Seperti semalam, nampak saja
muka Nurul Syakira , Fara Hana sudah menerpa. Tidak sempat Nurul Syakira mahu
melepaskan lelah. Fara Hana sudah melemparkan bermacam cerita yang bertalu-talu
keluar dari mulutnya tidak berhenti bagai peluru berpandu.
“Kawan aku yang
pergi showcase New Band tu beritahu
aku! Dia kata dah ada orang upload
dekat youtube! Cepatlah Kira, bukalah komputer kau. Aku nak tengok!” Fara Hana
mendesak. Tubuh Nurul Syakira didorongnya menuju ke bilik.
Nurul Syakira
mengikut saja tanpa mampu bersuara kerana mulut Fara Hana saja yang terus becok
bercerita. Beria-ia sungguh Fara Hana mahu menonton video yang dimaksudkan
kawannya itu. Sejak bila pula Fara Hana beria-ia ambil tahu pasal New Band ni?
Kalau hendak sangat tengok persembahan Joe Redzuan, kenapa tidak Fara Hana
sendiri yang pergi?
Setelah Nurul
Syakira mengikut kehendak Fara Hana, membuka komputer ribanya dan disambung
kepada internet, Nurul Syakira terus bangun. Belum sempat dia melangkah
tangannya disambar Fara Hana.
‘Apa lagilah mak
cik ni.’ getus Nurul Syakira tidak senang. “Kau nak tengok, tengok ajelah. Aku
tak mahu!” Nurul Syakira bangun semula. Namun baru saja dia mahu angkat
punggung, Fara Hana menekan bahunya ke bawah. Memaksa Nurul Syakira duduk
semula, menghadap komputer itu bersama.
“Duduklah sini.
Bukan rugi apa pun kau tengok. Ada benda yang aku nak tunjuk ni!”
“Tak mahulah. Kau
nak tunjuk aku video mamat senget tu kan. Kalau aku nak tengok sangat, tak
adanya aku nak bagi tiket tu dekat kau!”
Fara Hana tidak
mempedulikan alasan Nurul Syakira. Setiap kali Nurul Syakira angkat punggung,
ditariknya Nurul Syakira dengan muka garangnya itu. Macamlah Nurul Syakira
takut bila Fara Hana tunjuk mimik muka begitu. Tapi sakit juga punggung Nurul
Syakira kerana asyik terhentak ke lantai saja. Sudahnya, Nurul Syakira duduk
diam-diam sebelah Fara Hana. Matanya meliar seboleh-boleh tidak mahu menumpukan
perhatian ke skrin komputer. Hatinya cukup menyampah untuk melihat Joe Redzuan
menayang-nayang popularitinya. Macamlah glamor sangat.
Jari Fara Hana
pantas disorong atas plat tetikus. Laman web sosial youtube dibuka dan terus
mencari video yang dimaksudkan Liza, kawannya yang pergi ke showcase berkenaan. Mata Fara Hana
menaip nama kumpulan New Band pada kotak cari. Terpapar beberapa video
berkaitan kumpulan itu termasuk video lagu-lagu mereka sebelum ini.
Fara Hana menilik
dari atas ke bawah. Hanya ada satu video berkenaan showcase semalam.
Cepat-cepat Fara Hana klik pada video tersebut. Lantas video itu pun dimainkan.
Sedangkan Nurul Syakira masih memandang ke tempat lain. Sekejap ke depan,
sekejap ke atas. Bosan. Nurul Syakira memang tidak pasang niat mahu menonton
bersama Fara Hana kerana setiap kali dia melihat video Joe Redzuan membuat
persembahan atau video lagunya, Nurul Syakira pasti sakit hati. Teringat akan
setaip perkataan yang dikomen peminat Joe Redzuan sebelum ini bikin hatinya
kembali membengkak.
“Kira, Kira! Kau
dengar tak?” Fara Hana menampar-nampar peha Nurul Syakira. Kemudiannya jarinya
menarik butang perjalanan video kembali kepada beberapa minit lalu apabila
menyedari Nurul Syakira tidak menumpukan perhatian kepada video itu. “Tengok ni
Kira!” kerahnya dengan nada tinggi sambil senyum meleret. Teruja benar
nampaknya Fara Hana.
Joe Redzuan duduk bersandar di sofa selepas bersama
kawan-kawannya meraikan kejayaan showcase
mereka yang pertama semalam. Sementara kawan-kawannya yang lain masih lepak
bersama dan menyambung cerita mereka yang sabung-menyabung.
Joe Redzuan seluk
kocek seluar. Iphone miliknya dikeluarkan. Lantas laman facebooknya terus saja
dilayari seperti biasa. Tidak sabar Joe Redzuan mahu mebaca komen-komen peminat
New Band. Harap-harap mereka berjaya memuaskan hati peminat-peminat mereka yang
datang malam itu.
Tapi, bila
diingat-ingatkan kembali seingat Joe Redzuan dia tidak nampak pun kelibat Nurul
Syakira. Entah gadis itu datang atau tidak malam semalam. Entah-entah gadis itu
memang tidak berniat hendak datang. Ataupun barangkali Nurul Syakira segan
untuk datang seorang. Hai, Joe Redzuan patut memberi tiket ekstra kepada Nurul
Syakira. Kenapalah dia tidak terfikir sebelum ini?
‘Lembap betul aku
ni!’ kutuknya sendiri. Laman facebook kembali menjadi tumpuan. Joe Redzuan
menyedari sebuah video dari youtube yang dikongsikan ke muka depan laman
kumpulan mereka itu. Pantas saja jari Joe Redzuan menekan butang main di bawah
video berkenaan.
“Fuh! Cepatnya dah
ada orang upload! Siap share dekat facebook ni!” Tiba-tiba Joe
Redzuan rasa bangga. Video kumpulan yang tersebar dengan pantas menunjukkan
betapa hebat juga populariti kumpulan dan betapa aktifnya peminat-peminat
mereka menyebarkannya. Bagus juga. Publisiti percuma. Namun, ada juga rasa
bimbang jika orang lebih rela menunggu video yang dimuat naik daripada pergi
sendiri ke konsert mereka pula selepas ini. Ah, kalau dah minat mesti mereka
hendak jumpa depan mata. Joe Redzuan ketawa sendiri sambil berfikir macam-macam
andaian.
“Ops!” Joe Redzuan
malu sendiri mendengar ucapannya di tengah-tengah persembahannya malam itu.
Lagu
seterusnya ini ialah lagu baru kami yang pertama kali kami pendengarkan secara
live di sini. Lagu ini kami tujukan khas
buat korang, peminat yang terus menyokong kami. Terima kasih atas sokongan
korang. Lagu ini juga saya tulis untuk seorang sahabat istimewa yang pernah
saya nyatakan sebelum ini...
Gempita seketika
suasana saat Joe Redzuan meluahkan ayat itu. Kebanyakan peminat menjerit ingin
tahu siapa insan yang dimaksudkan Joe Redzuan.
Lekas Joe Redzuan
menutup laman sosial berkenaan. Tidak sanggup lagi dia mahu menontonnya. Malunya
tidak terkata. Joe Redzuan mengaut mukanya dengan tangan. Tebal pula rasa
mukanya saat menonton kembali saat dia mengeluarkan kata-kata itu. Entah sejak
bila pula lagu itu ditulis untuk orang itu. Pandai-pandai saja mulutnya
bercakap, bermanis mulut, bermadah kata di hadapan peminat-peminatnya. Sedang
hati Joe Redzuan masih di persimpangan. Mencari erti dalam hubungan yang sudah
dan bakal terjalin.
Saya harap dia dapat
memaafkan saya atas segala kebodohan saya selama ini. Maafkan aku, Kira.
Nurul Syakira
tergamam saat namanya disebut dek bibir Joe Redzuan. Di depan puluhan atau
mungkin lebih seratus manusia, lelaki itu menyebut namanya. Ya Allah, apa makna
semua ini?
Dilihatnya mata Joe
Redzuan melilau ketika mendendangkan lagu tersebut. Seakan lelaki itu sedang
tercari-cari sesuatu. Adakah Joe Redzuan mencari bayangnya? Nurul Syakira
meneka sendiri.
Tiba-tiba tangan
Fara Hana sekali lagi merayap ke tubuh Nurul Syakira. Nurul Syakira tersentak
namun hatinya lebih tersentak dek tindakan Joe Redzuan. Tamparan Fara Hana yang
bertalu-talu singgah ke lengan dan bahunya yang digoncang sekali sekala tidak
langsung diberikan perhatian.
“Wah! Dia sebut
nama kau Kira! Dia sebut nama kau!” ulang Fara Hana berkali-kali dengan sangat
teruja.
‘Eh, sekejap!
Pernah nyatakan sebelum ini? Maksudnya...’ Persoalan itu bermain-main di benak
Nurul Syakira. Puas dia mentafsirkannya. ‘Alamak! Dia dah dedahkan pasal aku ke
sebelum ni?’ Serta-merta Nurul Syakira teringat akan nota di belakang sampul
yang berisi tiket sebelum ini. Ada satu pesanan yang ditinggalkan oleh lelaki
itu. Lantas Nurul Syakira menyambar komputer ribanya sekaligus mengambil alih
dari tangan Fara Hana.
“Hei, aku pun nak
tengok!” Fara Hana mengomel tidak puas hati. Dilihatnya Nurul Syakira membuka
laman baru. Seketika laman facebook terpapar di skrin. “Apa tengok facebook
pula ni. Nanti-nantilah...”
Sedikitpun Nurul
Syakira tidak mempedulikan omelan Fara Hana. Di fikirannya hanya ingin
memastikan sesuatu. ‘Mangkuk punya mamat. Entah apa lagi yang dia buat. Suka
hati dia aje nak buat sembarangan!’ Hati Nurul Syakira tidak senang.
Laman muka buku
kumpulan New Band kini terpapar di dada skrin. Nurul Syakira tarik tetikus ke
bawah. Mencari kalau-kalau ada gurauan lelaki itu yang membabitkan dirinya
lagi. Pasti ada. Kalau tidak, masakan Joe Redzuan siap tuliskan nota
menyuruhnya meninjau laman berkenaan. Malahan hingga bermadah di depan peminat
semasa persembahannya. Nurul Syakira terus mencari sehinggalah pada satu gambar
yang pernah dimuat naik oleh seseorang sebelum ini. Gambar yang pernah
mengguris hatinya. Tidak! Bukan kerana gambar itu hatinya sakit tetapi kerana
komen-komen luar biasa manusia-manusia yang bergelar peminat Joe Redzuan.
Kali ini gambar itu
dikongsi sekali lagi oleh Joe Redzuan sendiri. Terbelalak mata Nurul Syakira
melihat nama itu. Di bawahnya tertulis ‘Dia mungkin hanya sebagai kawan tapi
dialah kawan teristimewa’. Jelas garis halus di dahi Nurul Syakira.
Apa ni?! Hati Nurul
Syakira menjerit tidak mengerti. ‘Main-main ajelah mamat ni. Sakit hati betul!’
Tambah terkejut,
Joe Redzuan melabelkan pula gambar itu atas nama Kira Hana, nama yang Nurul
Syakira gunakan untuk profil facebooknya. Terus mata Nurul Syakira terbeliak
untuk sekian kalinya. ‘Hah?! Mana mamat ni tahu nama facebook aku? Aduh, masak!
Siapa punya angkaralah ni!’ Nurul Syakira sudah menyusun jari-jemarinya lalu
digenggam kuat. Geram betul hatinya sekarang. Bukannya terharu akan tindakan
Joe Redzuan tapi bertambah-tambah marahnya. Apa pula agenda lelaki itu kali
ini. Kalau dah tahu diri tu femes sangat, janganlah libatkan Nurul Syakira.
Nurul Syakira tak perlukan dunia glamor macam tu. Rimas!
Fara Hana yang
mencuri tengok di sebelah Nurul Syakira ternganga. “Fuiyoo! Macam serius aje
Joe dengan kau kali ni...” Mendatar saja suara Fara Hana, seakan tidak percaya
dengan apa yang dilihatnya.
“Memang serius! Dia
tu memang nak kena hempuk dengan aku!” Garang pula Nurul Syakira membalas.
Lantas Fara Hana
tayang reaksi terkejut. Lain benar fikiran Nurul Syakira dari apa yang bermain
di benaknya. “Tak... maksud aku, dia macam serius nak rapat dengan kau ni.
Kalau tak takkan dia berani nak dedahkan nama kau segala. Gayanya macam
meluahkan perasaan aje aku tengok.”
Nurul Syakira
hampir tergelak namun amarahnya lebih kuat memberontak. “Meluahkan perasaan?
Huh, itu bukan nak meluahkan perasaan. Itu jalan saja nak sakitkan hati aku.
Seronoklah agaknya kalau peminat-peminat dia tu hentam aku nanti. Sekarang sipi
muka aku ni dah terdedah, nama aku... facebook aku-” Nurul Syakira terdiam
sejenak. “Facebook aku!” jeritnya lalu kalut melayari laman depan facebook
miliknya. Cepat-cepat Nurul Syakira ubah semua aturan akaunnya menjadi privasi.
Gambar-gambarnya juga dipadamkan dari akaun itu kesemuanya.
Selesai mengubah
apa yang patut, Nurul Syakira kembali di muka depan. Matanya terbelalak lagi.
“Dah terlambat...”
Fara Hana bersuara sambil mencebikkan bibir.
Lemah jantung Nurul
Syakira mendengar kenyataan itu. Lemah lagi hatinya memandang apa yang berlaku
di laman muka depan facebooknya.
No comments:
Post a Comment