Nurul Syakira terdiam. Kalau diikutkan rasa terkejutnya,
mahu saja Nurul melopong dengan mata yang membuntang ke arah Prof Narimah. Tapi
nasib baiklah Nurul Syakira tidak terlepas aksi spontannya itu. Tambah malu
Nurul Syakira depan Prof Narimah nanti. Sudahlah tempoh hari sudah tayang
latahnya di depan bosya itu. Cukuplah malu sekali.
“Saya dah tahu
semuanya. Wan dah beritahu saya semuanya.” Kenyataan Prof Narimah itulah yang
membuatkan Nurul Syakira betul-betul terkedu. Terdiam tanpa kata dan apabila
Prof Narimah mengulang ayat kedua itu sekali lagi, Nurul Syakira dapat rasakan
dadanya yang mula berombak dipukul kenyataan Prof Narimah. Bibir yang spontan
mahu ternganga digumam rapat oleh Nurul Syakira. Matanya yang kian membulat
juga dikelipkan beberapa kali.
Prof dah tahu?
Habislah aku. Apa yang mamat otak senget tu beritahu bos aku ni? Suara hati
Nurul Syakira tertanya-tanya. Namun soalan-soalan itu sekadar berlegar dalam
benaknya tanpa mampu dia menyuarakannya. Tipulah Nurul Syakira kalau dia tidak
mahu tahu kebenaran yang Prof Narimah sudah ketahui tapi bagaimana pula Nurul
Syakira mahu mendapatkan kepastian?
“Kamu tak perlulah
risau. Saya pun dah nasihatkan anak lelaki saya tu. Tak perlulah tergopoh-gapah
dalam soal ni. Ambillah masa untuk kenal hati budi masing-masing. Kalau kamu
memang pilihan dia, saya tak ada halangan.” Prof Narimah menambah lagi.
Berkali-kali Nurul
Syakira merasakan dadanya seakan diketuk hingga sesak pula rasanya. Otaknya
mula semakin dihimpit berbagai-bagai soalan setelah mendengar bait kata Prof
Narimah.
Apa yang mamat tu
bagitahu Prof ni?!!! Hati Nurul Syakira terus menjerit.
“Saya pun nak
tawarkan kamu sambung belajar untuk projek baru saya. Kamu pun dah lama jadi
pembantu saya, dah mahir pun dalam bidang ni. Kalau kamu tak keberatan,
bolehlah jadi PhD student saya. Tak
perlulah saya cari orang lain.”
Kali ini Nurul
Syakira terus bulatkan mata. “PhD, prof?” ulangnya kurang percaya. Prof Narimah
hanya mengangguk, mengiyakan. “Tapi prof, saya belum ada master. Macam mana
saya nak sambung PhD terus, prof?”
Prof Narimah
tersenyum lalu terus membalas. “Kamu cuba tanya pada Sekretariat Siswazah.
Kalau tak silap saya kamu boleh convert
master kamu kepada PhD. Cuba kamu confirmkan
balik dengan sekretariat.” Prof Narimah memberi cadangan sekaligus hati Nurul
Syakira yang tertekan dihimpit persoalan tentang tindakan Joe Redzuan bertukar
ceria.
‘Prof Narimah ni
tawarkan aku sambung belajar sebab anak dia tu ke? Sebab tak mahu aku lari
mana-mana, jadi dengan tawarkan aku sambung belajar aku tak boleh lari manalah.
Macam tu ke?’ Nurul Syakira berfikir-fikir lagi. ‘Ah! Tak kesahlah apapun
sebabnya. Bagilah berapa banyak masa pun, aku tak mungkin suka dengan mamat tu.
Kalau sebab dia aku dapat sambung belajar pun, alhamdulillah. Rezeki Tuhan yang
beri. Mamat tu dapat jerami, aku dapat padi!’ Nurul Syakira gelak dalam hati.
Suka benar hatinya.
“Tapi kalau kamu
tak berminat nak sambung belajar, saya tak paksa.” Tiba-tiba Prof Narimah
bersuara lagi.
“Eh, tak prof.”
Pantas Nurul Syakira membalas dengan kalut. “Maksud saya, saya berminat. Terima
kasih prof atas tawaran tu,” ujar Nurul Syakira lalu senyum meleret. ‘Tapi,
apalah yang mamat tu beritahu prof sebenarnya ni? Prof kata Prof dah tahu
semuanya. Apa yang semuanya tu. Ish, aku tak boleh tahan nak tahu apa yang
mamat tu cerita dekat mak dia. Tapi prof tak nampak macam pandang serong pun
pada aku. Siap offer aku sambung
belajar lagi! Memanglah! Bukan salah aku pun. Mamat tu yang buat hal, bukan
aku! Tapi apa yang dia beritahu pada prof?! Aku betul-betul nak tahu. Dibuatnya
dia buat cerita mengarut dia tu lagi, aku juga yang tersepit. Ah, jangan harap
aku nak ikut telunjuk dia. Kalau dapat durian runtuh pun, aku rembat aje. Tak
semesti aku akan ikut saja rancangan dalam otak mamat tu. Jangan harap! Durian
runtuh, tak runtuh. Aku nak tahu jugalah!!!’ Hati Nurul Syakira menjerit-jerit
mahu tahu kebenaran di sebalik kenyataan Prof Narimah. Tidak senang duduk
dibuatnya.
‘Tapi macam mana
aku nak tahu? Nak tanya prof sendiri? Macam mana? Boleh saya tahu apa yang prof
tahu pasal semuanya tu? Apa sebenarnya yang anak lelaki prof tu beritahu? Macam
tu ke?’
“Kamu ada apa-apa
hal lagi nak tanya saya?” soal Prof Narimah setelah melihat Nurul Syakira masih
duduk di depannya dengan muka berkerut-kerut. Namun tiada jawapan daripada
gadis itu. Sebaliknya Nurul Syakira terus dengan khayalan dan permainan
mindanya. “Nurul Syakira.” Prof Narimah memanggil namun masih tiada respon
diberikan Nurul Syakira. Lantas Prof Narimah menggeleng perlahan kemudian nama
Nurul Syakira dipanggil sekali lagi. “Nurul Syakira.” Suara Prof Narimah
bergema sekaligus Nurul Syakira tersentak.
Bulat mata Nurul
Syakira memandang Prof Narimah. Dilihatnya Prof Narimah menggeleng kepala.
Lantas dengan terkulat-kulat, Nurul Syakira pura-pura betulkan posisi duduknya
sambil tersenyum kelat ke arah Prof Narimah. Tebalnya muka Nurul Syakira. Mesti
Prof Narimah fikir Nurul Syakira kuat berangan. Hai, sejak akhir-akhir ini
Nurul Syakira rasa hidupnya semakin huru-hara. Banyak pula perkara yang memalukan
berlaku depan Prof Narimah. Sebelum ni, nak jumpa Prof Narimah seminggu sekali
pun payah. Berbincang begini memang jarang sekali. Sekarang, macam ada jodoh
pula. Ada jodoh jadi pasangan menantu dan ibu mertua. Ops! Nurul Syakira tak
ingin mempersuamikan Joe Redzuan.
“Ada apa-apa ke
yang kamu nak tanya saya? Saya tengok macam banyak saja yang kamu fikirkan.”
Prof Narimah menegur. Lantas Nurul Syakira tersenyum malu.
‘Alamak! Prof ni
perli aku ke apa?’
Nurul Syakira ketuk kepala sendiri berkali-kali sebaik
keluar dari bilik Prof Narimah. Kakinya melangkah perlahan meninggalkan bilik
itu sambil mengomel sendiri.
“Ish, apalah aku ni
lembap sangat! Patutnya aku tanyalah prof sedikit sebanyak pasal projek baru
tu. Pasal tajuk ke objektif tesis aku tu ke. Ini tidak, boleh aku minta diri
macam tu aje. Aduh!!! Bodoh punya Kira!” Marah benar Nurul Syakira pada diri
sendiri. Disebabkan terkejut dan disebabkan terlalu memikirkan tentang apa yang
sebenarnya diceritakan Joe Redzuan kepada Prof Narimah, Nurul Syakira
terbawa-bawa hingga tidak terfikirkan hal yang lebih penting. Jatuh lagilah air
mukanya di depan Prof Narimah. Apa agaknya tanggapan Prof Narimah terhadapnya
selepas ini. Mahu lagikah Prof Narimah menawarkan projek itu kepada Nurul
Syakira setelah Nurul Syakira seperti tidak bersungguh-sungguh menunjukkan
minat?
Arghhh! Tertekannya
hati Nurul Syakira sekarang.
“Ni semua mamat
senget tu punya pasal!” Tiba-tiba Nurul Syakira kembali teringatkan Joe
Redzuan. “Entah apalah yang dia tu cerita!” Nurul Syakira terus membebel. Kalau
sudah marah, bukan Nurul Syakira sedar jika ada mata yang melihat. “Aku kena
jumpa dia untuk tahu apa yang prof dah tahu sebenarnya. Entah-entah mamat tu
buat cerita lain pula depan mak ayah dia. Ish, tak boleh jadi ni. Aku kena cari
jalan juga macam mana nak dapat tahu semua tu. Tapi macam mana? Nak tanya prof
sendiri ke?” Soalan-soalan yang sama terus bermain di kotak fikiran Nurul
Syakira. Berulang-ulang namun masih belum ketemu jawapannya.
“Ha, kat sini
rupanya kau.” Tegur satu suara tiba-tiba.
Lantas Nurul
Syakira yang terkejut membuka langkah silat yang entah apa-apa kuncinya. “Ha...
masuk... masuk,” ujarnya nyaring sambil terus membuka kekuda.
Tergamam seketika
Liana melihat reaksi Nurul Syakira. Hendak tergelak juga ada. “Ni apahal pula
duduk bersilat depan tandas ni? Sudahlah, tepi sikit. Aku nak terkucil ni! Kau
duduk depan pintu ni halang laluan orang aje. Nak kutip duit bayaran masuk
tandas ke?” seloroh Liana lalu terus berlari anak masuk ke dalam tandas.
Nurul Syakira yang
baru tersedar dek teguran Liana tadi gelabah berdiri semula. Baju kurungnya
dibelek-belek sekali. Sementara mata Nurul Syakira curi-curi menjeling
sekeliling. Nasib baik tiada orang lain yang nampak. Fuh, selamat. Nurul
Syakira menekup mukanya separuh dengan tapak tangan. Kemudian berjalan
cepat-cepat kembali ke makmal penyelidikan.
“Emm... tak apalah.
Aku tak payah tanya pun, aku rasa mamat tu mesti akan datang cari aku lagi. Dia
tu kan bimbang sangat dengan apa yang peminat dia cakap. Mesti dia nak aku
terus berlakon jadi bini dia. Bini apa macam tu? Nak kata bini kontrak, tak ada
kontrak pun. Ah, apa pun namanya tak penting. Apa yang penting, aku nak tahu
apa yang dia dah cerita dekat mak ayah dia. Nanti bila dia datang jumpa aku,
siaplah.” Sempat lagi Nurul Syakira mengomel tentang Joe Redzuan sementara
berjalan ke makmal. Tiba-tiba hatinya tidak sabar mahu lelaki itu datang. Bukan
kerana rindu tapi kerana hatinya yang tidak sabar mahu tahu kebenaran.
Joe Redzuan duduk sendirian di tangga. Sedang kawan-kawannya
lain sibuk berlatih di dalam studio. Laman facebook pada dada skrin iphone
miliknya ditenung lama. Kenyataannya sebelum ini yang mengaku Nurul Syakira itu
adalah isterinya sememangnya sudah tiada. Komen daripada peminat tentang
perkara itu juga surut sedikit walaupun masih memenuhi laman hadapan.
Sekurang-kurangnya tidaklah rancak seperti beberapa hari lalu.
Daniel memang
cekap. Tidak sia-sia lelaki itu tahu semua ID dan kata laluan Joe Redzuan. Bila
difikir-fikir semula tentang kata-kata Daniel tadi, Joe Redzuan tidak dapat
menafikan mungkin ada benarnya. Selagi Joe Redzuan tidak buka mulut dan
gatal-gatal jawab soalan peminat tanpa fikir panjang, mungkin benar cerita itu
akan tenggelam juga nanti. Bila orang sudah penat bercerita, bila ada cerita
lain yang boleh dibincangkan, cerita lapuk pasti dilupakan.
“Ya, betul! New
Band kena cepat keluarkan single
baru! Lepas tu tak adalah orang bercakap pasal minah tu lagi. Aku dah rela nak
kahwin dengan dia, dia pula jual mahal. Huh, macamlah aku kesah sangat. Selagi
aku tak jumpa dia, selagi aku berdiam diri, rasanya betul kata Daniel. Lepas ni
surutlah cerita pasal komen bodoh aku dulu.” Joe Redzuan petik jari. Kemudian
tunjuk reaksi gembira bukan kepalang.
“Baik! Aku akan
lupakan minah tu dan aku tak akan jumpa dia sampai bila-bila. Hiduplah dengan
haluan masing-masing. Sekarang, aku kena berlatih dengan geng-geng aku. Aku
kena cepat rakamkan lagu baru tu!” kata Joe Redzuan penuh semangat lalu terus
berdiri tegak. Sengaja dia mahu bangkitkan semangat diri. Kemudian dengan penuh
yakin Joe Redzuan berjalan masuk ke studio semula.
No comments:
Post a Comment