“Lambat balik hari ni?” Fara Hana
bertanya sebaik melihat Nurul Syakira masuk ke dalam rumah. Jarum jam yang
tergantung di dinding spontan dijelingnya. Selalunya sebelum Maghrib Nurul
Syakira pasti sudah ada di rumah. Hari ini langit sudah gelap di luar baru
nampak bayang Nurul Syakira di rumah. Jam juga sudah menunjuk hampir ke nombor
sembilan. Lewat benar hari ini.
Nurul Syakira sekadar mengiyakan sahaja. Bukanlah jawapan bagi soalan Fara
Hana tadi tapi tidak larat rasanya dia mahu bercakap banyak. Mata dan fikiran
sudah terbayang-bayang bantal dan katil saja sekarang ini. Letih benar rasanya.
“Oh ya! Tadi Joe Redzuan ada datang!” Fara Hana membuka cerita.
Perhatiannya juga sudah tidak lagi kepada rancangan televisyen yang tadinya dia
tonton. Memang dari petang tadi lagi dia sudah tidak sabar-sabar mahu
memberitahu Nurul Syakira hal itu. Lama benar dia menunggu Nurul Syakira dan
menahan saja rasa teruja hingga hampir terlupa dibuatnya. Nasib baik dia
teringat juga pasal hal itu.
Mata Nurul Syakira juga serta-merta membulat apabila mendengar nama itu
disebut Fara Hana. Malah Fara Hana memberitahunya yang lelaki itu datang ke
sini? Ke rumahnya? Betulkah apa yang Nurul Syakira dengar atau Nurul Syakira
yang berangan macam-macam sebab kantuk?
Langkah Nurul Syakira sememangnya sudah berhenti sejak awal. Lambat dia
menoleh ke arah Fara Hana.
“Dia bagi kau hadiah. Dia kata dia tak sempat nak bagi hadiah hari jadi kau
hari tu! Ada atas meja makan tu!” Cerita Fara Hana lagi sambil muncungnya
panjang menghala ke arah meja makan, beberapa tapak sahaja dari tempat Nurul
Syakira berdiri.
Nurul Syakira nampak ada sampul putih atas meja itu. Hatinya tertanya-tanya
itukah hadiah yang dimaksudkan Fara Hana?
“Yang dalam sampul tu!” Tempelak Fara Hana seakan dapat membaca isi dalam
kotak fikiran Nurul Syakira ketika itu.
Nurul Syakira kembali menoleh ke arah Fara Hana. Fara Hana nampak gembira
sekali. Entah apalah yang buat kawannya itu gembira sangat atau keletihan Nurul
Syakira ini yang buatkan semua yang Nurul Syakira lihat nampak berbeza? Ah,
banyak betul persoalannya.
Seketika, Fara Hana berlari ke arah Nurul Syakira dengan senyum lebar.
Tangannya yang disembunyi ke belakang di depangkan tiba-tiba di depan Nurul
Syakira, menunjukkan sebuah poster kepadanya.
Mata Nurul Syakira terkebil-kebil memandang poster itu. Tapi otaknya begitu
lambat untuk mentafsirkannya sehinggalah Fara Hana sendiri yang bersuara.
“Dia bagi aku poster kumpulan dia juga. Best
kan?!” Fara Hana seronok menayang posternya.
“Apa yang kau seronok sangat dapat benda ni?” Lemah saja suara Nurul
Syakira menyoal. Bingung pula dia melihat reaksi Fara Hana. Sejak bila pula
kawannya itu ambil tahu pasal artis.
“Mestilah seronok. Artis tu sendiri yang datang bagi aku poster ni. Kalau
kumpulan dia tu meletup, bolehlah aku jual poster dia online. Mesti ada orang nak beli punya!” balas Fara Hana sambil
menari-nari keriangan.
Melopong Nurul Syakira mendengar jawapan kawannya itu. Kemudian kepalanya
digelengkan pula. ‘Dah agak dah...’ detiknya dalam hati. Sampul putih atas meja
makan dijelingnya lagi. Dengan perlahan Nurul Syakira mencapai sampul itu dan
berjalan ke biliknya sedang Fara Hana terus menyanyi kecil di ruang tamu.
Gembira benar dia bersama poster New Bandnya.
Sampul surat putih di tangan
Nurul Syakira tenung lama-lama. Ayat yang tertulis di atas sampul itu juga
direnungnya.
Untuk kawan rapat Joe Redzuan, Kira.
Begitulah yang tertulis atas sampul itu. Nurul Syakira mencebik apabila
membaca ayat itu berkali-kali. Entah bila dirinya menjadi teman rapat Joe
Redzuan. Tapi bila diingat-ingat kembali, itulah gelaran dan juga status
hubungan mereka yang dia sendiri nyatakan dalam komennya dalam ruang facebook
Joe Redzuan sebelum ini. Hai, kenapalah Nurul Syakira mengaku dirinya kawan
rapat Joe Redzuan? Kalau Nurul Syakira mengaku langsung tak mengenali lelaki
itu lagi bagus.
Sampul itu dikoyakkan pada bucunya lalu Nurul Syakira menjengah isi di
dalam. Sekeping kertas ditarik keluar dari perut sampul. Sekeping tiket yang
tertulis nama kumpulan lelaki itu di atasnya kini berada di tangan Nurul
Syakira. Dahi Nurul Syakira berkerut.
“Hadiah apa ni?” Nurul Syakira tarik muncung. “Lebih baik dia bagi aku teddy bear ke daripada bagi benda ni.
Ceh!” Tiket itu dicampakkan ke atas meja solek. Sampul putih tadi dibelek-belek
lagi lalu digoncang beberapa kali. “Itu aje ke?” Nurul Syakira terus muncung.
Seketika dia terlihat ada sesuatu yang ditulis di belakang sampul tersebut.
Jangan lupa tengok facebook
aku!
Makin panjang muncung Nurul Syakira mencebik. “Eleh, nak buat apa tengok
facebook kau? Nak bagi hati aku sakit lagi ke?” Gerutu hati Nurul Syakira
terbayangkan seakan Joe Redzuan berada di depannya dan mengarahnya begitu.
Menyampah. Lantas sampul itu dicampaknya juga ke atas meja solek. Kemudian dia
bangun mencapai tuala dan berjalan keluar dari bilik.
No comments:
Post a Comment