Joe Redzuan duduk berteleku di
atas tikar sejadah sebaik menunaikan solat Subuh. Fikirannya asyik memikirkan
kata-kata Daniel semalam. Setiap butirannya masih terngiang-ngiang di telinga.
“Sebelum kau bertindak bodoh sekali lagi, aku rasa lebih baik kau tanya
diri kau sendiri. Siapa perempuan tu pada kau yang kau yakin dia milik kau?
Atas bukti apa yang kau rasa dia tu hak kau? Dan siapa sebenarnya dia dalam
hati kau? Kalau kau rasa dia tu barang dagangan yang kau berdua boleh rebutkan,
kaulah orang paling kejam dan jahil dalam dunia ni. Kalau kau rasa pergaduhan
dengan abang kau sendiri patut berterusan disebabkan hal yang tak munasabah,
kau sebenarnya tak berfikirkan dengan akal yang Tuhan pinjamkan pada kau.
Sekurang-kurangnya, kau fikirkanlah perasaan perempuan tu bagi setiap apa yang
buat selama ni. Dan fikirkanlah perasaan mak ayah kau untuk apa yang kau akan
buat lepas ni. Kau fikir semua akan berakhir dengan bahagia dengan cara ni? Kau
fikir mak ayah kau akan gembira tengok anak-anak dia berantakan?”
Joe Redzuan terpanar akan setiap bait kata yang dilemparkan Daniel
kepadanya. Kata-kata Daniel memang munasabah. Wajah Nurul Syakira terbayang di
ruang mata. Bersama tangisan gadis itu di Pulau Redang lalu. Diikuti wajah
marah Nurul Syakira yang tidak mahu lagi Joe Redzuan muncul dalam hidupnya. Joe
Redzuan sedar akan nilai dirinya pada Nurul Syakira. Kemudian wajah Umi pula
melintas di fikiran. Wajah tenang Prof Narimah pasti bertukar mendung apabila
Joe Redzuan terus mengelak daripada Aiman. Joe Redzuan sedar semua itu tapi dia
tidak pernah ambil peduli. Apa yang penting padanya selama ini hanyalah rasa
marahnya terhadap abangnya itu.
Joe Redzuan mengaup muka dengan tangan. Dia makin buntu sekarang ini.
Ya Tuhan, apa patut aku buat sekarang?
Joe Redzuan memandu perlahan
Pesonanya menyelosori taman perumahan sambil matanya menoleh ke kiri dan ke
kanan. Sesekali dia memandang alamat yang tertulis atas secebis kertas. Alamat
tempat tinggal Nurul Syakira yang pernah disalinnya semasa membawa gadis itu ke
hospital dulu.
‘Tak nampak rumah flat pun dekat sini...’ detiknya sendiri sambil terus
mencari bangunan yang tinggi-tinggi.
Dalam Joe Redzuan masih tercari-cari jawapan di mana letaknya Nurul Syakira
di dalam hatinya, dia bertekad mahu memulakan hubungan baru dengan gadis itu.
Jika dia tidak memulakannya, masakan dia tahu nilai gadis itu dalam hidupnya.
Apatah lagi memang salah Joe Redzuan dulu yang meminta kedua ibubapanya
meminang Nurul Syakira. Prof Narimah pula sudah berkenan benar dengan Nurul Syakira
dan asyik bertanyakan perkembangan hubungan mereka. Sedangkan realitinya mereka
asyik bertegang leher. Perkenalan mereka juga bukanlah daripada cinta terpendam
seperti yang diberitahu Joe Redzuan kepada Prof Narimah. Kalau Prof Narimah
tahu hal yang sebenar-benarnya, pasti hati Uminya itu akan terluka.
Tambah pula abangnya Aiman sudah kembali dalam diari hidup Joe Redzuan.
Dilihatnya Nurul Syakira begitu mesra dengan Aiman. Tidak dapat dibayangkan
jika gadis itu bertukar menjadi kakak iparnya. Menjadi isteri kepada lelaki
yang pernah merampas kebahagiaannya sebelum ini. Sekali lagi lelaki itu berjaya
merampas haknya. Ah, peritnya untuk Joe Redzuan memikirkan hal itu.
Tapi Nurul Syakira belum menjadi hak sesiapa. Jadi, Joe Redzuan perlu
segera bertindak. Sebelum Joe Redzuan terpaksa berterus-terang kepada Prof
Narimah dan Encik Sulaiman bagi menceritakan situasi sebenar di antara mereka,
Joe Redzuan perlu berbaik-baik dengan Nurul Syakira. Mungkin hubungan
persahabatan boleh dimulakan sebagai satu titik tolak masa depannya. Itu saja
yang dia fikirkan sekarang ini.
Kereta yang dipandu Joe Redzuan akhirnya berhenti di depan kawasan rumah
pangsa. “Mungkin ini kut rumah dia. Ha, betullah!” Joe Redzuan tambah yakin
apabila terlihat tanda nama di pintu masuk kawasan rumah pangsa itu. Lantas
pantas dia memandu masuk dan meletakkan keretanya di kotak parkir yang kosong.
Dalam debar Joe Redzuan menarik nafas panjang. Bermacam doa dibacanya untuk
menenangkan hati yang entah kenapa begitu gemuruh. Lagak mahu bertemu ibu
mertua pula. Memang beginikah rasanya?
Beberapa minit kemudian, Joe Redzuan melangkah ke luar dan tercari-cari
pula blok rumah Nurul Syakira. Usai naik ke tingkat empat, nombor rumahnya pula
yang dicari.
Akhirnya, Joe Redzuan sudah berdiri betul-betul di depan rumah seperti mana
dalam alamat di tangannya. Salinan alamat itu dilihat berulang kali. Benarlah
itu rumah yang dicari. Dari luar, rumah itu nampak sunyi. Entah ada atau tidak
penghuninya.
Setelah menarik nafas dalam, Joe Redzuan mengetuk daun pintu seraya memberi
salam.
No comments:
Post a Comment