“Hai, Fara!”
Fara Hana terkejut
apabila terlihat Joe Redzuan terpacul di muka pintu. Kelam kabut Fara Hana yang
sedang enak berehat di sofa mencapai alas meja dibuat penutup kepala. Baru saja
hendak melelapkan mata selepas pulang kerja beberapa minit tadi, sudah
dikejutkan oleh kemunculan lelaki di rumahnya.
“Kurang asam punya
budak! Ni siapa yang bagi kau kunci buka pintu rumah aku ni?!” jerkah Fara Hana
geram. Namun belum sempat Fara Hana mendengar alasan Joe Redzuan, dia terlebih
dulu terpandang Nurul Syakira yang dipapah masuk kemudiannya. Lantas Fara Hana
kalut mendapatkan kawannya yang nampak teruk keadaannya itu. “Kenapa pula ni,
Kira? Apa dah jadi dengan kau berbalut kiri kanan ni?”
Fara Hana menyambut
bahu Nurul Syakira sebelah lagi. Dia turut membantu Nurul Syakira berjalan ke
sofa. Sebaik punggung Nurul Syakira jejak ke sofa itu, Nurul Syakira menghempas
nafas panjang. Letih dia menahan sakit untuk berjalan pulang. Letih juga dia
mendengar setiap bait perkataan yang keluar dari mulut Joe Redzuan sebelum ini.
Tapi sejak berjumpa Aiman tadi, Joe Redzuan tidak lagi membebel. Cuma sesekali
saja lelaki itu membuka mulut bertanyakan alamat rumahnya. Hai, sudah gaharu
cendana pula. Walhal sebelum ini, dia sendiri sudah sampai ke rumah ini.
Fara Hana tidak
henti-henti kalut melihat kaki Nurul Syakira yang berbalut. Melihat ada tompok
merah pada balutan Nurul Syakira, Fara Hana rasa hampir pitam. Pantang betul
dia tengok darah. Kalau jarinya luka semasa memasak juga, Fara Hana sudah panik
hingga kecoh satu rumah.
Nurul Syakira
lentok kepala di kepala sofa. Matanya cuba dilelapkan. Soalan Fara Hana yang
berulang-ulang sejak awal tadi dibiarkan saja tidak berjawab. Lantas Joe
Redzuan pula yang menjadi sasaran Fara Hana. Pandangannya beralih kepada lelaki
itu.
“Apa yang jadi
dengan budak ni?” soal Fara Hana terus.
Joe Redzuan tidak
menjawab. Dia hanya tersenyum sambil meletakkan jari telunjuknya ke bibir.
Kemudian dia menunjuk ke arah luar, mengajak Fara Hana berbual di luar.
Berkerut-kerut dahi
Fara Hana pada mulanya. ‘Apahal pula ni? Nak ajak aku dating pula ke? Ish, tak ingin aku. Aku dah ada calon suami! I’m single but not available okey!’
Fara Hana terdiam sejenak apabila mendengar permintaan Joe
Redzuan. Nampak gayanya Fara Hana sudah diberi tugas menjadi orang tengah
antara mereka. Ini satu tugas yang berat. Tapi kalau hasilnya berbaloi, Fara
Hana tidak kesah untuk hulurkan bantuan.
“Kau nak tahu apa
yang dia suka?” Fara Hana mengulang untuk mendapatkan kepastian. Biar betul
lelaki ni tiba-tiba saja minta bantuan aku. Selama ni dia main redah aje ikut
suka hati dia.
Joe Redzuan
mengangguk. Fara Hana pula menggumam bibir. Kemudian dia turut mengangguk
faham.
“Baik. Tapi sebelum
aku tolong kau, aku nak dengar dari mulut kau sendiri. Kau ni betul-betul
sukakan dia ke atau nak main-main? Entah macam mana kau kenal dia pun aku tak
pasti. Tiba-tiba aje kau hantar rombongan meminang dia. Kalau tengok gaya Kira,
dia macam tak kenal kau langsung. Aku musykil betul la.”
Joe Redzuan diam.
Sukar untuknya menjawab soalan itu. Rombongan meminang itu memang salahnya.
Memang kesalahan paling bodoh pernah dia buat.
“Kalau niat kau nak
main-mainkan dia, jangan harap aku nak tolong.” Fara Hana menyambung.
Senyap. Tiada
jawapan daripada Joe Redzuan. Fara Hana terus memandang muka lelaki itu tapi
Joe Redzuan terus membisu seribu bahasa. Dahi Fara Hana berkerut semula. Tambah
musykil dia melihat riak Joe Redzuan.
“Aku tak faham
betul la orang lelaki ni!” Tiba-tiba Fara Hana memekik sekaligus meranapkan
lamunan Joe Redzuan yang entah sudah ke mana menerawang. “Kalau suka, cakap
ajelah suka. Kalau tak suka, tak payahlah main tarik tali. Lelaki ni memang
suka buat keputusan ikut suka hati aje ke?” Fara Hana mulai emo.
Dani Imran juga
sudah lama tidak dengar khabar berita. Sejak akhir-akhir ini sibuknya
menjadi-jadi. Katanya ada kursus seminggu di Johor Bahru tapi sekalipun Dani
Imran tidak pernah menelefon sejak pergi. Panggilan Fara Hana juga tidak
dijawabnya. Malah mesej pesanan ringkas juga tidak satu pun dibalasnya. Nanti
bila balik KL, pandai pula cari Fara Hana. Suruh masak menu itu dan ini. Fara
Hana ni kekasih ke tukang masak dia? Ish, geramnya. Tiba-tiba saja Fara Hana
teringatkan lelaki kesayangannya itu pula.
Nurul Syakira membuka sebelah
matanya. Senyap sunyi saja rumahnya itu. Suara Fara Hana yang selalunya bising
bertanyakan hal yang terjadi pada Nurul Syakira tidak langsung kedengaran
ketika ini.
Nurul Syakira angkat tubuh separuh. Tangan kanannya menopang tubuh lalu dia
pandang keliling ruang tamu. Bayang Fara Hana langsung tidak kelihatan.
Suaranya pun tidak kedengaran. Senyap sunyi.
Joe Redzuan juga sudah tiada. Ah, baguslah lelaki itu sudah tiada. Fikir
Nurul Syakira. Sampai-sampai saja di rumahnya tadi sudah menyapa Fara Hana bak
mereka sudah berkenalan rapat. Nurul Syakira padang keliling sekali lagi.
Mencari Fara Hana yang tiba-tiba hilang. Pintu rumah tertutup rapat tapi bayang
kawannya itu tidak langsung terlihat.
“Emm... ke mana pula minah ni pergi? Takkan berdating dengan mamat tu pula kut!” Nurul Syakira menebak sebarang.
Beberapa ketika kemudian, dia bangun perlahan-lahan. Melihat jam di dinding
sudah hampir mencecah angka tujuh, Nurul Syakira teringat yang dia belum
mengerjakan solat Asar. Astaghfirullah, terlupa pula.
No comments:
Post a Comment