Bosan Nurul Syakira menunggu
Liana di luar klinik Surgeri. Pada awalnya Liana juga yang beria-ia meminta
Nurul Syakira menemani ke klinik Surgeri hari ini untuk mengambil sampel.
Kebetulan dia mendapat panggilan dari klinik yang menyatakan ada pesakit yang
memenuhi syarat sebagai subjek kajiannya. Sebelum ini, boleh saja Liana pergi
seorang setelah Zaid berhenti kerja. Hari ini pula mengada-ngada memaksa Nurul
Syakira ikut sama. Entah apa anginnya.
Tapi bila sampai ke tempat yang di tuju, Nurul Syakira pula yang disuruhnya
menunggu di luar. Sedangkan Liana masuk ke klinik bersama seorang atendan dan
seorang jururawat. Siap tinggalkan pesan supaya Nurul Syakira tidak ke
mana-mana. Macam budak kecil Nurul Syakira dibuatnya.
Nurul Syakira termenung. Kebosanan menunggu Liana yang sudah hampir dua jam
tidak keluar. Otak Nurul Syakira sudah terbayang-bayang kerjanya yang masih
bertimbun belum disiapkan. Sudahlah semalam dia tidak dapat menumpukan
perhatian pada kerja kerana cirit-birit. Paling penting, dia sudah berjanji
pada Prof Narimah untuk menghantar kertas cadangan untuk melanjutkan
pengajiannya ke peringkat sarjana dalam minggu ini. Tapi sudah dua jam lebih
dia buang masa di sini.
“Hai!”
Nurul Syakira segera menoleh apabila ada suara yang menegur. Ingatkan Liana
sudah keluar dan mengajaknya balik ke jabatan. Rupanya, doktor kacak yang
menghantarnya pulang semalam. Terus saja Nurul Syakira tergamam. Rasa malu pula
mahu berdepan dengan Aiman apabila teringatkan hal semalam. Entah macam manalah
rupa Nurul Syakira di depan Aiman semalam. Entah-entah serupa tempoyak basi.
“Awak buat apa dekat sini?” Terpacul soalan itu dari mulut Nurul Syakira
tanpa disangka.
Aiman lemparkan senyuman manis seperti biasa lalu duduk di kerusi di
barisan depan Nurul Syakira. Badannya dipusingkan ke belakang menghadap Nurul
Syakira. “Saya kerja dekat sini,” balasnya bersama senyuman yang masih tidak
pudar.
Nurul Syakira mengangguk spontan. Oh ya. Baru Nurul Syakira ingat akan
cerita Liana sebelum ini. Nurul Syakira memang sudah sedia maklum tentang Aiman
berkhidmat di klinik Surgeri tapi tidak tahulah kenapa soalan itu yang
diajukannya. Soalan super spontan agaknya.
“Macam mana dengan perut awak, dah okey ke? Kan awak dapat MC hari ni.
Kenapa datang?”
Nurul Syakira tenung muka Aiman. Soalan Aiman itu tidak terus dijawabnya.
Tangannya meraba perut. Sementara otaknya sekejap kosong sekejap kusut.
Perlahan satu nafas panjang dilepaskan seraya menghempas tubuhnya ke belakang.
“Kerja banyak saya kena siapkan minggu ni. Tapi mak cik tu pula sibuk suruh
saya ikut dia datang sini. Lepas tu tinggalkan saya seorang dekat sini, suruh
duduk termanggu tunggu dia macam orang tak ada kerja!” Balasnya lambat dengan
muncung panjang.
Aiman tergelak kecil. Geli hatinya melihat reaksi Nurul Syakira. “Mak cik?
Siapa? Liana?” Aiman terus meneka lalu Nurul Syakira beria-ia anggukkan kepala.
Mengiakan tekaan Aiman sekaligus mengundang tawa Aiman sekali lagi. “Awak
janganlah salahkan dia. Sebenarnya saya yang minta Liana bawa awak sekali ke
sini kalau dia ada datang nak ambil sampel. Tapi tak sangka pula hari ni.”
‘Ha?’ Mata Nurul Syakira terbelalak bersama dahinya yang jelas berkerut.
Dia langsung tidak memahami pengakuan Aiman sebentar tadi. “Awak nak jumpa saya
ke? Buat apa?”
Serta-merta Aiman mengalih pandangannya daripada Nurul Syakira. Tingkahnya
nampak mulai kekok. Nurul Syakira jadi bingung. Kenapa? Mahu saja Nurul Syakira
terus bertanya bertalu-talu. Tapi dia hanya mampu ternganga dan menanti.
“Tak ada apa. Saya cuma nak tanya pasal kesihatan awak aje. Kan awak
cirit-birit semalam. Jadi, saya cuma nak tahu sama ada awak dah okey ke belum.
Tapi tak sangka pula awak dah muncul depan mata saya walaupun awak sepatutnya
berehat di rumah sekarang ni.” Aiman membalas sambil cuba tersenyum. Namun
reaksinya masih nampak janggal.
“Ha?!” Nurul Syakira melopong lagi. Seakan tidak percaya akan jawapan Aiman
itu. Setakat hendak tahu tentang sakit perut Nurul Syakira sudah sembuh atau
tidak kan boleh saja tanya terus pada Liana. Masakan itu saja yang mahu
dibualkan hingga menyebabkan Nurul Syakira buang masa berjam-jam di sini. Hanya
untuk sebaris soalan? Memang tak berbaloi!
Alhamdulillah. Nurul Syakira
menarik nafas lega apabila kertas cadangan yang patut dihantar kepada Prof
Narimah esok sudah siap dicetak. Berbunga-bunga hati Nurul Syakira melihat
namanya yang tertulis atas muka depan kertas cadangan penyelidikan itu. Yahoo!
Dia bakal melanjutkan pelajaran tidak lama lagi setelah permohonannya lulus
nanti. Bangga sekejap Nurul Syakira rasa.
“Dah boleh balik ke belum?” Liana sudah berkali-kali menanyakan soalan itu.
Nada suaranya sudah kedengaran seperti anak kecil yang tidak dapat permainan
yang diingini. Padan muka Liana. Berjaya juga Nurul Syakira membalas dendam,
memaksa Liana menemaninya di bilik bacaan sehingga dia menyiapkan kertas
cadangan itu.
Nurul Syakira tidak ambil peduli rengekan Liana sepanjang waktu itu. Dia
terus fokus pada kerjanya. Sempat Nurul Syakira mengugut.
“Lagi kau kacau kerja aku, lagi lambat kita balik!” Nurul Syakira tayang
muka garang dan terus tekun menaip, menyelak nota dan terus menaip.
Nurul Syakira klip helaian kertas cadangannya dan kemudian disimpan rapi di
dalam sebuah fail. Sekeping kertas kecil dicapai. Nota untuk jadual esok
dicatit atas kertas itu supaya dia tidak terlupa untuk menghantar kerjanya
kepada Prof Narimah. Nurul Syakira kan pelupa orangnya. Kalau tidak dibuat
nota, dia selalu terlupa apa yang patut dibuat. Kadang-kadang sampai tertangguh
berminggu-minggu.
Setelah memeriksa semua kerjanya, Nurul Syakira memadamkan suis komputer
dan mesin pencetak.
“Dah, jom balik!”
Liana serta-merta bersorak apabila mendengar ajakan Nurul Syakira. Memang
sudah lama dia nantikan perkataan itu. Begnya yang sudah sedia dikemas lekas
disambar dan disangkut ke bahu. Nurul Syakira mengikut Liana keluar dari bilik
bacaan. Lepas ini ada satu lagi tugasan untuk Liana, habuan untuk tindakannya
pagi tadi. Disebabkan hari sudah gelap di luar, kenalah Liana menghantar Nurul
Syakira pulang hari ini.
Nurul Syakira gelak dalam hati bila melihat muka monyok Liana yang penat
menunggunya menyiapkan kerja. Kasihan tapi padanlah dengan muka. Siapa suruh
buang masa Nurul Syakira berjam-jam di klinik? Nah, inilah padahnya. Lain kali
buatlah lagi. Boleh Nurul Syakira balik naik kereta hari-hari. Tak perlu lagi
Nurul Syakira menapak balik ke rumah. Letih.
No comments:
Post a Comment