Aktiviti pertama yang diatur
Prof Narimah di Taaras Beach & Spa Resort ialah jungle trekking. Pagi-pagi lagi mereka sudah bersiap sedia
mendengar taklimat daripada ketua ekspedisi iaitu petugas di resort itu
sendiri.
Boleh tahan juga pasangan Encik Sulaiman dan Prof Narimah mengikuti program
seperti ini. Walaupun fizikalnya sudah agak berusia, namun masih bertenaga
walau sudah lebih sejam mereka menjelajah hutan belantara. Nurul Syakira pula
yang sudah tersemput-semput kekurangan oksigen. Tambah-tambah bila Joe Redzuan
berjalan di belakangnya. Fara Hana pula melulu jalan ke depan. Hendak tunjuk
lagak pada Nurul Syakiralah tu. Mentang-mentang badan slim, stamina pun tinggi.
Kawan pula yang ditinggalkan di belakang.
Makin semput Nurul Syakira dibuatnya. Lebih-lebih lagi bila teringatkan
peristiwa yang berlaku di bilik Prof Narimah semalam. Setiap kali terpandang
muka Joe Redzuan mahu pun terdengar suara lelaki itu berdehem bikin Nurul
Syakira makin sesak nafas. Sakit hati pun ada.
Nurul Syakira cepatkan langkah untuk mengelak dari Joe Redzuan. Kalau
boleh, Nurul Syakira mahu berjalan seiring dengan Fara Hana atau
sekurang-kurangnya Liana yang berada tidak jauh di depannya.
Entah apa silapnya, dengan tidak semena-mena Nurul Syakira terjatuh ketika
melalui tanah liat yang licin. Kaki kanannya terlebih dulu ke depan sedangkan
kaki kirinya masih tertinggal di belakang. Nurul Syakira menjerit sekuat hati
kerana kelengkangnya yang terasa sakit. Aduh, macam aksi gimnastik pula Nurul
Syakira buat tengah-tengah hutan ini. Semua langkah terhenti serentak jeritan
Nurul Syakira yang nyaring.
Joe Redzuan dan seorang lagi petugas yang berada di belakang Nurul Syakira
pantas mendapatkannya. Fara Hana yang berada di depan juga berlari mendapatkan
Nurul Syakira. Tangan Nurul Syakira disambutnya dari pautan Joe Redzuan. Fara
Hana masak benar perangai Nurul Syakira. Nurul Syakira mungkin tidak mahu
menerima bantuan Joe Redzuan. Setelah apa yang Nurul Syakira ceritakan tengah
malam semalam buat Fara Hana juga rasa geram.
“Eh, tak apa. Biar saya yang tolong Kira bangun,” segera Fara Hana bersuara
apabila nampak Joe Redzuan terpinga-pinga melihat tindakannya. Fara Hana
meminta bantuan Liana untuk mencempung Nurul Syakira untuk berdiri. Muka Nurul
Syakira berkerut-kerut menahan sakit. Kedengaran suara Nurul Syakira mengaduh
sekali dua. Tangan Nurul Syakira kemudiaannya dipauhnya di belakang tengkuk
Fara Hana.
“Kamu tak apa-apa, Syakira? Ada cedera dekat mana-mana?” soal Prof Narimah
prihatin setelah datang mendapatkan Nurul Syakira.
Nurul Syakira menggeleng perlahan kemudian menjawab perlahan. “Tak ada apa,
prof. Saya rasa saya boleh jalan lagi.”
“Jauh lagi ke jalan keluarnya, Encik Razman?” soal Prof Narimah kepada
ketua ekspedisi setelah melihat keadaan Nurul Syakira yang rasanya tidak mampu
lagi untuk meneruskan perjalanan lebih jauh.
“Kalau puan nak balik ke resort, dalam lima belas minit kita akan sampai.
Tak jauh aje lagi. Dekat sana nanti, kami boleh beri rawatan kepada cik yang
cedera.” Encik Razman membalas sambil menunjuk arah yang patut mereka lalui.
Prof Narimah kembali memandang Nurul Syakira. “Kamu boleh jalan tak ni,
Syakira? Kalau tak boleh, saya suruh anak saya tolong.” Gelisah nada suara Prof
Narimah. Sifat keibuan Prof Narimah begitu terserlah. Namun pantas Nurul
Syakira menolak cadangan Prof Narimah. Minta Joe Redzuan mencempung Nurul
Syakira pulakah? Aduh, tidak mungkin.
“Eh, tak apa prof. Saya boleh jalan sendiri. Betul. Fara pun ada boleh
tolong pimpin saya.” Nurul Syakira nampak Prof Narimah memandangnya dengan
wajah gelisah. Kemudian pandangan itu beralih kepada Fara Hana di sebelah Nurul
Syakira.
“Betul?” Prof Narimah meminta kepastian. Nurul Syakira mengangguk perlahan.
“Baiklah Encik Razman. Kita balik ke resort perlahan-lahan.”
Nurul Syakira menarik nafas panjang setelah Prof Narimah kembali bergerak
ke depan. Dibiarkan seorang demi seorang berjalan ke depan namun Joe Redzuan
tidak juga bergerak. ‘Aik, mamat ni tak nak jalan ke?’ getus Nurul Syakira
perlahan. Lantas terpaksalah Nurul Syakira terlebih dulu bergerak ke depan
dengan dipimpin Fara Hana kerana orang lain semuanya sudah agak jauh darinya.
Malunya Nurul Syakira rasa. Tebal seinci mukanya. Prof Narimah dan Encik
Sulaiman yang sudah berumur itu pun sihat walafiat setelah menyertai aktiviti
lasak ini. Tapi Nurul Syakira pula satu-satunya yang pulang ke resort dengan
kakinya terdingkut-dingkut. Buku lali Nurul Syakira juga sudah mulai rasa
perit. Kakinya terseliuh barangkali sebelum tayang aksi gimnastik tadi.
Nurul Syakira menyentuh kakinya
yang baru siap dibalut. Seketika, Fara Hana datang mencungap-mencungap dengan
membawa selipar untuk Nurul Syakira. Nurul Syakira mengucapkan terima kasih
kepada Fara Hana dengan muka tidak bermaya. Bukan kerana letih mahupun sakit
tapi Nurul Syakira rasa malu. Baru hari pertama dia mengikut percutian yang
diatur Prof Narimah sudah jadi begini. Hai, melepaslah Nurul Syakira mahu
mengikut aktiviti snorkeling petang nanti. Baru saja berangan-angan dua hari
lepas hendak melihat ikan berenang-renang depan mata. Mesti cantik.
“Macam mana keadaan kamu, Syakira?” Prof Narimah datang untuk melihat
keadaan Nurul Syakira setelah berbincang dengan petugas yang menjadi ketua
aktiviti mereka selepas ini.
“Emm... okey sikit prof,” jawab Nurul Syakira menjawab pendek.
Dr Haslinda pula datang mendekati Nurul Syakira. Kaki Nurul Syakira
dibeleknya. “Emm... bengkak kaki kamu ni macam dah surut. Ubat pun dah sapu,
rasanya esok okeylah ni.” Dr Haslinda membuat andaian. Kemudian menegakkan
badan semula. “Nampaknya kamu tak dapatlah join
kami pergi snorkeling petang ni.” Ada nada hampa dalam nada Dr. Haslinda.
Nurul Syakira tidak menjawab. Malah dia tidak tahu reaksi apa perlu
ditunjukkannya. Jauh di sudut hati, memang dia juga hampa.
“Kalau kaki Kira tak baik, tak boleh snorkeling ke doktor?” Fara Hana pula
menyoal. Sengaja dia ingin tahu. Untung-untung jawapan Dr. Haslinda bolehlah.
“Tak apalah. Kalau boleh pun, saya tak mahu ambil risiko. Nanti makin
lambat pula kaki saya ni baik. Lagipun, saya tak mahu menyusahkan orang dekat sana
nanti. Takut kaki saya kejang pula.” Nurul Syakira pula mengalah.
“Tak apalah. Awak berehatlah dulu. Itu lebih baik.” Prof Narimah juga
mengiyakan. Dr. Haslinda juga mengangguk setuju.
No comments:
Post a Comment