Hari ini adalah hari terakhir
mereka di Pulau Redang. Petang nanti, masing-masing akan kembali ke kota
metropolitan Kuala Lumpur. Selamat tinggal Pulau Redang yang aman permai.
Jadi, Prof Narimah tidak meletakkan sebarang aktiviti dalam jadual percutian
mereka. Aktiviti hari ini adalah aktiviti bebas sama ada mahu berehat atau
mengambil kesempatan di masa-masa terakhir ini menikmati aneka permainan air
yang disediakan.
Fara Hana dan Liana juga tidak melepaskan peluang merasa pelbagai permainan
air. Sekali-sekala berbelanja untuk berhibur apa salahnya. Bukannya selalu
mereka dapat ke sini. Tapi lain pula ceritanya dengan Safia, adik Liana yang
lebih gemar menghabiskan masanya di depan televisyen. Patutlah Liana asyik
menyibuk di bilik Nurul Syakira dua tiga hari ini. Adiknya tidak boleh dibuat
kawan berbual rupanya. Nampaknya memang Safia tidak banyak cakap orangnya.
Semasa bersama mereka juga Safia lebih banyak diam.
Nurul Syakira pula masih menggunakan alasan kakinya yang sakit untuk
mengelak daripada menyertai Fara Hana dan Liana. Sedangkan kaki Nurul Syakira
sudah hilang sakitnya. Berjalan pun tidak lagi terdingkut-dingkut. Cuma
sebenarnya Nurul Syakira ada agenda lain yang ingin dilakukannya.
Nurul Syakira membuka komputer ribanya sambil duduk di tengah-tengah katil.
Lantas dia terus menyambungkan komputernya dengan khidmat internet tanpa wayar
yang disediakan di setiap bilik resort itu. Nurul Syakira teringin mahu tahu
apa yang berlaku pada laman facebook kumpulan New Band yang dianggotai Joe Redzuan.
Pasti gosip tentang dirinya sudah tidak diperkatakan lagi. Entah kenapa Nurul
Syakira mahu memastikannya. Entah-entah Joe Redzuan teruk dicemuh peminatnya
sendiri kerana bercakap putar belit. Padan muka lelaki itu. Tidak sabar Nurul
Syakira ingin baca komen-komen negatif terhadap Joe Redzuan.
Berpeluh-peluh Nurul Syakira
menghadap komputer ribanya walaupun penghawa dingin sudah sedia menghembus
angin dingin ke segenap ruang bilik. Nafasnya juga turun naik bersama dadanya
yang berombak kencang.
“Apa ni?!” Tiba-tiba Nurul Syakira menjerit sekuat hati. Dia hilang sabar
setelah membaca komen-komen daripada manusia-manusia yang kononnya peminat Joe
Redzuan. Sakit hati Nurul Syakira apabila mereka menyokong tindakan Joe Redzuan
mengaku hal yang sebenarnya.
Tiada langsung komen yang menegur sikap lelaki itu yang bertindak tanpa
fikir panjang. Sekejap mengaku sudah beristeri, sekejap tidak. Masing-masing
menyokong kenyataan itu bulat-bulat. Ada pula yang membuat andaian tentang rupa
sebenar isteri Joe Redzuan yang kononnya jelita. Sebaliknya, Nurul Syakira pula
yang terasa bahananya apabila peminat-peminat lelaki itu mengata yang
buruk-buruk tentang dirinya.
Rata-rata mengata bentuk fizikal Nurul Syakira yang berisi. Jari-jemari
Nurul Syakira sudah digenggam rapat. Geramnya sudah tidak tertanggung. Makin
dibacanya komen mereka, makin sakit jiwa laranya.
“Berani dia orang mengata aku pula! Kan aku dah cakap, aku ni ‘kawan’ Joe!
Berani kau orang kutuk kawan penyanyi idaman kau orang tu!” Komputer riba Nurul
Syakira campak ke sebelah. Lantas dengan marah dia bangun dan terhentak-hentak
berjalan keluar.
Nurul Syakira memandang ke kiri
dan kanan sambil terus melangkah ke depan. Matanya tercari-cari Joe Redzuan.
“Ha! Tu dia!” Nampak saja lelaki rambut keperangan itu duduk bersantai di
bawah pokok sambil membaca surat khabar, Nurul Syakira bergegas mendapatkannya.
Dengan hatinya yang betul-betul sedang marah, Nurul Syakira lantas
memukul-mukul lelaki itu dari belakang hingga tertunduk.
“Laki tak guna! Apasal kau asyik menyakitkan hati aku aje, hah? Tak cukup
lagi ke apa yang kau dah buat dekat aku, hah? Tak guna! Tak guna!” terjah Nurul
Syakira dan terus menghempuk bahu lelaki itu.
Namun, marah Nurul Syakira serta-merta berubah malu apabila lelaki itu
menoleh dan memandangnya dengan perasaan tidak mengerti.
“What’s wrong with you? Are you out
of your mind?” soal lelaki itu serentak berdiri menghadap Nurul Syakira.
Lidah Nurul Syakira kelu. Badannya kaku tidak bergerak. ‘Alamak! Macam mana
aku boleh terbelasah mat saleh pula ni? Nasib kaulah mat saleh. Siapa suruh
rambut kau sama dengan mamat tak guna tu!’ Kata-kata itu bermain-main di lubuk
hati Nurul Syakira.
“Ops...” Hanya kata-kata itu yang mampu terluah dari mulut Nurul Syakira
sambil tayang muka bersalah. Aduh, malunya Nurul Syakira apabila lelaki kulit
putih itu menggeleng-geleng kepalanya lalu beredar. “Sorry, wrong person!” Nurul Syakira memekik apabila lelaki itu jauh
meninggalkannya.
Nurul Syakira mengetap gigi setelah lelaki itu terus berlalu pergi. “Aduh,
malunya...” Nurul Syakira meluku kepalanya dengan jari. Tebal mukanya untuk
duduk lama di situ. Nasib baik petang ini sudah akan berangkat pulang ke KL.
Nurul Syakira bertekad jika dia jumpa Joe Redzuan selepas ini, habuannya pasti
berganda. Jagalah Joe Redzuan.
Nurul Syakira masih bertekad
untuk mencari Joe Redzuan. Kakinya terus menuju ke pantai. Untung-untung dia
bertemu lelaki itu di sini. Mustahil lelaki itu akan memerap saja di bilik di
hari terakhir ini. Kalau kelibat Joe Redzuan masih tidak muncul di sini, Nurul
Syakira tetap akan pergi mencarinya di bilik. Biarlah apa orang nak kata. Nurul
Syakira sudah cukup geram.
Dari jauh, Nurul Syakira dapat melihat ramai orang di pantai. Pantai Pulau
Redang itu sibuk dengan pelbagai aktiviti air pagi ini. Nurul Syakira
berlari-lari anak sekali sekala, mendekati pantai sambil mengamati wajah setiap
orang di situ.
Langkah Nurul Syakira kian besar mendekati seorang lelaki yang baru turun
dari jet ski dekat dengan gigi air.
“Hei, Joe Redzuan!” pekik Nurul Syakira seraya terus mendekati Joe Redzuan.
Baru saja Joe Redzuan menoleh apabila namanya dipanggil, dia sudah
merasakan ada tangan lebar yang menolak tubuhnya ke belakang. Kuat. Lantas
tanpa sempat dia berbuat apa-apa, Joe Redzuan jatuh terduduk dalam air. Joe
Redzuan terkejut namun tiada kata yang mampu dia luahkan apabila Nurul Syakira
terlebih dulu marah-marah.
“Kau ni memang lelaki tak guna! Sombong! Otak mereng!” Bertalu-talu
serangan diajukan kepada Joe Redzuan yang masih terpinga-pinga. “Kau memang suka
buat aku sakit hati kan? Kau suka bila peminat-peminat kau tu mengata aku
macam-macam. Sebab tu kau tak delete
komen aku semalam!”
Joe Redzuan tersentak lagi. Joe Redzuan tidak tahu apa yang berlaku. Memang
sejak Nurul Syakira menghantar komen menggunakan namanya di laman facebook, Joe Redzuan tidak ada lagi
menjenguk ke laman itu. Kalau apa yang berlaku seperti dia jangka sebelum ini
sepatutnya Joe Redzuan rasa seronok. Tapi kenapa Joe Redzuan rasa sakit hati
pula sekarang? Melihat Nurul Syakira begitu marah kepadanya bikin hati Joe
Redzuan kian membengkak.
“Aku patut lemaskan aje kau dekat sini. Biar kau tak wujud lagi dalam hidup
aku sampai bila-bila!” Nurul Syakira menghentak-hentak kaki. Geram yang tidak
tertanggung diharap pergi bersama air laut. Tubuh Joe Redzuan yang baru saja
bangun dari terduduk tadi kemudiannya dipukul lagi. “Aku benci kau. Aku benci
kau,” katanya sambil terus memukul Joe Redzuan berulang-ulang.
Joe Redzuan hanya membiarkan saja hinggalah pukulan Nurul Syakira makin
lama makin perlahan. Tangan Joe Redzuan menangkap kedua belah tangan Nurul
Syakira. Tiba-tiba dia dapat melihat air mata Nurul Syakira yang mula jatuh
dari birai mata gadis itu. Langsung Joe Redzuan terdiam kemudiannya.
“Ehem!”
Spontan Nurul Syakira menoleh apabila telinganya menangkap suara orang
berdehem betul-betul di sebelahnya.
“Awak tak apa-apa?” soal Aiman yang entah dari mana datangnya. Tiba-tiba
saja muncul di sebelah Nurul Syakira. Tanpa banyak berfikir, Nurul Syakira
menarik tangannya dari pegangan Joe Redzuan lalu merangkul pula lengan Aiman.
“Jom teman saya jalan-jalan,” ajak Nurul Syakira dan terus menarik Aiman
meninggalkan Joe Redzuan sendirian. Air matanya diseka tanpa pengetahuan Aiman.
Nurul Syakira juga tidak pasti entah kenapa air mata itu menistis keluar tadi.
Sedangkan dia benar-benar marah terhadap Joe Redzuan. Ya Tuhan, malunya aku.
Lemahnya aku di depan lelaki itu.
Sementara Joe Redzuan hanya memerhati. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Walau
ada mata yang mungkin memandang, Joe Redzuan tidak lagi peduli. Hatinya pula
yang tiba-tiba terasa bengkak melihat Nurul Syakira pergi bersama lelaki itu.
Aiman merenung wajah Nurul
Syakira dari tepi. Sudah lebih dua jam mereka berjalan berdua hingga akhirnya
mereka duduk bersantai di pangkin. Pangkin di mana hari pertama mereka
berjumpa. Namun sejak awal, Nurul Syakira langsung tidak membuka mulut. Bila
disoal, gadis itu sekadar menggeleng dan mengangguk. Sudahnya Aiman mengalah
dan membiarkan saja gadis itu melayan perasaannya.
Suasana di pantai masih sibuk seperti pagi tadi walaupun matahari sudah
tegak di atas kepala. Suasana di pangkin ini pula sunyi sepi.
Krukkkk!
Aiman merenung muka Nurul Syakira. Dilihatnya wajah Nurul Syakira merah
serta-merta.
“Awak lapar ke?” Muka Nurul Syakira kian merah diaju soalan itu. Ternyata
bunyi perutnya berkeroncong didengari Aiman. “Jom, saya teman awak makan.”
Aiman mengajak dengan mesra. Tapi ajakannya itu tidak diberi respon oleh Nurul
Syakira. Nurul Syakira seakan mengelak. Wajahnya juga langsung tidak dipandang
gadis itu.
Seketika kemudian, Nurul Syakira bangun dari duduk dan kelam-kabut
bersuara. “Saya kena balik bilik sekarang. Petang nanti kumpulan saya akan
balik ke KL tapi saya tak kemas barang saya lagi,” jelasnya lantas bergegas
pergi meninggalkan Aiman begitu saja.
No comments:
Post a Comment