Dalam perjalanan balik ke bilik
selepas mengisi perut, Nurul Syakira teringat akan pesanan Prof Narimah
kepadanya semasa makan malam tadi.
“Korang balik dululah ya. Aku ada hal sikit.” Dengan segera Nurul Syakira
bersuara sekaligus mematikan perbualan kawan-kawannya yang asyik bercerita
keenakan makanan yang baru saja mereka nikmati tadi. Makanan hotel mewah,
mestilah high class. Kalau tidak
kerana Prof Narimah hendak belanja, tidak merasalah mereka nikmati hidangan
sebegitu.
“Kau nak pergi mana? Nak dating
dengan anak bos eh?” Liana pantas bertanya. Sempat dia mengusik Nurul Syakira.
“Pandai-pandai aje kau ni. Prof nak jumpa akulah. Ada hal nak bincang
sikit.” Pantas juga Nurul Syakira menjawab sekaligus menafikan telahan Liana.
“Nak bincang pasal nak masuk meminanglah kut!” Seloroh Liana selamba. Fara
Hana sudah bulat mata memandang Liana dan Nurul Syakira berselang-seli.
‘Tak payah nak bincang-bincang. Memang dah masuk meminang dah pun sebelum
ni!’ Mahu saja Fara Hana menyampuk begitu. Tapi bila terfikirkan reaksi yang
bakal dia terima daripada Nurul Syakira, lebih baik Fara Hana diamkan diri.
“Prof nak bincang pasal projek master
akulah.” Tenang Nurul Syakira menjawab usikan Liana walau dalam hati sebenarnya
sudah berombak kuat.
“Projek master? Wah! Akhirnya... welcome to the club Kira!” Liana turut
tumpang gembira. Tangan Nurul Syakira disambar dan digoncang berkali-kali
dengan perasaan teruja. “Tahniah... tahniah!”
“Terima kasih. Ha, lepas ni kau kenalah banyak beri tunjuk ajar dekat aku.
Kau kan senior. Okeylah, aku pergi dulu. Nanti lama pula prof tunggu aku. Tak
manislah biar penyelia pula yang tunggu student
kan.” Nurul Syakira menyudahkan ayatnya lalu mereka membawa haluan sendiri.
Dari depan pintu bilik Prof
Narimah, Nurul Syakira dapat mendengar suara ombak menghempas pantai. Tahulah
Nurul Syakira yang bilik Prof Narimah menghadap pantai. Pasti cantik
pemandangan dari sini.
Loceng bilik Prof Narimah ditekan beberapa kali. Namun pintu itu masih
belum dibuka. ‘Agaknya prof belum balik bilik kut. Masih berborak dengan Dr.
Haslindalah agaknya.’ Nurul Syakira meneka. Teringat akan pesanan Prof Narimah
supaya Nurul Syakira menunggu di dalam bilik itu. Kad akses untuk bilik Prof
Narimah juga sudah diserahkan kepada Nurul Syakira.
Nurul Syakira mengeluarkan kad tersebut dari kocek seluar jeansnya lalu kad
itu ditenung lama. ‘Tak apa ke aku masuk ni? Tunggu dekat luar ajelah!’ Nurul
Syakira telah membuat keputusan.
Baru sepuluh minit Nurul Syakira menunggu di luar, tubuhnya sudah terasa
menggigil dihembus bayu malam yang dingin. Menyesal pula dia pakai baju yang
agak nipis malam itu. Lantas tanpa banyak berfikir, Nurul Syakira masuk juga ke
dalam bilik Prof Narimah. Bukannya Nurul Syakira pecah masuk. Prof Narimah juga
yang sudah beri kebenaran, tak salah rasanya Nurul Syakira tunggu di dalam.
Nurul Syakira hanya mengikut arahan.
Terpegun Nurul Syakira melihat ruang dalam bilik Prof Narimah. Bilik itu
jauh lebih luas dari biliknya. Lengkap dengan sofa di satu ruang seperti ruang
tamu rumah. Perlahan-lahan kaki Nurul Syakira melangkah masuk sambil melihat
keliling bilik itu.
Seketika, Nurul Syakira tersentak apabila mendengar bunyi seperti pintu
dibuka. Nurul Syakira mencari-cari arah bunyi itu. ‘Eh, prof dah balik ke?’
“Minta maaf, prof. Saya dah masuk bilik prof. Prof kata-” Tidak sempat
Nurul Syakira menyudahkan ayatnya, dia sudah tergamam sebaik melihat kelibat
seorang lelaki keluar dari satu ruang. “Apa kau buat dekat sini?!” soal Nurul
Syakira dengan nada tinggi. Hatinya bergetar kuat melihat Joe Redzuan yang
tadinya sibuk menggosok-gosok rambut dengan tuala memandangnya. Badan Nurul
Syakira serta-merta kaku tidak mampu digerakkan.
“Apa kau buat dekat sini?” Joe Redzuan juga mengajukan soalan yang sama.
Namun berlainan dengan Nurul Syakira, nada Joe Redzuan lebih bersahaja.
“Ni bukan bilik Prof Narimah ke?”
“Betul...” Lambat Joe Redzuan mengiyakan sambil tayang muka seposen.
“Habis tu, kau buat apa dekat sini?” Nurul Syakira semakin tidak keruan.
Suaranya sudah terketar-ketar walau cuba bertenang. Melihat Joe Redzuan yang
hanya berseluar pendek paras lutut dengan tuala tersangkut di tengkuknya dengan
selamba menghenyak punggung di sofa depan Nurul Syakira. Nurul Syakira kian
gelabah.
“Prof Narimah tu kan Umi aku. Suka hati akulah nak tumpang mandi ke nak
buat apa. Kau pula tiba-tiba muncul dekat sini buat apa?”
“Macam mana kau masuk sini?” soal Nurul Syakira lagi tanpa menjawab soalan
Joe Redzuan yang sudah acap kali diajukan kepadanya.
“Dengan kad akses abah akulah. Yang kau ni banyak tanya ni kenapa?” Joe
Redzuan memerhati Nurul Syakira. Gadis itu tetap kaku tidak bergerak. Namun Joe
Redzuan dapat melihat nafas Nurul Syakira yang seakan mencungap. “Kau ni tak
pernah tengok lelaki tak berbaju ke? Apasal kau nampak gelabah semacam aje? Aku
bukannya berbogel depan kau pun.” Selamba Joe Redzuan bersuara.
Tambah rancak debaran di dada Nurul Syakira mendengar kenyataan Joe
Redzuan. Pantas dia menjawab. “Itu pun separuh bogellah namanya!”
Joe Redzuan menarik tuala dari tengkuknya. Tuala itu digenggam dengan
tangan. “Tapi kau tengok juga.”
Kata-kata Joe Redzuan itu bagai merentap jiwa raga Nurul Syakira. Lantas
Nurul Syakira mengumpul segala tenaga. Dia cuba mengangkat kaki yang terasa
begitu berat untuk keluar dari bilik itu.
“Eh, kau nak ke mana pula tu? Bukan kau nak jumpa Umi aku ke?”
Nurul Syakira tidak mempedulikan pertanyaan Joe Redzuan. Kakinya diangkat
selangkah demi selangkah. Macam kena simen pula beratnya. ‘Ya Allah, berilah
hambaMu ini kekuatan...’
“Kau takut kena tangkap basah dengan aku ke? Takkan takut kut. Kau kan bini
aku...” Tempelak Joe Redzuan lagi nakal. Sengaja dia mengusik Nurul Syakira.
Mahu melihat reaksi gadis itu.
“Tak ingin aku jadi bini kau!” Nurul Syakira akhirnya bersuara setelah
pintu bilik dibuka. Lantas dengan sepenuh hati, dia menghayun kaki keluar dari
bilik itu.
Joe Redzuan tersenyum. Matanya sekadar memerhati gerak geri Nurul Syakira
dari tempatnya duduk. Geli hati pula melihat reaksi Nurul Syakira begitu.
“Comel juga perempuan ni...”
“Tak guna punya mamat! Tak
senonoh betul! Apa yang dia fikir? Otak dia tu dah rosak ke?” Berkali-kali
Nurul Syakira membebel sendiri sambil terhentak-hentak berjalan. Geram betul
hati Nurul Syakira sekarang ini. Makin menjadi-jadi bengkaknya. “Ish, kenapa
aku tak tanya dia tadi apa yang dia dah beritahu pada prof sebelum ni? Ish!”
Nurul Syakira meluku kepalanya sendiri. Langsung terlupa dia mahu bertanya hal
itu. Tapi niat dia ke sana juga hanyalah untuk bertemu Prof Narimah kerana ada
hal yang mahu dibincangkan. Tidak sangka pula yang dia akan bertemu lelaki itu
di bilik Prof Narimah pula. Hai, apalah malang sungguh nasib Nurul Syakira
berjumpa Joe Redzuan.
“Tak malu!” Tiba-tiba Nurul Syakira menjerit sekuat hati. Melepaskan geram
yang berbuku di hati hingga matanya tertutup rapat. Buka-buka mata saja Nurul
Syakira dapat melihat wajah Prof Narimah di depannya. Nurul Syakira kesat mata
berkali-kali. Betulkah apa yang Nurul Syakira nampak?
Prof Narimah sudah terpacak di depan Nurul Syakira dengan wajah hairan. Di
sebelah Prof Narimah, Encik Sulaiman juga ada bersama.
‘Alamak! Prof dengar ke apa yang aku cakap tadi?’ Nurul Syakira kalut dalam
hati.
“Kamu nak ke mana tergesa-gesa ni, Syakira. Mesti kamu dah lama tunggu
saya. Maaflah, saya asyik berbual dengan Dr. Haslinda tadi sampai tak perasan
masa berlalu. Jom, ikut saya sekejap. Kita bincang secara ringkas saja.” Prof
Narimah mengajak.
Nurul Syakira tidak keruan. Tangannya menyapu belakang tengkuk perlahan.
“Boleh, prof. Tapi, boleh tak kalau kita bincang dekat tempat lain aje?” Nurul
Syakira bertanya penuh harap. Harap-harap Prof Narimah akan mengiyakan
permintaannya tanpa bertanyakan sebabnya.
“Kenapa pula?”
Hati Nurul Syakira dipukul satu perasaan kecewa apabila soalan itu keluar
juga dari mulut Prof Narimah. Apa patut Nurul Syakira jawab? Patutkah Nurul
Syakira jawab kerana Joe Redzuan ada di sana? Kalau Prof Narimah dengar apa
yang Nurul Syakira jerit sebentar tadi, mesti Prof Narimah boleh hidu apa yang
berlaku. “Err... tak ada apa, prof. Cuma...”
“Oh, ni mesti sebab Wan ada lagi dekat dalam kan.” Encik Sulaiman pula
meneka.
“Wan?” Terus saja Prof Narimah menyoal. Dahi Prof Narimah berkerut-kerut
memandang ke arah suaminya. “Apa dia buat dekat situ?”
“Tadi dia kata sakit perut. Abang yang bagi kad dekat dia.”
“Budak ni... bilik sendiri ada, bilik mak ayah juga yang dia nak guna.”
“Awak tak nak bagi dia bilik besar. Dia sajalah nak merasa tu agaknya.”
Encik Sulaiman mengikut Prof Narimah menggeleng kepala. Nurul Syakira hanya
terdiam mendengar perbualan pasangan suami isteri itu.
“Dia ada buat apa-apa ke Syakira sampai kamu nampak resah semacam saja ni?”
soal Prof Narimah tiba-tiba dengan nada gundah. Serta-merta mata Nurul Syakira
membulat. Sama ada terkejut akan soalan Prof Narimah yang tiba-tiba atau
terkejut akan isi soalan itu, Nurul Syakira juga kurang pasti. Dengan lambat,
Nurul Syakira menggeleng. Kemudian, Prof Narimah menarik nafas lega.
Prof Narimah kembali kepada Encik Sulaiman. “Abang balik dululah ya.
Tegur-tegur sikit anak bujang seorang tu. Saya ada hal sikit nak bincang dengan
Syakira. Ya?” Lembut tutur Prof Narimah kepada suaminya.
“Ha, yalah. Saya balik dulu.” Sempat Encik Sulaiman melempar senyuman
kepada Nurul Syakira sebelum berlalu.
Nurul Syakira terkial-kial membalas senyuman itu. Kemudian, perhatiannya ditumpukan
pula kepada Prof Narimah. Prof Narimah mengajak Nurul Syakira duduk di meja
berdekatan restoran dan mereka berbincang di situ.
No comments:
Post a Comment