Setelah jarum jam mencecah angka
dua, Nurul Syakira berjalan ke kafe bersama Liana. Lewat sedikit mereka
menikmati makan tengah hari petang ini kerana sibuk menyiapkan laporan tahunan
yang perlu dihantar petang ini. Setelah beberapa hari balik bercuti, laporan
yang bersusah-payah disiapkan sebelum itu tidak juga siap. Baru hari ini Nurul
Syakira berjaya siapkan. Setelah laporan dihantar untuk semakan ketua projek,
legalah sedikit. Barulah tenang untuk menjamah makanan. Kalau tidak, makan pun
teringatkan kerja bertimbun yang tidak surut-surut.
Entah apa yang masih tinggal di kafe. Biasanya waktu-waktu begini, banyak
lauk-pauk yang hanya tinggal sisa.
Dalam perjalanan Nurul Syakira berkerut-kerut sambil membetulkan cermin
matanya melihat seseorang mengangkat tangan kepadanya. Nurul Syakira tenung
muka orang itu dari jauh. Langkahnya semakin perlahan.
“Eh, awak!” tegur Nurul Syakira dalam nada terkejut. Tidak dia sangka akan
bertemu lagi dengan lelaki itu. Malahan di sini, di tempat kerja Nurul Syakira.
Satu pertemuan yang tidak diduga.
“Hai, memang kecil dunia ni.” Aiman membalas mesra bersama senyuman.
“Apa awak buat dekat sini?” soal Nurul Syakira terus. Ada rasa kurang
percaya melihat Aiman di depan mata. Rasa terkejut juga masih bersisa. Melihat
pakaian putih di tubuh Aiman buat Nurul Syakira tertanya-tanya.
“Emm awak nak pergi mana ni? Macam bergegas aje saya tengok.” Aiman menyoal
pula tanpa menjawab soalan Nurul Syakira tadi. Pandangannya juga beralih kepada
Liana di sebelah Nurul Syakira sekali sekala.
“Kami baru nak pergi makan!” Liana menjawab bagi pihak Nurul Syakira sambil
tersenyum-senyum. “Tapi nampak gaya macam banyak yang kau orang nak borakkan. So, aku pergi dululah ya Kira! Lepas ni
aku ada discussion lagi dengan Dr
Haslinda!” ujar Liana terus lantas melambai-lambar ke arah Nurul Syakira dan
bergegas pergi. Dari jauh Liana melambai tanpa berpaling ke belakang.
Nurul Syakira terpanar seketika ditinggalkan Liana. Dia memerhati lagak
Liana hingga kawannya itu hilang dari pandangan.
“Jadi, nama awak Kira?” Tiba-tiba soalan itu diajukan kepada Nurul Syakira.
Pantas Nurul Syakira memandang Aiman yang tingginya lebih kurang tujuh kaki
itu. Nurul Syakira tersenyum. Baru dia teringat yang dia belum pernah
memperkenalkan dirinya kepada Aiman. Setelah beberapa ketika Nurul Syakira
mengangguk perlahan.
“Emm... tak apa ke awak temankan
saya makan ni?” Terkulat-kulat Nurul Syakira menjamah makanannya apabila Aiman
hanya memesan segelas teh ais limau. Kekok pula Nurul Syakira mahu menyuap
makanan ke dalam mulutnya apabila lelaki itu terus memerhatikannya. Bukanlah
Nurul Syakira hendak perasan. Tapi kalau dia seorang saja yang makan, tak
seronoklah.
“Eh, tak apa. Saya kenyang lagi.” Aiman menyedut lagi airnya. Nurul Syakira
hanya tersenyum kelat. “Ke awak segan nak makan depan saya?”
Tersedak Nurul Syakira ditujah soalan itu sebaik dia baru saja menyuap nasi
ke dalam mulut. Kelam kabut Nurul Syakira menyambar gelasnya lalu air suam itu
diteguk. Lantas dia terbatuk-batuk apabila rasa panas menyengat anak tekaknya.
Aiman tertawa kecil walau pada mulanya dia agak cemas melihat reaksi Nurul
Syakira tadi. Muka Nurul Syakira serta-merta merah mendengar tawa Aiman singgah
di telinga. Malunya Nurul Syakira kerana sudah menunjukkan aksi tidak
sepatutnya di depan lelaki itu.
“Awak buat apa sebenarnya dekat sini? Tengok kot yang awak pakai ni... awak
ni doktor dekat sini ke?” Nurul Syakira menyoal, cuba mengubah topik. Sengaja
mahu tutup malu. Melihat Aiman menganggukkan kepala, mata Nurul Syakira terus
membulat. “Serius?!” terjahnya separuh menjerit. Dalam masa yang sama Nurul
Syakira kalut menyorok muka apabila beberapa kakitangan lain yang menjamu
selera di ruang khas kakitangan di kafe itu memandangnya. ‘Alamak! Kuat sangat
ke suara aku? Hehe... malunya.’
Aiman tertawa lagi. Nurul Syakira menelan liur apabila menyedari lelaki itu
mentertawakannya lagi. Nafasnya yang memberat cuba dilepaskan perlahan-lahan.
“Kalau kita tak jumpa dekat Redang tempoh hari, awak pun mungkin tak
perasan kewujudan saya dekat sini kan.”
Nurul Syakira tersengih lagi mendengar kenyataan Aiman itu. Hanya itu saja
reaksi yang mampu ditunjukkan. Walau ada rasa malu yang entah kenapa tidak
henti-henti membaluti hatinya tapi betul juga, Nurul Syakira pun setuju akan
kenyataan itu. Macam manalah Nurul Syakira hendak perasan. Hidupnya di situ
juga sekadar pergi kerja balik kerja. Datang kerja terus masuk ke makmal atau
bilik bacaan. Itu sajalah tempat yang selalu dia habiskan masa. Lepas pukul
lima, dia balik ke rumah. Mana ada masa hendak usha doktor-doktor kacak dekat hospital itu.
“Oh ya, saya nak minta maaflah ya Dr... pasal hal tempoh hari. Masa kali
terakhir kita jumpa tu. Maaflah sebab saya pergi macam tu aje,” ujar Nurul
Syakira apabila teringatkan hal yang berlaku di Pantai Redang beberapa hari
lalu.
“Awak ni tiba-tiba pula nak panggil saya Dr... kekoklah saya rasa.”
Dahi Nurul Syakira berkerut. “Nak kekok apanya? Dah memang awak tu doktor.
Bukan senang nak dapat gelaran tu. Kalau saya, mahu belajar sampai nak pecah
kepala agaknya!” balas Nurul Syakira sambil menekan-nekan kepalanya dengan
jari. Sekaligus mengundang tawa Aiman melihat reaksinya itu.
“Tak payah. Saya mula-mula jumpa awak pun sebagai Aiman kan, bukan Dr
Aiman. Jadi, tak payah nak panggil gelaran Dr tu depan saya. Belakang saya tak
apa. Kalau awak nak panggil saya abang, saya tak kesah.”
Tersedak lagi Nurul Syakira mendengar usikan Aiman. Dahinya tambah berkerut
memandang Aiman sambil tangannya menepuk dada berkali-kali. ‘Tu gurauan ke apa?
Ada-ada aje nak bagi aku tercekik...’ Tidak terluah rasanya kata-kata itu sebab
tekak Nurul Syakira rasa semacam tersekat. Aiman pula boleh tertawa melihat
reaksinya. Bukannya nak tolong hulurkan air ke apa. Lelaki... lelaki.
“Emm.. tak apa. Saya tak ambil hati pun.” Aiman bersuara, sengaja mengubah
topik semula. Bibirnya mengulum senyum sambil matanya sesekali melirik ke muka
Nurul Syakira.
Batuk Nurul Syakira kembali reda. Fuh, alhamdulillah. Nasib baik Nurul
Syakira tidak mati tercekik. Bolehlah Nurul Syakira menarik nafas lega apabila
mendengar kata-kata Aiman itu. Lepas juga rasa bersalahnya terhadap Aiman
sebelum ini. Kemudian, Nurul Syakira kembali menyuap nasi ke mulut. Menyudahkan
makanannya yang masih berbaki.
“Tapi, kalau awak tak keberatan boleh tak saya nak tahu apa yang berlaku
masa tu? Maksud saya, awak dengan lelaki tu...” Tiba-tiba Aiman mengajukan
soalan itu setelah beberapa minit perbualan mereka sunyi.
Nurul Syakira mengangkat mukanya semula menghadap muka Aiman di depan. Baru
beberapa suap nasi sempat masuk ke dalam mulutnya selepas teruk dia
terbatuk-batuk tadi. Kini, sudu yang dipegang serta-merta terlepas dari tangan.
Hatinya yang baru saja menarik nafas lega tadi kembali berkocak. Soalan Aiman
itu tidak mampu dijawabnya. Perlukah? Wajibkah dia menjawab?
Melihat reaksi Nurul Syakira, Aiman seakan dapat menghidu sesuatu. Mungkin
gadis itu keberatan untuk berkongsi. Lantas Aiman segera membetulkan keadaan.
“Maaflah kalau saya tak patut tanya pasal tu. Awak janganlah ambil hati ya.”
Kata-kata Aiman selepas itu tidak lagi menjadi tumpuan Nurul Syakira kerana
fikirannya sudah menerawang jauh, mengimbas saat dia bersama Joe Redzuan hari
itu. Teringat akan kata-kata pahit peminat lelaki itu membuatkan hatinya
kembali robek.
“Eh, Kira. Sejak bila kau kenal
dengan Dr Aiman?” Terus saja Liana mengajukan soalan itu sebaik masuk ke bilik
bacaan. Macam tahu-tahu saja Nurul Syakira ada di sini. Buka pintu saja terus
meluru dengan soalannya itu.
Nurul Syakira terpinga-pinga memandang Liana. Tidak sempat mindanya hendak
menganalisa soalan Liana tadi.
“Sejak bila kau kenal Dr Aiman? Macam mana kau orang kenal?” Liana
mengulang soalannya.
Lantas air muka Nurul Syakira serta-merta berubah. Dahinya berkerut-kerut.
“Kau pun kenal dia?” soalnya pula. Terkejut apabila nama Aiman disebut kawannya
itu. Sedangkan Liana juga mengenali Aiman tapi Nurul Syakira pula seorang yang
tidak mengenalinya?
“Tentulah!” jawab Liana sambil menepuk bahu Nurul Syakira dengan kuat.
Kemudian dia berpusing dan bergerak ke mejanya. Fail yang dibawanya bersama tadi
di letak atas meja, dibuka kemudian dibelek seketika. “Dr Aiman tulah Dr yang
aku selalu cerita dekat kau tu! Dia tu lah Dr dekat Surgeri tu. Alah, tempat
yang kau pernah ikut aku ambil sampel dulu tu!”
Mata Nurul Syakira terbelalak. “Hah? Biar betul! Aku tak perasan pun...”
Pantas dia menyorong kerusinya ke sebelah Liana. Mengharapkan Liana meneruskan
cerita pasal Aiman tanpa diminta.
“Oh, sebab masa kau ikut tu dia tak ada. Sebab tulah kau tak pernah jumpa
dia kut.” Liana mengagak. Nurul Syakira juga mengangguk. Betul juga. Cuma
sekali itu saja Nurul Syakira melangkah ke Klinik Surgeri. “Dia tu dahlah handsome... doktor pula tu. Oranngnya
pun mesra dengan semua orang. Emm... memang perfect
nak dijadikan buah hati!” Liana sudah mula berangan-angan. Nurul Syakira pula
yang seakan tidak percaya melihat respon Liana itu. Tak sangka gaya Liana itu
sama dengan Fara Hana tempoh hari.
“Kau syok dekat Dr tu ke?” Lantas soalan itu spontan terpacul dari mulut
Nurul Syakira. Namun Liana tidak memberikan respon. Sebaliknya mata Liana terus
terkatup rapat sambil tersenyum-senyum sendiri. Entah ke mana fikiran gadis itu
menerawang. Nampak gaya macam Liana menanam minat pada Aiman dalam diam.
Ah, teruklah Nurul Syakira lepas ni. Semua lelaki yang dikenalinya juga
Liana kenal. Sebelum ini Joe Redzuan yang tak habis-habis digelarnya anak bos.
Sekarang, Aiman pula? Ah, biarlah. Asalkan Liana tidak tahu tentang hubungan
mereka, tiadalah ceritanya tersebar satu ofis.
No comments:
Post a Comment