Ingatkan dengan tunjuk muka
bengang, Joe Redzuan boleh terlepas. Tapi ada seorang yang masih berani muka
mulut. Malah Joe Redzuan pula yang dileterinya. Siapa lagi kalau bukan kawan
baiknya, Daniel. Kalau tahu dia terpaksa menadah telinga begini, awal-awal Joe
Redzuan sudah angkat kaki keluar dari sini selepas Nurul Syakira naik berang
padanya.
Daniel merenung muka Joe Redzuan. Blackberry miliknya digenggam kemas. “Aku
dah padam semua post kau yang bikin
kecoh dekat facebook. Aku ni dah macam bukan aje ketua dalam kumpulan kita tapi
dah macam pengurus pula. Lain kali sebelum buat sesuatu tu, fikir pakai akal la
beb. Tak adalah menyusahkan orang dan memburukkan lagi keadaan yang dah sedia
keruh.” Daniel terus membebel.
Sedang Joe Redzuan pula buat muka toya. Setiap bait leteran Daniel sekadar
lalu di telinganya saja.
“Ha, kalau kau betul sayang dekat dia kenapa kau tak kejar dia tadi?
Jelaskanlah dekat dia betul-betul!”
Eh, Daniel ni macam boleh baca fikiran aku pula. Aku cuma nak hayun kaki
keluar aje sebab tak nak dengar suara sumbang kau tu membebel kat telinga aku.
Tak terfikir pula nak kejar perempuan tu. Aku pun tak tahu sama ada aku
betul-betul sayangkan dia. Hai la hati, kau suka dekat dia ke tak?
“Aku setuju... aku setuju.” Loqman pula menyampuk tiba-tiba sedangkan
Zafryl dan Ebby awal-awal sudah tarik diri dari masuk campur. Setiap kali Joe
Redzuan tarik muka, mereka saja yang selalu tidak ambil kesah. Tidak mahu masuk
campur kononnya. “Perempuan ni kalau kita tak cakap yang kita suka dia, memang
dia orang ni tak tahu. Tak pun, saja nak tunggu kita cakap. Kalau kau setakat
kacau-kacau macam tu, mana dia tahu kau syok kat dia. Dia ingat kau nak
main-mainkan dia aje.” Loqman menyambung sekaligus mengundang rasa kurang
senang Joe Redzuan.
Eh mamat ni. Dah mulalah tu nak jadi pakar cinta aku. Macamlah pro sangat.
Apa awek kau cakap kau ikut aje. Itu bukan pro namanya.
“Tapi aku tabiklah kau Joe. Aku yang dah bertahun bercinta pun tak berani
nak dedahkan girlfriend aku. Kalau
aku keluar dengan dia pun, aku cover
muka aku ni cukup baik tau.”
Joe Redzuan mendengus mendengar kata-kata Loqman. ‘Itu tabik ke perli aku?
Kau kalau tak cover muka pun bukannya
orang kenal!’ Selamba ayat itu bermain di bibirnya walaupun tidak didengari
sesiapa. Tiba-tiba Joe Redzuan merasa ada beban menghentam kepalanya dari
belakang. Di tolehnya ke sebelah, melihat Daniel dengan majalah di tangannya.
Baru saja Joe Redzuan berkerut menandakan dia bengang, Daniel terlebih dulu
bersuara.
“Itulah dulu aku dah cakap, kau ni memang buat tindakan apa-apa tak nak
fikir betul-betul dulu. Kalau apa yang kau buat tu betul, tak apalah juga. Dah
tahu band kita ni baru aje nak merangkak naik, kau dah buat hal macam-macam.
Lepas kau pergi mengaku dia bini kau, kau pergi pula paksa dia kahwin dengan
kau!”
Loqman ternganga. Dia langsung tidak tahu tentang hal itu. Dipandangnya
muka Joe Redzuan dengan mulut melopong.
“Kau ajak dia kahwin? Betul ke?” Berulang-ulang Loqman mengulang soalan
itu. Namun soalannya terus dibiarkan tidak berjawab oleh sesiapa.
Faham-fahamlah sendiri.
Tumpuan Daniel juga tidak ditumpukan pada soalan Loqman walaupun kawannya
itu juga sibuk mencuitnya. Ah, malas nak ulang cerita lagi. Kalau mahu dengar,
duduk saja diam-diam. “Tapi lepas tu, kau nafikan pula hubungan kamu berdua.
Sekarang, apa lagi yang kau buat mangkuk!” Suara Daniel sedikit bergegar. Marah
benar nampaknya Daniel kali ini. Sekali lagi majalah di tangan Daniel mendarat
ke kepala Joe Redzuan. “Kau ingat dia tu anak ayam ke yang kau nak
main-mainkan. Kalau anak ayam pun dah kena patuk dek mak ayam tau kalau kau
usha anak dia tu!”
Bukan aku yang nafikanlah! Minah tu sendiri yang taip! Mahu saja Joe
Redzuan menjelaskan hal itu. Memang Daniel tidak tahu menahu akan situasi
sebenar ketika itu. Tapi ini bukannya masanya untuk Joe Redzuan menjelaskan
semua itu kepada Daniel. Semua itu sudah berlalu dan tidak lagi penting. Apa
yang penting, hatinya sendiri kurang jelas akan kedudukan Nurul Syakira. Tidak
terlintas di fikiran Joe Redzuan untuk mempermainkan gadis itu. Sejak awal lagi
dia tidak berniat begitu. Tapi sesungguhnya segala yang dibuat menjadi serba
tidak kena.
“Aku tak marah atas apa yang kau cakap masa showcase tempoh hari. Sebab aku ingat hubungan kau dengan dia dah
okey. Tapi tadi perempuan tu cakap... aghhh. Apasal lah aku ada kawan yang
lembap macam kau ni?” Daniel menekan kepala. Sengaja dia mahu tunjuk reaksi
tertekan. Kalau gayanya over pun dia
tidak kesah. “Kau jangan buat hal lagi Joe. Nanti aku pun kena tempiasnya. Aku
ni dah macam abang kau lepas mak kau pertanggungjawabkan kau pada aku. Aduh!!!”
Daniel mengetuk pula kepalanya. Sakit kepala mengenangkan syarahan Prof Narimah
ketika berkunjung ke sini sebelum ini. Oleh kerana Daniel sudah lama berkawan
dengan Joe Redzuan, dia sudah seakan menjadi sebahagian daripada keluarga itu.
Apabila abang Joe Redzuan tidak lagi tinggal sebumbung, Daniel pula yang
menjadi pengganti menjaganya dengan alasan masa Joe Redzuan banyak dihabiskan
bersama Daniel dan teman-teman band. Aduh, berat sungguh tanggungjawab itu
sedangkan mereka sebenarnya sebaya.
“Aku bukan lembaplah. Jangan nak suka-suka mengata aku!” Joe Redzuan
membidas tidak mengaku. “Cuma sejak aku dengan dia, apa yang aku buat semua
jadi tak betul.”
“Aku langsung tak faham apa yang kau fikir. Sekarang ni, hidup perempuan tu
aku rasa dah cukup porak-peranda. Sekejap kata bini... sekejap kata tak ada apa
hubungan... sekejap kata kawan istimewa. Kalau kau sayangkan dia, kau patutnya
lindungi dia macam si Loq ni. Ha, tak pernah pun dia tayang awek dia. Kita pun
tak tahu siapa awek dia tu.” Daniel menambah lagi lalu menepuk bahu Loqman
berkali-kali.
Loqman tersengih-sengih dipuji Daniel. Sukalah tu menjadi contoh teladan
kepada Joe Redzuan yang terlebih sempurna kononnya.
“Kalau kau bertindak macam ni terus, kau bukan suka dia tapi kau anti benar
dengan dia. Aku pun tak tahu apa yang kau bermusuh sangat dengan dia sampai nak
biarkan segelintir peminat-peminat kau tu serang dia. Bijak sangatlah tindakan
kau tu. Kalau kau buat macam tu sebab nak buktikan kat dia yang kau betul-betul
suka dia, kau memang manusia paling gelojoh dan paling lembap. Belum dapat
petik bunga di taman, kau dah heboh sekampung. Entah-entah belum sempat kau
petik, orang lain yang petik dulu. Peminat perempuan kau pun, mestilah ramai
yang tak suka. Lainlah kalau dia tu pun artis terkenal. Ingat sikitlah Joe, dia
tu bukan dalam dunia kita. Boleh ke dia tahan dengan semua kritikan dan
kata-kata perit yang dah jadi rencah industri ni?” Panjang lebar Daniel
berhujah. Berbunga-bunga pula ayat Daniel.
Joe Redzuan memandang kosong ke wajah Daniel. Entah Joe Redzuan faham akan
kata-kata kawannya itu atau sekadar ibarat masuk telinga kanan keluar telinga
kiri. Namun satu butir perkataan pun tidak lekat di otaknya.
“Kalau suka, tackle lah dia dulu
bro. Jangan kecoh-kecoh!” Loqman meringkaskan hujah Daniel yang berjelar.
Mungkin ini lebih mudah difahami Joe Redzuan yang sudah sedia kusut.
Suka...
tak suka... suka... tak suka. Joe Redzuan memang tiada jawapan untuk soalan
itu. Kalau suka pun, dia sememangnya sudah buntu akal untuk memikat. Setelah
cinta pertamanya dirampas, hubungannya dengan mana-mana perempuan selepas itu
tidak pernah menjadi. Joe Redzuan seperti semakin tidak memahami wanita. Dia
juga semakin tidak memahami dirinya. Benarkah dia mencintai gadis itu atau
tercari-cari rasa cinta seperti yang pernah dirasai sebelum ini? Perasaannya
bersama Nurul Syakira tidak sama seperti bersama kekasih pertamanya dahulu.
Rasa perit ditinggalkan cinta pertama dulu masih terasa. Namun lebih perit
melihat tangan Nurul Syakira dipimpin lelaki lain. Yang mana satukah yang
dinamakan cinta?
No comments:
Post a Comment