Fuh! Lega rasanya
Nurul Syakira dapat kembali berkerja. Rasa rindu pula pada kerusinya di bilik
bacaan. Bosan duduk di rumah seminggu. Melihat muka Joe Redzuan yang setiap
hari berkunjung ke rumahnya bikin Nurul Syakira makin rimas untuk berada di
rumah. Kalau tidak dibuka pintu, bagai hendak dipecahkan pintu itu dibuatnya.
Hinggakan jirannya, Kak Leha yang telebih ramah itu menyoal itu dan ini kepada
Nurul Syakira. Bermacam andaian dilemparkan Kak Leha terhadap Joe Redzuan.
Nurul Syakira masih ingat lagi kata-kata Kak Leha dua hari lepas.
“Siapa lelaki tu,
Kira? Akak tengok hari-hari dia ketuk rumah kamu. Macam penyangak aje rupa dia.
Macam perompak pun ada. Akak bukan apa Kira, bukan nak mengata kawan kamu...
kalau dia tu kawan kamulah. Tapi akak curigalah tengok gaya dia tu. Bila akak
lalu-lalang depan rumah kamu, dia pula asyik sorok muka dengan topi dengan
cermin mata hitam dia. Kalau dia tu bukan kawan kamu, baik kamu report aje dekat polis. Ha, sekarang
kalau ada orang kacau dekat rumah pun kita boleh buat report. Biar dia kena tangkap!” Bersungguh-sungguh Kak Leha
menyambung cerita tentang pengalaman sepupunya selepas itu. Setiap kali Kak
Leha buka mulut, ada saja cerita berkaitan keluarga sepupu sepapatnya. Kalau
tidak ada, itu bukan Kak Leha namanya.
Nurul Syakira
ketawa sendiri apabila teringatkan kata-kata Kak Leha itu. Spontan kepalanya
turut digelengkan. Penyangak? Nurul Syakira suka gelaran itu. Sesuai benar
untuk Joe Redzuan padanya.
Langkah
dipanjangkan. Kakinya tidak lagi terasa sakit setiap kali memijak tanah. Malah,
Nurul Syakira sudah boleh menyarung kasut. Langkahnya terus dihayun laju menuju
ke bilik bacaan. Buka saja pintu bilik bacaan, Liana sudah menoleh. Aik, macam
tahu-tahu saja Nurul Syakira datang. Tidak lama, Liana terus menerpa dan
menangkap tubuh Nurul Syakira ke dalam dakapannya.
“Wah, Kira!
Rindunya aku dekat kau!!!” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Liana.
Macamlah Nurul Syakira sudah berbulan-bulan tidak masuk kerja.
Begitulah bila kami
berdua saja rakan sepejabat. Dulu bila Zaid ada, ada juga kawan nak bertekak
dan bergelak ketawa bila salah seorang tiada. Hai, bilalah nak ada pelajar baru
dekat sini. Bolehlah dijadikan geng nanti.
“Eh, Jojo!” Liana
membongkok. Matanya mengikut arah pergerakan ikan dalam akurium kecil yang
dibawa Nurul Syakira. Nurul Syakira meletakkan akurium itu di atas meja dan
Liana mengikut saja ke mana ia dibawa pergi.
“Ini bukan Jojo
okey. Jojo aku kan dah mati. Yang ni aku bagi nama Jiji. Sebut sama-sama...
Jiji.” Nurul Syakira memberitahu.
“Jiji...” Liana
mengikut lalu mencebikkan bibir. Tidak kesahlah apa pun nama yang diberi Nurul
Syakira, Liana bukannya peduli. Ikan tetap ikan baginya. Bukannya ikan itu tahu
namanya Jiji ke Jojo kan. Lantas Liana kembali bermain-main dengan ikan baru Nurul
Syakira.
Alah... kenapa muka
dia lagi muncul depan mata aku ni? Tak puas-puas lagi ke kacau aku dekat rumah
sampai aku nak berehat pun tak senang. Sekarang kacau sampai ke tempat kerja
pula? Nurul Syakira merungut panjang dalam hati apabila Joe Redzuan terpacak di
depannya tengah hari ini.
“Aku bawakan lunch untuk kau. Tak payahlah kau menapak
pergi beli makanan. Kaki kau tu pun belum sembuh betul kan,” kata Joe Redzuan
lalu meletakkan nasi bungkus di atas meja Nurul Syakira. Cermin mata hitamnya
ditanggalkan lalu disimpan dalam kocek jaket denimnya.
“Siapa kata kaki
aku belum baik. Hei, aku dah boleh berjalan tau. Pagi tadi pun aku pergi kerja
jalan kaki!” Pantas Nurul Syakira membalas sambil menayang-nayang tapak
kakinya. Sengaja dia tunjuk eksyen di
depan Joe Redzuan.
Joe Redzuan
mencebik. Matanya meliar memandang sekitar tempat kerja Nurul Syakira.
Jemarinya pula dicalit sana sini. Kemudian kepalanya diangguk sekali sekala.
Lagak seperti tuan besar yang memeriksa pejabat pekerjanya.
“Eh, baby!” Lantang Joe Redzuan menjerit
sekaligus memecahkan keheningan bilik bacaan itu.
Nurul Syakira yang
tadinya pura-pura meneruskan kerjanya yang bertimbun ditinggalkan seminggu
terkejut hingga terhinjut bahunya. Ish, mamat ni tak pasal-pasal aje menjerit
kenapa? Getusnya perlahan. Dilihatnya Joe Redzuan membelek akuarium di atas
mejanya.
“Wah, kau dah bawa baby kita ke office ya...” Joe Redzuan merenung Nurul Syakira.
“Excuse me. Baby? Kau ni buta ke tak
cukup akal? Itu kan ikan, bukan baby!”
Mudah saja Nurul Syakira melontarkan kata-kata itu dek terlalu geram. Debar di
dada akibat terkejut tadi belum pun surut ditambah pula dengan kenyataan
mengarut Joe Redzuan. Meluap-luap darah Nurul Syakira dibuatnya. “Satu lagi,
sejak bila pula aku ada baby dengan
kau? Kahwin dengan kau pun aku tak ingin tau!”
“Baby fish tu kira baby jugalah. Aku yang beli... kau jaga. Kira baby kitalah tu.” Joe Redzuan menjawab selamba sambil tersenyum
nakal.
Eii geramnya hati
Nurul Syakira mendengar jawapan lelaki itu. Ringan saja tangannya dihayun ke
atas. Rasa mahu luku-luku kepala lelaki itu cukup-cukup.
“Syakira.”
Nurul Syakira
tersentak. Suara itu seperti dia kenali tapi dia ingat-ingat lupa. Maklumlah,
sudah lama dia tidak masuk ke pejabat. Nurul Syakira menoleh. Lantas tangannya
segera dijatuhkan. Liur ditelannya berkali-kali apabila melihat Prof Narimah
tercegat di muka pintu bilik bacaan.
Prof Narimah
melangkah masuk. Wajah Nurul Syakira dan Joe Redzuan ditenung silih berganti.
Nurul Syakira terus menelan liur.
Alamak! Prof dengar
ke apa yang aku cakap tadi? Apa yang aku cakap tadi? Aduhai... Nurul Syakira
cuba mengingati setiap butir yang dimuntahkannya tadi. Tapi otak Nurul Syakira
tiba-tiba jadi kosong.
“Emm... kamu berdua
ni tak berbaik-baik lagikah? Sedangkan tidak bertegur sapa tiga hari pun tidak
disukai Tuhan, inikan pula asyik bertikam lidah.” Prof Narimah
menggeleng-gelengkan kepala.
“Eh, mana ada Umi.
Hubungan kami biasa aje... baik aje.” Joe Redzuan kalut berdiri di sebelah
Nurul Syakira. Beria-ia dia mahu membuktikan kepada Prof Narimah akan hubungan
baiknya dengan Nurul Syakira. Kalau Prof Narimah tahu hal yang sebenar,
masaklah Joe Redzuan kena tadah telinga mendengar syarahan ibunya itu.
Silap-silap Nurul Syakira juga dapat syer. Haha bagus juga kalau macam tu,
fikir Joe Redzuan nakal. “Kan Kira!” Bahu Nurul Syakira disenggol berkali-kali
dengan sikunya. “Kami baik aje Umi,” katanya lagi lalu memaut bahu Nurul
Syakira kemas. Lantas Nurul Syakira kalut mengangguk.
Namun Prof Narimah
menggeleng lagi. “Sudah. Sudah. Tak payah kamu nak berlakon depan Umi lagi.
Tangan ni jangan nak merayap dekat badan Syakira. Dia belum sah jadi isteri
kamu lagi tahu...” Prof Narimah menarik tangan Joe Redzuan dari bahu Nurul
Syakira. Kemudian Prof Narimah menggeleng lagi buat sekian kalinya. “Kamu ni
Wan, kata dah suka sama suka. Tapi Umi perhatikan kamu berdua ni macam anjing
dengan kucing aje bila berjumpa.”
Terbelalak mata
Nurul Syakira mendengar kenyataan Prof Narimah tadi. Suka sama suka. Bila pula
aku suka pada mamat ni? Oh, jadi itulah yang selama ni dia beritahu pada mak
ayah dia ya. Memang mangkuk hayunlah mamat ni. Tak habis-habis nak bohong. Aku
kenal kau pun tidak sebelum ni. Kalau pun apa yang berlaku sebelum ni satu
kemalangan sebab mulut dia yang celupar tu, rentikan ajelah lakonan dia tu. Ni
tambah parah pula.
“Ke kamu ni masih
lagi menepuk sebelah tangan...?” Prof Narimah meneka lagi.
Ha, yang tu aku
setuju! Eh, sekejap! Prof Narimah perhatikan kami ke? Macam mana prof tahu yang
kami selalu bergaduh? Berkali-kali Nurul Syakira mengomel dalam hati. Berbuku
rasanya soalan yang mulai berlegar dalam fikirannya sekarang.
“Tak adalah Umi.
Hubungan kami dah baik dah. Tapi biasalah, Umi. Wan kan artis, sebab itulah
kami selalu bergaduh. Kes cemburulah tu.” Joe Redzuan tersengih-sengih menjawab
soalan Prof Narimah.
Cemburu? Hei,
tolong sikit. Tak kuasa aku nak cemburu pada kaulah. Aku tak ingin pun dekat
kau!
Prof Narimah
menerima bulat-bulat alasan anak lelakinya itu. Namun kepala tetap digelengkan.
“Ehmm... kamu yang pilih jalan tu. Dah tahu jadi artis tu banyak gosip, nak
juga jadi artis. Pandai-pandai kamulah nak selesaikan masalah kamu. Umi tak
mahu masuk campur dalam hubungan kamu. Umi cuma harap kalau bergaduh pun,
cepat-cepatlah berdamai.”
Joe Redzuan
mengangguk faham sambil terus tersengih-sengih. Sementara Nurul Syakira hanya
mampu memerhati tanpa memberi sebarang reaksi. Rasanya otaknya kini sudah sesak
ditujah rungutannya.
“Emm... Syakira.”
Bulat mata Nurul Syakira apabila namanya dipanggil Prof Narimah.
“Ya, prof.” Sahut
Nurul Syakira gelabah.
“Nanti bila dah
selesai, jumpa saya dekat bilik ya.” Prof Narimah meninggalkan pesanan lalu
Prof Narimah keluar dari bilik bacaan.
“Baik... prof...”
Lemah saja suara Nurul Syakira menjawab walaupun Prof Narimah sudah pun keluar
dari bilik itu. Bila dia menoleh, Joe Redzuan juga sudah terkedek-kedek
mengekor di belakang Prof Narimah. Cis. Baru saja Nurul Syakira mahu basuh
lelaki itu cukup-cukup atas apa yang didengarnya tadi. Pandai betul lelaki itu
mengelak menyelamatkan diri.
“Sejak bila kau
dengan dia suka sama suka? Oh, selama ni sengaja nak berlakon depan aku yang
kau tak kenal dia eh. Rupa-rupanya dah lama menyemai cinta sampai dah
berbunga-bunga. Patutlah selalu juga aku nampak dia dekat area sini. Emm...
rupa-rupanya, emmm....” Bermacam-macam pula andaian Liana sejak Joe Redzuan
keluar dari bilik bacaan itu bersama Prof Narimah.
Tidak sangka pula
gadis itu memasang telinga di luar pintu. Lepas itu, suka-suka hati Liana pula
buat kesimpulan sendiri. Tidak sempat Nurul Syakira beri alasan, mulut murai
itu tidak berhenti berhujah.
“Ehmm, patutlah
sejak akhir-akhir ni aku tengok facebook kau penuh sesak. Pelik betul aku bila
kau tiba-tiba aje jadi famous.
Rupa-rupanya orang tu dah bercintan-cintun dengan artis...” Liana melirik ke
arah Nurul Syakira sambil tersenyum nakal.
“Facebook? Macam
mana kau boleh tengok facebook aku?”
“La, tukar topik
pula. Dah aku ada dalam friend list
kau. Mestilah aku boleh tengok. Semalam pun ada cerita best. Ada budak siap
rancang nak buat kelab peminat kau. Pelik juga tiba-tiba kau femes. Macam itu
kisahnya rupa-rupanya...”
“Ha, semalam? Biar
betul!” Nurul Syakira ternganga. “Alamak!” Lantas Nurul Syakira menjerit.
Dengan tidak semena-mena dia menggelabah lantas segera kembali ke meja
komputernya. Cakap banyak pun tidak guna. Bukannya Liana mahu dengar alasannya.
Tetikus segera digerakkan. Nurul Syakira membuka laman sesawang facebook lalu terus
log masuk ke akaunnya. Sah akaunnya sudah diaktifkan semula. Rasanya Nurul
Syakira sudah deaktivasikan akaunnya sebelum ini. Bla pula dia mengaktifkan
semula. Mesti kerja Fara Hana.
Lantas tanpa
membuang masa akaunnya segera dideaktivasikan semula. Lega. Lepas ini tidak
perlulah Nurul Syakira risau lagi. Tiada siapa boleh komen sebarangan di
akaunnya kerana mereka tidak akan jumpa profil Nurul Syakira. Pasal Fara Hana,
siaplah dia nanti.
“Hei!” Satu hayunan
laju menangkap bahu Nurul Syakira.
“Oh kau, lega aku!”
Spontan Nurul Syakira melatah gara-gara terkejut dek pukulan Liana tadi.
Tersembur tawa
Liana serta-merta diikuti soalannya tidak lama selepas itu. “Apa yang kau lega?
Lega rahsia kau dah bocor depan aku semua ke lega cik abang sayang kau tu hantar
makanan kegemaran?” usik Liana sambil bibirnya dijuirkan ke arah bungkusan
makanan di atas meja Nurul Syakira. Bau kari ayam begitu kuat menusuk ke
hidungnya.
“Hei! Tak ingin aku
dia jadi abang sayang aku!” Pantas Nurul Syakira membidas. “Aku cuma puas sebab
dah deactivate facebook aku.”
“Apasal? Sebab
abang sayang kau tu kacau kau dekat situ eh. Fuiyoo... tak cukup tengok depan
mata, dekat facebook pun nak berkasih sayang. Jeles aku!”
Nurul Syakira
tayang muka jengkel. Berkasih sayang dengan Joe Redzuan. Huh, tolonglah. “Dia
tu bukan abang sayang akulah, berapa kali aku nak cakap?! Tapi memang sebab
dialah facebook aku pun dah jadi huru-hara. Macam mana dia boleh jumpa profil
aku entah!”
“Shhh...” Liana
meletakkan jari telunjuknya ke bibir dan merapati ke muka Nurul Syakira. “Kalau
mak mertua dengar nanti, kecil hati dia,” bisiknya perlahan.
Nurul Syakira
menjeling. Geram pula hatinya dengan kawannya itu yang tidak habis-habis hendak
menyakat. Seketika Liana tergelak sendiri apabila melihat jelingan Nurul
Syakira. Lantas Nurul Syakira mengalih perhatiannya ke skrin komputer.
“Apa yang susah?
Zaman sekarang ni bukannya susah sangat nak cari orang. Kalau dia dapat profil
salah seorang kenalan kau, petik jari aje dia dah boleh jumpa profil kau.”
Nurul Syakira
menoleh semula ke arah Liana. ‘Betul juga! Emm... tapi siapa? Takkan Fara kut!
Tengok perangai dia sejak dua menjak ni lain macam aje. Entah-entah dia yang
duk berpakat dengan mamat tu!’ tekanya sebarang.
“Manalah tahu
kan... mak mertua kau tu ada akaun facebook juga. Lepas tu, doktor-doktor dekat
sini ada dalam senarai kawan mak mertua kau tu. Doktor-doktor tu pula kenal
kau. Emm... nak dijadikan cerita, macam tulah kut dia jumpa kau!”
Berkerut-kerut
Nurul Syakira mendengar kesimpulan Liana. Jauh benar dari yang difikirkannya
tadi. Tapi nanti sekejap. Mak mertua?
“Alamak! Prof
Narimah nak jumpa akulah!” Nurul Syakira bingkas bangun dan terus bergegas
keluar.
Liana mencebik
saja. “Kata tak mengaku cik abang sayang tapi mengaku pula yang prof tu mak
mertua dia.”
“Jomlah ikut aku.
Kan Umi aku ajak kau makan malam sama...”
Nurul Syakira
melempar jelingan. Berkali-kali dia menolak ajakan Joe Redzuan. Tapi lelaki itu
masih juga mengekorinya. Langkah Nurul Syakira dihayun sepantas mungkin. Walau
tapak kakinya terasa sedikit sakit tapi ditahan juga.
Pon! Pon!
Bunyi hon di
belakang bikin Nurul Syakira makin rimas. Hendak dipalingkan muka pun Nurul
Syakira tidak berani. Sekilas dia menjeling Joe Redzuan yang masih terpekik
terlolong memanggil namanya dari dalam kereta. Keretanya dipandu perlahan
mengikut langkah Nurul Syakira. Semakin pantas Nurul Syakira melangkah, pantas
sedikit kereta lelaki itu dipandunya. Kenderaan di belakang sudah bertempik
membunyikan hon. Satu demi satu kereta mengubah haluan, terus memecut dan
memintas kereta Joe Redzuan.
“Nak makan angin
pergi tempat lainlah woi!” Ada suara yang bertempik.
Nurul Syakira terus
tundukkan kepala. Malunya kalau orang nampak mukanya. Joe Redzuan pun satu.
Hendak buat perangai pula masa-masa begini. Masa orang sibuk balik kerja hingga
sesak jalan dibuatnya. Sekali tengok macam adegan dalam drama tapi tidak sangka
pula Nurul Syakira terpaksa menghadapinya dalam realiti hidupnya.
Ya Allah, tolonglah
hambaMu ini. Berilah aku kesabaran dalam menghadapi ujianMu.
“Cepatlah Kira.
Jangan buat jalan ni makin sesak...”
Nurul Syakira
mendengus setelah mendengar kenyataan Joe Redzuan. Lantas dia menoleh. ‘Eh,
mamat ni. Siapa yang buat jalan ni sesak? Kau yang bijak sangat bawa kereta
macam siput. Orang yang tengah belajar memandu pun lagi laju dari kau tau!’
Kata-kata itu bermain-main dibenaknya.
Perhatian Nurul
Syakira terganggu apabila sebuah lagi kereta memintas. Kemudian beberapa
kenderaan yang sesak di belakang kereta Joe Redzuan satu per satu mengubah
laluan ke kanan. Nurul Syakira hempas keluhan halus.
“Aku tahulah nak
pergi sendiri. Kau pergilah balik!” Nurul Syakira menjawab akhirnya lalu
meneruskan semula langkahnya.
“Eh, takkan aku nak
biarkan kau pergi sendiri. Nanti apa pula kata Umi? Nanti dia ingat kita gaduh
lagi!”
Ha, biarlah Umi kau
tu tahu hal sebenar. Memang sejak dari awal lagi kita tak pernah berbaik pun kan.
Tak habis-habis nak bohong. Pandai-pandai beritahu Prof Narimah yang aku dengan
dia tu suka sama suka, siapa yang suruh? Nurul Syakira mengomel sendiri. Makin
rimas telinganya mendengar suara sumbang Joe Redzuan diselang-seli dengan bunyi
hon yang bingit.
Sampai di depan
jejantas, Nurul Syakira lekas-lekas meniti anak tangga melalui jejantas itu
untuk menyeberangi jalan. Sengaja dia melalui jalan bertentangan. Dengan
harapan Joe Redzuan berhenti mengekorinya lagi dan terus bikin jalan itu sesak.
Namun Nurul Syakira perasan makin bertalu-talu bunyi hon sejak dia melalui
jalan itu. Seketika, kedengaran suara memanggil namanya. Lantas Nurul Syakira
segera menoleh.
“Masyaallah!”
Langkah Nurul Syakira serta-merta terhenti. Terkejutnya dia melihat Joe Redzuan
melambai-lambaikan tangan ke arahnya sambil memandu keretanya perlahan di
laluan sebelah dalam di seberang sana. Kini jalan tambah sesak. Dilihatnya di
belakang kereta Joe Redzuan, berbaris kenderaan beratur sambil bunyi hon turut
menyesakkan telinga. Kenderaan yang laju di belakang pula terpaksa menukar
laluan ke kiri.
“Kalau kau tak nak
naik sekarang, aku ikut kau balik rumah!” pekik Joe Redzuan dari seberang.
Nurul Syakira
melopong. “Memang gila mamat ni!”
Nurul Syakira
menjeling ke sebelah. Sakit hatinya melihat muka Joe Redzuan. Tidak habis-habis
hendak bikin hatinya sesak. Tidak reti bahasa agaknya setelah berkali-kali
Nurul Syakira bertegas mahu pergi ke rumah Prof Narimah sendiri. Tapi Joe
Redzuan tetap menunggu di kawasan parkir rumahnya. Malah, sekali lagi lelaki
itu mengekori Nurul Syakira yang berjalan ke jalan besar untuk menahan teksi.
Dek kerana tidak tahan melihat tindakan Joe Redzuan yang bikin jalan terus
sesak dan tidak tahan mendengar amarah pengguna jalan raya lain, terpaksa
jugalah Nurul Syakira mengikut kehendak Joe Redzuan. Ini kali kedua, dia duduk
sekereta dengan lelaki itu. Pertama kali ketika Joe Redzuan menghantarnya
pulang semasa kakinya terpijak kaca. Tapi ketika itu, dia duduk di belakang.
Kali ini, terpaksa pula duduk di sebelah lelaki itu. Hai... perlahan Nurul
Syakira melepaskan keluhan halus.
Lekas-lekas Nurul
Syakira mengalih pandangannya ke luar tingkap apabila menyedari Joe Redzuan
memandangnya. “Mata tu tengoklah depan masa memandu. Nanti entah apa-apa pula
yang kau langgar...” Perlahan kata-kata itu dilontarkan dari mulut Nurul
Syakira. Pandangannya terus dibuang keluar.
Joe Redzuan
mengulum senyum. “Tak apa. Ada puteri cantik sebelah aku ni, perjalanan aku
mesti diberkati.”
Buek!!! Loya Nurul
Syakira mendengar bait kata Joe Redzuan. Entah ikhlas entah tidak. Tidak
mungkin dia mahu percaya kata-kata lelaki bernama Joe Redzuan. Bagi Nurul
Syakira, semua kata-katanya dusta belaka. Lagi-lagi Joe Redzuan memang dah
banyak menyusahkan hidup Nurul Syakira dek kata-katanya itu.
Seketika, terdengar
pula suara tawa Joe Redzuan. Suka hati nampak. Memang tak ikhlaslah tu. Getus
Nurul Syakira dalam hati.
“Sorrylah pasal tadi.” Tiba-tiba saja Joe
Redzuan meluah kata maaf. Sekali lagi Nurul Syakira curiga. Boleh percayakah
akan kata maaf itu? “Aku tak mahu Umi tahu yang hubungan kita ni macam anjing
dengan kucing. Kalau Umi tahu, mesti Umi paksa kita kahwin cepat.”
Serta-merta Nurul
Syakira menoleh.
“Umi tu dah suka
sangat dengan kau. Seronok benar Umi bila dapat tahu perempuan yang aku suruh
pinang dulu tu kau. Aku tak sampai hati pula nak beritahu Umi yang semua tu
silap aku. Takut Umi kecil hati. Yalah, aku ni tak pernah senangkan hati Umi
dari aku kecil sampailah dah besar macam ni.”
“Ha?” Nurul Syakira
terkejut mendengar pengakuan Joe Redzuan. Dia seperti dapat mengagak apa yang
sebenarnya berlaku tanpa pengetahuannya sebelum ini. “Kalau kau nak jaga hati Umi
kau sekalipun, takkanlah sampai sejauh ni? Hati aku ni siapa pula yang nak
kesah?”
“Sorry.”
Hanya kata maaf itu
saja yang keluar dari mulut Joe Redzuan. Nurul Syakira mengharapkan penjelasan
lebih lanjut tapi sunyi sepi. Hanya suara penyanyi Jason Mraz dari corong radio
menghiasi ruang kereta itu. Nurul Syakira mendengus tidak puas hati. Lantas dia
berpaling ke luar semula.
“Kalau Prof Narimah
suka aku sekalipun tak berguna kalau hati kita tak suka.”
“Sorry.”
“Kata maaf aje tak
cukup. Tak cukup nak buat aku rasa macam tak ada apa yang berlaku. Tak cukup
nak kembalikan hidup aku sebelum ni. Tak cukup nak ubat hati aku lepas kau
huru-harakan hidup aku, lepas kau buat aku cukup sakit hati.” Pantas Nurul
Syakira memintas cakap Joe Redzuan, sepantas kereta yang memecut di lorong
sebelah. Sakit telinganya mendengar kata maaf itu saja yang sampai ke telinga.
Antara ikhlas atau tidak, Nurul Syakira tidak langsung pasti.
Kedengaran keluhan
halus dilepaskan Joe Redzuan sebelum lelaki itu menjawab kemudiannya. “Aku
betul-betul ikhlas minta maaf. Aku tahu selama ni memang aku yang salah. Kalau
kau sudi, berilah hati kau pada aku. Biar aku jaga hati kau pula.” Serentak Joe
Redzuan menoleh ke kiri. Mata mereka bertaut. Sepi.
Beberapa ketika
kemudian, Nurul Syakira mengeleng-gelengkan kepala. Matanya dipejam seketika.
Segala yang berlaku sebelum ini pantas melintas di ruang fikiran. Mengingati
perkara-perkara itu bikin hatinya menolak keikhlasan Joe Redzuan. Tidak lama
dia melayan fikiran, tiba-tiba dunia terasa bergoyang.
“Ya Allah!”
Nurul Syakira dapat
mendengar suara Joe Redzuan mengucap dan Nurul Syakira lekas membuka mata. Keadaan
selepas itu cukup mencemaskan hingga otaknya juga kosong tiba-tiba.
Apa terjadi selepas ini?ble nk sambung ceritanya....ble? ble?....xcident ke? dia langgar org ke?
ReplyDeletehehe... sabar ya. tunggu ia diterbitkan nanti, insya-allah :)
Delete