“Kira!” Lantang suara Dani Imran
menerjah gegendang telinga Nurul Syakira sebaik panggilan lelaki itu
dijawabnya. Bergegar otak Nurul Syakira dibuatnya. “Kau tahu tak hari apa hari
ni?”
Nurul Syakira menggosok-gosok telinganya sambil matanya pula menjeling ke
kalendar di atas meja. “Hari ni? Hari Jumaat. Yang kau terpekik-pekik dalam
telefon ni, tak beri salam tak apa, kenapa? Aku belum pekak lagilah.
Silap-silap kau yang buat aku pekak tau.”
“Assalamuailaikum!” Dani Imran memberi salam.
“Waalaikumsalam...” Nurul Syakira pula menyambut salam. Kepalanya spontan
digelengkan. “Ha, kau ni tak pergi sembahyang jumaat ke? boleh pula telefeon
aku.” Nurul Syakira pula mengenakan Dani Imran.
“Tak payah kau nak sindir-sindir aku. Aku dah memang dekat depan tangga
masjid dah ni.”
Nurul Syakira terbeliak. ‘La, dekat depan tangga masjid kau memekik nama
aku buat apa? Senget betullah abang angkat aku ni!’ Kata-kata itu bermain-main
di benak Nurul Syakira. Jika dibayangkan situasi di masjid itu, pasti banyak
mata yang memandang Dani Imran. Pasti mereka juga menggeleng-gelengkan kepala
seperti apa yang Nurul Syakira lakukan sekarang. Tidak munasabah sungguh
tindakan lelaki itu.
“Ah, tak apalah. Nanti aku datang tempat kau dengan Fara. Kami ada surprise untuk kau! Gitu ajelah. Aku nak
pergi solat ni!”
Nurul Syakira berkerut-kerut apabila panggilan telah diputuskan oleh Dani
Imran. “Surprise? Kalau surprise buat apa bagitahu. Tak surpriselah!” Nurul Syakira mencebik.
Tidak faham benar dia dengan perangai Dani Imran. Walaupun mereka membesar
bersama, namun Nurul Syakira tidak pernah memahami lelaki itu. Ataupun Nurul
Syakira yang sebenarnya memang sukar untuk memahami kaum Adam?
Nurul Syakira menarik tangan
Dani Imran, membawa lelaki itu pergi beberapa langkah. “Apa kau buat ni?”
“Buat apa? Itulah surprise untuk
kau. Tu! Kek yang terpampang besar atas meja tu. Hari ni kan hari jadi kau. Itu
pun tak ingat ke?” Panjang lebar Dani Imran membalas sambil muncungnya menghala
ke arah kek di atas meja. “Kek Baskin Robbins lagi tau! Jangan main-main. Ha,
sayang tak sayang aku dekat kau.”
Nurul Syakira nampak kek itu dari jauh. Sayang? Nurul Syakira hampir
tergelak dalam hati tapi ini bukan masanya untuk dia ketawa. “Surprise apa kau bagi dekat aku ni? Apa
mamat tu buat dekat situ?” Nurul Syakira berbisik. Matanya dijeling sekilas ke
arah Joe Redzuan yang turut bersama Fara Hana. Selamba saja muka lelaki itu
seperti tiada apa yang berlaku antara mereka. Entah bagaimana Nurul Syakira
perlu berdepan dengan lelaki itu. Nurul Syakira betul-betul rasa janggal.
“Oh, Joe Redzuan?” Dani Imran menyoal kembali dengan nada bersahaja. “Yang
itu bukan surprise yang aku nak bagi
dekat kau. Tapi sekarang dah kira surprise
jugalah kan.”
“Surprise la sangat! Dia buat apa
dekat sini?” bisik Nurul Syakira lebih keras.
“Alah, tadi dia yang tegur Fara masa dia kebetulan lalu sini. Itu yang dia
nampak kek hari jadi kau tu. Lepas tu, dia kata nak join raikan hari jadi kau sama-sama. Aku pun ajaklah. Dia tu kan
suami kau juga. Aku pun musykil macam mana dia kenal Fara. Dia ada hati nak tackle awek aku pula ke? Ish, tak boleh
jadi ni. Aku kena berhati-hati dengan mamat tu!”
La, ke situ pula! Nurul Syakira jadi bingung. “Bila pula dia jadi suami
aku?” Bergetar suara Nurul Syakira memuntahkan soalan itu namun nadanya
perlahan.
Dani Imran pula boleh ambil ringan soalan Nurul Syakira lantas mengajak
Nurul Syakira kembali ke tempat duduk mereka. “Cepatlah! Nanti cair pula kek
kau tu. Mahal tu aku beli!”
Dasar lelaki kedekut. Itu pun nak berkira. Kalau rasa mahal sangat, tak
payahlah susah-susah beli. Getus Nurul Syakira geram. Matanya menjeling Joe
Redzuan yang masih duduk di depan tempat Dani Imran dengan muka tidak malu.
Hanya satu tempat kosong di meja itu. Nurul Syakira hempus nafas yang memberat.
Takkanlah Nurul Syakira terpaksa duduk di sebelah Joe Redzuan pula? Hati Nurul
Syakira terus menjerit tapi melihatkan niat baik kawannya yang mahu meraikan
hari jadinya bersama, Nurul Syakira rasa lembut hati. Terpaksalah Nurul Syakira
tutup mata dan buat-buat seperti lelaki yang bakal duduk di sebelahnya itu
tidak wujud.
“Rupa-rupanya kau dua tahun lagi
tua dari aku!”
Nurul Syakira tidak senang apabila tiba-tiba saja Joe Redzuan mengeluarkan
kenyataan itu. Apa masalahnya dan apa tujuannya? Sengaja hendak memberitahu
Nurul Syakira umurnya ataupun hendak kata umur Nurul Syakira tidak padan dengan
fizikalnya yang rendah?
“Ha, kenapa kalau aku lagi tua dari kau? Kau nak kata aku ni tua, tak padan
dengan badan aku yang pendek macam budak sekolah ni ke?” tujah Nurul Syakira
sambil tayang muka tidak puas hati. Sekaligus kata-katanya itu mengundang tawa
Joe Redzuan yang terhembur keluar. “Apasal kau gelak? Aku bukan ada buat lawak
pun!” tambahnya lagi sambil mencegilkan mata.
“Aku tak ada kata apa-apa pun. Tapi kau sendiri yang mengaku.” Bersahaja
suara Joe Redzuan.
“Sebab aku lagi tua dari kau, kau patutnya hormat sikit kat aku ni.
Patutnya kau panggil aku akak tau!”
Tersembur lagi tawa Joe Redzuan mendengar cadangan Nurul Syakira. “Panggil
kau kakak?” Lucu benar Joe Redzuan mendengarnya. “Buat apa aku nak panggil kau
akak. Kau bukannya akak aku. Lagipun, kalau kau tak beritahu umur kau bukannya
orang tahu kau tu lagi tua ke lagi muda. Melainkan kalau kau tu tak pandai nak
jaga kulit, tarik muncung hari-hari. Ha, cepatlah muka kau berkedut!” Tempelak
Joe Redzuan selamba lalu menyambung tawanya yang masih berbaki.
Nurul Syakira membuang pandangannya ke kanan. Sakit hatinya melayan Joe
Redzuan. Dani Imran dan Fara Hana ini pun entah ke mana hilang bayangnya. Kata
tadi sekadar hendak pergi ke koperasi untuk membeli air. Lama betul mereka
pergi dan meninggalkan Nurul Syakira dengan mamat otak senget dekat sebelah ni.
“Macam mana hubungan kau dengan lelaki idaman dekat Redang dulu?” Tiba-tiba
suara Joe Redzuan bertukar serius. Pantas Nurul Syakira menoleh kerana hal itu
dibangkitkan. Pantang betul dia apabila Joe Redzuan bercakap
sewenang-wenangnya. Tidak habis-habis cakap lelaki itu lelaki idamannya.
Menyampah betul. Namun Nurul Syakira terpanar melihat riak Joe Redzuan yang juga
berubah rona. Kenapa wajah Joe Redzuan serius bertanyakan hal itu?
Kalut Nurul Syakira mengalih pandangannya dari renungan Joe Redzuan. Tanpa
disedari Nurul Syakira jadi tidak keruan. “Kenapa kau nak tahu pasal tu pula?
Ada kena-mengena dengan kau ke?” Soalan itu sempat dilontarkannya dan terus
mengangkat punggung meninggalkan tempat itu tanpa mendengar jawapan Joe
Redzuan.
“Kenapa tiba-tiba dia tanya aku pasal Aiman pula? Apa kena-mengena dengan
dia? Sibuk aje! Lepas tu nak tunjuk muka serius dia tu dekat aku, apa halnya?!”
Nurul Syakira terus mengomel sendiri sambil memanjangkan langkah.
No comments:
Post a Comment