Tips kedua: Kira suka baca komik
Joe Redzuan tergelak apabila diberitahu tentang itu oleh
Fara Hana. Baca komik? Umur dah tua bangka pun suka baca komik? Aku ingatkan
budak-budak aje yang suka baca buku macam tu.
Seperti semalam, hari ini Joe Redzuan ponteng latihan
sebelah pagi sekali lagi. Mesti bising Daniel bila dia masuk studio petang
nanti. Semalam pun ketua kumpulan itu sudah bising-bising walaupun baru pertama
kali Joe Redzuan datang lewat. Kalau Loqman yang dah menjadi tabiatnya datang lewat
setiap kali latihan, tidak pula Daniel bising. Mentang-mentanglah Joe Redzuan
banyak buat hal akhir-akhir ini. Pantang silap sikit sudah kena bambu.
Pagi-pagi lagi Joe Redzuan sudah menunggu di luar kedai
buku. Belum sempat pekerja kedai itu mengemas kedai, Joe Redzuan sudah meluru
masuk. Matanya melilau pandang keliling. Mencari rak komik dalam kedai itu.
Langkahnya dihayun laju dan terus berhenti di depan rak yang dipenuhi pelbagai
jenis komik.
Joe Redzuan ternganga. Kaca mata hitamnya ditanggalkan dari
muka. Kemudian satu keluhan halus dihempas perlahan.
Alamak! Yang mana pula aku nak beli ni? Jenis yang macam
mana minah tu suka baca? Fara tak ada pula beritahu.
Antara komik hiburan, sains fiksyen atau novel grafik...
Joe Redzuan tidak dapat membuat keputusan. Entah yang mana satu yang digemari
gadis bernama Nurul Syakira. Joe Rezduan berfikir di depan ratusan komik di
depannya.
‘Perempuan... perempuan... emm, mestilah perempuan suka
baca cerita cinta kan. Lagi pun mesti minah tu pun kuat berangan. Jadinya...’
omelnya sendiri. Lantas salah satu novel grafik di depannya dicapai,
dikeluarkan daripada plastik bungkusannya, diselak, kemudian dibaca dari awal.
Selepas lebih kurang lima belas minit, novel grafik itu
habis dibacanya. Joe Redzuan capai satu lagi novel grafik yang lain dan
dibacanya terus. Hingga satu masa, dia sudah duduk bersila di depan rak itu.
Satu per satu novel grafik dibacanya hingga sudah bertimbun di sebelah.
“Eh... eh... eh.. kau tengok mamat tu.”
Joe Redzuan terdengar suara omongan manusia seperti cuba
menarik perhatian temannya. Suara itu begitu dekat dengannya. Namun Joe Redzuan
buat tidak kesah. Biasalah tu bila sudah ramai di kedai itu, mesti banyak suara
yang didengarnya.
“Kau tengok muka mamat tu. Kau perasan tak muka dia merah.
Takkanlah sebab baca komik cinta tu muka dia jadi merah kut!” Gadis itu
menebak. Seorang kawannya yang mendengar tertawa.
Joe Redzuan menoleh. Suara tawa itu seakan menarik
perhatiannya. Kelihatan dua orang gadis remaja memandang ke arahnya. Kemudian gadis
itu kalut mengalih pandangan mereka sebaik menyerdari Joe Redzuan memandang
mereka. Ada tawa dan senyum yang cuba diselindungkan dengan jari.
Dahi Joe Redzuan berkerut halus. ‘Orang yang budak tu
maksudkan tadi aku ke?’ Joe Redzuan meraba pipi. Ditolehnya pula ke sebelah
kanan. Tiada orang lain di sebelah situ. Betulkah dirinya? Novel grafik yang
sedang dibacanya direnung. Masakan Joe Redzuan pula yang fikir macam-macam
ketika membaca novel grafik tersebut. Subhanallah. Sabar sajalah.
Joe Redzuan angkat tangan kiri paras dada. Matanya
merenung jarum pada jam di tangan. Alamak. Sudah dekat dua jam dia membaca di
depan rak ini saja. Tapi belinya tidak juga. Lantas tanpa banyak berfikir, Joe
Redzuan bangkit dari duduk, memungut semua buku yang dibacanya tadi dan dibawa
ke kaunter bayaran.
Dalam perjalanan ke rumah Nurul
Syakira, berkali-kali Joe Redzuan menjeling ke arah bungkusan buku-buku yang
dibelinya tadi. Sesekali dia tergelak kecil. Mesti Nurul Syakira teruja dan
gembira bila Joe Redzuan memberinya buku-buku itu nanti. Biar terbeliak biji
mata, biar merah pipi Nurul Syakira bila membacanya.
Joe Redzuan tertawa lagi. Cinta tidak semudah dalam lukisan itu. Dalam
cerita, boleh saja dibuat watak utama itu mudah untuk jatuh cinta. Gaduh
sikit-sikit lepas itu jatuh hati. Itu perkara biasa yang manusia dambakan. Tapi
realitinya, cinta itu begitu kompleks. Atau Joe Redzuan sendiri yang merumitkan
keadaan?
Satu keluhan dihempas perlahan. Alamak! Jalan sesaklah pula. Lambatlah dia
dapat menjenguk bakal buah hati. Tambah lambatlah dia akan masuk studio hari
ini. Ah, tidak perlu masuk terus lagi bagus. Tidak perlulah Joe Redzuan menadah
telinga mendengar suara sumbang Daniel.
“Astagfirullahalazim...” Nurul Syakira mengucap panjang apabila dekat
sedozen komik Joe Redzuan letakkan di atas meja di depannya. Komik-komik itu
ditenung lama dengan mulutnya yang sedikit ternganga. Kemudian dipandangnya
pula muka Joe Redzuan silih berganti.
Ni apahal pula la mamat ni hari-hari datang rumah aku? Sekejap datang bawa
makanan, sekarang bawa komik bertimbun pula. Apa yang dia cuba nak buat?
Komik yang dibeli Joe Redzuan pula semuanya jenis novel grafik, yang tidak
pernah Nurul Syakira baca seumur hidup. Kalau dibelinya komik hiburan atau
majalah seperti Ujang ke, Apo? ke... Gila-Gila ke, seronoklah juga Nurul
Syakira baca. Berguling-guling dia ketawa.
“Kau mesti bosan duduk rumah seorang. Sebab tu aku belikan buku-buku ni.
Boleh la relaks sambil tengok buku yang ringan isinya...” ujar Joe Redzuan
tersengih-sengih. Yakin saja bunyinya. Sedangkan Nurul Syakira tidak berkenan
langsung dengan buku yang dibawanya.
“Apa kejadahlah kau bawa buku semua ni? Kalau kau bawakan aku buku-buku
yang berilmu sikit tak apalah juga. Macam buku agama ke, buku teladan ke. Ini
kau bawa buku yang entah apa-apa, yang aku tak lalu pun nak baca.” Nurul
Syakira membalas dengan nada sindiran. Buku di depan mata ditolak-tolak dengan
tangan. Sengaja dia mahu sakitkan hati Joe Redzuan.
Eh, perempuan ni. Demanding pula.
Kalau aku bawa buku agama nanti, kau kata aku saja nak menyindir dan sakitkan
hati kau pula. Kalau tak kerana kawan kau tu kata kau suka baca komik, jangan
kata membaca, pergi kedai buku pun aku malas.
“Hai, Yana. Ada sampel untuk
projek awak ke hari ni?” Aiman menegur sebaik melihat kelibat Liana di klinik Surgeri.
Sibuk benar nampaknya gadis itu menulis sesuatu atas borang. Dijengahnya
sekilas borang itu. Borang kebenaran pesakit untuk menjadi subjek projek
rupanya.
“Oh, Dr. Ak’ah... tadi Kak Ana kata ada patient
untuk saya. Sekejap lagilah kut saya boleh masuk dalam,” jawab Liana sambil
mendongak memandang Aiman. Kemudian jarinya kembali menulis baki maklumat yang
perlu diisinya sebelum Kak Ana memanggil. Kalau Kak Ana sudah panggil nanti,
takut terkocoh-kocoh pula dia menyiapkan borang itu. Terlupa pula dia mahu
menyiapkannya awal-awal semalam.
“Emm... Kira MC lagi ke hari ni?” soal Aiman yang sudah duduk selang dua
kerusi dari tempat duduk Liana.
Liana menyudahkan kerjanya. Lambat dia menjawab soalan Aiman tadi. Borang
yang siap diisi dikemas sekejap.
“Kira... emm.. ha, dia tak datang lagi hari ni. Tak tahulah dia cuti sampai
bila. Kenapa Dr?” Liana pula menyoal lalu menoleh ke muka Aiman. Aik, tanya
pasal Kira aje ke? Tak nak ke tanya orang depan mata ni... sihat ke, dah makan
ke. Getus hatinya lagi dalam diam.
Aiman tersenyum lantas menggeleng. “Tak ada apa.”
Perbualan mereka berhenti di situ. Seketika kemudian, Liana terpaksa
beredar kerana namanya sudah dipanggil oleh Kak Ana. Yes! Dapat satu lagi sampel untuk projeknya. Dapat dua orang lagi
pesakit, cukuplah sampel untuk projek sarjananya. Bolehlah Liana tumpukan
perhatian kepada penulisan tesis pula selepas ini. Tapi kecil hati jugalah pada
Aiman yang sikit pun tidak bertanyakan tentang dirinya. Setiap kali Liana
tayang muka depan Aiman, soalan tentang Nurul Syakira yang keluar dari mulut
lelaki itu. Kecil hati betul.
“Kalau kau tak mahu, tak apa. Aku
bawa balik buku-buku ni!” Joe Redzuan bersuara semula apabila perbualan mereka
agak lama membisu. Banyak cekadak pula minah ni. Buku-buku itu diambilnya satu
per satu. Namun tangan Nurul Syakira pula mengaut buku-buku itu dari meja
sebelum sempat Joe Redzuan memasukkan semuanya ke dalam beg plastik semula.
Muka Nurul Syakira ditenung.
“Dah bagi, ambil balik. Buruk siku!” tempelak Nurul Syakira selamba.
Joe Redzuan hampir tergelak.
Eleh, tadi jual mahal. Sibuk mengutuk buku yang aku beli tapi bila aku nak
ambil balik, tak bagi pula. Suka cakap ajelah suka.
Satu buku di selak Nurul Syakira lalu dia hempas tubuh ke belakang sofa.
Perlahan-lahan dibacanya buku itu. Emm... sah cerita cinta. Lemah jantung Nurul
Syakira membacanya tapi Nurul Syakira tetap berlagak tenang. Cinta... memang
sudah lama diidamnya sejak dulu tapi tidak pernah walau sekalipun cinta itu
datang mengetuk hatinya. Hai, siapa yang tidak mahu bercinta. Cuma belum jumpa
yang berkenan di hati. Yang ada di depannya sekarang ini, macam orang kurang
siuman.
Terkejut Nurul Syakira apabila dijelingnya ke arah Joe Redzuan, lelaki itu
sudah tercangkung di depan kakinya. Mata Joe Redzuan ke kiri dan ke kanan
membelek kakinya lantas dengan segera Nurul Syakira menarik kakinya.
Apa pula yang mamat ni cuba buat?
Nurul Syakira dapat merasakan jantungnya yang berdetak kencang. Masyaallah.
Baru saja dia membaca cerita cinta dari novel grafik yang dibeli lelaki itu.
Lelaki itu pula sudah buat tindakan yang bikin Nurul Syakira sakit jantung.
Astagfirullah... Kira, bertenang... bertenang. Nurul Syakira mengucap
banyak-banyak dalam hati.
“Ops... maaf. Aku cuma nak tengok sama ada kaki kau dah hampir sembuh ke
belum,” jelas Joe Redzuan apabila melihat riak Nurul Syakira yang terkejut. Dia
juga nampak pipi gadis itu yang putih mula kemerahan. Sedikit demi sedikit
warna itu semakin jelas. Lantas Joe Redzuan berdiri. “Kau bacalah buku ni
sampai habis. Aku balik dulu.” Joe Redzuan meminta diri dan terus berlalu
keluar.
Nurul Syakira masih tergamam dan hanya mampu menghantar lelaki itu pergi
dengan pandangannya yang kosong. Dia tidak mampu bersuara walau sepatah.
Sedangkan banyak yang ingin dilontarkan kepada lelaki itu. Betapa dia terkejut,
malu, dan geram atas tindakan Joe Redzuan sekejap tadi. Apa yang cuba
dilakukannya?
No comments:
Post a Comment