Sewaktu makan malam, banyak
cerita yang dibuka Fara Hana dan Liana tentang pengalaman pertama mereka
mengikuti aktiviti snorkeling. Dr. Haslinda juga banyak bercerita malam itu.
Safia saja yang tidak banyak mulut. Agak pendiam juga adik Liana itu. Nurul
Syakira turut rasa seronok mendengar cerita-cerita mereka. Ada juga rasa
cemburu tapi hendak buat macam mana. Kaki pula buat hal. Lain kali sajalah dia
menyelam dalam air melihat ikan-ikan berenang di laut cetek. Mungkin lain kali
Nurul Syakira boleh minta Dani Imran, yang kononnya abang kesayangannya itu
belanja.
Liana juga ada buka cerita tentang Joe Redzuan, anak Prof Narimah yang
kononnya banyak termenung saja semasa orang lain menikmati aktiviti. Tidak
sampai setengah jam, Joe Redzuan sudah naik ke darat.
“Tak syok agaknya sebab buah hati tak ikut sama...” Liana berseloroh sambil
menjeling ke arah Nurul Syakira. Yang lain seakan mengerti maksud Liana lantas
suara tawa bergema lagi.
Nurul Syakira buat tidak endah. Pura-pura tidak perasan akan jelingan
Liana. Apa kes hendak dikaitkan dengan Nurul Syakira pula. Entah-entah mamat tu
yang sebenarnya takut air kut.
“Emm... saya nak ke tandas sekejap.” Tiba-tiba Nurul Syakira meminta diri
dan meletakkan kutlerinya di atas pinggan. Lalu dengan perlahan-lahan Nurul
Syakira bangun meninggalkan kumpulannya yang masih rancak berborak diselangi
tawa yang begitu ceria.
Nurul Syakira terus berjalan menuju ke tandas. Otaknya jauh melayang sambil
kakinya terus melangkah. Terbayang-bayang kalau Nurul Syakira tidak cedera
semasa aktiviti di hutan. Sudah banyak kali Nurul Syakira tepis fikiran itu
tapi galatnya masih juga berbekas.
“Eh, awak!”
Nurul Syakira tersentak dari lamunannya apabila ada suara garau yang
menegur. ‘Alamak! Aku terlanggar orang ke sebab asyik berangan aje?’ Nurul
Syakira kalut. Lekas dia menoleh ke depan tapi tiada siapa. Terkejut Nurul
Syakira apabila melihat Aiman terpacak di sebelah.
“Oh, awak. Terkejut saya. Err.. saya ada terlanggar bahu awak ke tadi?
Maaflah ya otak saya ni mengelamun aje. Sorry
ya.”
“Eh, tak adalah!” Pantas Aiman membalas apabila melihat gadis itu gelabah
meminta maaf berkali-kali. “Saya saja tegur awak tadi. Maaflah kalau saya buat
awak terkejut.” Giliran Aiman pula memohon maaf. Nurul Syakira sekadar melempar
senyuman tawar. “Tak sangka kita akan jumpa lagi. Kecil betul dunia ni!”
Nurul Syakira hampir tergelak. Itu ayat biasa dia dengar dalam drama. Tidak
sangka Nurul Syakira akan mendengar ayat itu dalam realiti hidupnya. “Dah kita
dua-dua masih dekat pulau kecil ni, pusing-pusing dekat sini juga. Memang tak
mustahil kalau nak bertembung selalu.” Nurul Syakira membalas dalam nada
berseloroh sekaligus mengundang tawa Aiman yang juga setuju akan kenyataan itu.
“Macam mana dengan kaki awak? Dah okey sikit?” Aiman memandang ke bawah,
cuba melihat kaki Nurul Syakira yang hanya menyarungkan sandal. Kain kasa putih
masih kemas membaluti kaki kanan gadis itu.
Nurul Syakira turut lempar pandangan ke arah kaki kanannya. Kakinya cuba
digerakkan sedikit di depan Aiman. “Emm... boleh tahanlah. Dah kurang sakit
sikit. Tengok, saya dah boleh lompat pun!” Nurul Syakira cuba menunjuk kepada
Aiman yang kakinya sudah sembuh. Namun sebaik kakinya mendarat ke lantai, muka
Nurul Syakira jelas berkerut. Tangan Nurul Syakira dilebarkan ke udara cuba
mengimbangi tubuhnya yang hampir tumbang.
Riak Aiman juga berubah cemas. Tangannya sedia mencapai tubuh Nurul Syakira
kalau-kalau kaki gadis itu tidak stabil seperti yang dikata. “Awak ni.
Hati-hatilah. Kaki awak tu belum sembuh sepenuhnya. Kalau awak terus
lasak-lasak, nanti makin lambat kaki awak tu nak sembuh.” Aiman memberi
nasihat. Cemas sedikit nadanya.
Nurul Syakira ketawa kecil melihat reaksi Aiman. Teringat pula pada Dani
Imran. Seperti ada persamaan antara mereka. Seronok pula Nurul Syakira rasa
apabila Aiman menegurnya begitu. Lagak macam abang-abang.
“Orang risaukan dia, dia boleh ketawa pula. Ada yang lucu ke dengan apa
yang saya cakap tadi?” Aiman juga turut tertawa apabila melihat Nurul Syakira
makin galak ketawa walau pada mulanya tawa gadis itu kecil saja.
Tawa Nurul Syakira ditahan-tahan. Lantas Nurul Syakira menarik nafas dalam
beberapa kali untuk menahan tawanya dari terus meletus. “Emm... terima kasih
ya,” kata Nurul Syakira tiba-tiba bersama baki tawanya yang masih bersisa.
“Ha?” Aiman kurang mengerti.
Nurul Syakira menarik nafas panjang sekali lagi. Kali ini tawanya
benar-benar sudah lenyap. “Terima kasih sebab temankan saya petang tadi.” Nurul
Syakira membuahkan senyuman bersama bait kata yang disusun rapi. Tiba-tiba saja
hatinya diketuk satu perasaan apabila Aiman membalas dengan renungan dan
senyuman yang menawan. Bila teringatkan memori petang tadi, Nurul Sakira makin
tidak keruan. Mereka boleh dikatankan mesra walaupun itulah kali pertama mereka
berjumpa.
“Tak apa-apa. Saya bangga kalau awak gembira.” Nada Aiman juga seakan
berubah, lebih lembut dari biasa.
Hati Nurul Syakira kian berdebar. “Err... saya pergi dululah ya. Saya nak
ke tandas sebenarnya tadi.” Cepat-cepat Nurul Syakira memberi alasan. Sengaja
dia mahu mengelak daripada situasi yang mula rasa kekok baginya. Ah, Nurul
Syakira saja yang perasan agaknya.
Lantas Nurul Syakira pantas melintasi Aiman. Sedangkan Aiman sekadar
menghantarnya dengan pandangan.
Nurul Syakira tidak kembali ke
restoran selepas pergi ke tandas. Sebaliknya kakinya melangkah ke tepi pantai
dan duduk bersantai di pangkin kecil, seperti petang tadi. Perasaannya petang
tadi terbawa-bawa hingga Nurul Syakira cuba mengelak untuk kembali bersama
teman-teman lain menikmati makan malam.
Nurul Syakira bimbang jika terserempak lagi dengan Aiman di restoran. Kalau
dibuatnya Aiman dengan selambanya menegur Nurul Syakira di depan Prof Narimah
dan yang lain-lain, tebal la muka Nurul Syakira. Bait kata lelaki itu yang
tiba-tiba berubah nada tadi juga sudah cukup buat Nurul Syakira berfikir
banyak.
“Ah, mungkin aku aje yang perasan lebih-lebih kut!” Nurul Syakira pantas
menggeleng kepala. Cuba mengusir fikirannya itu jauh-jauh.
Nurul Syakira melempar pandangan ke tengah laut. Gelap. Tidak dapat dia
bezakan antara lautan dan pantai. Hanya deruan ombak memukul yang sekali-sekala
memukul desiran pasir dapat didengarnya. Pandangannya beralih sedeikit demi
sedikit ke sepanjang pantai itu.
Di bawah pohon nyiur, Nurul Syakira terlihat seorang kanak-kanak lelaki
berusia lebih kurang empat tahun duduk sendirian. Tangan kanak-kanak itu
menepuk-nepuk ke pasir. Dikembur, lalu ditepuk lagi. Asyik benar kanak-kanak
itu bermain pasir walaupun agak gelap. Nurul Syakira meninjau kawasan
berdekatan kanak-kanak itu. Dalam dia tercari-cari, seorang wanita datang
mendekati kanak-kanak tersebut lalu menarik tangannya. Tidak lama, kanak-kanak
itu pun pergi bersama wanita itu dan seorang lelaki yang muncul pula selepas
itu, merangkul pinggang wanita tadi. Selepas itu, kanak-kanak itu pula beralih
dalam dukungan lelaki tadi. Tanpa disedari, Nurul Syakira mengulum senyuman
melihat pasangan itu bersama anak kecil mereka yang comel. Walaupun Nurul
Syakira tidak dapat melihat dengan jelas wajah anak kecil itu, tapi bagi Nurul
Syakira semua kanak-kanak comel di matanya.
“Apa rasanya hidup sendiri?”
Ada suara yang menegur sekaligus membuatkan Nurul Syakira tersentak dari
asyik melihat kanak-kanak tadi bersama ibu bapanya. Namun Nurul Syakira tidak
terus menoleh. Sebaliknya satu nafas panjang dilepaskan perlahan.
“Maksud aku, macam mana agaknya rasa anak kecil yang membesar tanpa ibu
bapa?”
Nurul Syakira menoleh setelah suara itu mengulang soalannya. Kali ini mata
Nurul Syakira membulat apabila melihat Joe Redzuan sudah duduk bersandar pada
tiang pangkin. ‘La, apa mamat ni buat dekat sini? Aku ingat mamat petang tadi
yang asyik tegur aku tiba-tiba.’ Ada nada kecewa dalam hatinya.
Dalam kegelapan malam yang hanya disinari cahaya bulan dan lampu yang jauh
beberapa kaki dari pangkin itu, Nurul Syakira dapat melihat wajah Joe Redzuan.
Memang tidak silap lagi lelaki itu sememangnya sedang merenung Nurul Syakira.
Lantas dengan segera Nurul Syakira membuang pandangannya ke tepi.
“Aku tak bermaksud nak sakitkan hati kau atau pun lukakan hati kau dengan
soalan aku tadi. Aku cuma cuba memahami apa rasanya kalau aku berada dalam
situasi tu.” Tersangkut-sangkut Joe Redzuan menjelaskan niatnya. Dia sendiri
tidak pasti bagaimana soalan itu yang terpacul keluar dari mulutnya awal tadi.
Bila berdepan dengan Nurul Syakira, Joe Redzuan sering saja melakukan sesuatu
yang di luar dugaannya sendiri.
“Kalau rasa soalan kau tu menyakitkan hati aku, tak payahlah tanya. Tak
payah susah-susah nak bayangkan diri kau berada dalam situasi tu. Kau tak akan
pernah faham apa rasanya,” balas Nurul Syakira acuh tak acuh bersama jelingan
tajamnya yang dipanah ke arah Joe Redzuan.
Joe Redzuan terdiam sejenak. “Siapa lelaki tu?” soal Joe Redzuan selepas
beberapa minit, cuba mengalih perhatian Nurul Syakira.
Nurul Syakira menoleh semula ke arah Joe Redzuan. Kemudian dia memandang
keliling, tercari-cari lelaki yang dimaksudkan Joe Redzuan.
“Aku tengok kau bukan main mesra lagi dengan lelaki tu. Macam dah lama
kenal. Ke memang korang memang rancang nak bercuti sama-sama. Sebab tulah kau
tak nak join aktiviti kami petang
tadi.” Joe Redzuan menebak sebarang.
Terkejut Nurul Syakira mendengar kenyataan Joe Redzuan. Lelaki itu kalau
tidak menyakitkan hatinya memang tidak sah. Ada saja modalnya untuk bertekak.
“Jangan nak merepek bukan-bukan. Kami baru aje kenal petang tadi. Aku bukan
pura-pura sakit. Dah memang kaki aku terseliuh. Kenapa kau nak sakit hati
pula?” Nurul Syakira tidak puas hati. Tangannya ringan saja mahu ketuk mulut
Joe Redzuan tapi dia tiada kekuatan untuk berbuat begitu. Suka-suka hati saja
lelaki itu meluahkan ayatnya.
“Oh, yakah?” Lambat Joe Redzuan membalas seakan tidak percaya. Tubuhnya
ditolak ke depan lalu tangannya menopang tubuh ke belakang. “Baguslah datang
sini terus jumpa lelaki idaman,” ujarnya lagi sambil mendongak ke langit.
‘Ni apa kes pula mamat ni? Merepek tak habis-habis?’ Nurul Syakira jadi
bingung. Dia tidak faham langsung akan nada Joe Redzuan yang bersengget seperti
cemburu terhadapnya. Apa kes hendak cemburu pada Nurul Syakira?
“Aik! Ada aku kata dia tu lelaki idaman aku ke, yang kau sibuk ni kenapa?
Kau cemburu ke?” Nurul Syakira memulangkan paku buah keras. Ambik kau. Sengaja
nak kenakan aku, aku kenakan kau balik. Getusnya geram.
Seperti dijangka Joe Redzuan gelabah diaju soalan itu. Kelam kabut Joe
Redzuan menafikannya. “Bila pula aku cemburu? Mana ada!” Tangan Joe Redzuan
sudah merayap ke tengkuk. Kemudian beralih ke tubuh dan menyeluk kocek seluar.
Seketika kemudian Joe Redzuan mengeluarkan iphonenya.
Nurul Syakira mencebik. Faham benar dia akan helah sebegitu. Dah malulah
tu. Dalam diam Nurul Syakira terus mencuri lihat reaksi Joe Redzuan. Lelaki itu
terus diam tanpa sepatah kata. Jarinya sibuk menyentuh skrin iphone sementara
tumpuannya sudah beralih kepada telefon pintar itu. Nurul Syakira panjangkan leher,
cuba curi-curi tengok paparan di skrin iphone Joe Redzuan. Dia dapat melihat
laman facebook yang dilayari Joe Redzuan. Lantas Nurul Syakira buka mata
luas-luas. Dia berniat untuk membaca isi laman facebook lelaki itu.
Seketika, Joe Redzuan menunjukkan reaksi terkejut lalu lelaki itu terus
berdiri. Dia kelihatan tercari-cari sesuatu di kawasan sekitar. Matanya
memandang setiap sudut dengan wajah yang curiga.
Nurul Syakira terus mencuri tengok pada iphone milik Joe Redzuan pada
tangan lelaki itu. Mukanya didekatkan ke telefon Joe Rezuan sedang lelaki itu
tidak menyedarinya kerana asyik tercari-cari entah apa. Bulat lagi mata Nurul
Syakira apabila terlihat sebuah gambar yang dimuat naik di laman itu. Gambar
Joe Redzuan duduk bersamanya di atas pangkin. Pantas tangan Nurul Syakira
menyambar iphone itu dari tangan Joe Redzuan.
Joe Redzuan serentak terkejut akan tindakan Nurul Syakira. Telefonnya
segera cuba dirampas semula daripada Nurul Syakira yang beria-ia membaca isi
pada skrin telefon itu. Namun Nurul Syakira berusaha mengelak.
‘Apa ni? Dekat sini yang jauh dari KL pun ada orang kenal mamat senget ni
juga ke? Bila masa pula dia orang ambil gambar ni?’ Nurul Syakira
tertanya-tanya sendiri apabila melihat gambar itu betul-betul. Memang benar itu
gambar dia bersama Joe Redzuan. Sempat dia membaca isi komen yang disertakan
bersama gambar tersebut sambil dia sibuk mengelak dari cengkaman Joe Redzuan
yang mahu mengambil semula telefonnya.
“Joe Redzuan pergi berbulan madu dengan isterinya? Apa ni?!” Nurul Syakira
benar-benar terkejut. Matanya menjeling ke kawasan keliling. Tidak perasan pula
jika ada orang yang lalu di situ tadi. Hanya sepasang suami isteri bersama anak
kecil tadi itu saja yang Nurul Syakira nampak. Siapa pula orang yang
menggunakan nama littleworld ini? Suka-suka hati menangkap dan menyebarkan
gambarnya di laman ? “Ish, tak boleh jadi ni!” Nurul Syakira sudah tidak boleh
bersabar. Dia perlu pertahankan diri.
“Apa kau buat tu?!” tujah Joe Redzuan kalut bercampur geram apabila melihat
jari Nurul Syakira menekan-nekan di dada skrin iphonenya. Telefon itu cuba
dirampas lagi tapi Nurul Syakira memang bijak mengelak.
Liana berjalan ke pantai selepas
makan malam. Sengaja dia mahu merasa angin di tepi pantai malam-malam begini.
Bila lagi dia berkesempatan mencubanya setelah pulang ke ibu kota petang esok.
Puas Liana mengajak Safia jalan bersama. Tapi adiknya itu lebih suka
menghabiskan masa di bilik. Mahu menonton televisyen katanya. Rancangan di
televisyen itu lebih menarik bagi Safia. Lebih baik duduk saja di rumah kalau
setakat hendak menonton televisyen. Datang jauh-jauh ke sini pun asyik memerap
dalam bilik bila ada masa terluang.
Liana terus berjalan ke arah pantai. Butir pasir yang halus terasa meloncat
ke atas kakinya setiap kali dia melangkah. Sebaik sampai hampir dengan pantai,
langkah Liana terhenti. Liana menarik nafas dalam-dalam, cuba menghirup udara
semulajadi yang begitu menyegarkan. Bayu laut yang terasa agak panas masih
terasa dingin menampar-nampar kulitnya.
Liana membuka matanya yang dikatup seketika. Kemudian dia meneruskan
langkah menerusi sepanjang pantai Pulau Redang itu. Rasa terhibur berjalan di
sini walaupun seorangan.
Setelah beberapa meter Liana berjalan, langkahnya terhenti sekali lagi.
Mata Liana tertancap ke arah bawah pohon kelapa. Dibukanya mata luas-luas.
Tidak syak lagi!
Joe Redzuan mengejar Nurul Syakira. Tangannya dipanjang untuk merampas
iphone miliknya dari tangan Nurul Syakira. ‘Boleh tahan juga perempuan ni. Dah
terdingkut-dingkut pun nak cari pasal dengan aku!’ Joe Redzuan bersusah-payah
tapi Nurul Syakira masih berjaya mengelak. ‘Tak ada cara lain!’ fikir Joe
Redzuan lantas tanpa banyak fikir, tubuh Nurul Syakira diterkamnya.
Dalam sekelip mata Nurul Syakira tersembam ke bumi dan Nurul Syakira terasa
badannya begitu berat. Belum sempat Nurul Syakira buka mata, dia dapat
merasakan ada tangan yang menyambar sesuatu daripadanya. Ada bunyi tapak kaki
yang berlari kemudiannya.
“Aduh... sakitnya” Nurul Syakira mengaduh sakit sambil cuba bangun
perlahan-lahan. Matanya kemudiannya mencari kelibat Joe Redzuan. “Hampeh punya
laki! Ada ke patut dia terjah aku macam tu. Tak tahu ke yang kaki aku ni
sakit!” gumamnya perlahan. Dilihatnya Joe Redzuan kalut membelek iphonenya.
Sementara Nurul Syakira mengomel sendiri sambil menepuk-nepuk pakaiannya yang
dipenuhi pasir.
“Apa yang kau buat ni?!” Tiba-tiba suara Joe Redzuan bergegar. Bergetar
gegendang telinga Nurul Syakira dibuatnya. Namun Nurul Syakira sengaja tayang
muka selamba. “Apasal kau pergi balas komen bawah gambar dekat facebook aku ni,
hah? Guna nama aku pula tu!” Joe Redzuan menayang-nayang skrin iphonenya ke
arah Nurul Syakira yang masih sibuk membersihkan pakaiannya. Sedikit pun Nurul
Syakira tidak tunjuk rasa bersalah. Terkejut Joe Redzuan membaca apa yang
ditaip gadis itu menggunakan namanya yang baru saja log masuk sekejap tadi.
“Padan muka kau! Itu adalah balasan untuk apa yang kau buat pada aku selama
ni.” Nurul Syakira membalas dengan tegas. Dalam hatinya melonjak gembira kerana
berjaya membalas komen dan cerita peminat-peminat lelaki itu yang tidak
henti-henti bercerita pasal gosip yang tidak benar. Paling teruk ia melibatkan
dirinya. Lagilah Nurul Syakira tidak sanggup. Sekarang, Nurul Syakira rasa
lega.
“Ha?” Joe Redzuan tunjuk reaksi terkejut. Seketika kemudian, tawa kecil
pula meletus keluar dari mulut lelaki itu.
Nurul Syakira menjeling. Tidak senang dengan tawa Joe Redzuan yang
tiba-tiba. “Apa kena dengan mamat ni? Tak betul ke apa?”
“Kau tahu tak apa yang kau dah buat ni?”
“Aku tahulah. Aku cuma beritahu kebenaran aje!” balas Nurul Syakira selamba
bagi menjawab soalan Joe Redzuan.
“Maaflah saya nak perbetulkan keadaan dekat sini. Saya dengan perempuan
dalam gambar ni sebenarnya bukan suami isteri. Kami tak ada apa-apa hubungan
selain daripada kawan rapat.” Joe Redzuan tergelak lagi. Kali ini lebih kuat.
“Sopannya kau taip ayat untuk aku!” tambahnya lagi dalam tawa yang masih
bergema.
Nurul Syakira melempar pandangan tajam ke arah Joe Redzuan apabila lelaki
itu membaca isi yang ditulisnya tadi dengan kuat. Tapi bila fikir balik, untuk
apa Nurul Syakira rasa marah. Nurul Syakira patutnya rasa bangga sebab sudah
berjaya mempergunakan nama Joe Redzuan untuk menyelamatkan dirinya. Sekejap
lagi, semua orang akan tahu dan tak adalah cerita yang melibatkan dirinya lagi
lepas ni. Tiba-tiba Nurul Syakira rasa seronok tapi tidak sempat lama sebaik
dia teringatkan sesuatu. Kalau Nurul Syakira menggunakan akaun Joe Redzuan
untuk menyampaikan mesej tersebut, tentulah...
“Kau jangan nak delete pula komen
tu!” tujah Nurul Syakira memberi amaran. Walabagaimanpun amarannya itu dibalas
pula dengan senyuman penuh makna oleh Joe Redzuan. Serta-merta Nurul Syakira
berkerut tidak memahami apa yang difikirkan lelaki itu.
“Kalau aku delete, apa yang kau
boleh buat lepas ni?”
Nurul Syakira menggumam bibir apabila soalan itu yang diajukan kepadanya.
Tergamam atau memikirkan apa yang akan dilakukannya, sepertimana yang disoal
Joe Redzuan. Ah, Nurul Syakira tidak pasti. Otaknya seakan kosong.
“Aku punya sukalah nak delete
atau nak biarkan aje komen kau tu dekat situ. Ini akaun aku. Aku boleh buat
apa-apa. Tapi aku lebih suka kalau biarkan aje...” ujar Joe Redzuan lagi sambil
terus tersenyum simpul. Kemudian, Joe Redzuan berlalu pergi meninggalkan Nurul
Syakira.
Nurul Syakira mendengus memerhati respon Joe Redzuan. Makin jengkel hatinya
melihat lelaki itu. Namun Nurul Syakira tidak ambil endah akan bait kata yang
Joe Redzuan lemparkan sebentar tadi. Hatinya puas.
“Hai, baru balik dari dating dengan anak bos ke?”
Terdengar suara Liana sebaik Nurul Syakira masuk ke dalam biliknya. Lantas
Nurul Syakira sekadar membalas dengan jelingan. Malas dia mahu melayan. ‘Hai
cik akak ni. Hari tu dia juga yang sibuk nak duduk sebilik dengan adik dia.
Tapi bila dah sampai sini, asyik menyibuk dekat bilik aku aje. Mentang-mentang
la bilik ni bersambung dengan bilik dia. Ish, tak boleh jadi ni. Aku kena kunci
pintu penghubung tu lepas ni.’ Getus Nurul Syakira dalam hati dan terus hempas
tubuh ke katil.
“Kenapa kau jumpa lagi dengan mamat tu? Kau kata tak suka dia?” Fara Hana
pula menyoal sambil menepuk peha Nurul Syakira yang cuba melelapkan mata. “Ni
Yana ni tadi kata nampak kau dekat pantai berdua-duaan. Ha, kalau dibuatnya ada
pencegah maksiat dekat sini, tak pasal-pasal kau kena tangkap basah dengan dia.
Nanti jadi suami isteri betul pula...” Perlahan suara Fara Hana melengkapkan
ayat terakhirnya itu. Bibirnya sengaja digumam rapat supaya Liana tidak
mengerti isi luahannya tadi. Kalau pecah mulut, mesti Nurul Syakira bising
nanti.
“Suka hati kau oranglah nak cakap apa. Aku dah tak peduli dah apa yang
orang nak gosip lepas ni. Tak ada kena-mengena dengan aku.” Nurul Syakira
membalas dengan malas. Kemudian dia bangun dari baring. “Yang penting sekarang
aku dah bebas!” Beria-ia pula Nurul Syakira menyatakan perasaannya itu
sekaligus bikin Fara Hana dan Liana tertanya-tanya tidak mengerti.
No comments:
Post a Comment