Hari ini Nurul Syakira menerima kunjungan Aiman sekali
lagi. Joe Redzuan pula tidak nampak batang hidung. Bagus juga mamat itu tidak
nampak depan mata Nurul Syakira. Buat sakit mata saja. Sakit hati pun ada bila
melihat senyum nakal Joe Redzuan yang acap kali ditayang setiap kali
kunjungannya. Pandang Nurul Syakira dari atas ke bawah... dari bawah ke atas.
Macam lelaki miang. Entah apa yang dia fikir.
Aiman pula datang
hari ini dengan membawa buah tangan. Bukan makanan mamak seperti semalam. Hari
ini dia membawa buah mempelam yang kuning keemasan bersama. Macam tahu-tahu
saja Nurul Syakira suka makan mempelam. Penuh peti sejuk Nurul Syakira dengan
mempelam dan lauk-lauk semalam.
“Emm... kaki awak
dah baik ke?” Aiman menyoal. Matanya menjeling kaki Nurul Syakira dari jauh.
Belum sempat Nurul Syakira menjawab soalan itu, Aiman sekali lagi bersuara.
“Boleh saya tengok?”
Nurul Syakira
terdiam apabila mata mereka bertaut. Soalan itu sekali lagi tidak dijawabnya.
Tidak mampu rasanya untuk dia bersuara gara-gara lidahnya yang tiba-tiba kelu.
Malah, Nurul Syakira membiarkan saja Aiman mencapai dan mengangkat kakinya
sedikit tinggi. Tenang Aiman membelek tapak kaki Nurul Syakira yang sudah tidak
lagi berbalut.
“Kaki awak ni kena
jangkitan kuman ni. Kalau dibiarkan, kaki awak mungkin kena potong.”
Terbelalak mata
Nurul Syakira mendengar kenyataan yang baru saja muntah dari mulut Aiman.
Ha? Biar betul?!
Takkanlah teruk sangat sampai nak kena potong?!
Mata Nurul Syakira
kemudiannya berkelip-kelip dengan mulutnya yang menganga. Aiman tergelak
melihat riak gadis di hadapannya. Terkejut benar dia nampaknya.
“Awak janganlah
risau. Kalau awak rawat sekarang, doktor cuma akan korek luka awak ni aje untuk
bersihkan nanah dan kawasan yang terinfeksi...”
Terkejut lagi Nurul
Syakira buat kali kedua. Kali ini suaranya yang nyaring terlontar keluar
menerjah gegendang telinga Aiman.
“Ha?!”
Aiman kulum
senyuman. Geli hatinya melihat respon Nurul Syakira. Tidak sampai hati pula dia
mahu terus menyakat gadis itu. “Tak adalah. Saya gurau aje...” ujar Aiman cuba
menenangkan tegang di wajah Nurul Syakira. Wajah Nurul Syakira jelas
menunjukkan rasa tidak percaya. Berkali-kali Aiman terpaksa meyakinkan gadis
itu. “Saya bergurau aje. Awak janganlah cemas sangat. Emm... mana ubat awak? Biar
saja tolong bersihkan luka awak ni.”
Nurul Syakira terus
tergamam. Soalan Aiman sekali lagi tidak mampu dibalasnya. Hanya tangannya saja
perlahan-lahan menunjuk ke arah depan. Lantas Aiman mengikut arah telunjuk
gadis itu. Kalau tidak silap arah itu menunjuk ke sebuah bilik yang bertutup
pintunya.
“Dekat bilik ke?”
Aiman menyoal untuk kepastian. “Err.. tak apa ke saya ambik?” soalnya lagi
setelah Nurul Syakira hanya mengangguk.
Senyap.
Biar betul. Dia tak
kesah ke aku masuk bilik dia? Bisik hati kecil Aiman. Dia teragak-agak. “Emm...
tak apalah. Awak tunggu sini. Nanti saya datang balik...”
Balutan di kakinya dibelek perlahan. Rasa perit yang
mencengkam ketika Aiman memicit keluar sisa nanah tadi sudah beransur hilang.
Malah rasa dingin sedikit setelah ubat disapu dan dibalut kemas. Balutan Aiman
sememangnya lebih kemas dari hasil kerja tangan Nurul Syakira sendiri.
“Assalammualaikum...”
Nurul Syakira
mengangkat muka apabila mendengar orang memberi salam. Bergetar jantungnya
melihat Joe Redzuan sudah terpacak hanya beberapa tapak dari tempatnya duduk.
“Yo!” Bersahaja Joe
Redzuan menyapa.
Serta-merta Nurul
Syakira bangun mencekak pinggang. Namun kakinya kembali sakit sebaik dihentak
ke lantai. Nurul Syakira mengaduh sakit lalu cuba duduk semula. Berkerut-kerut
mukanya menahan sakit.
Aduh! Asal jumpa
mamat ni, ada aje yang sakit! Getusnya terkial-kial mengunjurkan kaki ke depan.
Muka Joe Redzuan ditenung kemudiannya.
“Apa kau buat dekat
rumah aku ni? Macam mana kau masuk?” tujahnya garang.
“Ikut pintulah...”
balas Joe Redzuan selamba. Bungkusan yang dibawanya bersama dilambakkan atas
meja kopi di depan Nurul Syakira. Kemudian dia mengambil tempat di depan gadis
itu tanpa dijemput. “Pintu kau tu dah memang terbuka. Aku masuk ajelah,”
tambahnya lagi.
“Kalau pintu tu
terbuka ke tercabut sekalipun tak bermakna kau boleh masuk rumah orang sesuka
hati. Tak malu.”
“Aku dah beri salam
kan tadi.”
“Beri salam pun,
tuan rumah tak beri kau masuk pun kau dah selamba menonong masuk macam rumah
sendiri.”
Mereka terus bertelagah
sehinggalah kedengaran suara Aiman bergema di telinga Nurul Syakira, sekaligus
mematikan perbalahan mereka. Nurul Syakira segera menoleh. Terlupa pula Aiman
juga ada di rumahnya.
“Okey.. dah siap!”
Tidak lama, Aiman muncul dari arah dapur. Lelaki itu berjalan ke ruang tamu
sambil menyapu tangannya yang bari dibasuh. Seterusnya pergelangan tangan baju
dilurutkan ke bawah. “Nanti rain-rajinlah bersihkan luka tu. Kalau tak nanti
bernanah lagi. Kalau awak nak saya... oh.” Mati kata-kata Aiman apabila menyedari
kehadiran Joe Redzuan di situ. Lambat Aiman melemparkan senyuman.
Joe Redzuan tidak
membalas senyuman itu. ‘Oh, ada tetamu!’ getus hatinya geram. Tingkah Aiman
diperhatikan. Aiman mengutip barang-barangnya di atas lantai dan dimasukkan ke
dalam sebuah kotak. Kemudian lelaki itu bangun. Melihat kotak kecemasan di
tangan Aiman dan balutan pada kaki Nurul Syakira yang baru diperkemas, Joe
Redzuan membuat andaian sendiri. Ada secebis rasa cemburu di hatinya.
“Okeylah, Kira.
Saya balik dulu. Saya tinggalkan awak ubat untuk awak sapu pada luka tu. Jangan
lupa bersihkan selalu. Baru luka boleh cepat sembuh.” Aiman memberi pesanan
sambil tersenyum.
“Eh, nak balik
dah?” Nurul Syakira terkejut. Matanya menjeling Joe Redzuan sekilas. “Err...
kawan saya ada beli banyak makanan ni. Tak terhabis kalau saya makan seorang.
Dengan Fara pun belum tentu luak. Apa kata awak makan sama dengan kami malam
ni?” Nurul Syakira mengajak sambil menyelongkar beg plastik yang berlambak atas
meja. Yong tau fu, nasi kerabu, ayam panggang, kuih-muih, macam-macam ada. Buah
mempelam... eh, macam sama saja citarasa Joe Redzuan dengan Aiman.
“Kalau kau tak
boleh habiskan, bagi ajelah dekat jiran-jiran. Boleh juga kau bersedekah.
Sedekah tu satu amal jariah tau!” sampuk Joe Redzuan tidak senang akan pelawaan
Nurul Syakira kepada Aiman.
Nurul Syakira
menjeling sambil tayang wajah jengkel. ‘Sibuk ajelah mamat ni. Suka hati
akulah!’ bengkengnya dalam hati.
“Emm... boleh juga.
Kalau awak bagi saya makan pun kira bersedekah juga.” Aiman kemudian membalas
dengan senyuman.
Bengkak hati Joe
Redzuan mendengar kata-kata Aiman. Melihat senyuman Nurul Syakira yang gembira
bila Aiman setuju akan ajakannya bikin hati Joe Redzuan bagai disiat-siat.
Menyampah.
“Kalau macam tu,
aku pun join sekakilah. Tak manis kalau nak biarkan kau seorang dengan lelaki
asing dalam rumah ni. Lagipun, tak habis juga kalau kau berdua aje yang makan,”
ujar Joe Redzuan selamba. Lantas dia bangun dan memungut semua bungkusan lalu
dibawa ke dapur tanpa dipelawa.
Nurul Syakira hanya
mampu memerhati dengan perasaan jengkel. Terkejut Nurul Syakira akan tindakan
lelaki itu.
Sibuk betullah
mamat ni. Macamlah dia tu bukan lelaki yang dia nak kata aku tak manis duduk
dengan lelaki asing. Habis dia tu siapa? Suami aku ke? Gerutu betul hati Nurul
Syakira dibuatnya. Ikutkan rasa mahu saja dia melompat dan hentak-hentak kaki
di situ. Nasib baik kakinya sakit.
Nasib baik tidak lama Joe Redzuan pandai-pandai membawa
semua bungkusan ke dapur, Fara Hana pun balik. Lega hati Nurul Syakira. Tidaklah
dia seorang saja di rumah itu. Bimbang juga kalau ada gosip liar yang dicanang
dek kejiranannya. Ah, Nurul Syakira sendiri yang cari penyakit mengajak Aiman
makan malam di rumah. Masa mengajak, tidak pula terfikir semua itu. Saja dia
hendak sakitkan hati Joe Redzuan.
Fara Hana pula
sejak awal lagi asyik menangkan Joe Redzuan. Bila ada saja pertelagahan
pendapat, Joe Redzuan yang dibelanya. Musykil sungguh Nurul Syakira melihat
keserasian mereka berdua. Aik, macam ada sesuatu yang Nurul Syakira tidak tahu
saja.
Nurul Syakira menghempas keluhan halus. Pinggan mangkuk di
depannya dikemas sedikit demi sedikit. Kasihan pula hendak dibiarkan Fara Hana
membasuh pinggan seorang diri di dapur. Entah apa yang dicuci Fara Hana lama
benar dia di depan sinki itu. Walhal bukannya banyak kuali dan periuk yang
diguna untuk memanaskan makanan tadi.
Sedangkan dia
terpaksa menghadap muka Joe Redzuan yang tak reti-reti bangun dari tempat
duduknya. Beria benar lelaki itu makan. Tadi disuruhnya Nurul Syakira
sedekahkan makanan-makanan itu tapi dia pula yang makan beria-ia. Sementara
Aiman sudah lama selesai makan dan dihidangkan pula kuih-muih di ruang tamu.
Hanya beberapa
minit lalu Joe Redzuan selesai menikmati makanannnya. Nurul Syakira pandang
pinggan mangkuk atas meja. Kosong. Dipandangnya pula pinggan Joe Redzuan.
Licin. Kemudian kedengaran Joe Redzuan bersendawa sambil membasuh tangannya
dengan air dari kendi. Nurul Syakira geleng kepala.
Ceh! Belikan orang
konon. Tapi dia yang makan lebih-lebih. Tapi bagus juga, tak ada makanan yang
terbuang! Sungut Nurul Syakira dalam hati.
Nurul Syakira
bangun. Pinggan mangkuk kotor atas meja dipungutnya satu per satu, ditindih
atas satu sama lain. Selesai menyusun, Nurul Syakira hendak membawa pinggan
mangkuk itu ke dapur. Namun tangannya terlebih dulu ditangkap lembut oleh
sepasang tangan lain. Serentak Nurul Syakira menoleh.
“Biar aku yang
buat. Kaki kau tu belum baik sangat. Jangan banyak bergerak,” ujar Joe Redzuan
lalu menyambut pinggan mangkuk dari tangan Nurul Syakira.
Nurul Syakira
terdiam seketika. Namun tangannya masih tidak dilepaskan dari pinggan mangkuk
tersebut. Tidak lama kemudian, dia menarik pinggan mangkuk itu hingga terlepas
dari pegangan Joe Redzuan. “Tak payah. Aku boleh buat sendiri. Ini kerja orang
perempuan!”
Joe Redzuan
merenung Nurul Syakira serentak dia melepaskan keluhan. “Jangan degil boleh
tak? Kalau dah sakit tu, buatlah cara orang sakit. Biar ajelah aku tolong.
Nanti pinggan tu pecah, orang lain juga yang susah.” Leter Joe Redzuan lalu
menyambar pinggan mangkuk dari tangan Nurul Syakira.
Berdesing telinga
Nurul Syakira mendengar ayat Joe Redzuan. Bagai dihenyak-henyak hatinya melihat
cebikan Joe Redzuan sebelum berlalu ke dapur. Eii sakitnya hati Nurul Syakira.
Spontan Nurul Syakira mengangkat penumbuknya sambil mengejek di belakang Joe
Redzuan. Bukannya Joe Redzuan dapat lihat reaksinya itu.
Dengan hati
bengkak, Nurul Syakira memungut sisa gelas kotor yang masih tertinggal atas
meja. Disusunnya dalam dulang dan seterusnya dibawanya ke dapur dengan kaki
terhinjut-hinjut.
Sekali lagi Joe
Redzuan mahu menyambut dulang dari tangan Nurul Syakira. Tapi kali ini Nurul
Syakira tidak akan biarkan. Dipegangnya dulang itu kuat-kuat. Tidak mahu
melepaskannya kepada Joe Redzuan.
“Tak payahlah. Aku
boleh buat sendirilah!” tujah Nurul Syakira tidak senang.
“Degillah kau ni.
Pergilah duduk diam-diam kat depan aje.”
“Eh, apasal kau
pula yang nak arah-arah aku duduk diam-diam? Ini kan rumah aku. Kau tu yang
patutnya duduk diam-diam!” Nurul Syakira membalas. Kemudian omelannya
bersambung-sambung tanpa dapat didengari Joe Redzuan. Fara Hana yang hampir
selesai membasuh pinggan membiarkan saja Nurul Syakira dan Joe Redzuan saling
berbalah. Alah, gaduh-gaduh sayang. Biarlah, katanya.
Dulang berisi gelas
tadi sekejap di tarik Joe Redzuan, sekejap ditarik Nurul Syakira. Sudahnya
terlepas ke lantai lalu berdesing bunyi dulang itu menghentam lantai mozek
diikuti bunyi gelas jatuh sekaligus. Sisa air dalam gelas melimpah membasahi
lantai. Kedua-dua mereka melopong sejenak.
“Ha! Tengok. Kan
dah jatuh. Nasib baik gelas plastik!” Joe Redzuan terlebih dulu bersuara sambil
mencekak pinggang.
Seketika, Fara Hana
pula datang menghampiri. Gelas yang berterabur atas lantai dipandangnya
sekilas. Kemudian Fara Hana menggeleng-gelengkan kepala memandang Nurul Syakira
dan Joe Redzuan. “Emm... kerja aku dah selesai. Sekarang giliran kamu berdua
pula. Yang ni... sila bereskanlah ya.” Selamba Fara Hana berkata sambil
menuding ke arah gelas-gelas atas lantai. Sempat Fara Hana melempar senyuman lebar
dan menepuk bahu Nurul Syakira sebelum berlalu pergi.
Apa ni? Saja aje
nak biarkan aku dengan mamat ni. Mamat ni pun satu. Buat kerja orang ajelah.
Wajah Joe Redzuan
ditenung dengan perasaan geram. Muka Joe Redzuan pula boleh selamba saja
merenung Nurul Syakira macamlah Nurul Syakira yang buat salah. Namun Nurul
Syakira tidak mahu mengalah. Jangan ingat Joe Redzuan boleh buli Nurul Syakira
dengan mudah. Nurul Syakira tidak akan cair punya.
“Ha! Kau nak tolong
sangat kan? Kau yang bagi gelas tu jatuh, jadi kau bereskan!” Nurul Syakira
lekas-lekas hayun kakinya ke depan sinki. Pinggan mangkuk yang sengaja Fara
Hana tinggalkan tadi dicucinya cepat.
Joe Redzuan
memungut gelas yang bertaburan dan diletakkan semula ke dalam dulang. Kemudian
dulang itu di letakkan di tepi kabinet. Matanya melilau sekitar dapur, mencari
kain untuk mengelap lantai yang basah. Sesekali dijelingnya juga reaksi Nurul
Syakira. Dia nampak bibir gadis itu terkumat-kamit, entah apa yang
diomelkannya. Joe Redzuan mengejek dari belakang lalu dia tertawa perlahan.
Nurul Syakira sudah
selesai mencuci baki pinggan yang kotor dalam sinki. Tangannya yang basah dilap
dengan kain yang disangkut pada pemegang kabinet di bawah sinki. Joe Redzuan
memerhati.
Lah, patutlah aku
cari kain tak jumpa. Dah kena lindung rupanya! Bisik hati Joe Redzuan dan terus
memerhati gerak-geri Nurul Syakira. Sebaik Nurul Syakira berpaling, gadis itu
terus saja melangkah ke depan untuk kembali ke ruang tamu. Sedikit pun dia
tidak menoleh ke arah Joe Redzuan walau jarak mereka bukanlah jauh sangat.
Dapur itu pun bukannya besar. Nurul Syakira nampak kelibat Joe Redzuan dari
hujung matanya tapi sengaja dia tidak mahu menjeling.
Mata Joe Redzuan
beralih kepada limpahan air yang belum dia bersihkan. Melihat kaki Nurul
Syakira yang terhinjut-hinjut mendekati lantai itu, Joe Redzuan jadi panik.
Belum sempat Joe Redzuan berbuat apa-apa, Nurul Syakira sudah jatuh tergelincir
di depannya. Spontan Joe Redzuan menutup mata dengan mimik muka berkerut.
‘Ouch! Mesti sakit...’ detiknya.
“Aduh...” Nurul
Syakira mengaduh lalu cuba bangun. Pinggang dan punggungnya terasa begitu
sengal dan sakit setelah terhentak ke lantai. Rasa macam sudah patah
tulang-temulangnya semua. Sakit di hati juga makin menjadi-jadi. “Mangkuk hayun
betul! Aku dah suruh bersihkan dah tadi... aduh....” bengkeng Nurul Syakira
sambil mengurut-urut belakangnya. Perlahan-lahan dia cuba bangun tapi kaki yang
sememangnya cedera bertambah sakit. Sekilas dia menjeling Joe Redzuan yang
sekadar terpaku di tempatnya. “Tercegat lagi dekat situ buat apa? Tolonglah!”
Joe Redzuan
tergelak. Perlahan bunyinya kerana ditahan-tahan. Namun tawa itu tidak ampu dia
tahan terus dan akhirnya meletup jua memecahkan suasana ruang dapur itu. Hingga
ke ruang tamu dapat mendengar tawanya. Beberapa ketika kemudian, muncul Fara
Hana dan Aiman dari arah depan dengan riak kehairanan.
“Apa yang jadi ni?
Apasal? Apasal?” Kecoh Fara Hana hendak bertanya.
Sedang Nurul
Syakira muncung panjang melihat Joe Redzuan suka- hati ketawa. Kelat mukanya.
Hati yang sedia sakit kian membengkak. ‘Boleh dia gelak pula. Bukannya nak
tolong ke apa. Hampeh betul!’
Fuh! Lega rasa mata Nurul Syakira setelah Joe Redzuan
pulang. Sakit matanya melihat muka Joe Redzuan. Tapi sakit lagi hatinya bila
mengenangkan apa yang telah lelaki itu lakukan. Apa saja tindakan Joe Redzuan
semuanya buat Nurul Syakira geram.
Tawa Joe Redzuan
tadi juga seakan masih terngiang-ngiang di telinga. Sesekali Nurul Syakira
menepis tepi cuping telinga. Cuba menepis suara lelaki itu dari terus mengganggu
fikirannya. Sakit hati betul bila mengenangkan hal tadi. Boleh Joe Redzuan
sedap mentertawakannya sedangkan dia mengaduh sakit. Nasib baik Aiman ada.
Lelaki gentleman itu yang memimpin
tubuh Nurul Syakira bangun dan dibawa ke ruang tamu. Hendak diharapkan Joe
Redzuan, sampai esoklah hanya tawanya saja yang bergetar.
Aiman sememangnya
seorang lelaki yang baik. Aiman melayannya seperti seorang perempuan. Lembut
tindakannya membuatkan sejuk mata Nurul Syakira melihat. Lembut budi bicaranya
bikin sejuk telinga mendengar. Tidak cukup dipimpinnya Nurul Syakira di depan,
disoalnya Nurul Syakira bermacam soalan kerana keprihatinannya.
“Yang mana sakit?
Sini sakit tak? Sini? Sini?” Disoalnya Nurul Syakira bertalu-talu untuk
memastikan Nurul Syakira tidak mendapat kecederaan. Nurul Syakira rasa gembira
dilayan begitu. Dia merasakan dirinya dihargai, disayangi dan seperti dirinya
begitu penting dalam hidup lelaki itu. Ops, kenapa Nurul Syakira puji
lebih-lebih ni?
Tapi bila
mengenangkan profesyen Aiman sebagai doktor, ada secebis hampa di hati. Hai,
entahkan Aiman begitu mengambil berat terhadap Nurul Syakira atau memang sifat
azalinya sebagai seorang doktor. Entah-entah Aiman memang menganggapnya sebagai
pesakit. Yalah, kaki Nurul Syakira kan cedera. Lepas itu jatuh bedebuk pula.
Mengambil berat terhadap pesakit memang tanggungjawabnya.
Nurul Syakira
hempas keluhan halus sambil menongkat dagu. Bermacam-macam pula hal yang
bermain di fikirannya. Sebelum Nurul Syakira perasan lebih jauh, ditepisnya
perasaan itu jauh-jauh. Nyah kau dari sini!
No comments:
Post a Comment