Usai makan malam bersama, Joe
Redzuan duduk di ruang tamu bersama ibu dan ayahnya. Tumpuan Joe Redzuan
dilemparkan ke program televisyen sedangkan mindanya tatkala itu sebenarnya
sudah menerawang jauh hingga Prof Narimah memanggil namanya berkali-kali juga
tidak didengarinya.
Prof Narimah menepuk perlahan bahu anak lelakinya. Kemudian Prof Narimah
meletakkan sepiring buah limau di atas meja lalu duduk di sebelah suaminya.
“Apa yang kamu fikirkan tu? Jauh nampaknya.” Prof Narimah menegur. Wajah
Encik Sulaiman juga dipandangnya dengan wajah hairan.
“Ada masalah dengan band kamu
ke?” Encik Sulaiman pula menyoal setelah meneguk sedikit air teh yang masih
panas dalam cawannya. Cawan itu kemudiannya diletakkan ke meja semula.
Joe Redzuan menggeleng lambat. “Tak ada apa, abah. Semuanya okey aje.” Joe
Redzuan cuba menyakinkan kedua ibu bapanya serentak dia cuba menyembunyikan
perkara sebenar yang berlegar-legar di fikirannnya sekarang ini. “Lepas lagu
baru kami tu keluar pasaran, banyak juga tawaran untuk kami buat persembahan.
Itu yang sibuk sikit tu. Penat juga.”
“Baguslah tu. Itu jalan yang kamu pilih, usahakan ajelah sungguh-sungguh.
Asalkan kamu tak buat kerja-kerja bodoh, abah akan sokong.”
Prof Narimah tersenyum mendengar kata-kata galakan daripada suaminya. Pada
awalnya, Prof Narimah juga yang tidak setuju akan pilihan hidup yang dipilih
anak bongsunya itu. Sebaliknya Encik Sulaiman pula tenang memberi sokongan.
Benarlah kata suaminya, selagi anaknya itu tidak membuat sesuatu yang tidak
sepatutnya, terpaksalah Prof Narimah juga akur akan pilihannya.
“Ha, macam mana hubungan kamu dengan Syakira?”
Joe Redzuan terkedu diaju soalan itu oleh Prof Narimah.
“Kamu kata Syakira tu memang cinta pertama kamu. Tapi disebabkan kamu
berdua belum berkenalan, sebab itulah Syakira menolak pinangan kamu sebelum ni.
Umi pun tak fahamlah dengan pemikiran kamu ni. Zaman sekarang ni, mana ada
perempuan yang nak terima aje pinangan orang tanpa kenal dulu lelaki tu. Kalau
kamu aje yang sukakan dia tapi dia tak kenal pun kamu, macam mana nak meminang
terus. Bukan zaman Umi dengan abah dulu.” Prof Narimah menggelengkan kepala.
Encik Sulaiman juga mengiakan sambil senyum meleret. “Apa perkembangan kamu
dengan dia sekarang? Boleh aje kalau Umi nak bertanyakan hal ni pada Syakira
tapi Umi rasa lebih molek kalau Umi tanya kamu sendiri.”
Joe Redzuan terus membatu. Kelu lidahnya untuk menjawab soalan-soalan Prof
Narimah. Buntu juga otaknya untuk mencari jawapan bagi kesemua soalan itu.
“Kamu ni betul-betul serius ke atau main-main? Dosa hukumnya tahu kalau
kamu bohong pada Umi dan abah.” Prof Narimah bersuara lagi apabila anak
lelakinya itu tidak menjawab walau sepatah. Dari awal soalan itu diajukan Joe
Redzuan asyik memandang ke lantai.
‘Maafkan Wan, Umi. Memang pada awalnya Wan bohong pada Umi... pada abah.
Tapi sekarang... tak tahulah. Mungkin lain.’ Kata-kata maaf bermain-main di
benak Joe Redzuan. Teringatkan air mata Nurul Syakira yang menitis di depannya
di Pulau Redang sebelum ini bikin hati Joe Redzuan sakit. Melihat gadis itu
pergi bersama lelaki itu menambah luka di hatinya dan apabila dia ternampak
Nurul Syakira mesra berbual dan makan bersama lelaki itu tempoh hari membuatkan
hati Joe Redzuan kian membengkak. Hai, kenapalah Joe Redzuan berulang-alik
datang ke hospital itu setiap hari dengan alasan mahu berjumpa Umi? Walhal, ada
agenda lain yang tersembunyi hingga membuatkan dia sendiri yang makan hati.
Mungkin inilah balasan untuk pembohongannya kepada Umi selama ini.
Pembohongan itu seolah-olah memakan dirinya dan mungkin pembohongan itu telah
bertukar suatu realiti.
“Biarkanlah dia. Berilah dia masa untuk uruskan hal dia sendiri...” Lembut
Encik Sulaiman berbisik kepada Prof Narimah setelah dilihatnya Joe Redzuan
terus bersama menungnya. Tangan isterinya itu ditepuk-tepuk perlahan sambil
mengulum senyum simpul.
Prof Narimah akur lalu membiarkan saja soalannya berlalu. Perlahan nafas
yang terasa berat di dada dilepaskan perlahan.
No comments:
Post a Comment