Dari atas pangkin kecil, Nurul
Syakira memerhati teman-temannya mengikut Prof Narimah bergerak ke bot untuk ke
destinasi snorkeling. Sesekali kakinya mengais pasir putih yang menutupi bumi.
Perasaan hampa dan kecewa mula mencucuk-cucuk lubuk hati Nurul Syakira
apabila melihat mereka pergi. Kalaulah dia tidak jatuh semasa jungle trekking pagi tadi, pasti Nurul
Syakira dapat ikut serta petang ini.
Hai. Spontan Nurul Syakira lepaskan keluhan. Tiba-tiba otaknya melayang
teringatkan kata-kata Joe Redzuan sebelum bertolak ke pantai tadi.
“Kau nak pergi snorkeling dengan skirt ni ke?” soal Joe Redzuan sambil
menunjuk ke arah skirt yang dipakai Nurul Syakira. “Wow! Seksinya!” tambahnya
lagi dengan riak nakal.
Pantas Nurul Syakira hayun tangan dan menghempuk bahu Joe Redzuan
kuat-kuat. Ikutkan hati mahu saja dihempuknya kepala Joe Redzuan tapi bila
teringat yang dia tu anak bos, tahankan sajalah.
“Eh, otak kau ni memang dah rosak ke? Kalau aku nak snorkeling, aku tak
akan pakai macam nilah. Aku tak pergi snorkeling,
puas hati?” balas Nurul Syakira dengan nada geram.
Joe Redzuan tersengih-sengih. “Kenapa kau tak join? Kau takut air ke?” Sengaja Joe Redzuan mengenakan Nurul
Syakira.
Apalah angin lelaki itu asyik hendak menyakitkan hati Nurul Syakira saja sejak
sampai ke sini. Sebelum ini asyik bawa masalah dalam hidup Nurul Syakira.
Mengaku pada peminat dia yang Nurul Syakira ni isteri dialah, paksa Nurul
Syakira kahwin semata-mata hendak mengikut saja pengakuan bodoh dia tulah.
Sekarang ini pula tidak henti-henti hendak menyakat Nurul Syakira. Permainan
apa yang Joe Redzuan main ni? Nurul Syakira pula yang makin sakit hati.
Tiba-tiba Nurul Syakira mengunjur kaki kanannya ke depan, hampir mengena
tulang keting Joe Redzuan. Kalau kena lagi bagus. Biar lelaki itu pula merasa
penangannya. “Ni kaki aku ni berbalut tak nampak. Kaki tengah sakit. Macam mana
nak snorkeling segala.”
Joe Redzuan ternagguk-angguk dengan bibirnya yang dijuir sedikit. Sakit
betul hati Nurul Syakira melihat reaksi lelaki itu. Rasa hendak tampar-tampar
saja mulutnya itu.
“Sakit kaki pun, bukannya kena berjalan dalam air. Kau terapung-apung aje
macam mayat hidup dalam air tu!” Tempelak Joe Redzuan lagi tambah menyakitkan
hati Nurul Syakira. Kemudian, lelaki itu beredar pergi dengan tawa kecilnya.
Mentang-mentang Nurul Syakira seorang, beranilah Joe Redzuan hendak mengusik.
Di depan orang lain, tunjuk gentlemanlah
pula.
“Ish, geramnya aku!!!” Nurul Syakira mengenggam kedua belah tangannya
dengan erat. Bengkak hati mengenangkan kata-kata Joe Redzuan kurang sejam lalu.
Tanpa disedari, satu lagi keluhan dilepaskan Nurul Syakira.
“Kenapa asyik mengeluh aje dari tadi?” Tegur satu suara tiba-tiba. Sepantas
kilat Nurul Syakira menoleh dan dia dapat melihat seorang lelaki sudah duduk
tidak jauh di sebelahnya. Nurul Syakira lemparkan jelingan.
‘Ni siapa pula jantan ni tiba-tiba muncul tegur aku ni? Kacau daun
betullah!’ Nurul Syakira rasa tidak senang akan kehadiran lelaki itu. Namun
lelaki itu terus menyapanya dengan mesra.
“Awak tahu tak yang kegembiraan juga akan hilang bersama setiap kali kita
mengeluh? Makin banyak kita mengeluh sebenarnya makin murung kita jadinya,”
ujar lelaki itu lagi.
Nurul Syakira kembali menoleh. Wajah lelaki itu direnungnya dari tepi.
Berbelit-belit ayat lelaki itu bermain di fikiran Nurul Syakira tapi rasanya
Nurul Syakira bolehlah faham sedikit.
“Saya Aiman.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan
kepada Nurul Syakira. “Awak?”
Nurul Syakira sekadar melihat huluran tangan itu lalu dia hanya tersenyum.
Pandangannya dialihkan semula. Selang beberapa saat, Nurul Syakira terjun dari
pangkin untuk beredar pergi. Namun, kakinya yang masih lagi sakit terkehel
sekali lagi. Serta-merta Nurul Syakira mengaduh sakit.
Lelaki bernama Aiman itu juga dengan segeranya turun dan mendapatkan Nurul
Syakira yang mengurut-urut pergelangan kakinya.
“Awak tak apa-apa ke?” Aiman cuba memapah tangan Nurul Syakira namun
ditepis oleh gadis itu.
“Tak apa. Saya tak apa-apa.” Nurul Syakira cuba bangun tapi semakin dia
memaksa dirinya untuk berdiri, semakin sakit pula kakinya. ‘Aduh. Dah tahu kaki
sakit, apasal la aku pergi terjun tadi? Sendiri cari penyakit!’ Nurul Syakira
menyalahkan diri.
“Saya rasa kaki awak ni macam teruk ni. Awak pun seorang saja dekat sini
saya tengok. Biarlah saya tolong.” Aiman menawarkan diri untuk membantu apabila
melihat kaki Nurul Syakira yang sememangnya sudah berbalut. Apa lagi melihat
gadis itu terkial-kial untuk bangun sambil mengaduh kesakitan, hatinya tidak
sampai hati mahu membiarkan saja.
Nurul Syakira juga membiarkan saja Aiman memapah tubuhnya duduk semula di
atas pangkin. Dia sendiri sudah tidak mampu untuk berdiri sendiri. Kaki kanan
Nurul Syakira juga Aiman angkat dan diletak di atas pangkin. Perlahan-lahan
kaki itu dibeleknya dari jauh.
“Boleh saya tengok?” Aiman meminta izin untuk melihat keadaan kaki Nurul
Syakira. “Saya rasa kaki awak mesti bengkak. Sebab tu awak rasa sakit sangat.
Kalau awak sudi, saya boleh tolong sapukan ubat untuk surutkan bengkak.”
“Tak apa. Tadi staf hotel dah tolong sapukan ubat,” jawab Nurul Syakira
perlahan. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki yang tidak dikenali itu. Sudahlah
dia malu kerana tunjuk sombong tadi semasa lelaki itu memperkenalkan dirinya.
Lepas itu, terseliuh lagi di depan lelaki itu. Macam aksi dalam drama pula.
“Itu tadi. Kalau awak tak sapu ubat selalu, lambat bengkak ni akan surut.
Sekurang-kurangnya, urutlah sikit. Biar cepat bengkaknya surut,” kata Aiman
lagi beria-ia. “Awak tunggu sini kejap. Saya pergi ambil ubat.” Lantas Aiman
berlari meninggalkan Nurul Syakira.
Nurul Syakira hanya terdiam. Matanya merenung balutan di kakinya. Seketika
kemudian, pandangannya dilempar jauh ke tengah lautan.
“Terima kasih,” ucap Nurul
Syakira sebaik kakinya selesai dibalut Aiman. Balutan itu dibeleknya seketika.
Lebih kemas daripada balutan sebelum ini. Aiman sekadar tersenyum lantas
menyimpan semua peralatannya ke dalam kotak kecemasan. “Ini semua awak punya
ke?” Nurul Syakira menunjuk ke arah barang-barang yang dikemas Aiman.
Aiman menangguk. “Ya, sebab saya suka bersukan. Jadi, saya selalu bawa
semua ni bersama sebagai persiapan kalau-kalau saya tercedera,” balas Aiman
lebih terperinci. “Awak datang sini seorang aje ke?” Aiman cuba memulakan
perbualan dengan Nurul Syakira. Kotak yang siap dikemas diletak di tepi. Kemudian
duduknya diubah sedikit.
Lambat Nurul Syakira menggeleng. Perlahan-lahan Nurul Syakira mengalih
kakinya lalu mengunjur ke bawah. “Saya datang dengan bos dan kawan-kawan,”
balasnya lambat. Pandangan Nurul Syakira sekali lagi dilempar jauh.
“Mana dia orang?”
“Emm... pergi snorkeling. Kalau kaki saya tak cedera mungkin saya pun boleh
sertai mereka.” Nada suara Nurul Syakira berubah perlahan.
Aiman seakan dapat merasakan apa yang dirasai gadis di sebelahnya. Lantas
dengan nada ceria, Aiman lekas bersuara. “Kalau kaki awak tak cedera, mungkin
saya tak dapat duduk berbual dengan awak macam sekarang ni.”
Kata-kata Aiman itu sekaligus membuatkan Nurul Syakira menoleh. Aiman
menghadiahkan sekulum senyuman kepada Nurul Syakira. Dahi gadis itu kelihatan
berkerut.
“Awak mesti bosan kan. Jom, saya teman awak main!” Aiman terus mengajak
sebelum Nurul Syakira bertanya sebarang soalan.
“Hah?” Nurul Syakira terkejut menerima ajakan Imran. Namun belum sempat dia
bertanya lebih mahupun menolak, tangannya lekas disambar lelaki itu. Tubuh
Nurul Syakira kemudiannya didukung dalam dakapannya. Terkejut Nurul Syakira
akan tindakan Aiman hingga dia terkedu tidak terkata. Jauh Aiman membawa Nurul
Syakira berlari. Jauh meninggalkan pangkin di mana mereka duduk tadi.
“Eh, awak buat apa ni? Nak bawa saya ke mana ni?” soal Nurul Syakira
bertalu-talu beberapa minit kemudian. Matanya kalut memandang keliling.
“Nak ajak awak mainlah!” Ceria saja Aiman menjawab bersama senyuman yang
tidak lekang di bibirnya. “Sebab kaki awak sakit, saya tahu permainan apa yang
awak boleh main. Yang tu, kaki awak mesti tak rasa sakit.”
“Kalau ya pun, turunkanlah saya. Saya boleh jalan sendiri.”
“Kaki awak kan sakit. Dah dekat dah ni...”
Mulut Nurul Syakira terus terkunci selepas itu. Matanya melihat ke arah
yang dibawa Aiman. Kemudian beralih pula ke wajah lelaki itu. Siapa lelaki itu
yang tiba-tiba muncul di depan Nurul Syakira dan melayan Nurul Syakira seperti
mereka sudah lama menyulam cinta. Cinta? Lekas Nurul Syakira geleng kepala
perlahan. Terlalu jauh fikirannya melayang.
No comments:
Post a Comment