Dup! Dap! Dup! Dap!
Nurul Syakira
gelisah berdiri tidak jauh dari bilik Prof Narimah. Hanya kurang satu meter
saja jaraknya. Namun, Nurul Syakira tidak berani untuk meneruskan langkah.
Hatinya kian berdebar dan debaran itu kian rancak saat menghampiri bilik itu.
“Ya Allah,
kuatkanlah semangat aku untuk menghadapi dugaan ini.” Nurul Syakira menyapu
tapak tangan ke muka setelah memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Kemudian,
satu nafas panjang dilepas perlahan-lahan. Nurul Syakira mengumpul segala kekuatan
lalu membuka langkah ke depan. Setapak demi setapak kaki Nurul Syakira
menghampiri bilik Prof Narimah.
“Argh! Kecutlah
perut aku...” Tiba-tiba Nurul Syakira terloncat-loncat setempat sebelum sempat
dia berdiri di depan bilik itu. Lantas Nurul Syakira cepat-cepat berpatah
semula. “Kalau prof memang ada terbaca pasal berita tu macam mana? Malunya aku.
Macam mana aku nak berdepan dengan prof lepas ni?” omelnya sambil
mempercepatkan langkah menjauhi bilik Prof Narimah.
“Tapi, macam
mustahillah pula prof akan baca ruangan gosip macam tu. Biasanya golongan umur
macam prof mesti baca berita-berita utama aje, berita luar negara ke, ekonomi
ke, tak pun sudut pendidikan. Hahaha... mesti prof tak akan terbaca pasal
berita bodoh tu. Hahaha!” Nurul Syakira ketawa sendiri suka hati. Lega sedikit
hatinya berfikir begitu. “Jadi, bolehlah aku buat-buat tanya macam mana aku nak
cari mamat tu. Aku kena selesaikan hal ni dengan mamat tak guna tu. Berani dia
menyerabutkan hidup aku yang aman sebelum ni. Tak guna punya jantan!”
Buku lima Nurul
Syakira bertalu-talu menghentam tapak tangan kirinya. Rasa suka tadi
serta-merta berubah dengan aura kemarahan yang meluap-luap bila teringatkan
tentang lelaki bernama Joe Redzuan. Lepas satu, satu hal berlaku dalam hidup
Nurul Syakira semenjak lelaki itu muncul dalam hidupnya. Rimas Nurul Syakira
dibuatnya.
Dia ingat aku ni
boneka hidup dia ke? Aku tak akan biarkan dia buat sesuka hati dia. Tak boleh
dibiarkan!
“Nurul Syakira...”
Tiba-tiba satu
suara menegur seiring sentuhan yang singgah ke bahu Nurul Syakira. Sekaligus
Nurul Syakira terkejut.
“Oh, mak nenek!”
jerit Nurul Syakira spontan hampir melayang tubuhnya ke belakang.
Nurul Syakira tunduk sambil bermain jari-jemarinya.
Tebalnya muka Nurul Syakira mahu mengangkat muka dan menghadap Prof Narimah di
depan. Sudah dekat sepuluh minit Nurul Syakira masuk ke dalam bilik Prof
Narimah. Memang awalnya niat Nurul Syakira mahu berbincang dengan Prof Narimah.
Tidak. Nurul Syakira hanya mahu bertanya tentang bagaimana dia boleh mencari Joe
Redzuan, anak lelaki Prof Narimah yang pandai-pandai masuk meminangnya. Tapi
malunya Nurul Syakira. Mukanya sudah rasa macam sudah kena simen. Hendak
diangkat pun tidak sanggup lagi. Sudahlah Nurul Syakira melatah dan tunjuk aksi
aneh macam dalam cerita manga setelah terkejut di depan Prof Narimah. Tambah
memalukan, Prof Narimah rupa-rupanya juga ternampak aksi Nurul Syakira yang
bercakap seorang diri. Ish, padan muka Nurul Syakira. Siapa suruh membebel
seorang depan pintu tandas. Kalau depan cermin tandas tu, okey lagilah kut.
‘Ish, malunya!’
gumam Nurul Syakira dalam hati lalu menggeleng kepala. ‘Sekarang ni, patut ke
aku tanya Prof terus pasal dekat mana aku boleh cari mamat tu? Ish, tak direct sangat ke? Tapi, kalau aku tak
tanya macam mana aku nak jumpa mamat tak guna tu? Takkan nak biar aje dia buat
sesuka hati dia? Eh, tak boleh... tak boleh. Jangan harap aku nak ikut rentak
poyo dia tu!’ Riak muka Nurul Syakira terus berubah-ubah. Prof Narimah yang
terus memerhati mula mengerutkan dahi.
“Kamu ni betul ke
tak apa-apa, Syakira?” Terus saja Prof Narimah menegur. Risau pula dia melihat
Nurul Syakira bereaksi begitu. “Syakira?” panggil Prof Narimah. Namun Nurul
Syakira tidak memberi respon kepadanya sehinggalah nama Nurul Syakira dipanggil
Prof Narimah buat kali ketiga, barulah Nurul Syakira mengangkat mukanya.
“Ha?” Nurul Syakira
bulatkan mata kerana terkejut. “Err... ya, Prof?” soal Nurul Syakira semula
lalu tersengih-sengih di depan Prof Narimah.
Prof Narimah
menggeleng kepala sebelum bersuara semula. “Kamu ni betul ke tak apa-apa? Saya
tengok kamu ni nampak depress aje.
Kalau kamu tak sihat, ambillah cuti berehat.”
“Eh, tak payahlah
Prof.” Nurul Syakira menggeleng laju-laju. “Saya sihat, Prof. Betul.” Kepalanya
diangguk pula sungguh-sungguh. ‘Eh, aku ni! Bos dah bagi cuti, aku pula yang
tolak. Bukan senang nak dapat cuti tau!’ getus Nurul Syakira pula dalam hati.
Menyesal.
Prof Narimah
kemudiannya tersenyum. Senyuman Prof Narimah itu sedikit sebanyak melenyapkan
rasa kesal dalam hati Nurul Syakira. Sekurang-kurangnya bolehlah Nurul Syakira
jadi pekerja cemerlang pada mata Prof Narimah. Walaupun kerja yang dijawatnya
sekarang ini tiada sebarang rekod kecemerlangan pun. Siapa yang tahu tuah
manusia. Untung-untung Prof Narimah tawarkan peluang menyambung pengajian di
bawah seliaan beliau. Memang itulah yang diharap-harapkan Nurul Syakira selama
ini. Nurul Syakira mula pasang angan-angan.
‘Alamak, jauh pula
aku melencong. Patutnya sekarang ni aku fikir macam mana nak cakap dengan prof
pasal mamat tak guna tu,’ desis hati Nurul Syakira sebelum angan-angan melebar
lebih jauh.
“Kamu tertekan
pasal pinangan anak saya tu ke?” Tiba-tiba saja soalan itu terpacul keluar dari
mulut Prof Narimah membuatkan Nurul Syakira terkejut buat sekian kalinya. Nasib
baik kali ini suara Nurul Syakira tersekat dari terlontar keluar untuk melatah.
Fara Hana tersenyum-senyum menghadap Dani Imran menikmati
bekalan tengah hari yang dibawanya tadi. Beria benar Dani Imran makan hingga
tidak tengok keliling. Fara Hana yang penat masak dan bawa pun tidak dipelawa
sama. Tapi Fara Hana tidak harap Dani Imran pelawa pun. Tengok Dani Imran
berselara makan masakannya sudah cukup buat Fara Hana kenyang.
“Makanlah
perlahan-lahan. Nanti tercekik pula. Kau ni, hodoh sungguh bila makan tau.
Macam dah seminggu tak jumpa makanan.” Fara Hana menegur namun dalam hati suka
dia melihat Dani Imran berselera menjamu masakannya.
“Emm... masakan kau
ni sedap sangat. Kalau hari-hari kau masak untuk aku, lagi bagus. Kenyang perut
aku!” jawab Dani Imran selamba dengan mulut penuh. Lantas Fara Hana mencebik.
“Kalau nak aku
masak untuk kau hari-hari, lekaslah masuk meminang!” Mudah jawapan daripada
Fara Hana sekaligus bikin Dani Imran tersengih-sengih. Kenal benar Fara Hana
pada senyum simpul Dani Imran itu. Sekejap lagi pasti lelaki itu akan meluahkan
alasan yang sama.
“Duit belum cukup
untuk kahwinlah, sayang.” Sengaja Dani Imran mengucap kata sayang untuk memujuk
hati Fara Hana.
Namun Fara Hana
sedikit pun tidak rasa terpujuk. Sebaliknya, Fara Hana sekadar mencebik. Tepat
sekali jangkaan Fara Hana. Tiada jawapan lain daripada Dani Imran setiap kali
dia membangkitkan soal kahwin. “Hai, kalau tak cukup duit nak kahwin, nikah
saja sudahlah!” Suara hati Fara Hana membidas geram.
“Aku kalau boleh
nak kahwin sekali aje. Jadi, kalau boleh aku naklah buat grand sikit.” Dani Imran menambah sambil terus menyuap nasi ke
mulutnya.
Fara Hana tidak
membalas. Jawapan Dani Imran tadi seperti lelaki itu dapat membaca isi
fikirannya. Tapi Fara Hana tetap membidas dalam diam. “Grand konon. Entah sampai bilalah nak aku tunggu lagi. Buat yang
wajib aje cukuplah. Kalau aku kena kebas orang nanti baru tau!” Perlahan suara
Fara Hana hingga tidak kedengaran oleh Dani Imran yang khusyuk makan. Macamlah
makanan tu lebih penting daripada Fara Hana yang Dani Imran beri tumpuan lebih.
Hai, nasib Fara Hanalah terpikat dengan lelaki itu.
“Im, kau rasa Kira
tanya tak dekat bos dia pasal budak nama Joe Redzuan tu?” Tiba-tiba saja Fara
Hana terfikirkan Nurul Syakira. Serta-merta Dani Imran tersedak lalu
terbatuk-batuk. Kelam-kabut Fara Hana menghulurkan air kepada Dani Imran.
Kemudian Fara Hana segera bangun dan mengurut-urut belakang Dani Imran. Dani
Imran juga menepuk-nepuk dadanya dengan tapak tangan. Cuba melegakan batuk yang
menyerang.
“Aku tengah sedap
nikmati masakan kau yang sedap sampai menjilat jari ni, kenapa tiba-tiba aje
kau tanya pasal mamat tu. Hilang selera aku tau.”
“Kenapa pula kau
nak hilang selera pasal tu? Kau cemburukah?” soal Fara Hana pula sambil senyum
meleret. Sengaja dia mahu menguji Dani Imran.
“Bukanlah cemburu.
Tapi geram. Suka-suka hati aje dia bergosip dengan adik aku tu tanpa
pengetahuan aku. Eh, cerita Sembilu tu pun perlukan kebenaran abang untuk hero
tu mengurat adik dia tu. Samalah kesnya dengan kes Kira ni.”
Pap! Satu tamparan
dihayun kuat ke belakang Dani Imran. Urutan lembut tadi berubah serangan yang
kembali membuatkan Dani Imran terbatuk-batuk lagi. “Banyaklah kau punya cerita
Sembilu.” Fara Hana melangkah semula ke tempat duduknya tadi. Tersenyum dia
melihat Dani Imran tersedak. Padan muka Dani Imran. “Sejak bila kau diberi hak
sebagai abang Kira? Atas kertas pun kau tak ada kuasa nak tentukan hidup dia
tau. Suka hati aje.”
“Maafkan saya prof sebab bincang hal peribadi dengan prof
pada waktu kerja...” Nurul Syakira kembali tunduk. Dalam hati, Nurul Syakira
sudah bertekad. Jika Nurul Syakira tidak berani untuk bertanya terus bagaimana
cara untuknya berjumpa Joe Redzuan, Nurul Syakira boleh buat Joe Redzuan
sendiri yang datang mencarinya.
“Kamu tak perlu nak
minta maaf atau rasa bersalah. Saya yang tanya kamu dulu tadi. Mungkin saya
yang patut minta maaf jika pinangan bagi pihak anak lelaki saya tu mengusutkan
kepala kamu.”
“Eh, Prof tak
perlulah minta maaf dengan saya. Bukan itu yang saya harapkan. Lagipun, Prof
tak ada buat apa-apa silap pun.” Segera Nurul Syakira membalas. Dia tidak mahu
Prof Narimah meminta maaf bagi pihak anak lelakinya. Joe Redzuan sendiri yang
buat hal. Biar dia berdiri atas kaki sendiri dan tanggung segala kemungkinan.
Lagipun, Nurul Syakira rasa janggal apabila Prof Narimah berkata begitu.
Mungkin Prof Narimah ada berkecil hati. Jika benar Prof Narimah terasa hati,
bagaimana pula Nurul Syakira mahu berdepan dengan Prof Narimah selepas ni? ‘Ah,
teruklah!’ detik hati Nurul Syakira tiba-tiba.
“Maafkan saya,
Prof. Saya tak bermaksud nak malukan atau jatuhkan air muka Prof.” Nurul
Syakira mohon maaf sungguh-sungguh.
Prof Narimah tenang
berdepan reaksi Nurul Syakira. Senyuman diulit lembut di bibir delimanya. “Kamu
tak perlu risau. Tahulah saya apa patut saya buat.” Prof Narimah bersuara
tenang.
Nurul Syakira
terdiam. Matanya terkerdip-kerdip memandang wajah Prof Narimah. Senyuman Prof
Narimah masih setia menjadi peneman. ‘Prof nampak tenang aje macam biasa. Wah,
Prof Narimah memang cool! Tapi betul
ke Prof tak kecil hati? Emm... kalau tengok muka Prof, memang tak nampak macam
ambil hati pun. Tapi mana aku tahu dalam hati Prof tu entah-entah tengah maki
hamun aku tolak pinangan anak dia mentah-mentah. Ah, bukan salah aku pun. Mamat
tu yang cari nahas. Bukannya aku tak tahu, dia masuk minang aku pun sebab nak
tutup gosip yang tersebar luas tu. Ingat aku ni bodoh sangat ke? Dia sendiri
yang nahas. Siapa suruh pandai-pandai buat kenyataan yang aku ni bini dia?
Pandai-pandailah dia selesaikan masalah yang dia sendiri timbulkan. Jangan
harap aku nak ikut rentak dia!’
Suara hati Nurul
Syakira terus berkata. Nurul Syakira tetapkan pendirian untuk teruskan
rancangan yang baru sekejap tadi dia fikirkan. Tidak perlu lagi Nurul Syakira
bersusah-payah mencari lelaki itu. Sebaliknya, Nurul Syakira yakin bahawa Joe
Redzuan sendiri yang akan datang mencarinya. Tapi sebelum itu, Joe Redzuan akan
terpaksa berdepan dengan Prof Narimah. Nurul Syakira terbayang-bayang muka Joe
Redzuan yang dimarahi Prof Narimah nanti. Muka lelaki yang bengkeng itu
entah-entah menikus ketakutan melihat riak ibunya yang menyinga. Bermacam yang
Nurul Syakira bayangkan lalu dia ketawa besar dalam hati.
Selepas beberapa
ketika, Nurul Syakira tersedar dari bayangannya yang meleret-leret. Entah apa
pula riak muka yang ditunjuk di depan Prof Narimah tadi. Entah apa pula yang
Prof Narimah akan fikir tentangnya nanti. Cepat-cepat Nurul Syakira pura-pura
betulkan duduk sambil membetulkan tekaknya yang konon terasa ketat.
“Err... kalau Prof
dah cakap macam tu, legalah hati saya. Saya memang tak ada niat nak kecilkan
hati sesiapa apatah lagi jatuhkan air muka prof, bos saya.”
“Ya, saya faham.”
Segera Prof Narimah membalas sambil terus tersenyum membuatkan Nurul Syakira
terdiam semula.
“Errr... kalau
macam tu, saya minta diri dululah Prof.” Lambat Nurul Syakira bersuara semula.
Lantas dia bangun dari kerusi. “Saya minta maaf sekali lagi Prof sebab semua
yang berlaku dan terima kasih sebab Prof sudi dengar apa yang saya nak cakap,”
ujarnya lagi sambil cuba mengulit senyuman sebelum keluar dari bilik Prof
Narimah.
No comments:
Post a Comment