Dalam perjalanan pulang ke Kuala
Lumpur, Nurul Syakira tidak banyak cakap. Lebih-lebih lagi bila Joe Redzuan
entah apa mimpinya turut pulang dengan menaiki bas bersama mereka.
‘Mana datanglah mamat ni? Kenapa dia pun balik sama dengan kita orang?’
getus Nurul Syakira tidak senang kerana terpaksa menghadap muka lelaki itu
lagi.
Fara Hana mencuit bahu Nurul Syakira ketika berada dalam bot ke Jeti
Merang. “Eh, siapa lelaki yang bersama dengan kau petang tadi?” soal Fara Hana
sambil tayang muka teruja.
“Lelaki mana?” tanya Nurul Syakira pula pura-pura tidak faham. Kemudian
Nurul Syakira membuang pandangan membelakangi Fara Hana. Joe Redzuan yang
kebetulan duduk di belakangnya dijeling sekilas. Entah lelaki itu pasang
telinga atau tidak. Nampak gaya seperti Joe Redzuan leka menikmati pemandangan
laut yang luas terbentang.
“Alah, tak payahlah kau nak buat-buat tak tahu. Lelaki mana lagi yang sama
dengan kau dekat pantai tadi?”
Nurul Syakira berkira-kira. Entah lelaki yang mana satu dimaksudkan Fara
Hana. Tapi jika Fara Hana nampak dia bersama Joe Redzuan, pasti Fara Hana tidak
akan menyoal begitu. Sedangkan dia juga mengenali Joe Redzuan. Jadi pasti Aiman
orang yang disebut Fara Hana.
“Aku nampak kau jalan-jalan dekat pantai tadi. Walaupun aku tengah syok
main, tapi mata aku ni tajam tau.”
Mendengar kata-kata Fara Hana, Nurul Syakira yakin. Tidak salah lagi
Aimanlah yang dilihat Fara Hana bersama Nurul Syakira. Spontan satu keluhan
dilepaskan perlahan. “Kau ni sama aje dengan Yana. Pantang aku dengan lelaki,
nampak aje korang eh.” Nurul Syakira tayang muncung.
Fara Hana tersengih lalu menampar lengan Nurul Syakira kuat. “Alah, malu
pula!”
Nurul Syakira lekas menggosok lengannya yang disambar tangan Fara Hana.
Bila pulalah Nurul Syakira tayang muka malu. Muka Nurul Syakira nampak
merahkah? Pandai-pandai saja Fara Hana ni.
“Dari jauh nampak macam handsome!
Kalau kerja ok, orangnya pun baik... emm perfect
guy!” Fara Hana menambah sambil menutup matanya rapat dan tersenyum
sendiri.
Nurul Syakira yang melihat reaksi Fara Hana mencebik. Fara Hana pula yang
lebih-lebih memikir itu dan ini. Malaslah Nurul Syakira mahu teruskan
perbualan. Tutup cerita dan biarkan saja Fara Hana melayan bayangannya sendiri.
Dr. Haslinda juga tidak lepaskan peluang berbual mesra dengan Joe Redzuan.
Di dalam bas juga, Dr. Haslinda sanggup menukar tempat duduk dengan penumpang
lain untuk duduk di sebelah Joe Redzuan. Masakan Dr. Haslinda masih mahu
menambat hati Joe Redzuan sedangkan dia sudah bersuami. Mustahillah. Dr.
Haslinda bukan perempuan kaki lelaki. Malah rumahtangganya dilihat begitu
harmoni dan bahagia.
Joe Redzuan membalas mesra perbualan Dr Haslinda. Dr Haslinda memang ramah
orangnya. Sambil rancak berborak dengan Dr Haslinda, Joe Redzuan masih sempat
menjeling ke arah Nurul Syakira yang duduk jauh di depan sekali-sekala.
“Awak sukakan Syakira ke?” Tiba-tiba Dr Haslinda mengajukan soalan cepumas
kepada Joe Redzuan. Mesti Dr Haslinda perasan akan tindakan Joe Redzuan yang
asyik memandang ke arah tempat duduk Nurul Syakira. “Awak naik bas tiba-tiba ni
pun sebab nak tengok dia kan?” Dr Haslinda meneka lagi.
Joe Redzuan menyimpul senyuman, cuba bertindak tenang dalam menjawab
telahan Dr Haslinda. Soalan Dr Haslinda tadi tidak ubah seperti gosip-gosip
yang biasa dilemparkan kepadanya sebagai selebriti. Joe Redzuan perlu
praktiskan untuk tenang berdepan dengan situasi sebegini.
“Dr ni pandai betul meneka. Tapi sebenarnya saya naik bas ni sebab saja nak
tukar angin. Nak merasa perjalanan yang panjang, lambat sikit saya sampai KL.”
“Jadi, lama sikitlah awak dapat tengok Syakira. Tak begitu?” Dr Haslinda
mengusik lagi lalu tertawa kecil. Joe Redzuan mengikut rentak tawa Dr Haslinda
kemudian menggelengkan kepala. “Awak jangan risau, saya tak akan beritahu
sesiapa.” Dr Haslinda menambah.
“Dr jangan salah faham. Tak ada apa yang perlu saya risaukan kalau saya tak
buat salah. Saya tak boleh nak halang cerita tersebar tanpa pengetahuan saya.
Saya cuma boleh mengia atau menafikan cerita tu aje,” jelas Joe Redzuan penuh
makna.
Dr Haslinda mengangguk seakan memahami maksud Joe Redzuan. “Saya faham. But if you do like her, maybe I could help
something.”
Joe Redzuan memandang muka Dr Haslinda. Dr Haslinda pula menayang senyum
simpulnya. “Maksud Dr?”
Dr Haslinda melebarkan senyuman. Matanya menjeling ke depan walau tidak
nampak bayang Nurul Syakira pun dari belakang tempat duduk di depannya.
Kemudian pandangannya beralih semula kepada Joe Redzuan. Tidak lama, Dr
Haslinda membisikkan sesuatu.
No comments:
Post a Comment