“Hah?! Kau dah terima pinangan tu bagi pihak aku?!”
Terbelalak mata Nurul Syakira memandang Dani Imran. Kemudian beralih kepada
Fara Hana.
Fara Hana jungkit
bahu, seakan mahu mengelak. “Jangan tanya aku. Bukan aku yang terima. Abang
kesayangan kau yang bijak pandai ni, yang mengaku dialah satu-satunya saudara
kau ni yang pandai-pandai terima,” ujar Fara Hana membela diri lalu menuding
jari ke arah Dani Imran. Sah Fara Hana mahu mengelak.
Tanpa buang masa,
Nurul Syakira terus beralih ke arah Dani Imran. “Apa ni Im? Apasal kau pergi
terima? Siapa lelaki tu yang kau pergi suka-suka hati aje main terima pinangan
dia tanpa bincang dulu dengan aku? Ini kan soal hidup aku. Apasal kau pula yang
tentukan.”
“Dia tu anak kepada
Prof kaulah. Joe Redzuan.”
“Aku tahulah. Tapi
siapa dia? Masalahnya, aku tak kenal pun dia. Anak bos aku pula tu.
Seganlah...”
“Aik, takkan nama
suami sendiri pun tak kenal?”
“Suami?”
“Ah, sudahlah Kira
woi. Tak payahlah kau buat muka seposen kau tu. Kau tu membesar depan mata aku
aje. Bukan aku tak faham air muka kau tu. Dah berpeluk sakan dengan mamat tu,
kau buat-buat macam tak ada benda berlaku aje ya. Aku baru ingat nak henyak aje
mamat tu. Rupa-rupanya anak bos kau. Dah dia pun nak masuk minang kau, molek
sangatlah tu. Tak payahlah aku henyak suami kau lagi.”
“Hah?! Peluk?
Suami? Eh, apa yang kau merapu ni Im?”
“Ish, budak ni. Nak
tunjuk blur dia pula!” Dani Imran mengomel lalu menggeleng-gelengkan kepala.
Kemudian, Dani Imran menyambar begnya dari atas sofa lalu tangannya diselukkan
ke dalam perut beg. Seketika kemudian, sehelai kertas dikeluarkan dan ditayang
di depan muka Nurul Syakira.
Nurul Syakira
memandang kertas itu sepintas lalu. Dahinya berkerut dan memandang Dani Imran
dengan riak tidak mengerti.
“Baca ni
betul-betul!” kata Dani Imran sambil jari terlunjuknya mengetuk tajuk atikel
pada satu ruang kecil atas akhbar itu berkali-kali di depan Nurul Syakira.
Nurul Syakira hanya
mengikut. Ayat yang terpampang ditunjukkan telunjuk Dani Imran itu dibacanya.
Joe Redzuan sudah
berkahwin?
Mendatar nada suara
Nurul Syakira membaca tajuk berita itu. Ruang berita itu kecil saja. Namun riak
dua kawan di depan Nurul Syakira terangguk-angguk macam hangat benarlah berita
yang beria-ia ditunjuk Dani Imran tadi. Apa pula kena-mengena berita itu dengan
soalan Nurul Syakira yang geram sebab Dani Imran terima pinangan orang? Pening
kepala Nurul Syakira menjadi-jadi.
“Hah, dah habis
baca berita pasal suami kau tu?” Dani Imran tiba-tiba menyergah. Lantas akhbar
yang diangkat ke depan muka Nurul Syakira dilepas ke bawah. Lenguh sikunya mula
terasa.
Namun soalan Dani
Imran tadi sekadar dibalas dengan riak bingung Nurul Syakira. “Aku tak baca
pun. Aku baca tajuk dia aje.”
“Ish, kau ni. Aku
suruh kau baca, apa yang kau tenung aje surat khabar tu lama-lama tapi tak baca
isi cerita yang aku tunjuk? Buat lenguh tangan aku aje.” Dani Imran sudah mula
membebel. Akhbar yang masih dipegangnya tadi disua berkali-kali di depan Nurul
Syakira. “Ambiklah. Baca.”
“Ish, kau ni. Aku
ni dah cukup penat tau hari ni. Janganlah berbelit-belit dengan aku. Dahlah kau
pandai-pandai terima pinangan orang untuk aku. Lepas tu cerita pasal suami aku
pula. Bila masa pula aku kahwin? Kenapa aku sendiri pun tak tahu?”
“Sebab Joe Redzuan
anak Prof kau tu orang yang sama digosipkan jadi suami kau dalam berita ni.
Hah, jangan nak kata aku buat cerita lagi ok. Dah gambar kau berdua terpampang
dalam surat khabar tu! Sebab tu aku suruh kau baca! Tengoklah betul-betul
gambar tu. Gambar kau kan?” Tegas Dani Imran bersuara kali ini sekaligus
kenyataannya itu membuatkan Nurul Syakira dan Fara Hana serentak terbeliak.
Fara Hana pun tidak perasan pula akan gambar dalam artikel itu semasa Dani
Imran tunjukkan kepadanya tadi. Sebaliknya Fara Hana hanya membaca cerita
artikel itu saja. Betul atau salah, lagi Fara Hana tidak pasti.
“Satu Malaysia dah
nampak gambar tu, dia pula yang nak nafikan pula. Takkan muka sendiri pun tak
kenal. Nasib baik dia masuk meminang. Kalau tak, memang aku betul-betul nak
henyak dia sampai lumat. Boleh dia peluk adik aku ni tanpa kebenaran aku?” Dani
Imran terus berleter.
Nurul Syakira mundar-mandir di ruang tamu sambil
menumbuk-numbuk tapak tangannya. Mimik muka Nurul Syakira pula asyik
berubah-ubah. Lama Nurul Syakira menghadap berita tentang Joe Redzuan setelah
merampas akhbar itu dari tangan Dani Imran. Berita yang hanya dua perenggan itu
dihadap hampir setengah jam. Setiap bait leteran Dani Imran sudah seakan dibawa
angin sejak itu.
Kemudian, Nurul
Syakira tiba-tiba saja merenyukkan akhbar yang dipegangnya lalu bangun dengan
wajah tegang. Sehingga sekarang, Nurul Syakira terus berkelakuan pelik. Fara
Hana dan Dani Imran sudah terpaku melihat kelakuan Nurul Syakira. Pertama kali
mereka melihat Nurul Syakira begitu rupanya. Mata Fara Hana lebih besar
terbeliak berbanding ketika dia mendengar kenyataan Dani Imran tentang gambar
Nurul Syakira bersama Joe Redzuan di akhbar. Menggigil pun ada. Seakan Fara
Hana dapat merasai aura gelap yang meruap keluar dari tubuh Nurul Syakira
ketika ini.
“Errr... aku balik
dululah ya. Aku tengok kawan kau ni lain macam aje...” Dani Imran lekas bangun
dan cepat-cepat dia melangkah ke pintu yang sedia terbuka.
Fara Hana cepat
mendapatkan Dani Imran. Tangan lelaki itu ditariknya. “Eh, kau nak tinggalkan
aku seorang macam tu aje. Kau yang buat dia jadi tak betul macam ni,” ujar Fara
Hana sambil matanya tertoleh-toleh ke arah Nurul Syakira. Parah. Nurul Syakira
masih termundar-mandir sambil membebel sendiri. Entah apa butirnya, Fara Hana
mahupun Dani Imran sendiri tidak dapat pastikan.
“Ish, apa pula kau
nak tuduh aku pula. Aku tak buat apa pun pada Kira. Bukanya aku ada baca jampi
ke mantera ke dekat dia tadi. Ni mesti rumah korang ni ada hantu yang rasuk dia
tu!”
Pantas Fara Hana
lempang lengan Dani Imran sebagai habuan. “Jangan nak merepeklah. Dah lama kami
duduk dekat rumah ni, tak pernah ada hantu pun. Kau jangan macam-macam, Im.
Malam ni dahlah malam Jumaat. Cakap tu pandang-pandanglah.”
“Kenapa kalau malam
Jumaat? Sayang abang ni takut ya?” sakat Dani Imran sengaja mendekatkan mukanya
ke depan Fara Hana. Mata gadis itu nampak meliar saja dari tadi.
Fara Hana nampak
muka Dani Imran yang kian mendekat lalu Fara Hana mencengeh. Senyuman lelaki
itu lebih menyeramkan daripada bayangan hantu di kotak fikirannya. Saja hendak
sakat Fara Hanalah tu. Spontan tangan Fara Hana menghantar muka Dani Imran jauh
darinya.
“Orang tengah
risau, dia pula boleh main-main. Hai, yang Kira ni pun satu. Kenapalah
tiba-tiba aje... mak!!!” Tiba-tiba Fara Hana menjerit. Bagai mahu tercabut
jantungnya tiba-tiba saja menoleh ke sebelah, Nurul Syakira sudah tercegat di
situ. Reaksi Nurul Syakira, Masyaallah. Lagi menakutkan, dengan aura dingin
yang terasa di kulit Fara Hana tiba-tiba. Serta-merta Fara Hana kaku tidak
bergerak.
Dani Imran juga
terkejut melihat riak Nurul Syakira setelah mendengar jeritan Fara Hana. Lebih
mengejutkan apabila Nurul Syakira tiba-tiba saja menerkam ke tubuhnya. Dani
Imran sempat mengucap panjang. Tubuhnya serta-merta terasa panas. Kalau diukur
tahap degupan jantungnya, mungkin melebihi seratus kali sesaat.
‘Masyaallah, darah
tinggi aku!’ Dani Imran mengucap dalam hati.
“Mana aku nak cari
budak tu? Beritahu aku, mana nak cari budak tu?!” soal Nurul Syakira berulang
kali.
Dani Imran mengucap
lagi dalam hati. Dia perlu menenangkan diri. Jatuhlah air mukanya depan Fara
Hana jika dia sebagai kaunselor juga kecut perut berdepan dengan Nurul Syakira
dalam keadaan sekarang ini. Gadis itu pasti menyindirnya nanti. Apalah guna
belajar kaunseling bertahun-tahun tapi bila terpaksa berdepan kawan sendiri,
dia pula yang cabut lari. Dani Imran mesti tenangkan diri. Dia mahu anggap
Nurul Syakira sebagai pesakitnya yang pertama. Lepas ni, bolehlah dia minta
bayaran khidmat kaunseling dari Nurul Syakira. Paling kurang pun, belanja makan
tengah hari jadilah.
“Hei, beritahulah
aku dekat mana aku nak cari budak tu?” Nurul Syakira menggoncang tubuh Dani
Imran kali ini. Bahu Dani Imran kemudiannya dicengkam kuat.
Dani Imran merentap
tangan Nurul Syakira. Sakit dia menahan perit. “Ish, sakitlah! Kalau nak tolong
urut bahu aku ni, urutlah lembut-lembut sikit.” Dani Imran menepuk-nepuk
bahunya. Sakit, perit, kebas, semuanya ada. “Budak mana yang kau nak cari
sangat tu?” soal Dani Imran memberi respon.
Namun Nurul Syakira
tidak ambil endah. Dia kembali mengomel sendiri sambil terus menumbuk-numbuk
tapak tangannya. “Kalau aku dapat dia, aku lenyek-lenyek kepala dia yang memang
dah mereng tu. Berani dia sebarkan gambar aku dekat ruang gosip macam tu. Dia
ingat aku ni murah sangat ke nak terjebak sama dalam gosip liar dia tu? Aku
kenal dia pun tak!”
“Eh, daripada kau
mengomel seorang macam orang separuh gila macam ni, lebih baik kau tanya aku
elok-elok. Bolehlah juga aku tolong. Ini tiba-tiba aje berubah sampai
menakutkan orang nak tegur!” Dani Imran menggeleng-gelengkan kepala. “Eh, ni
mesti memang ada hantu gila yang dah rasuk kawan kau ni. Tak pernah-pernah dia
berkelakuan pelik macam ni...” Dani Imran menujukan ayat itu kepada Fara Hana
yang masih terpaku. Serta-merta Fara Hana beri respon setelah perkataan hantu
itu sekali lagi singgah ke telinganya.
“Eh, hantu-hantu
jangan cakaplah. Tak adanya dia kena rasuk hantu gila. Kira ni kena rasuk dek
berita yang kau bawa. Kau ni Im, nama aje baru lulus jadi kaunselor. Macam ni
ke kau selesaikan masalah pesakit kau?” Fara Hana pula mengenakan Dani Imran.
Sudah Dani Imran agak akan sindiran itu. Dia juga sudah bersiap sedia dengan
jawapannya.
“Kira ni special case. Jadi rawatannya mestilah
berbeza daripada orang lain.” Selamba Dani Imran membalas. Kemudian dia
berdehem beberapa kali. Fara Hana sekadar mencebik. Dasar lelaki yang tak mahu
kalah, ada sajalah jawapannya. “Kau ni pun satulah Kira. Mana kau tahu yang Joe
tu yang sebarkan gambar dia dengan kau? Kau tengok gambar tu, macam mana dia
nak ambil gambar tu sendiri. Lain kali tengok gambar tu dengan mata, bukan
dengan hati. Aku tahulah kau benci sangat dengan dia tu tapi-”
“Aku tak kata dia
yang ambil gambar tulah!” Belum sempat Dani Imran menyudahkan ayatnya, Nurul
Syakira sudah memintas dengan nada tinggi. Marah benar Nurul Syakira nampaknya.
“Manalah tahu dia beli gambar tu dari peminat-peminat dia yang ambil gambar tu.
Kau tengok ke tak berita pasal dia tadi? Bukan berita utama pun. Ruang kecil
aje. Maknanya, dia tu tak adalah famous
mana. Entah-entah dia sengaja gunakan gambar tu untuk buat gosip sekaligus
menaikkan populariti dia.” Nurul Syakira menelah. “Lain kali pandang jangan
guna mata aje Encik Dani Imran. Tapi guna otak juga.”
Dani Imran menelan
liur. “Aku pula yang terkena! Tapi masuk akal juga apa yang budak ni cakap.”
Desisnya dalam diam. “Hah! Kalau kau nak sangat cari dia, kau tanyalah Prof
kau. Kan lelaki tu anak Prof kau tu. Kalau kau tanya aku, aku sendiri pun tak
kenal mamat tu.”
“Betullah!”
Sepantas kilat Nurul Syakira menyambar pipi Dani Imran. Pipi lelaki itu yang
tembam itu dipicit-picitnya dengan rasa gembira. “Kenapalah aku tak terfikir
dari tadi. Kau memang geniuslah Im.”
Dani Imran cuba
melepaskan tangan Nurul Syakira dari memicit pipinya tapi setiap kali tangan
gadis itu tetap menyinggah sehinggalah Fara Hana bersuara.
“Eh, Prof kau tahu
tak pasal berita tadi tu?” Soalan Fara Hana itu sekaligus bikin Nurul Syakira
tergamam. Dia terkebil-kebil memandang Fara Hana dan Dani Imran silih berganti.
Lantas Nurul Syakira sudahnya terjelepuk ke lantai sambil mengomel sendiri
sekali lagi.
“Macam mana kalau
Prof. Narimah terbaca pasal berita tu? Macam mana aku nak berdepan dengan prof
lepas ni? Malulah aku. Macam mana pula aku nak tanya prof mana nak cari anak
lelaki dia tu. Macam mana aku nak cakap? Malunya...” omel Nurul Syakira sambil
menjolok-jolok lantai dengan jari telunjuk.
SOKONGAN ANDA AMAT-AMAT DIHARGAI ^_^
No comments:
Post a Comment