“Eh, apa masalah kau ni hah? Otak kau tu dah rosak ke?
“Ya! Memang otak
aku dah rosak. Otak aku ni dah rosak sebab kau!”
Nurul Syakira
tergamam mendengar pengakuan Joe Redzuan. Hatinya bagai diketuk satu perasaan.
Adakah Joe Redzuan benar-benar sudah jatuh hati pada Nurul Syakira? Tapi
mustahil semudah itu.
“Aku ni memang
bodoh sebab terlepas cakap yang bukan-bukan dalam facebook. Perempuan yang aku
tak tahu asal-usul ni boleh jadi bini aku? Huh, memang tak masuk akal! Macam
manalah aku boleh jadi sebodoh tu!”
Nurul Syakira
tertawa sinis. Baru saja hatinya dicuit rasa yang bakal bahagia tapi
rupa-rupanya tanggapannya itu jauh sekali meleset. Cukuplah Nurul Syakira.
Nurul Syakira cuba mengingatkan diri sendiri. Tak mungkin Joe Redzuan
betul-betul menyukai dirinya. Pilihan lelaki seperti Joe Redzuan pastinya
seorang cantik dan bijak bergaya. Gadis seperti Nurul Syakira Joe Redzuan
pandang sebelah mata pun tidak. Ya, betul. Nurul Syakira ingat lagi ketika
dalam tren pada hari itu. Hari di mana sejarah bermula dalam hidupnya. Joe
Redzuan sedikit pun tidak pandang ke mukanya walau mereka hanya berdiri
bersebelahan. Nurul Syakira saja yang melihat Joe Redzuan tidak putus-putus
sebab kononnya mahu tayang riak bengang.
“Aku tak ada jalan
lain selain buatkan apa yang aku cakap tu jadi realiti. Kalau aku beritahu
perkara yang sebenar, malu besarlah aku. Nanti aku dicop sebagai lelaki penipu
pula. Kaki perempuan. Mulut celupar. Tak pun, silap-silap kau pula yang reka
cerita macam-macam lepas gambar tu tersebar. Selebriti macam aku ni memang tak
boleh lari mana pun. Sekali gambar aku diambil, memang sah jadi publisiti.”
Nurul Syakira
mendengus tidak puas hati. Gerutu hatinya mendengar setiap bait kata yang
keluar dari mulut Joe Redzuan. Sebab terkenangkan yang Joe Redzuan tu anak
bosnya, Nurul Syakira masih cuba bersabar. Kalau tidak, dah lama Nurul Syakira
rasa mahu tendang tulang keting Joe Redzuan. Biar dia rasa peritnya walaupun
tidak seperit hati Nurul Syakira yang sakit gara-gara cakapnya yang meninggi
diri tu.
“Kau ingat aku
kesah sangat ke dengan kau? Janganlah ingat diri kau tu femes sangat. Untuk
pengetahuan kau, aku langsung tak tahu-menahu pun pasal apa-apa gosip yang
keluar pasal kau. Jadi tak payah perasanlah yang aku nak hebahkan cerita-cerita
mengarut tu. Aku lagi benci tengok cerita palsu tu semua. Tapi apa yang aku
tahu, mulut kau tu memang celupar dan kau memang bodoh!”
Sakit betul hati
Joe Redzuan ditujah kenyataan itu. Walaupun tadi dia juga yang mengaku tapi
bila perkataan itu keluar dari mulut Nurul Syakira, Joe Redzuan benar-benar
bengkak hati.
“Kau cakap apa
tadi? Berani kau cakap aku bodoh?” Bergetar suara Joe Redzuan meminta
kepastian.
“Kau memang bodoh!”
ulang Nurul Syakira satu per satu. Cukup jelas.
Joe Redzuan
menggenggam kemas jari-jemarinya. Dia cuba menahan rasa marah yang mula
membakar.
“Kenapa? Salah ke
aku cakap? Kau memang bodoh, dan sombong! Kau yang cari nahas, reka cerita
bukan-bukan tanpa fikir betul-betul. Kenapalah kau tak guna otak kau tu
baik-baik sebelum menjawab gosip dari peminat-peminat kau yang kononnya ramai
sangat tu? Lepas kau libatkan aku dalam masalah kau, kau menyusahkan hidup aku
dengan hal-hal yang kau buat, sekarang kau nak salahkan aku pula? Eh, kalau kau
rasa aku ni tak layak pun untuk jadi ‘bini’ kau, pergilah cari perempuan lain!
Ingat aku ingin sangat ke dekat kau! Uwekk!” Nurul Syakira menjelir lidah.
Lantas dia terus beredar meninggalkan Joe Redzuan.
“Hei, aku
susah-payah cari kau tau. Kau ingat senang ke nak cari kau dalam dunia ni?
Kalau kau tu femes tak apalah juga!” pekik Joe Redzuan setelah melihat Nurul
Syakira berlalu pergi.
“Aku tak suruh kau
cari aku pun!”
Joe Redzuan
mendengar suara Nurul Syakira membalas walaupun sudah jauh gadis itu
meninggalkannya. Kemudian Joe Redzuan marah sendiri. Gagal lagi rancangannya.
“Liat juga
perempuan ni. Tak apa... tak apa. Nasib baik kau orang Umi aku. Mana lagi kau
nak lari. Paling jauh pun, kau dekat sini aje.” Joe Redzuan cuba tenangkan
diri.
“Tak guna punya laki! Otak tak senonoh! Otak senget!” Nurul
Syakira mencucuk-cucuk peha ayam dalam pinggannya dengan garfu. Peha ayam yang
menjadi makanan tengah harinya itu juga sudah serupa muka Joe Redzuan. Walaupun
Nurul Syakira mahu buat tidak kesah, tapi hatinya tetap geram. Terserempak
dengan Joe Redzuan hari ini memang satu musibah dalam hidup Nurul Syakira.
Entah-entah pertemuan itu bukanlah satu kebetulan tetapi lelaki itu memang mahu
berdepan dengan Nurul Syakira. Maknanya, tepatlah jangkaan Nurul Syakira
sebelum ini. Sah-sah Joe Redzuan datang semata-mata untuk mencarinya setelah
pinangannya tidak Nurul Syakira setujui.
Nurul Syakira terus
mencucuh peha ayam itu hingga bercerai isinya. Geramnya.
“Kau marah dekat
ayam ke dekat siapa tu, Kira? Menakutkan aje aku tengok. Macam pembunuh
misteri!” tempelak Liana lalu tertawa kecil bersama pandangannya yang melirik
ke pinggan Nurul Syakira. Hancur isi ayam dalam pinggan Nurul Syakira. Nasinya
juga sudah bertaburan muntah keliling pinggan. Lantas Liana spontan menggeleng.
Seketika kemudian,
Liana memandang Nurul Syakira yang terus dengan tindakannya. Liana yang berdiri
di sebelah juga tidak dipedulikan. Khyusuk benar dengan marahnya. Liana mula
tertanya-tanya sebabnya. Kerana hatinya yang semakin menjolok ingin tahu, Liana
lantas menepuk bahu Nurul Syakira perlahan.
“Woi, mangkuk!”
pekik Nurul Syakira sambil menyua garfu ke depan Liana.
Bulat mata Liana
melihat hujung garfu yang dekat dengan mukanya. Sikit lagi jadi Kassim
Selamatlah Liana. Fuh, semangat.
“Eh, maaf... maaf
Yana. Aku tak sengaja. Maaflah ya,” ujar Nurul Syakira setelah sedar Liana yang
kaku berdiri di sebelahnya. Ingatkan Joe Redzuan tadi. Kalau lelaki itu, Nurul
Syakira panjangkan lagi tangan. Biar garfu tu tembus ke mana-mana tubuh lelaki
itu. Ops, tak sengaja. “Sorry ya...”
pinta Nurul Syakira lagi sambil tersengih-sengih setelah melihat Liana
mengambil tempat selang dua kerusi darinya. Mesti Liana rasa terkejut. Ataupun
Liana bimbang kalau-kalau Nurul Syakira bertindak diluar kawalan sekali lagi.
Kalau tadi Liana bernasib baik, siapa tahu lain kali Nurul Syakira betul-betul
mencederakannya secara tidak sengaja. Hai, semua ini sebab Joe Redzuan. Sebab
lelaki itulah, fikiran Nurul Syakira mula tidak menentu. Asyik melayang ke sana
sini saja.
“Kau buat apa dekat
sini?” Nurul Syakira menyoal Liana. Saja hendak tutup malu. Lantas Nurul
Syakira tersengih lagi.
“Buat apa lagi
dekat pantri ni. Nak makanlah...” Perlahan Liana membalas.
“Sorry ya pasal tadi. Aku betul-betul tak
sengaja. Aku ingatkan-” kata-kata Nurul Syakira terhenti di situ. Kalau dia sebut
nama Joe Redzuan nanti, mesti panjang cerita. Siapa lelaki itu, kenapa Nurul
Syakira marah sangat pada lelaki tu, semua soalan itu pasti menjadi soalan
wajib yang keluar dari mulut Liana. Nurul Syakira sangat pasti. Lebih baik
Nurul Syakira tidak perlu cakap. Harap-harap Liana tidak akan bertanya lanjut
kerana ayat Nurul Syakira yang tergantung sebentar tadi.
“Tak apa. Aku yang
tegur salah masa,” balas Liana lambat. Makanan tengah harinya cepat-cepat
disuap ke mulut. Cepat dia sudahkan makan, cepat dia boleh keluar dari pantri.
Kemudian perbualan
mereka mati di situ saja. Nurul Syakira juga sudah tidak ada idea buat masa
ini. Otaknya kini hanya dipenuhi rasa marah terhadap Joe Redzuan. Puas Nurul
Syakira tepis seagala macam hal tentang Joe Redzuan yang melintas di
fikirannya. Tapi makin cuba ditepis, makin bertalu-talu pula nama itu
menyinggah ke otaknya. Spontan Nurul Syakira lepaskan keluhan. Nasi ayam yang
masih belum dijamah terus dikais.
Dari jarak beberapa
tapak, Liana tetap menjeling reaksi Nurul Syakira. Mahu ditegur, takut entah
apa pula yang melayang ke mukanya nanti. ‘Kesian... sakit mental rupanya kawan
aku ni.’
Daniel menepuk tangannya beberapa kali. Seketika semua
rakan bandnya berhenti dari bermain instrumen masing-masing. Seketika kemudian,
Daniel menoleh ke arah Joe Redzuan.
“Joe, aku rasa key yang kau main tu tak betullah. Macam
tak masuk aje bunyinya.” Daniel cuba menegur. Sedangkan Joe Redzuan tidak
memberi sebarang respon. “Okey, kita mula sekali lagi.”
Lagu baru hasil
idea mereka semua dimainkan sekali lagi. Lagu itu bakal menjadi single kedua
mereka setelah single pertama meletup di laman sosial. Jika ikut perancangan,
mereka bercadang untuk merakamkan lagu tersebut awal bulan depan. Hanya tinggal
kurang dua minggu saja lagi bulan ini akan berakhir. Dalam beberapa hari ini,
mereka banyak menghabiskan masa di studio milik Daniel. Makan, tidur semuanya
di sini. Studio ini sudah menjadi seperti rumah kedua mereka.
“Ops, stop! Stop!” Daniel menepuk tangan sekali lagi. “Joe, salah key kau tu,” tegur Daniel lagi. Joe
Redzuan tetap tidak membalas. Belum sempat Daniel memberi pendapat, Joe Redzuan
menanggalkan tali gitar dari tengkuknya lalu gitar itu disandar ke tepi
dinding. Lantas tanpa sepatah kata, Joe Redzuan terus henyak punggung di sofa
yang terletak hanya beberapa langkah dari instrumen muzik mereka.
Daniel memerhati
saja gerak-geri Joe Redzuan. Kemudian wajah teman yang lain, Zafryl dan Ebby
dipandang seketika. Zafryl dan Ebby turut berpandangan.
“Okey. Kita rehat
sekejap!” Lekas Daniel bersuara. Lantas Daniel turut melangkah ke sofa dan
henyak punggung berdekatan Joe Redzuan.
“Mana Loq ni?! Dari
tadi tak nampak batang hidung dia. Sibuk dengan awek aje. Awek nak jumpa, dia
pun terhegeh-hegeh keluar. Awek nak itu, nak ini, dia layan aje! Tak tahu ke
kita ada latihan petang ni?” Terjah Joe Redzuan panjang sebaik punggung Daniel
mencecah sofa. Namun wajah Daniel sedikit pun tidak dipandangnya.
“Kau okey ke bro?”
Daniel mula menegur. Lain macam pula dia tengok kawannya itu. “Aku tengok dari
kau masuk tadi, macam angin semacam aje. Ada angin sangkut ke? Ceritalah kat
aku!”
“Tak ada apalah. Si
Loq ni, mana dia? Dah berapa jam tunggu, bayang dia pun tak nampak!” Loq, atau
nama sebenarnya Luqman Hakim masih menjadi topik untuk Joe Redzuan melepaskan
geram.Walhal Daniel tahu bukan itu puncanya. Memang Luqman selalu lewat ke
latihan tapi selama ini tidak pernah pula Joe Redzuan bising. Malah dia juga
yang suka menyakat Luqman setiap kali teman-teman lain komplen. Kenapa hari ini
Joe Redzuan marah-marah pula? Mesti ada yang tidak kena. Mungkinkah kerana hal
lain yang bikin hati Joe Redzuan yang penuh usikan nakal itu berubah amarah?
“Apasal kau
tiba-tiba marahkan Loq pula? Ke kau marahkan orang lain tapi saja nak jadikan
si Loq tu point pula!” Daniel terus
meneka. Sengaja dia mahu lihat sama ada jangkaan di benaknya tepat atau tidak.
“Aku marah pasal
perempuan tulah!”
Tidak lama Daniel
menanti jawapan, ia sudah pun terjawab. Benarlah jangkaan Daniel. Bolehlah
Daniel gelar dirinya yang sudah masak akan perangai Joe Redzuan. Tiba-tiba
Daniel rasa dirinya hebat. Rasa bangga pun ada. Tapi... “Perempuan mana?”
soalnya kurang pasti.
“Bini aku tulah!”
jawab Joe Redzuan lagi tanpa segan silu. Kiri kanan juga tak dilihatnya.
Serentak Zafryl dan Ebby yang tadi sibuk berbincang sendiri sambil sesekali
memetik gitar turut menoleh ke arahnya. Tiada lagi bunyi muzik selepas itu.
Sepi seketika.
“Bini? Bini dalam
facebook tu ke?” Daniel meneka lagi sekaligus memecahkan kebisuan dalam bilik
studio itu. Seketika kedengaran pula Daniel melepaskan keluhan. “Apa lagi
masalah dengan bini palsu kau tu? Kau sendiri yang cari penyakit, Joe...”
Akhirnya Joe
Redzuan menoleh ke arah Daniel. Wajah Daniel ditenung dengan renungan tajam.
“Ya. Memang aku sendiri yang cari penyakit. Tapi dia pun tak patut buat aku
macam tak wujud!”
Nurul Syakira melangkah perlahan menuju ke bilik Prof
Narimah setelah Liana memberitahunya yang Prof Narimah mahu berjumpa dengannya.
Lama Nurul Syakira menghadap nasi ayamnya tadi. Tapi sesuap pun tidak
dijamahnya.
Sejak akhir-akhir
ini jantung Nurul Syakira berdetap kuat setiap kali mendengar nama Prof
Narimah. Lebih-lebih lagi apabila bosnya itu mahu berjumpa dengannya. Rasa
macam fobia.
Bila berdepan
dengan Prof Narimah sejak dua menjak ini, tak tahulah bagaimana hendak
dibayangkan perasaan Nurul Syakira. Sekejap dia rasa seperti menghadap
majikan... sekejap macam berjumpa ibu mertua. Lebih menakutkan rasanya jika
Prof Narimah diletakkan pada status ibu mertua. Ketar lutut Nurul Syakira
dibuatnya. Prof Narimah ingin Nurul Syakira berjumpa dengannya kali ini juga
atas sebab kerja atau hal peribadi? Nurul Syakira semakin banyak fikir dan
semakin hatinya berdebar-debar selepas itu.
“Sabar Kira!
Bertenang! Mesti Prof nak bincang hal kerja tu. Manalah tahu, tiba-tiba Prof
nak bagi offer sambung belajar...”
Berkali-kali Nurul Syakira mengulang ayat itu kepada dirinya. Dia cuba
menenangkan diri walau sedikit pun tidak terasa impaknya.
Daniel melopong seketika. Dia memang benar-benar terkejut
dengan kenyataan Joe Redzuan tadi. Biar betul!
“Kau ni... satu aje
yang aku tak gemar dengan kau nilah Joe. Mak ayah kau dua-dua orang tepelajar.
Seorang pensyarah universiti, seorang Guru Besar sekolah. Kakak abang kau pun
semuanya berjaya. Kau tu pun, bukannya setakat habis sekolah menengah. Tapi
otak kau tu cetek benar aku tengok!” ujar Daniel selamba lalu
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Pantas Joe Redzuan
menoleh. Sedap saja mulut Daniel mengata otaknya cetek. Macamlah otak Daniel
itu dalam benar kalau nak dibandingkan dengan Joe Redzuan. Joe Redzuan tidak
puas hati. Lantas segera dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Daniel.
“Kalau otak kau tu
tak cetek, cubalah selesaikan masalah aku ni!” Joe Redzuan mencabar Daniel.
‘Ha, kata otak aku cetek kan. Kalau kau tu pandai sangat, jawablah!’
Daniel merebahkan
tubuh ke dinding. Seketika satu nafas panjang dapat didengar dilepaskannya
perlahan-lahan.
Ha! Terkunci terus
mulut kau. Kenapa, dah beku ke otak tu? Ingatkan pandai sangat! Joe Redzuan
mengata dalam hati sambil menjeling reaksi Daniel yang membisu beberapa minit.
Sedangkan di benak
Daniel, dia juga mengata sama. ‘Hai budak ni. Dia yang timbulkan masalah, ada
hati nak cabar orang pula. Tak cukup-cukup kau tinggalkan masalah kau tu dekat
facebook sampai lelah aku nak jawab? Selamba badak dia aje nak cakap apa. Buat
masalah reti, tapi nak selesaikan tak tahu. Ha, kalau masalah kali ni pun band kena tempias teruklah. Baru aje nak
merasa famous sekejap. Dibuatnya
perempuan tu sebar cerita bukan-bukan, memang nahaslah.’ Daniel berbisik
sendiri. Panjang lebar tapi tiada siapa antara kawan-kawannya yang mendengar.
“Kau tak tahu kan?
Kau tak tahu kan?” soal Joe Redzuan berulang-ulang dengan lantang. Sengaja dia
mahu Zafryl dan Ebby juga join sekaki dalam perbualan mereka. Untung-untung
dapatlah Joe Redzuan lebih banyak pendapat percuma. “Itulah, mengata aku aje
lebih. Kalau kau jadi aku, kau pun tak tahu nak buat apa kan.” Joe Redzuan
menambah dengan nada sindiran.
Namun, lain diharap
lain pula yang jadi. Daniel pula mengeluarkan kenyataan yang menjunam Joe
Redzuan entah ke jurang mana. Bukan pendapat yang menyokongnya yang akan Joe
Redzuan terima tapi pasti Zafryl dan Ebby juga akan mengeluarkan kata-kata yang
menyakitkan hati.
“Aku bukan macam
kau yang buat sesuatu melulu tanpa fikir guna otak!” Akhirnya Daniel bersuara
dan kenyataannya itu bagai peluru berpandu yang menerpa telinga Joe Redzuan
sekaligus menghempas perasaan lelaki itu dengan satu beban yang cukup besar.
“Apa yang aku hairan tu, macam mana kau boleh minta mak ayah kau pergi meminang
perempuan tu pula? Kalau kau nak betulkan keadaan, mengaku ajelah dekat
facebook tu yang perempuan tu bukan isteri kau ataupun diamkan aje. Cukup.
Lama-lama, cerita tu tenggelam sendiri. Bila mulut orang dah penat, senyaplah
nanti. Tapi yang kau pergi paksa perempuan tu kahwin dengan kau tu pula buat
apa?” sambung Daniel lagi.
“Betullah Joe. Kau
tak payah jawab apa-apa pun dalam facebook tu. Budak-budak tu saja aje nak
panjangkan cerita. Lagi kau balas, lagi banyak soalan mereka nanti. Tak ada
kerja lain nak buat agaknya...” Zafryl juga menyokong pendapat Daniel.
“Kau tak berada
dekat tempat aku, bolehlah kau cakap macam tu.”
“Jangan kusutkan
lagi keadaanlah Joe. Setakat ni, bini palsu kau tu pun tak ada buat apa.
Kenyataan bodoh kau dekat facebook tu pun aku dah bersihkan. Clear tak ada kesan. Jadi, tutuplah
cerita. Kalau kau teruskan niat kau nak berkahwin dengan dia semata-mata nak
tutup atau mengiyakan cerita, silap-silap perempuan tu tampil ke depan.
Sebarkan dekat semua orang pasal semua yang kau buat. Masa tu, bukan kau aje
tapi kami semua ni pun terbabit sama!” Daniel mengangkat ibu jarinya kemudian
di halakan ke bawah.
Joe Redzuan
terdiam. Kata-kata Daniel cuba diamati betul-betul. Masuk akal juga. Nurul
Syakira juga sampai sekarang tidak mahu menerima dirinya. Pinangannya juga
ditolak, menunjukkan gadis itu tidak ada hati langsung mahu meneruskan lakonan
sebagai isteri seperti pengakuan Joe Redzuan kepada peminat-peminatnya. Joe
Redzuan pun bukannya berkenan sangat pada Nurul Syakira. Sudahlah katek, berisi
pula tu. Hendak digendong, fuh semangat. Jadi, bolehlah Joe Redzuan tamatkan
dramanya di sini.
Sedang mereka terus
membisu, pintu dikuak dengan kuat dari luar. Kemudian muncul seseorang tercegul
dengan muka tersengih-sengih.
“Sorry! Aku lambat sikit!”
“Lambat sikit apa!
Orang ada awek ni sibuk sangat melayan awek dia tu. Bila kau kahwin nanti
entah-entah terus keluar band!”
Spontan Joe Redzuan memarahi Luqman yang baru sampai.
Terkulat-kulat
Luqman yang tercengang bertanyakan hal yang berlaku pada kawan-kawannya dengan
gerakan bibir. Namun, mereka pula seakan berpakat. Masing-masing angkat bahu.
No comments:
Post a Comment