Joe Redzuan menelan liur
memandang juadah tengah hari yang di jual di restoran itu. Ini pertama kali dia
datang singgah ke restoran mamak, berdekatan dengan rumah Nurul Syakira. Kata
Fara Hana, Nurul Syakira gemar makan terutama masakan mamak. Sebelum ini, Joe
Redzuan tidak teringin langsung mahu merasa masakan mamak. Mendengar nama
restoran mamak saja sudah buat dia meremang bulu roma dan bergeliang-geliut
bagai beruk kena ipuh. Tapi bila melihat lauk-pauk di depannya, terliur juga
dibuatnya. Tambah-tambah lauk kari kepala ikan. Fuh, mengancam rupa dan
warnanya. Perut yang tadi kenyang juga tiba-tiba saja berlagu.
Alang-alang Nurul Syakira sakit, bolehlah Joe Redzuan ambil kesempatan
memulakan rancangannya. Rancangan untuk mendekatkan diri dengan gadis itu. Biar
terjalin walau sebuah persahabatan dan biar terjawab kemusykilan dalam hatinya
sendiri.
Pada mulanya Fara Hana serius tidak mahu membantu setelah Joe Redzuan tidak
langsung menjawab setiap soalan gadis itu berkenaan perasaannya pada Nurul Syakira.
Kalaulah Joe Redzuan ada jawapannya, sudah tentulah Joe Redzuan dengan mudahnya
memberikan jawapan.
Tapi sudahnya Fara Hana juga yang rela hati berkongsi tips dengan Joe
Redzuan setelah Joe Redzuan berjanji mahu memberinya album single keduanya kepada Fara Hana sebagai ganti. Bukan main gembira
lagi gadis itu apabila mendengarnya. Siap buat permintaan tambahan supaya Joe
Redzuan mendapatkan semua autograf teman-teman bandnya di atas album tersebut. Hai, wanita. Memang sukar
difahaminya.
Joe Redzuan mencedok kari kepala ikan masuk ke dalam plastik. Teringat pula
pesanan Fara Hana semalam.
“Tapi kalau kau nak tahu, Kira tak makan ikan. Dia kata dia rasa kesian
dekat ikan tu.” Fara Hana memberitahu sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Dia sayang semua ikan macam dia sayang ikan kecil dia tu ke?” Joe Redzuan
pula meneka sekaligus mata Fara Hana membulat.
“Ha, mana kau tahu pasal Jojo?”
Joe Redzuan hanya tergelak setiap kali menyebut nama Jojo, berulang-ulang
dia menyebut nama itu. Kepalanya juga digelengkan sekali-sekala. Jadi betullah
Jojo itu nama ikan laga dalam balang kecil yang Nurul Syakira pecahkan. Joe
Redzuan ingatkan dia tersalah dengar sebab cemas juga melihat Nurul Syakira
gelabah ketika itu. Hinggakan dia sendiri kaku melihat gerak-geri Nurul Syakira.
Ke sana ke sini, bersusah-payah untuk menyelamatkan Jojonya. Tapi kesudahannya
arwah juga ikan tersebut.
Langkah tangan Joe Redzuan terhenti apabila mengenangkan kenyataan Fara
Hana. Nurul Syakira tidak makan ikan. Lauk itu diletakkan semula dalam kuahnya.
Joe Redzuan meninjau lauk lain. Emm... banyaknya pilihan.
Terkial-kial Nurul Syakira berjalan ke pintu apabila bunyi
ketukan bertalu-talu menghentam pintu itu. Hai, siapa pula yang datang
pagi-pagi ini. Orang hendak berehat pun tak senang. Getus Nurul Syakira kurang
senang. Jika Fara Hana yang pulang, pasti kawannya itu akan membuka pintu
sendiri. Melainkan Fara Hana terlupa bawa kunci. Tapi kalau betul Fara Hana,
mesti Nurul Syakira mendengar suara Fara Hana memanggil. Yang dekat luar ni pula
senyap saja tanpa suara.
Perompak ke? Nurul Syakira meneka sebelum tangannya
memulas tombol pintu. Takut pula Nurul Syakira mahu membuka pintu itu. Kakinya
sudahlah cedera. Hendak berjalan pun payah. Kalau betul rumahnya diserang
perompak, sudah pasti Nurul Syakira tidak mampu melawan. Setakat mulutnya saja
yang boleh memekik dan menjerit. Tapi kalau dihayun penampar ke mukanya
silap-silap terus Nurul Syakira pengsan.
Lama Nurul Syakira berkira-kira depan pintu. Telinganya
dilekapkan ke pintu. Kedengaran suara halus orang memberi salam. Kalau betul
perompak, masakan memberi salam. Mestilah perompak itu terus rempuh pintu itu.
‘Entah-entah Im kut! Dia dah balik KL ke?’ Nurul Syakira
meneka lagi lantas tangannya pantas memulas tombol pintu lalu daun pintu dikuaknya
luas.
Terbelalak mata Nurul Syakira apabila melihat Joe Redzuan
terpacak di depannya sambil tersengih. Tangan Joe Redzuan diangkat paras dada
dan melambai ke arah Nurul Syakira. Sepantas kilat Nurul Syakira menutup
kembali pintu itu. Sakit di kaki tidak lagi dipedulikannya. Sangkanya Dani
Imran, abang angkatnya itu. Kalau di depan Dani Imran, Nurul Syakira memang
selamba tidak bertudung. Tapi tiba-tiba mamat ini pula yang muncul depan mata.
Percuma saja dia tengok aurat Nurul Syakira. Macamlah dengan Dani Imran halal
auratnya.
Sementara Joe Redzuan terkesima seketika di luar. Mati
terus senyumannya. Tangan yang melambai tadi juga lemah saja diturunkan.
Seketika, Joe Redzuan mengetuk lagi pintu itu berkali-kali sambil memanggil
nama Nurul Syakira.
“Kira, bukalah pintu ni. Aku bukan nak buat apa pun. Aku
cuma nak hantar makanan ajelah. Bukalah.” Joe Redzuan memanggil dari luar.
Nurul Syakira membiarkan saja Jeo Redzuan di luar. Dia
tidak mahu membenarkan lelaki itu masuk. Jangan harap. Pandang muka Joe Redzuan
pun dia tidak ingin. Namun suara Joe Redzuan kian bingit menghentam gegendang
telinga Nurul Syakira. Bagai mahu pecah pintu itu diketuk bertalu-talu. Nanti
tercabut pula pintu yang sudah sememangnya uzur itu. Tidak boleh jadi ni. Rumah
ini pun bukan sebatu jauhnya dari rumah-rumah lain. Ini pangsapuri yang tidak
sampai sedepa jaraknya dengan pintu rumah sebelah. Bahkan dengan suara Jeo
Redzuan yang bagai menyanyi-nyanyi di luar rumahnya itu, satu baris aras ini
boleh mendengar. Kecohlah kalau suri rumah-suri rumah jiran sebelah keluar
meninjau apa yang berlaku.
“Kira! Bukalah pintu ni kejap!” Suara Joe Redzuan terus
kedengaran diselangi bunyi ketukan pintu.
Nurul Syakira gelabah. Terhinjut-hinjut dia berjalan ke
bilik. Selendang yang kebetulan tergantung di belakang pintu biliknya disambar
lalu dililit menutupi kepala. Kemudian dia terhinjut-hinjut semula ke ruang
tamu.
Ish, mamat tak reti bahasa ni tak habis-habis nak
menyusahkan aku. Nak bagi aku malu dengan jiran-jiran aku pula ke?
Tombol pintu dipulas. Lega sekejap telinga Nurul Syakira
daripada mendengar suara dan ketukan Joe Redzuan sebaik pintu itu dikuaknya.
Sekarang giliran Nurul Syakira pula menghentam gegendang telinga lelaki itu.
“Kau ni apahal, ha? Pagi-pagi dah memekak depan rumah
anak dara ni, buat apa? Tak malu ke kalau jiran-jiran aku nampak?” jerkah Nurul
Syakira geram. Berbulu hatinya melihat Joe Redzuan yang tersenyum membalas
amarahnya. Lantas Nurul Syakira pula menghadiahkan satu jelingan tajam.
“Kalau kau buka pintu dari awal kan senang. Tak adalah
aku memekak dekat luar ni.” Joe Redzuan menjawab sambil mengulum senyum nakal.
Sakit hati Nurul Syakira tengok. “Ni aku ada bawakan kau makanan. Kau kan
sakit. Mana larat kau nak jalan turun beli makanan. Nanti kaki tak baik, sakit lain
pula yang datang kalau tak makan,” ujar Joe Redzuan lagi lalu menghulurkan
bungkusan makanan yang dibelinya di restoran mamak tadi.
Nurul Syakira memandang bungkusan itu sekilas. Tidak
selera dia mahu menerima pemberian lelaki itu. “Tak payah! Fara dah masak untuk
aku pagi tadi.” Nurul Syakira memberi alasan. Namun matanya masih menjeling ke
arah bungkusan yang dihulur Joe Redzuan. Bau kari sudah menyengat-nyengat
hidungnya. Aduh, tergugat egonya.
Alamak! Fara ni, kata nak tolong aku. Yang dia pergi masak
untuk minah ni buat apa? Joe Redzuan pantas memikirkan alasan lain.
“Tak apalah. Ini kau boleh buat makan tengah hari ke,
malam ke. Takkan cukup makanan yang Fara masak tu...”
Nurul Syakira menjeling lagi. Bagai berdesing telinganya
mendengar kenyataan Joe Redzuan. Apa makna lelaki itu tidak cukup? Apa, ingat
Nurul Syakira ni kuat makan sangat ke?
“Ambil la. Tak baik tau menolak pemberian orang. Kalau
tak suka pun, terima ajelah untuk sekadar menjaga hati. Sejuk hati orang
memberi kalau orang yang diberi itu terima pemberian kita tau...”
Ei, pandai pula nak nasihatkan aku! Geram di hati Nurul
Syakira makin menjadi-jadi. Melihat senyum Joe Redzuan yang meleret-leret di
depannya lagi buat dia menyampah. Rasa macam hendak tampar-tampar saja bibir
lelakit itu. Tapi orang sudah buat baik takkan Nurul Syakira hendak balas
dengan penampar pula.
“Ha, kau nak hantar makanan aje kan. Dah, aku ambik.
Sekarang kau boleh balik.” Nurul Syakira menyambut kasar bungkusan dari tangan
Joe Redzuan. Bau kari dalam bungkusan itu makin kuat menusuk ke hidung.
Mengancam betul harumannya.
Tangan Joe Redzuan pantas menahan pintu sebelum Nurul
Syakira sempat menutup pintu itu rapat.
“Apa lagi?” marah Nurul Syakira dengan muka tegang.
“Tengok!” Joe Redzuan menunjuk ke arah kaki Nurul
Syakira. Spontan Nurul Syakira juga mengikut telunjuk lelaki itu. “Kain
pembalut pun kau tak tukar! Nama aje kerja hospital tapi luka sendiri pun tak
reti jaga. Nanti kena jangkitan kuman baru tahu!” leternya sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
Nurul Syakira melepaskan keluhan halus. ‘Ni apa cerita
pula ni? Nak berlagak jadi doktor depan aku pula ke?’
“Aku tahulah nak buat. Kau tak payahlah sibuk!” Nurul
Syakira terus menolak pintu sekuat hati. Malas dia mahu melayan kerenah Joe
Redzuan yang macam-macam. Berlagak baik pula di depan Nurul Syakira. Bukannya
hendak minta maaf setelah hidup Nurul Syakira dikucar-kacirkannya. Sekarang
hendak tambah huru-harakan hidup Nurul Syakira lagikah? Kalau Joe Redzuan mahu
juga menahan pintu itu, akan Nurul Syakira hempas pintu itu lebih kuat. Biar
tangan lelaki itu pula yang cedera tersepit pintu. Padan muka!
Cepat-cepat Nurul Syakira mengambil pinggan dan mangkuk di
dapur lalu di bawa ke meja makan. Kari daging dan ayam goreng berempah yang
diberi Joe Redzuan tadi lekas dipindahkan ke dalam mangkuk. Begitu juga dengan
pucuk ubi masak lemak. Emm... semuanya lauk kegemaran Nurul Syakira.
Kemudian bekas polisterin pula dibuka. Nasi yang penuh
dalam polisterin dipindah masuk ke dalam pinggan. Lalu Nurul Syakira segera ambil
tempat di kerusi. Haruman kari daging dan ayam goreng dihidu sekilas. Memang
wangi. Perut Nurul Syakira yang baru disumbat nasi goreng masakan air tangan
Fara Hana kembali berbunyi. Nafsunya tidak tertahan lagi. Lantas Nurul Syakira
mencedok lauk masuk ke dalam pinggan. Sesuap dua dimasukkan ke dalam mulut.
Emm... sedapnya.
“Kedekut betul. Lain kali kalau nak belanja, belilah
makanan yang mahal-mahal. Spageti ke, piza ke. Ini setakat beli dekat kedai
mamak. Entah-entah kedai mamak dekat seberang jalan tu aje kut.” Nurul Syakira
mengomel tidak puas hati. Tapi makin laju pula tangannya menyuap nasi ke mulut.
No comments:
Post a Comment