“Umi kata balik malam ni, kamu kena balik. Kamu kena dengar
cakap Umi kali ni. Umi tak mahu dengar alasan yang sama setiap kali Umi suruh
kamu balik rumah. Ada hal yang Umi nak bincangkan dengan kamu.” Prof Narimah
sudah meninggi suara. Serentak Joe Redzuan menjauhkan telefon bimbit dari
telinganya. Dalam benaknya tertanya-tanya juga sebab ibunya itu beria-ia mahu
dia pulang ke rumah awal malam ini sehingga marah begitu. Sebelum ini, tidak
pernah pula Prof Narimah marah jika Joe Redzuan tidak pulang langsung.
“Tapi Umi, Wan
memang ada latihan hari ini. Kami nak berlatih lagu baru. Tak tahu sampai pukul
berapa. Kalau habis lambat, Wan tidur dekat rumah kawan ajelah Umi.”
“Kamu kena ingat,
Wan. Setinggi mana kita, sejauh mana kita pergi, keluarga mesti diutamakan.
Kerja sampai bila tak akan sudah. Lepas satu, satu kerja yang datang.” Lekas
Prof Narimah memberi ingatan sebelum anak lelakinya itu terus memberikan
alasan. “Takkan terbalik dunia ni kalau kamu tak sudahkan latihan tu malam ni.
Umi suruh kamu balik awal sikit hari ni sebab ada hal yang nak dibincangkan.
Kalau tak ada hal, ikut suka hati kamulah nak tidur rumah kawan kamu tu ke, nak
tidur dekat studio ke. Suka hati kamu. Bukannya Umi tak kenal kawan-kawan kamu
tu.” Panjang Prof Narimah bersuara. Hingga panas telinga Joe Redzuan mendengar
nasihatnya. “Kamu nak balik sendiri ke atau nak Umi datang jemput kamu?” Prof
Narimah akhirnya memberi kata dua. Terbeliak terus mata Joe Redzuan.
Tebal muka Joe
Redzuan kalau Prof Narimah datang ke studio nanti. Teringat kejadian dua tiga
bulan lepas bila Prof Narimah datang ke tempat latihan mereka. Semua
kawan-kawannya terkulat-kulat duduk mendengar nasihat panjang lebar daripada
Prof Narimah. Sudah macam drama sensasi Dunia Baru yang pernah terkenal beberapa
tahun lepas. “Ah, masak!” Gemuruh hati Joe Redzuan. Lantas cepat dia menjawab
kepada ibunya.
“Yalah Umi, nanti
Wan balik sendiri. Umi tak perlu datang jemput Wan.”
Prof Narimah
tersenyum simpul mendengar jawapan anaknya. “Ha, kalau Wan jawab macam tu dari
awal kan senang. Tak adalah buang masa banyak.”
Joe Redzuan tidak
membalas. Dalam diam dia melepaskan keluhan perlahan. Memang Joe Redzuan tidak
akan menang kalau berbalah dengan Prof Narimah. Namanya pun Umi. Menjawab
lebih-lebih nanti takut dikecam sebagai anak derhaka pula.
“Jangan lupa balik
nanti sebelum makan malam.” Prof Narimah sekali lagi mengingatkan sebelum
memutuskan panggilan dengan salam. Prof Narimah mendengar suara halus Joe
Redzuan menjawab salamnya. Masak benar dia dengan suara itu. Tidak lain tidak
bukan, pasrahlah tu. “Budak-budak sekarang, susah betul nak dengar kata. Sibuk
sangat nak mengejar impian.” Prof Narimah menggelengkan kepala. Satu nafas
panjang dihela kemudiannya.
“Kau gila? Apasal kau cakap macam tu?” tujah Fara Hana separuh
menjerit.
Nurul Syakira
menoleh ke sebelah. Melihat kawannya yang tiba-tiba bangun dari duduk dan
menyuakan kenyataan itu kepadanya. Lantas dengan malas, Nurul Syakira bangun
dari baringan dan bersandar ke kerusi. Baru saja mahu bermalas-malasan macam
ular sawa setelah dia menelan dua pinggan mi goreng mamak yang dimasak Fara
Hana tadi. Fara Hana memang pandai memasak. Semua masakan Fara Hana buat Nurul
Syakira bertambah sampai tidak cukup pinggan. Patutlah badan Nurul Syakira pun
bagai dipam-pam semenjak duduk sebumbung dengan Fara Hana. Tambah-tambah lagi
bila Nurul Syakira makan sambil menonton televisyen. Memang tidak ingat dunia.
Pinggannya juga masih terbiar atas meja. Kering tidak berbasuh.
Wajah Fara Hana
yang jelas terkejut Nurul Syakira tenung seketika. Hanya dua kerat ayat tadi
saja yang keluar dari mulut Fara Hana walaupun Nurul Syakira lambat membuka
mulut.
“Apa punya kawanlah
kau ni. Sampai hati kau kata kawan kau yang punyalah baik ni gila? Patutnya kau
cakap lelaki tu yang gila!” tekan Nurul Syakira. Geram pula bila dia sendiri
teringatkan pasal Joe Redzuan. Setiap kali nama lelaki itu melintas di fikiran,
hati Nurul Syakira bergetar kuat. Bukan kerana sayang, tapi benci.
“Beb, kau pergi
cakap dekat bos kau yang kau tolak pinangan dia. Bukan kau kata semalam yang
kau cuma nak tanya mana nak cari anak bos kau tu ke?” soal Fara Hana lagi
setelah menghenyak punggung di sebelah Nurul Syakira. Lengan Nurul Syakira
ditunjal-tunjal dengan ibu jari.
“Hei, beb... beb...
beb!” Nurul Syakira membalas tunjalan Fara Hana. Giliran dia pula mencucuk peha
Fara Hana yang kurus dengan jarinya. Sekuat hatinya hingga berkerut-kerut muka
Fara Hana. Lantas dengan pantas Fara Hana menepis tangan Nurul Syakira. “Aku
tak kata pun yang aku tolak pinangan dia. Aku cuma beritahu hal yang sebenar,
yang aku tak kenal pun anak bos aku tu. Aku cakap dekat bos aku, kalau boleh
berilah aku masa kenal anak dia dulu. Ada faham?”
“Hah?!” Reaksi Fara
Hana jelas menjawab pertanyaan Nurul Syakira tadi. Sah Fara Hana tidak mengerti.
Nurul Syakira gumam bibir.
“Kau ni, aku dah
cakap cukup terang pun kau tak faham. Aku tak tolak pinangan dia dan aku juga
tak terima pinangan tu. Ah, tak pentinglah. Apa yang penting, dia tahulah nasib
dia lepas ni. Aku pasti yang bos aku tu akan marah dia cukup-cukup. Padan muka
dia! Hahaha!” Nurul Syakira ketawa seorang sebaik bayangan riak wajah Joe
Redzuan kalut dimarahi ibunya. Tawa Nurul Syakira tidak sempat lama apabila
soalan Fara Hana sekali lagi menyinggah ke telinga.
“Bos kau dah tahu
ke pasal berita gosip tu?”
Nurul Syakira terus
terdiam bila mendengar soalan itu. Mimik mukanya tiba-tiba berubah rona. Nurul
Syakira cuba mengingati wajah Prof Narimah ketika mereka berjumpa tengah hari
tadi. “Emm... tengok dari gaya macam tak.” Nurul Syakira mengagak kurang pasti.
Setiap air muka Prof Narimah yang masih berbaki dalam ingatan cuba ditiliki
sebaik mungkin.
Seingat Nurul
Syakira, tidak ada pula Prof Narimah membangkitkan soal itu. Kalau Prof Narimah
pernah terbaca tentang cerita itu di mana-mana atau terdengar dari mulut
sesiapa, pasti reaksi Prof Narimah mustahil setenang tadi. Setidak-tidaknya
pasti Prof Narimah akan meminta kepastian tentang kenyataan Nurul Syakira yang
tidak mengenali anaknya. Ataupun, Prof Narimah sudah biasa dengan situasi itu
dan sengaja bertindak tenang? Ah, malas Nurul Syakira mahu fikir panjang
tentang hal itu. Makin difikir, makin serabut otaknya. Apa yang penting, Nurul
Syakira mahu lihat apa tindakan Joe Redzuan selanjutnya.
“Rasanya taklah
kut!” sambung Nurul Syakira lebih yakin.
Fara Hana tunjuk
reaksi tidak percaya. “Kalau lelaki tu tunjuk berita tu kat mak dia supaya mak
dia boleh paksa kau kahwin dengan anak dia macam mana?” soal Fara Hana lagi.
Eh, banyak pula
soalan Fara hari ni. Dari tadi asyik menyoal aku itulah, inilah. Macam artis
popular pula aku rasa. Getus Nurul Syakira seketika dalam hati. “Apa hal pula
dia nak bagi mak dia baca berita tak senonoh tu. Cerita tu pun bukannya betul.
Kalau dia berani tunjukkan cerita tu dekat mak ayah dia, memang gilalah dia tu!
Mak bapa mana yang tak marah tengok cerita macam tu pasal anak dia,” bidas
Nurul Syakira lagi. Kali ini penuh yakin.
Fara Hana terdiam
lalu lambat dia mengangguk setuju. “Habis tu, macam mana kau nak cari mamat tu
kalau kau tak tanya dekat bos kau tu mana nak cari dia?” Fara Hana menyoal
lagi. Sememangnya fikiran Fara Hana kini sudah dipenuhi dengan tanda soal. Itu
ini, bermacam-macam soalan yang berlegar-legar perlukan jawapan. Malahan,
jawapan Nurul Syakira seterusnya juga hanya menambah soalan yang sesak di
benaknya.
“Tak payah aku
susah-payah cari dia. Kalau tafsiran aku betul, dia sendiri yang akan datang
cari aku!” Nurul Syakira menjawab sambil senyum meleret. Fikirannya pula sudah
melayang. Tak habis-habis Nurul Syakira membayangkan rupa Joe Redzuan dimarahi
ibunya. Nurul Syakira rasa seronok bila fikir begitu. Perasaan nakal terus
menghantui hati Nurul Syakira. Harap-harap apa yang dibayangkan itu menjadi.
Biar padan muka lelaki yang menyusahkan hidupnya itu.
Lama Joe Redzuan tertanya-tanya sebaik pulang tadi. Entah
apalah hal penting yang mahu dibincangkan Prof Narimah. Tapi sejak makan malam
hingga ke solat Isyak berjemaah, setiap kali Joe Redzuan cuba mengorek cerita,
Prof Narimah tidak menjawab. Disuruhnya pula Joe Redzuan bersabar dan menunggu
masa yang sesuai untuk berbincang.
Hanya setelah
mereka anak-beranak duduk bersama di ruang tamu malam itu, barulah Prof Narimah
membuka cerita.
“Kamu ni betulkah
nak kahwin dengan Nurul Syakira?”
Tersentak Joe
Redzuan apabila diajukan soalan itu oleh Prof Narimah. Wajah ibunya ditenung
tidak berkerdip. “Eh, kenapa pula Umi tanya macam tu? Bukan Umi dah setuju ke
dulu? Dah masuk meminang pun kan?” Joe Redzuan tertanya-tanya sendiri. Namun
lidahnya seakan kelu untuk menjawab soalan Prof Narimah yang sepatutnya dia
jawab.
“Kamu ni betulkah
kenal Nurul Syakira tu? Maksud Umi, kamu berdua betul-betul kenal sama kenal
ke?”
Soalan Prof Narimah
itu sekali lagi menghentam hati Joe Redzuan. Titisan peluh tiba-tiba terasa
dingin mengalir di belakang tengkuknya. Joe Redzuan tidak tahu apa harus
dijawab bagi soalan-soalan Prof Narimah itu. Wajah Encik Sulaiman pula
dipandangnya. Ayahnya itu nampak tenang seperti biasa. Pastilah Encik Sulaiman
sudah mengetahui hal yang mahu dibincangkan Prof Narimah. Mereka kan bak
pasangan merpati dua sejoli. Setiap perbuatan dan perancangan pasti mereka
bincangkan bersama terlebih dulu.
“Abah dan Umi ingat
kamu memang dah kenal satu sama lain. Kalau kamu tak saling kenal, macam mana
kamu boleh minta abah dan Umi masuk meminang gadis tu?” Giliran Encik Sulaiman
pula bersuara setelah anak lelakinya itu lama membiarkan soalan Prof Narimah
tidak berjawab. “Cuba kamu jelaskan dekat abah dengan Umi ni betul-betul.”
Tenang saja Encik Sulaiman meminta penjelasan. Namun, soalannya itu cukup buat
Joe Redzuan tertekan.
“Itu... itu...” Joe
Redzuan tidak mampu bersuara. Jantungnya sudah bergetar kuat. Pandangannya juga
sudah dibuang ke lantai.
Nurul Syakira memandang kipas yang berpusing di siling
dalam bilik yang separuh gelap. Rumah sewa itu sudah lama sunyi sepi. Sejak
Fara Hana masuk tidur seawal jam sepuluh. Awal pula cik akak Fara tidur malam
ini. Pasti ada rencana esok pagi. Nurul Syakira sudah boleh mengagak. Mestilah
sebab Fara Hana merancang mahu bangun awal esok pagi untuk menyediakan bekalan
makanan untuk cik abang tersayang dia. Hai, beruntung Dani Imran hari-hari
dapat makan bekal yang penuh kasih sayang itu. Cemburunya Nurul Syakira rasa.
Tapi Nurul Syakira pun dapatlah tumpang sekaki. Mesti bahagian untuk Nurul
Syakira juga ada kerana Fara Hana tidak pernah lupakan Nurul Syakira. Walaupun
sedikit, pasti ditinggalkan buat Nurul Syakira. Entah juadah apa pula yang akan
dimasak Fara Hana esok. Telan liur pula Nurul Syakira membayangkannya.
Tiba-tiba Nurul
Syakira tergelak sendiri. Tergelak kerana terbayangkan wajah Joe Redzuan.
“Mesti teruk mamat tu kena hembur dengan mak dia. Padan muka dia!” Nurul
Syakira suka hati benar jika Joe Redzuan betul-betul dimarahi. Bantal peluknya
dipeluk erat lalu Nurul Syakira menggulingkan tubuh sekitar katilnya sambil
terkekek-kekek ketawa. “Hahaha, padan muka dia. Sebelum ni berlagak sangat
dengan aku. Sekarang, ambik kau!”
“Cis! Tak guna punya perempuan!” maki Joe Redzuan sebaik
masuk ke kamarnya. Lantas dia terus menghempas tubuh ke katil. “Berani dia
cakap yang dia tak kenal aku. Terpaksalah aku reka cerita lagi depan abah dan
Umi!” Joe Redzuan mencapai bantal di kepala katil lalu dicampaknya dengan
perasaan geram. Ikutkan rasa marah, memang Joe Redzuan mahu mengamuk besar.
Geramnya hati Joe Redzuan mengenangkan tindakan Nurul Syakira.
“Perempuan tu
sengaja nak buat aku marah. Kau ingat kalau kau buat macam tu, aku akan
lepaskan kau? Jangan harap!”
No comments:
Post a Comment