“Kira, sikit minyak wangi kau.
Aku punya dah habislah!” Fara Hana meluru masuk ke bilik Nurul Syakira.
Ditolehnya kanan dan kiri tapi Nurul Syakira tiada di biliknya. “Tak sudah
mandi lagi ke?” Fara Hana meneka lantas dengan selamba dia melangkah ke arah
meja solek Nurul Syakira.
Setiap botol atas meja itu dipandang secara rawak. Seketika kemudian botol
one drop perfume berwarna hijau disambar dari sebuah kotak kecil yang terbuka.
Penutup botol itu diputar dan dicoletkan sedikit bebuli botol itu ke tangannya.
Kemudian tangannya digosok-gosok pula ke badan. Emmm... wangi. Semerbak haruman
epal menusuk ke hidung Fara Hana.
Saat Fara Hana menyimpan semula botol kecil itu ke tempatnya, mata Fara
Hana terpandang sekeping kertas yang bersepah atas meja solek. Bersama-samanya,
ada sekeping sampul putih yang telah dicarik di bahagian hujungnya. Kalau tidak
silap Fara Hana, itu sampul yang diberi Joe Redzuan semalam. Tergerak hatinya
untuk melihat isi yang diberi Joe Redzuan kepada Nurul Syakira.
Fara Hana jeling pintu bilik. Takut-takut dia mencapai sampul itu sambil
menjengah ke pintu sekali-sekala. Bimbang kalau Nurul Syakira masuk nanti,
kantoilah Fara Hana kerana curi-curi tengok hadiah pemberian buah hati. Fara
Hana tergelak kecil dalam hati. Dia pula yang fikir lebih-lebih.
“Fulamak!” Fara Hana terus buntangkan mata apabila melihat kertas di bawah
sampul putih itu. Tertera nama New Band di atasnya. Jika Fara Hana tidak silap
tengok, nama itu juga tertulis pada poster yang diberikan Joe Redzuan
kepadanya. Jadi, betullah nama itu ialah nama kumpulan yang dianggotai Joe
Redzuan. “Tiket konsert ke ni?” Fara Hana mengagak. Apabila dibaca tulisan yang
tertera pada tiket itu berkali-kali, barulah dia perasan akan kenyataan
showcase pertama di bawah nama New Band itu sendiri. Serta-merta Fara Hana
melopong. Harga tiket yang tertera di bahagian bawahnya juga buatkan Fara Hana
terbeliak mata. “Fuiyoo!!!” Lantang suara Fara Hana teruja.
“Apa kau buat dekat bilik aku ni?” sergah Nurul Syakira apabila terlihat
kelibat Fara Hana di biliknya sebaik dia berdiri di depan pintu. Pantang
sungguh Nurul Syakira orang masuk ke biliknya. Lepas tu, pagi-pagi dah memekak.
Terpekik terlolong di dalam bilik Nurul Syakira.
“Ni! Ni!” Fara Hana menayang tiket di tangannya dengan riak teruja hingga
tidak terluah dengan kata-kata.
Nurul Syakira memandang kertas di tangan Fara Hana sekilas. “Ha, itu hadiah
mamat senget tu bagi aku semalam. Entah apa-apa entah,” balasnya tidak berminat
lalu menggantungkan tualanya ke tepi tingkap. “Kalau kau nak, ambillah. Buat
apa bagi aku benda tu. Tak best
langsung!”
“Biar betul! Kau tengok harga tiket ni, bukan main mahal. Dia bagi kau
tiket VIP lagi tu. Maknanya kau boleh minta autograf dialah!” Fara Hana
menayang sekeping lagi tiket yang terlekat bersama tiket yang satu lagi.
“Alah, kalau harga tiket tu berjuta pun aku tak ingin nak tengok mamat
senget tu melalak depan aku.” Selamba Nurul Syakira menjawab tanpa memandamg
dua tiket yang dilayang Fara Hana. Walhal Nurul Syakira sendiri tidak perasan
akan tiket untuk sesi autograf yang Fara Hana baru sebutkan tadi.
“Betul kau tak mahu?” soal Fara Hana tidak percaya. Matanya sudah membulat.
Terkejut, tidak percaya, terpegun. Semua ada. Namun Nurul Syakira tidak
menjawab soalannya tadi. Maknanya okeylah tu. Serta-merta Fara Hana melonjak
gembira. Tiket itu kemudiannya dicium berkali-kali.
Nurul Syakira memerhati reaksi Fara Hana dengan perasaan jengkel. Entah
apalah yang seronok sangat dengan hadiah itu, Nurul Syakira sendiri tidak
pasti. Apa yang pasti, dia tidak berminat mahupun tertarik sedikit pun. Botol
minyak angin di meja solek dicapainya. Memulas pula perut Nurul Syakira pagi
ini. Rasanya Nurul Syakira tidak makan apa-apa pun malam tadi selain mi goreng
yang dimasak Fara Hana yang Nurul Syakira bedal tengah malam semalam. Sebab
lapar sangat, dia tidak hangatkan dulu mi goreng itu. Entah-entah sudah basi.
Sebab itulah pagi ini Nurul Syakira sakit perut.
Hidung Nurul Syakira mencari bau sesuatu lalu hidungnya merayap ke tubuh
Fara Hana. Muka Fara Hana ditenungnya. “Kau pakai minyak wangi aku lagi eh?”
Fara Hana tersengih. Sahlah tu. Nurul Syakira sudah tarik muncung.
“Alah... bau sama! Tak bestnya...” Nurul Syakira merengek bagai anak kecil.
Sementara Fara Hana lekas-lekas berlari keluar bersama tawa kecilnya. Tidak
sanggup dia mahu mendengar rengekan anak kecil itu. Haha.
Nurul Syakira termenung lagi di
depan komputer. Sejak akhir-akhir fikirannya asyik terfikirkan Joe Redzuan.
Semakin dia mahu membuang lelaki itu dari hidupnya, semakin ligat pula otaknya
memikirkan perihal Joe Redzuan.
Entah kenapa tiba-tiba saja Joe Redzuan datang ke rumahnya. Malahan,
memberi hadiah kepadanya... juga kepada Fara Hana. Apa motif lelaki itu kali
ini setelah Nurul Syakira meminta supaya dia pergi jauh dari hidup Nurul
Syakira?
Agghhh! Sakit kepala Nurul Syakira bila fikir tentang semua itu.
Nurul Syakira urut kepala dengan jari. Rasa berdenyut-denyut sedang
perutnya juga asyik bergetar. Menunggu masa untuk ke tandas, teman setianya
hari ini.
Kriukk!
‘Alamak! Dia dah datang dah!’ Nurul Syakira bergegas ke tandas sekali lagi.
Sudah tidak terkira bilangannya dia mengunjungi tandas itu sejak pagi tadi.
Bilalah azab ini akan berakhir?
Lemah Nurul Syakira berjalan
naik ke rumah. Teruk dia dibebelkan Liana yang berleter bagai mak nenek.
“Kau ni buat apalah seksa diri macam ni. Pergilah klinik, jumpa doktor.
Nama aje kerja dekat hospital. Tapi tak mahu jumpa doktor bila sakit. Sanggup
keluar masuk tandas berpuluh kali sampai lembik macam ni!” leter Liana sambil
mencekak pinggang.
Nurul Syakira sudah tidak larat mahu menjawab. Kalau dia sihat memang sudah
lama dia tutup mulut mak cik itu. Leterkan orang saja pandai tapi diri sendiri
pun dua kali lima.
Sudahlah membebel ke telinga Nurul Syakira cukup-cukup. Lepas itu,
pandai-pandai pula Liana panggil Dr Aiman datang mendesak Nurul Syakira supaya
pergi ke klinik. Tebal muka Nurul Syakira dibuatnya. Kalau dipanggilnya Dr
Haslinda atau Prof Narimah, bolehlah juga Nurul Syakira sabar.
Kerana Nurul Syakira sudah tidak larat mahu berjalan, Aiman memapahnya
hingga ke klinik. Makin menebal malunya Nurul Syakira. Namun Nurul Syakira
sudah tidak ingat apa. Setiap kata doktor dan Aiman juga sepatah pun tidak
masuk ke otaknya. Dia sekadar mengangguk. Tapi otaknya tidak mampu lagi
mentafsir setiap perkataan yang lalu ke gegendang telinga.
Nurul Syakira cuma ingat Aiman sentiasa bersamanya. Bila masuk ke bilik
doktor juga, Aiman masuk bersama menemaninya. Bagai anak kecil yang ditemani
penjaganya. Kemudian, Aiman juga yang menghantarnya pulang. Semuanya seakan
berlalu dengan cepat dan kini Nurul Syakira sudah berdiri di depan pintu
rumahnya.
No comments:
Post a Comment