Joe Redzuan bergegas ke hospital
setelah mengambil keputusan untuk berdepan dengan Nurul Syakira hari ini.
Persoalan Prof Narimah semalam benar-benar membuatkannya sesak nafas. Sebelum
ibunya itu mengetahui situasi sebenar dia dengan Nurul Syakira, lebih baik Joe
Redzuan menyelesaikan hal ini segera.
Betapa bengkaknya Joe Redzuan apabila ternampak kelibat Nurul Syakira jalan
seiringan dengan seorang lelaki. Lelaki yang sama dilihatnya bersama Nurul
Syakira sebelum ini. Lantas Joe Redzuan segera mengekori mereka.
Joe Redzuan memerhatikan mereka dari jarak beberapa meter. Makin
diperhatikan makin bengkak hatinya melihat mereka berdua berbual dan makan
bersama. Sekali sekala kelihatan mereka tertawa mesra. Joe Redzuan menggengam
rapat jari-jemarinya. Hatinya tidak lagi mampu bersabar lalu Joe Redzuan
bangun. Dia berjalan ke arah Nurul Syakira.
Nurul Syakira serta-merta terdiam apabila menyedari ada sesusuk tubuh
berdiri di sebelahnya. Perbualannya dengan Aiman terhenti sekerat jalan. Nurul
Syakira menoleh. Melihat seorang lelaki merenungnya dengan pandangan tajam.
Spontan Nurul Syakira melepaskan keluhan bersama jelingan. “Kau lagi! Apa
lagi yang kau nak?” Nurul Syakira menujah dengan perasaan geram.
Seketika, Aiman bangun dari duduk. Lelaki itu cuba berdepan dengan Joe
Redzuan. “Lama tak jumpa, Joe Redzuan.” Aiman bersuara seraya menghulurkan
tangan kepada Joe Redzuan. Sekaligus Nurul Syakira berkerut-kerut memandang
Aiman.
Kemudian Nurul Syakira nampak Joe Redzuan menjeling ke arah Aiman. Tangan
yang dihulur Aiman hanya dipandang sepi.
“Awak kenal dia?” Terus saja Nurul Syakira bertanya kerana tidak mahu
membiarkan otaknya terus dipenuhi tanda tanya. Daripada dia membuat macam-macam
andaian sendiri, ada baiknya dia bertanya terus. Manalah tahu dapat jawapannya.
Aiman mengulum senyum. Tangan yang dihulurkan tadi beralih ke bahu Joe
Redzuan. “Dia ni sebenarnya...”
Joe Redzuan segera menepis tangan Aiman dari bahunya. Tangan Nurul Syakira
pula disambarnya dan dibawa pergi.
Nurul Syakira menarik tangannya
yang ditarik Joe Redzuan bagai lembu ditarik talinya. Serta-merta langkah
mereka terhenti.
“Apa kau buat ni? Berapa jauh lagi kau nak tarik aku, hah? Kau ni dah
hilang akal ke? Malu tau orang lain tengok!” marah Nurul Syakira geram.
Lengannya yang dicengkam Joe Redzuan tadi digosok perlahan.
“Ya! Memang aku dah gila! Puas hati?” Joe Redzuan naik minyak. Matanya
tercegil merenung Nurul Syakira. “Aku boleh bersabar kalau kau nak berkawan
mesra dengan orang lain. Aku tak kesah kalau kau nak bersama orang lain. Tapi
bukan dengan lelaki tu!”
Nurul Syakira terkedu. Dia bingung. Dia nampak Joe Redzuan
termengah-mengah. Bukan kerana keletihan tapi dari riak wajahnya, Nurul Syakira
tahu Joe Redzuan benar-benar marah. Tapi Nurul Syakira bingung atas sebab apa
Joe Redzuan begitu marah?
“Kenapa dengan-”
“Aku tak suka kau rapat dengan dia!” Belum sempat Nurul Syakira menyudahkan
ayatnya, kata-kata Joe Redzuan terlebih dulu menerpa.
“Apa kena dengan kau ni? Apa masalah kau kalau aku rapat dengan siapa pun?
Itu hak aku! Tak ada kena-mengena dengan kau!”
“Aku tak suka sebab kau bini aku!”
Lama Nurul Syakira terkedu mendengar bait kata yang muntah dari mulut Joe
Redzuan. Dari awal lagi Nurul Syakira tidak memahami Joe Redzuan. Setiap
tindakannya buat Nurul Syakira sakit hati mahupun sesak nafas. Perkenalan
pertama mereka juga bukanlah diatur dengan cara baik. Tapi oleh satu
pembohongan yang akhirnya menjerat Nurul Syakira dalam hidup lelaki itu.
Seketika, Nurul Syakira tergelak. Joe Redzuan yang tidak keruan menahan
kemarahan juga kembali merenungnya dengan wajah berkerut.
“Bini kau? Sejak bila aku sah jadi bini kau? Semua tu cuma lakonan dalam
dunia glamor kau untuk menutup cerita bodoh yang kau reka sendiri! Tapi semua
tu dah berakhir dan aku dah terima semua kutukan daripada peminat-peminat setia
kau tu. Jadi lepas ni, aku harap kau jangan muncul depan aku lagi.” Itulah kata
terakhir yang dilontarkan oleh Nurul Syakira sebelum dia berlalu pergi.
Sementara Joe Redzuan seakan terkesima menerima setiap bait kata itu yang
menerpa ke mukanya. Lidahnya kelu lagi seperti biasa. Hatinya pula tambah
bengkak.
No comments:
Post a Comment