Tuk! Tuk! Tuk!
Nurul Syakira bergegas ke pintu dengan kaki terdingkut-dingkut setelah lama
dibiarkan pintu itu diketuk dari luar. Dia yang sedang mengerjakan solat Asar
tadi kelam-kabut menyudahkan bacaan tahiyat akhirnya apabila menyedari bunyi itu
terus-terusan walaupun berhenti sekali-sekala. Telekung juga belum sempat
ditanggalkan lagi.
Sempat Nurul Syakira menjeling jam apabila melintasi ruang tamu. Baru pukul
enam petang. Kalau tidak silap, biasanya memang Fara Hana akan pulang waktu
begini. Masakan Fara Hana tidak membawa kunci hari ini.
Satu nafas berat dilepaskan terus sebaik pintu dikuaknya. Tangannya
diletakkan ke pinggang, mencekak pinggang sambil menayang muka bosan. Mamat ni
lagi. Tak ada kerja lain ke asyik nak muncul depan rumah aku ni aje.
Joe Redzuan tidak bersuara. Dia hanya tersenyum lalu menyuakan bungkusan
nasi ke depan Nurul Syakira. Bungkusan itu digoyang beberapa kali menyuruh
gadis itu menyambutnya. Kemudian disuakan lagi apabila Nurul Syakira hanya
memandang.
“Makan malam untuk kau...” ujarnya perlahan.
Lambat Nurul Syakira menyambut bungkusan itu. Bau kari dapat dihidunya dari
situ. Emm... kari lagikah? Detik hati kecil Nurul Syakira.
“Dah baca komik tu?” soal Joe Redzuan disertai dengan tawa dan riak
nakalnya. Kemudian dia terus beredar bersama sisa tawa halusnya. Sempat Joe
Redzuan mengenyit sebelah mata kepada Nurul Syakira.
Nurul Syakira terkesima seketika melihat sikap lelaki itu. Ada-ada saja.
Sesak nafas Nurul Syakira melihat perangai lelaki itu lain macam dua tiga hari
ini. Sekejap baik, sekejap menyusahkan. Pening Nurul Syakira dibuatnya. Risau
pun ada. Bimbang kalau tindakan lelaki itu akan menyusahkan diri Nurul Syakira
sudahnya. Lihat sajalah apa yang lelaki itu sudah buat sebelum ini. Hendak
tunjuk romantis tidak bertempat.
Di depan peminat, diakuinya Nurul Syakira insan istimewa sedangkan Nurul
Syakira tidak langsung ingin. Bukan semua peminat boleh terima bulat-bulat.
Bagi yang mungkin cemburu atau sakit hati, Nurul Syakiralah yang menjadi
mangsa. Nasib baik wajah Nurul Syakira di dalam gambar itu tidak begitu jelas.
Malahan foto-fotonya dalam facebook juga awal-awal lagi sudah dikunci dari
paparan umum. Hanya teman rapat saja yang boleh lihat. Sekarang, semuanya sudah
dipadamkan. Kalau tidak, pasti Nurul Syakira sudah diserang depan-depan.
Nurul Syakira mencebik memandang bungkusan di tangannya. Pintu
perlahan-lahan ditutupnya semula lalu dia berjalan ke meja makan. Bungkusan itu
diletakkan saja di atas meja. Baru saja Nurul Syakira mahu melabuhkan punggung
di sofa, pintu sekali lagi diketuk.
“Hai, siapa pula yang datang ni?” Nurul Syakira empung tubuh untuk berdiri
semula dan menghayun langkah perlahan ke arah pintu.
Satu objek
berbentuk empat segi disua ke muka Nurul Syakira. Terkejut Nurul Syakira bukan
kepalang. Bulat matanya memandang objek di depan mata. Di lihatnya dua ekor
ikan berenang tidak tentu arah di dalam bekas itu.
“Nah! Aku ganti
balik ikan kau! Dua ekor lagi!” ujar satu suara garau dengan nada bangga.
Nurul Syakira
mengintai riak suara itu dari balik akuarium. Dilihatnya Joe Redzuan tersenyum
bangga.
Ek...eleh. Itupun
nak bangga semacam. Macam bagi aku bongkah emas pula. Rungut hati kecil Nurul
Syakira.
“Yang ni, kau
jatuhkan pun tak pecah. Ambillah!” ujar Joe Redzuan lagi selamba lalu mengunjukkan
akuarium itu berkali-kali ke depan Nurul Syakira.
Amboi, perli akulah
tu. Gerutu hati Nurul Syakira lantas satu jelingan dilemparkan. Namun huluran
Joe Redzuan disambut jua. Orang sudah bagi, tidak sopan pula Nurul Syakira rasa
jika dia menolak mentah-mentah. Alang-alang dapat juga dia pengganti Jojo.
Rindunya pada Jojo.
Sebaik akuarium itu
bertukar tangan, Joe Redzuan terus melambai dan pergi. Nurul Syakira
menghulurkan kepala keluar. Dia memandang Joe Redzuan yang bergegas berlari
menuju ke tangga. Hingga Joe Redzuan hilang dari pandangan. Nurul Syakira
hempas nafas panjang. Akarium di tangan diangkat tinggi ke depan mata. Spontan
satu senyuman terukir di bibirnya. Dinding akuarium itu diketuk dengan jari
telunjuk. Tidak keruan ikan di dalam itu berenang ke sana sini.
“Matilah ikan laga
letak banyak-banyak dalam satu bekas. Nama pun ikan laga, berlaga ajelah
kerjanya. Tauke kedai ikan tu tak bagitau dia ke?” Nurul Syakira mencebik lalu
membawa akuarium itu masuk ke dapur.
Sedang Nurul
Syakira tercari-cari bekas untuk mengasingkan seekor ikan dari akuarium, pintu
rumahnya sekali lagi diketuk. Bertalu-talu bunyinya hingga kelam-kabut Nurul
Syakira terinjak-injak dari dapur.
Ni mesti mamat ni
lagi. Ish, apa lagi yang dia nak ni? Hari ni aje dah tiga kali dia kacau aku.
Tak habis-habis.
Tuk! Tuk! Pintu
terus diketuk. Perlahan saja bunyinya. Sesekali kedengaran suara memberi salam.
“Apa lagi!” Nurul
Syakira terus menempik sejurus dia menarik daun pintu sambil membuntangkan
matanya besar-besar. Kemudian dia pula yang terpaku melihat seorang lelaki
terpacak di depannya. Sangkaan Nurul Syakira jauh sekali meleset.
“Ops...” Nurul
Syakira ketap gigi.
“Maaflah pasal tadi. Saya ingatkan...” ucap Nurul Syakira
setelah mempelawa Aiman duduk di sofa.
“Kenapa? Ada orang
kacau awakkah?”
Nurul Syakira
menggeleng. “Tak. Orang jual barang. Berkali-kali saya tolak pun, dia tetap nak
promote barang dia. Macam-macam pula
barang yang dia jual. Tak reti bahasa betul!” Nurul Syakira berleter, memberi
alasan di depan Aiman. Kalau diberitahu pasal Joe Redzuan, nanti banyak pula
persoalannya. Mereka berdua pun sudah pernah berjumpa sebelum ini. Ketika Joe
Redzuan memapahnya pulang dari klinik. Oh ya, sebelum itu juga mereka pernah
berjumpa semasa Nurul Syakira makan bersama Aiman di kafe. Lain macam saja riak
Joe Redzuan di depan Aiman. Harap-harap mereka tidak bertembung tadi.
Aiman tertawa kecil
mendengar omelan Nurul Syakira. Bungkusan yang dibawanya bersama tadi
dihulurkan kepada Nurul Syakira. “Sebenarnya saya datang ni nak jenguk awak. Ni
saya ada belikan awak makan malam. Kaki awak kan cedera. Mesti awak susah nak
ke kedai.”
“Awak ni buat
susah-susah aje. Terima kasih,” ucap Nurul Syakira lalu menyambut bungkusan
dari tangan Aiman. Bungkusan makanan yang dibelikan Joe Redzuan tadi
dijelingnya sekilas. Malah, belum sempat dia memindahkan lauk-pauk itu ke dalam
mangkuk. Masih terbiar atas meja makan.
Nurul Syakira termenung di depan meja makan. Dagunya
ditopangkan dengan tangan sambil menghadap makanan di depan mata. Dua bungkus
nasi sengaja dibuka tutupnya bersama lauk-pauk yang sudahpun dipindah masuk ke
dalam mangkuk. Satu keluhan halus dihempas perlahan.
“Kari lagi,’
keluhnya lemah. “Boleh pula dua-dua beli lauk dekat kedai mamak. Kalau
hari-hari aku hadap lauk kari ni, jemu juga. Banyak pula tu. Lauk semalam pun
ada lagi dekat dalam peti sejuk. Beli sehendak-hendaknya. Saja nak sindir
akulah tu. Macamlah aku ni kuat makan sangat. Nasib baik Aiman beli sikit aje.”
Lauk kari daging
yang dibeli Joe Redzuan ditenung lama. Penuh satu mangkuk besar macam hendak
dibuat kenduri. Rasanya sepuluh orang pun belum tentu dapat menghabiskannya.
Nurul Syakira mengeluh lagi. Dagunya diturunkan ke atas meja. Kemudian muncung
merenung makanan-makanan itu.
“Tak apalah!” Nurul
Syakira angkat kepala tiba-tiba. “Kejap lagi Fara balik, suruh dia habiskan
semua. Tak payah nak diet hari ni!” Nurul Syakira pasang tekad. Dia mahu
mengajak kawannya yang susah sangat diajak makan malam itu makan juga malam
ini. Kalau tidak, sayang kalau makanan ini terbuang. Disimpannya lama-lama di
dalam peti sejuk pun sudahnya terbuang juga.
Nurul Syakira
memandang pintu. “Mana Fara tak balik-balik ni? Lambat pula dia balik dua tiga
hari ni...”
No comments:
Post a Comment