“Wah!
Cantiknya... kan Kira. Cantik betul tempat ni! Berbaloi jalan jauh!” ujar Fara
Hana yang begitu teruja sebaik menjejakkan kaki ke Jeti Pulau Redang. Lengan
Nurul Syakira disambarnya kemudian ditampar berkali-kali seiring perasaan
terujanya.
Nurul Syakira mencebik bibir melihat gelagat Fara Hana. ‘Hai, hari tu dia
juga yang payah benar nak diajak. Jauhlah... nanti rindu dekat Im la... Im
rindu dialah. Ha, sekarang dia pulang yang over
excited!’ gumam Nurul Syakira dalam hati. Spontan kepalanya digeleng sekali
dua.
Namun Nurul Syakira turut lontar pandangan ke kawasan keliling. Memang
indah alam ciptaan Tuhan. Berbaloi rasanya perjalanan yang panjang dibayar
dengan keindahan alam yang begitu mempesona. Bagai satu keajabaian apabila
segala lelah seakan lenyap sebaik menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ini.
“Dekat sini mesti ada spa kan, Kira. Badan aku pun dah sengal semacam ni.
Kalau dapat orang urutkan, emmm mesti syok.” Kata Fara Hana lagi sambil terus
menepuk lengan Nurul Syakira.
Nurul Syakira menjeling ke sebelah. Kacau daun betul kawannya itu. Baru
saja Nurul Syakira mahu menikmati keindahan alam dengan bermadah kata-kata
puisi. Ada saja gangguan. Liana dan adiknya, Safia juga baru selesai memunggah
barang naik ke atas jeti. Nurul Syakira memandang sekilas beg yang dibawa
mereka. Banyak betul hingga tiga bagasi dan dua beg bimbit mereka bawa. Macam
nak bercuti sebulan. Entah-entah dalam beg mereka penuh dengan stok makanan.
Sekilas Nurul Syakira melihat bagasi yang dibawanya. Bagasi itu memuatkan semua
pakaiannya bersama Fara Hana. Nurul Syakira memang tidak membawa banyak baju.
Hanya berkadaran dengan aktiviti yang bakal mereka lalui. Pakaian Fara Hana
dengan kosmetiknya saja yang penuh dalam bagasi itu.
“Doktor mana?” soal Nurul Syakira sambil menjengahkan kepala ke dalam badan
bot dari balik Safia. Liana turut menoleh. Belum sempat soalan Nurul Syakira
tadi dijawab sesiapa, Dr. Haslinda muncul dari belakang bot.
Nurul Syakira dan Liana menanti Dr. Haslinda naik ke atas. Dr. Haslinda
juga hanya di saat-saat akhir mengambil keputusan untuk menyertai mereka. Bagus
juga Dr. Haslinda ada. Bertambahlah geng kamcing dalam trip ini. Oleh kerana
beza umur Dr. Haslinda dengan mereka tidak jauh, jadi mereka seperti satu
kepala pula. Senang hendak berborak dengan Dr. Haslinda.
Dr. Haslinda menarik nafas panjang lalau dilepaskan terus sebaik naik ke
jeti. Fuh, letih Dr. Haslinda mengangkut begnya yang tiba-tiba terasa berat.
Ataupun Dr. Haslinda yang terasa sedikit mabuk setelah perjalanan hampir sejam
di atas air tadi. Selalunya tidak pula Dr Haslinda berasa mabuk sebegini. Namun
satu senyuman masih mampu dilempar kepada teman seperjalanan yang menanti,
Nurul Syakira dan Liana bersama pasangan mereka. Seketika, mereka membalas
senyuman.
“Jom!” Dr Haslinda mengajak sekaligus mengetuai perjalanan mereka setakat
ini. “Prof ada mesej saya tadi. Dia kata dia dah sampai. Maklumlah, orang naik
kapal terbang. Kita yang bertolak dulu, dia yang sampai dulu,” ujar Dr.
Haslinda dalam nada berseloroh. Lalu kata-katanya disambut tawa kecil Nurul
Syakira dan yang lain-lain.
“Prof kan watak utama, Dr. VVIP mestilah lain dari yang lain!” Liana
menyambut gurauan Dr. Haslinda sekaligus menambat tawa mereka sekali lagi.
“Dr. tak bawa pasangan ke?” Tiba-tiba Nurul Syakira menyoal. Bila
difikir-fikir balik, percutian mereka nanti disertai hanya oleh golongan Hawa.
Kalau Prof Narimah datang bersama suami, maknanya suami Prof Narimah seorang
sajalah kaum Adam nanti.
“Tak. Suami saya ada meeting, tak
dapat nak temankan saya. Nampaknya saya duduk seoranglah nanti. Kalau you all nak lepak bilik saya nanti, datanglah.
Nak tidur sekali satu bilik pun tak apa.” Mesra Dr. Haslinda mengajak. Nurul
Syakira dan Liana hanya mengangguk. Fara Hana dan Safia hanya mengikut,
menghayun kaki menyertai perjalanan mereka.
Namun di sudut hati tidaklah Nurul Syakira terfikir untuk mengganggu Dr.
Haslinda di kamarnya nanti. Dr. Haslinda mungkin manis mulutnya tapi Nurul
Syakira tidak senang mahu mengganggu privasi orang.
Sebaik
sampai di depan lobi dan disambut dengan minuman ringan, kumpulan yang diketuai
Dr. Haslinda terserempak dengan Prof Narimah di depan pintu lobi. Dr. Haslinda
bertegur sapa dengan Prof Narimah. Nurul Syakira, Liana dan lain-lain hanya
membatu. Sekali-sekala tersenyum dan mengangguk, sekadar membalas kata-kata
mesra Prof Narimah.
Sedang Dr. Haslinda masih rancak berbincang pendek dengan Prof Narimah
tentang aktiviti mereka selanjutnya, Nurul Syakira tiba-tiba terpempan melihat
dua lelaki yang datang mendekati mereka. Seorang berusia lebih kurang setengah
abad dan seorang lagi jejaka muda. Nurul Syakira kalut mahu sorok muka. Tapak
tangannya terasa tidak cukup untuk menutup wajahnya dari pandangan lelaki itu.
‘Aduh! Apa pula dia buat dekat sini?’ Nurul Syakira makin tidak keruan.
Mahu saja Nurul Syakira cabut lari. Namun belum sempat dia berbuat demikian,
dua lelaki tadi sudah datang menegur. Nurul Syakira kenal wajah lelaki setengah
abad itu. Kalau tak silap itulah suami Prof Narimah.
“Ha, dah sampai pun. Lamanya dua beranak ni ke tandas. Ini suami saya...”
Prof Narimah memperkenalkan suaminya kepada Dr Haslinda dan yang lain-lain.
Kemudian, Prof Narimah juga memperkenalkan Joe Redzuan kepada mereka.
Masing-masing membalas senyuman.
“Handsome juga anak prof ni.
Kalaulah saya belum kahwin, bolehlah saya jadi calon menantu.” Seloroh Dr. Haslinda mesra sekaligus
memecahkan tawa mereka.
Nurul Syakira turut sama ketawa namun tidak lama. Kemudian dia tersenyum
kelat. Terasa hendak muntah pula mendengar pujian Dr. Haslinda tadi. Bukan
kerana Nurul Syakira tidak suka akan orang yang memuji tapi benci dengan orang
yang dipuji itu. Makin tinggilah hidung mamat itu nanti bila asyik dipuji.
“Rasanya, Syakira dah kenal Wan kan.” Tiba-tiba pula Encik Sulaiman
mengeluarkan kenyataan itu. Serentak itu, semua mata memandangnya. Nurul
Syakira memandang mata setiap orang. Dia juga nampak Prof Narimah memandang
suaminya dan menggeleng perlahan.
“Really?” soal Dr. Haslinda
cepat. “Kamu study sama ke?” Hai Dr.
Haslinda. Hendak mengorek gosip pula ke? Nurul Syakira sudah tersengih-sengih.
Macam manalah Nurul Syakira mahu jawab soalan itu di depan semua yang ada di
sini.
Tiba-tiba Nurul Syakira dapat rasakan jari yang mencuit pinggangnya. Nasib
baik Nurul Syakira tidak terlepas melatah di situ.
“Oh, tak beritahu aku pun ya yang kau nak berkenal-kenal dengan anak
bos...” Kedengaran suara Liana berbisik di sebelah telinga Nurul Syakira.
Nurul Syakira hanya mampu tersengih lalu lambat dia menjawab. “Siapa yang
tak kenal dia Dr. Anak prof ni kan vokalis kumpulan muzik yang tengah
meletup-meletup dekat youtube sekarang.” Spontan jawapan itu keluar dari mulut
Nurul Syakira. Walaupun Nurul Syakira tidak mahu mengaku yang kumpulan Joe
Redzuan itu kononnya popular tapi itu sajalah jawapan yang boleh menyelamatkan
keadaan. Masakan Nurul Syakira mahu mengiyakan telahan Dr. Haslinda tadi walaupun
tidak benar. Dibuatnya Dr. Haslinda teruskan soalan selanjutnya, teruk nanti
Nurul Syakira mahu reka jawapan. Berpeluh-peluh Nurul Syakira dibuat Dr.
Haslinda.
“Oh. Saya ni dah lama tak ikut kehidupan remaja ni. Patutlah saya tak tahu.
Kira kamu ni peminat dialah ya?”
Nurul Syakira tersengih lagi menjawab soalan Dr. Haslinda. ‘Sudahlah tu,
Dr. Janganlah tanya apa-apa lagi...’ Mahu menangis Nurul Syakira dalam hati.
Sempat juga dijelingnya reaksi Joe Redzuan. Lelaki itu kelihatan bersahaja.
‘Cis! Dia pula buat macam tak kenal aku. Bukan nak tolong aku jawab soalan Dr.
Haslinda ke apa. Hampeh punya lelaki. Tak apa... ada ubi ada batas, ada lori
ada bas!’
“Okeylah. Panjang pula kita bercakap dekat sini. You all pun mesti dah letih lepas perjalanan yang panjang. You all pergilah check in dulu, lepas tu rehat-rehatlah dulu. Malam nanti kita dinner sama-sama,” ujar Prof Narimah
setelah menyedari sudah lama mereka berdiri di luar lobi. Lagipun, Prof Narimah
memang berhajat hendak menamatkan perbualan itu setelah melihat muka Nurul
Syakira yang pucat lesi. Kasihan. Letih agaknya.
“Okeylah,
prof. Kami masuk dululah.” Dr Haslinda bersalaman dengan Prof Narimah. Encik
Sulaiman dan Joe Redzuan disapa dengan senyuman lalu Dr. Haslinda sekali lagi
mengetuai kumpulan anak-anak buahnya untuk pendaftaran masuk. Liana dan yang
lain-lain hanya mengikut. Nurul Syakira turut melempar senyuman kepada Encik
Sulaiman tapi wajah Joe Redzuan sekadar dipandang sepi.
No comments:
Post a Comment