emm... macam-macamlah budak-budak sekarang ni.” Kali ini Prof Narimah pula
menggelengkan kepala. “Tak apalah. Nanti saya akan mesej pada kamu nombor
telefon dia.”
Nurul Syakira terus tersengih. Dalam hati bermacam dia mengutuk Joe
Redzuan. Siaplah Joe Redzuan bila Nurul Syakira jumpa dia nanti. Akan Nurul
Syakira siapkan semua soalan dan ayat yang mahu dia lemparkan ke muka lelaki
itu.
No comments:
Post a Comment