Setelah menelan pil yang
diberikan doktor, barulah perut Nurul Syakira rasa lega sedikit. Namun tidaklah
lega sepenuhnya. Pinggangnya juga masih terasa ketat akibat kontraksi usus yang
melampau. Otot-ototnya juga rasa terhidrat kerana kehilangan terlalu banyak
air.
Nurul Syakira cuba menjamah makanan untuk mengisi semula perutnya yang
kosong. Air garam yang diberi doktor juga perlu dihabiskan. Penuh segelas.
Nurul Syakira tidak suka minum air garam. Lagi-lagi jika berperisa oren kerana
dia tidak sukakan rasa sitrus.
Setelah menyuap sekeping biskut, dia meneguk habis air berwarna oren di
depannya. Hampir termuntah dia menelan air itu. Rasa oren. Tak suka! Kalau ada
air garam perisa kola, boleh juga Nurul Syakira telan.
Kemudian, Nurul Syakira rebahkan tubuh di sofa. Dia mahu melelapkan mata
seketika. Badannya rasa benar-benar lemah tidak bermaya. Mungkin dengan tidur
seketika dapat cajkan tenaganya semula.
“Damn it! Kenapa dia asyik
dengan Kira aje!” Jeo Redzuan menendang bangku di ruang berehat studio mereka.
Daniel yang memerhati lagak Joe Redzuan sejak datang tadi menghempas keluhan
berat. Zafryl, Ebby dan Loq awal-awal lagi cabut lari. Kononnya mahu pergi
minum petang. Alasan saja semua itu. Daniel juga yang tinggal dan terpaksa
menghadap amukan Joe Redzuan sekali lagi. Tapi tidak apalah. Apa gunanya kawan
kalau semua cabut lari.
“Relakslah, bro! Kenapa kau nak marah-marah macam ni? Macam orang hilang
pedoman aje aku tengokkan.” Daniel cuba menegur dengan nada selamba. Punggung
segera dihenyak ke sofa sambil memerhati Joe Redzuan yang tidak keruan di
depannya.
“Macam mana aku tak marah. Mata aku ni asyik nampak mamat tu dengan Kira tu
aje. Mesra pula tu dia berpeluk-peluk! Bengang betul aku!” balas Joe Redzuan
bengang.
Daniel menggaru kepalanya yang langsung tidak gatal. Makin menjadi-jadi
Daniel tidak faham perangai Joe Redzuan. Kalau dah suka tu, mengaku sajalah.
Nak marah-marah sampai mengamuk macam ni pula. Dia dan gengnya yang lain juga
yang pening.
“Aku tak fahamlah, apasal kau nak marah ni?” Daniel terus-terang dan
serta-merta juga telinganya ditujah jawapan lantang Joe Redzuan.
“Sebab dia tu-” Lantang suara Joe Redzuan membalas tapi tidak disudahkan
ayatnya itu. Joe Redzuan terdiam lalu dia juga hempas punggung ke sofa.
Nafasnya terus turun naik menahan marah yang kian meluap-luap apabila
terbayangkan saat Aiman memaut rapat bahu Nurul Syakira dalam dakapannya. Geram
betul Joe Redzuan. Menyesal dia asyik ke hospital itu. Dalam diam, dia
memerhatikan Nurul Syakira tapi kesudahannya dia juga yang sakit hati.
“Sebab dia tu bini facebook kau?” Daniel meneka. Kemudian dia tersenyum
sumbing. “Dulu lagi aku dah tanya kau, siapa sebenarnya Kira tu dalam hati kau?
Kenapa kau marah sangat macam orang kena rasuk hantu kalau dia dengan orang
lain? Sebab dia dengan abang kau? Orang yang rampas teman wanita kau dulu? Kau
marah ni sebab Kira ke sebab abang kau?”
Joe Redzuan merenung wajah Daniel. Dia hilang kata-kata untuk membalas bait
kata Daniel.
“Sedarlah, Joe. Selagi Kira tu belum sah jadi milik sesiapa, dia berhak
berkawan dengan sesiapa pun. Don’t be
selfish, Joe. Kalau kau terus dengan perangai kau macam ni, macam mana
dengan band kita? Macam mana dengan showcase kita malam ni? Macam mana
dengan Zafryl... Loq... Ebby dan aku? Kalau kau terus beritndak melulu dan ikut
perasaan macam ni, kau ingat berapa lama kita boleh bertahan dalam industri ni?
Think about it, bro!”
“Wah! Awal kau balik hari ni!”
Masuk saja dalam rumah, Fara Hana terus menerjah ke arah Nurul Syakira yang
terbaring atas sofa di ruang tamu. Pintu juga dilepaskan saja kuat-kuat dan
dibiarkan ia terhempas sendiri.
Tersentak Nurul Syakira yang sedang enak lena ditampar dek tapak tangan
Fara Hana yang berbisa. Terasa seperti terkena renjatan elektrik.
Terkebil-kebil Nurul Syakira buka mata.
“Eh, bangunlah! Aku ada cerita best
ni! Excited nak cerita dekat kau!”
Fara Hana menampar-nampar lagi lengan Nurul Syakira. Tidak sabar benar
nampaknya dia mahu berkongsi cerita.
‘Kacau daun betullah cik Fara ni. Tak nampak ke aku tengah sakit ni?’ getus
Nurul Syakira dalam hati. “Ha, apa dia?” soalnya malas.
Fara Hana membetulkan duduknya sebelum terus membuka cerita. “Kau ingat
lagi tak tiket showcase yang kau bagi
aku pagi tadi?” soal Fara Hana beria-ia. Namun Nurul Syakira tidak berikan
seabarang respon.
Nurul Syakira cuba membelek diari fikirannya tentang hal yang berlaku pagi
tadi. Sudah dicubanya tapi otaknya seakan begitu lembap untuk berfikir.
Sudahnya dibiarkan sahaja soalan Fara Hana tadi tidak berjawab.
“Ah, tak apalah.” Fara Hana mahu teruskan cerita setelah lama juga dia
menunggu respon Nurul Syakira. Kawannya itu kelihatan masih mamai dengan
kelopak matanya sekejap buka sekejap rapat. “Kau tahu, tak sangka pula dekat
tempat kerja aku tu ada orang yang minat habis dengan band Joe Redzuan tu.
Sampai dia sanggup nak beli tiket showcase
tu dari aku dengan harga dua ratus lima puluh!” Fara Hana menyambung sambil
terus menampar lengan Nurul Syakira yang dilihat seakan mahu terlena semula.
Terus segar mata Nurul Syakira mendengar angka itu. “Berapa?” soalnya terus
inginkan kepastian. Takut telinganya silap dengar disebabkan mamai.
“250! Aik, dengar pasal duit terus segar?” Sempat Fara Hana menyindir. “Aku
sebenarnya nak tayang aje dekat kawan-kawan tempat kerja aku. Saja nak tunjuk
lagak. Tapi tak sangka pula dia sanggup beli. Lepas tu, aku pun ambillah
kesempatan buka cerita pasal poster yang Joe bagi aku tu. Itu pun dia sanggup
beli dari aku. Fuh, hebat juga aku berniaga!” Fara Hana menyambung ceritanya
sambil ketawa berdekah-dekah. Seronok rasanya dapat duit poket lebih bulan ini.
Bolehlah dia beli baju cantik dan tayang depan Dani Imran masa mereka keluar
berdua nanti. Biar lelaki itu terbeliak mata dan meminangnya cepat-cepat. Jauh
Fara Hana pasang angan-angan.
“Mak oi! Kertas sekeping tu pun sampai beratus dia nak bayar?” Nurul
Syakira ternganga.
Pantas tangan Fara Hana menampar peha Nurul Syakira pula lalu tayang
muncung panjang. “Itu bukan sebarang kertaslah. Itu tiket showcase pertama kumpulan dia! Aku dah beritahu bukan takat dua
tiga puluh tau harga tiket tu! Persembahan dia tu malam ni pula tu. Agaknya
sebab terdesak sangat nak tiketlah, budak tu sanggup bayar berapa aje.” Fara
Hana membetulkan kenyataan Nurul Syakira tadi. Namun jawapannya itu dibalas
dengan cebikan Nurul Syakira.
“Ada aku kesah? Apapun aku tak minat pun nak pergi tengok.”
Fara Hana pula mencebik. Tidak percaya. “Boleh tahan juga cik abang kau tu
ya. Femes gitu!” ujarnya sengaja mengusik.
Nurul Syakira menjeling. Tak habis-habis dengan gelaran cik abang.
Menyampah Nurul Syakira dengar nama itu. Tidak ingin langsung dia mahu bersama
Joe Redzuan. “Excuse me... tolong
sikit. Aku tak ada kena-mengena dengan dia. Bukannya dah pupus semua lelaki
dekat dunia ni yang aku nak terhegeh-hegeh kat dia. Tak ingin aku lelaki macam
tu!”
Fara Hana mencebik lagi. Hai, mulut mungkin kata benci tapi hati
entah-entah sudah sayang. Desisnya.
“Ha, bagi aku separuh keuntungan kau tu. Mana aci kau jual hadiah hari jadi
aku!”
Fara Hana jelir lidah. “Mana boleh. Kan kau juga yang tak nak dan kau bagi
dekat aku. Lupa ke? Jadi, itu jadi hak akulah!” ujarnya lantas terus berlari
masuk ke bilik sebelum tangan Nurul Syakira menyambar tubuhnya.
Nurul Syakira hanya mampu memerhati dengan rasa bengang. “Kedekut! Sama aje
dengan buah hati dia tu!” ngomel Nurul Syakira di tempatnya. Mahu dikejarnya
Fara Hana, badannya masih terasa letih. Malas dia nak layan. Biarlah.
No comments:
Post a Comment