Nurul
Syakira termenung di depan komputer. Jari-jemarinya bermain pensel dan diketuk
ke badan meja sekali sekala.
‘Kenapa mamat tu tak ada datang cari aku lagi?’ fikirnya sebaik teringatkan
Joe Redzuan, lelaki yang sebelum ini bikin hidup Nurul Syakira kacau bilau.
‘Apalah yang dia beritahu Prof agaknya? Perkara sebenar yang prof maksudkan tu,
aku tak ada hubungan dengan dia ke? Yang semua yang berlaku sebelum ni cuma
salah faham?’ Bermacam kesimpulan Nurul Syakira cuba rumuskan. Namun semua itu masih
tinggal tanda tanya. Runsing pula Nurul Syakira jadinya.
Seketika, Nurul Syakira tersentak apabila pintu bilik bacaan itu dikuak
dari luar. Kelihatan Liana muncul dari balik pintu kemudiannya. Fuh, semangat.
Nasib baik bukan Prof Narimah yang datang mencarinya. Kalau tidak di makmal, di
sinilah Nurul Syakira menghabiskan masa bersama teman-teman sejawatnya.
Menganalisa data, menyusun fail, semuanya dilakukan di bilik bacaan ini.
Tidak lama Nurul Syakira memerhatikan Liana, dia kembali termenung di depan
skrin komputer. Liana juga nampaknya sibuk memunggah fail projek yang
dikendalikannya. Sudah sampai masa untuk menghantar laporan tahunanlah agaknya
tu. Memang pening kepala bila sampai masa terpaksa menulis laporan. Banyak hal
perlu difikir. Kewangan projek, hasil kajian, penerbitan semasa, semuanya perlu
dilaporkan. Jika tiada produk atau menerbitkan artikel, apalah namanya
penyelidikan.
Alamak! Nurul Syakira juga perlu siapkan laporan projeknya. Ingatkan dah
siap, rupanya itu tahun lepas punya. Pelupa pula Nurul Syakira rasa. Lantas
tangan Nurul Syakira lekas menggerakkan tetikus. Fail laporan dibuka. Sah!
Nurul Syakira belum tulis laporan tahun ini. Nurul Syakira kalut mencari fail
data kajian untuk dianalisa. Laporannya perlu disiapkan dengan kadar segera,
sebelum surat peringatan untuk penghantaran laporan diajukan kepada Prof
Narimah.
“Family day nanti, kau pergi
dengan siapa?” soal Liana yang tiba-tiba lalu di sebelah Nurul Syakira.
“Oh, makcik kau!” respon Nurul Syakira spontan.
Liana sekadar tergelak kecil dan terus bergerak ke kabinet tidak jauh di
belakang Nurul Syakira. Liana bukan sengaja mahu mengejutkan Nurul Syakira.
Tapi Nurul Syakira yang mudah melatah. Sementara Nurul Syakira pula mengurut
dadanya yang berombak kencang sambil menarik nafas perlahan-lahan.
Ish, Yana ni. Lain kali nak tegur tu berilah salam dulu. Buat aku terkejut
aje! Getus Nurul Syakira sedikit geram.
“Apalah kerja yang kau buat khusyuk sangat tu. Sampai aku tegur macam tu
pun kau dah terkejut sakan!” Liana menegur lagi. Kerusi ditarik lalu Liana
duduk di sebelah Nurul Syakira.Kepalanya dijengah sedikit ke skrin komputer.
“Oh, analisis data rupanya. Patutlah pun,” ujarnya lagi sambil
terangguk-angguk. “Samalah kita.”
“Apa kau tanya tadi?” Nurul Syakira mengubah topik. Baru saja hendak
mulakan kerja, Liana pula buat dia hilang arah. Terus saja otaknya
melayang-layang. Jangan harap Nurul Syakira boleh fokus buat kerja. Entah
apa-apa dia analisa nanti depan komputer itu.
“Kau pergi dengan siapa masa hari keluarga nanti? Aku ajak adik aku teman.
Kau?”
“Aku duduk dengan kaulah!” Selamba Nurul Syakira menjawab. Kemudian dia
pura-pura menghadap skrin komputer. Tetikus digerakkan berlegar-legar di skrin
tanpa henti.
“Bukan kita duduk bilik twin ke?
Boleh ke duduk bertiga? Alang-alang bos dah belanja, ajaklah teman.” Liana
menyambung perbualan.
“Boleh ajelah kita kongsi bertiga. Jimat sikit duit bos. Kalau tak boleh
duduk bilik twin, mintalah tukar
bilik untuk 3 orang.” Mudah Nurul Syakira menjawab. Liana sudah panjang
muncung. Beberapa ketika kemudian kedengaran keluhan panjang Liana bagai
meniup-niup cuping telinga Nurul Syakira. Sekilas Nurul Syakira menoleh. Air
muka Liana sudah berubah rona.
“Tak nak duduk dengan aku cakaplah terang-terang. Macamlah kau pergi dengan
suami yang takut sangat aku kacau.” Sempat Nurul Syakira mengusik seiring
dengan bibirnya yang mencebik.
Kemudian fikiran Nurul Syakira beralih kepada hari keluarga yang
dijadualkan pada akhir bulan ini. Hai, dengan siapa Nurul Syakira mahu pergi
kalau bukan dengan Fara Hana. Takkan Nurul Syakira hendak ajak Dani Imran dan
duduk sebilik pula. Orang lain berhari keluarga, Nurul Syakira pula tak
pasal-pasal kena tangkap basah. Selisih!
No comments:
Post a Comment