One love... one love
The memories are beautiful
Always be my girl
One love... one love
The memories are beautiful
I don’t want ever say goodbye
Berulang-ulang Nurul Syakira
membiarkan lagu ‘One Love’ dendangan penyanyi pop Korea, Eunhyuk bersama Super
Junior KRY itu dimainkan pada telefon bimbitnya. Tiba-tiba saja dia mahu
mendengar lagu itu berkali-kali hari ini. Sejak pagi tadi hinggalah ke tengah
hari. Dari bateri telefonnya masih penuh sehinggalah tinggal separuh. Dari dia
sibuk membuat kerja pagi tadi sehinggalah dia duduk termenung menghadap Jojo
sekarang.
Memori yang indah. Dia pernah memiliki memori yang indah-indah. Tapi semua
itu sebelum lelaki bernama Joe Redzuan itu muncul. Setelah munculnya lelaki itu
dalam hidup Nurul Syakira, Nurul Syakira merasakan hidupnya penuh duka
berbanding suka. Mungkin lelaki itu tidak nampak atau tidak sedar tapi itulah
realitinya. Atau mungkin lelaki itu sengaja buat-buat tidak nampak kerana
itulah agendanya. Sengaja hendak menyakiti hati Nurul Syakira. Tapi kenapa? Apa
salah Nurul Syakira pada Joe Redzuan? Dia tidak kenal Joe Redzuan sebelum ini.
Apatah lagi menjadi bahan dendam lelaki itu.
“Hai, apalah nasib aku ni. Bilalah kekasih hati aku ni nak muncul? Boleh
aku lari dari mamat otak senget tu! Dia tu memang mangkuk hayun tahap gaban kan
Jojo...” Nurul Syakira mengeluh sendiri. Sekali-sekali jari telunjuknya
mengetuk dinding akuarium kecil di atas mejanya. Sekaligus air berkocak apabila
ikan laga berwarna biru keungunan itu kalut mengelak setiap kali dinding
akuarium itu diketuk Nurul Syakira. “Apasal la dalam banyak-banyak lelaki dekat
dunia ni, aku ditakdirkan jumpa dia?” Nurul Syakira mengeluh lagi buat sekian
kalinya. Kemudian muncung mula terbit di bibirnya mengenang semua yang berlaku
dua tiga bulan ini. Huru-hara, kelam-kelibut, haru-biru... itulah ungkapan yang
paling sesuai untuk mengungkap kehidupannya sejak akhir-akhir ini. Sejak dia
terperosok dalam kehidupan Joe Redzuan.
“Kau bercakap dengan ikan ke?” Tegur satu suara lalu tertawa kecil. Suara
itu seakan biasa Nurul Syakira dengan tapi bukan di sini. Sepantas kilat dia
menoleh ke arah suara yang menegur. Seorang lelaki sudah terpacak di depannya
sambil mengulit senyum yang Nurul Syakira sendiri tidak sanggup lihat. Bukan
kerana hodoh senyumnya tapi sememangnya manusia yang melemparkan senyuman itu
dia benci.
“Apa kau buat dekat sini?” Tujah Nurul Syakira terus sambil membuntangkan
matanya.
Joe Redzuan terdiam seketika diajukan soalan itu. Masakan dia mahu menjawab
yang dia sememangnya mencari Nurul Syakira di sini. Mustahil. Jatuhlah air muka
dia nanti. Atas sebab apa dia mencari Nurul Syakira? Mahu minta maaf atas semua
hal yang berlaku? Cukuplah sekali dia minta maaf di depan peminat-peminatnya.
Itu sudah cukup buat dia sendiri rasa malu. Atau mahu mengintai hati sendiri
untuk mencari jawapan yang dia perlukan?
“Err... saja. Aku nak jumpa Umi nanti.” Joe Redzuan memberi alasan.
Nurul Syakira pula tidak mengerti. Dahinya berkerut-kerut memahami jawapan
Joe Redzuan tadi. “Umi? Siapa Umi? Ada orang nama Umi ke dekat sini? Emm...
rasanya tak ada...” ngomel Nurul Syakira seorang sambil berkerut-kerut dengan
jarinya menggosok-gosok dagu.
“Umi tu bukan nama oranglah. Umi tu panggilan untuk mak aku.” Joe Redzuan
pasang telinga. Lantas semua soalan Nurul Syakira itu dijawabnya sambil
menonjol dahi Nurul Syakira lembut.
Pantas Nurul Syakira menggosok dahinya. Kemudian Nurul Syakira tayang muka
marah dengan muncung panjang dan kemudian melempar jelingan tajam.
Suka-suka hati dia aje nak tonjol kepala aku. Apa hak dia? Kalau datang nak
minta maaf pasal semalam ke, pasal apa yang dia dah buat dekat aku tak apalah
juga. Ini datang nak sakitkan hati aku lagi ke nampak gayanya? Getus hati Nurul
Syakira geram.
Ada tawa kecil yang keluar dari mulut Joe Redzuan. Bikin hati Nurul Syakira
makin panas. Mahu saja dia hempuk kepala Joe Redzuan dengan buku tebal yang
sedia tersusun di rak buku di belakangnya. Sakit hati mendengar tawa lelaki
itu.
“Ini ikan kau ke?” Joe Redzuan menyoal tiba-tiba bersama tawanya yang masih
bersisa. Tangan Joe Redzuan kemudiannya mencecah permukaan air akuarium itu.
“Jangan usik barang aku!” Nurul Syakira menyambar akuariumnya jauh dari
capaian Joe Redzuan. Namun tindakan drastiknya itu membawa padah. Akuarium yang
disambarnya itu terlepas dari tangan dan Nurul Syakira hanya mampu melihat ia
jatuh ke lantai dan berkecai.
Kelam-kabut Nurul Syakira menyelamatkan Jojo apabila melihat ikan itu
menggelupur atas lantai. “Kejap Jojo... jangan mati. Aku akan selamatkan kau.
Mana nak letak ni? Mana nak letak ni?” Nurul Syakira panik. Dia
terpusing-pusing satu bilik mencari ruang untuk ikan laganya.
Joe Redzuan juga mula cemas melihat Nurul Syakira sudah terdingkut-dingkut.
Tangannya menyambar cawan yang dijadikan bekas pensel atas CPU kemudian menuang
air dari sebuah botol ke dalamnya. Mungkin air itu air minuman Nurul Syakira.
Lantas Joe Redzuan segera mendapatkan Jojo dari tangan Nurul Syakira.
Nurul Syakira menarik nafas lega. Joe Redzuan dapat melihat senyuman
terukir di bibir Nurul Syakira. Kemudian pandangannya beralih pada tanda merah
yang berpeta atas lantai.
“Kau ni cuai betul. Disebabkan
ikan pun kau sanggup cederakan diri sendiri! Lain kali janganlah berkaki ayam
dekat tempat kerja. Kasut ada simpan bawah meja aje buat apa!” Joe Redzuan
terus meleteri Nurul Syakira sambil memapah gadis itu balik daripada klinik.
Kepalanya digeleng-gelengkan sekali dua.
Ish, tak habis lagi ke mamat ni nak berleter. Tak cukup lagikah nak
menyusahkan hidup aku. Sekarang nak membebel dekat telinga aku pula. Naik bernanah
telinga aku ni!
“Aku tak suruh pun kau tolong. Jangan nak berleter pula.” Nurul Syakira
menolak tubuh Joe Redzuan. “Aku boleh jalan sendirilah.”
Joe Redzuan geram melihat Nurul Syakira yang terjingkit-jingkit berjalan ke
depan. Berkali-kali gadis itu menolak bantuannya. Sudahlah jalan perlahan macam
siput sambil asyik mengaduh sakit setiap kali tapak kakinya menjejak lantai
hospital, tapi masih berlagak tidak mahu menerima bantuan orang. Takkan Joe
Redzuan hendak biarkan saja. Kasihan pula dia tengok Nurul Syakira yang
terkial-kial sendiri dengan dinding sebagai tongkatnya.
Joe Redzuan geleng kepala. Lantas segera dia mendapatkan semula Nurul
Syakira. “Dah sakit pun nak sombong lagi. Kalau kau tak bagi aku papah, biar
aku dukung aje terus.” Joe Redzuan mengugut. Lengan Nurul Syakira lekas dipaut
dan bahu gadis itu digenggam erat. “Degil.”
Berdesing telinga Nurul Syakira mendengar perkataan itu diajukan kepadanya.
Tapi dia diamkan saja. Hanya bibirnya saja terkumat-kamit mengomel sendiri.
Kalau dilawan nanti takut Joe Redzuan betul-betul mengangkat tubuhnya ke dalam
pangkuannya. Lelaki itu bukan boleh diduganya. Silap-silap dia buat
betul-betul. Mana mampu Nurul Syakira larikan diri dengan kedua belah kakinya
yang cedera.
Sambil langkah mereka setapak demi setapak maju ke depan, mulut Joe Redzuan
lebih laju membebel itu dan ini. Nurul Syakira juga sibuk mengajuk cakap lelaki
itu dalam diam.
“Kau ni menyusahkan aku aje. Tak pasal-pasal aku kena ponteng latihan
petang ni.”
Eleh, dia dah menyusahkan hidup aku selama ni tak sedar ke? Pandai cakap
orang. Getus Nurul Syakira perlahan.
“Kalau rasa aku menyusahkan, buat apa tolong? Pergilah berlatih menyanyi
puas-puas sampai malam. Aku tak minta pun kau tolong!” Nurul Syakira melawan
juga akhirnya kerana sudah tidak tahan mendengar bebelan lelaki itu yang
meleret-leret dekat telinganya. Kalau di tangannya ada selofan ke, maskin tape ke sudah tentu ditampalnya
mulut Joe Redzuan itu. Kain pembalut di kakinya pun jadilah. Asalkan boleh
tutup mulur Joe Redzuan yang tiba-tiba jadi macam burung murai. Pot pet pot pet
dari tadi.
“Habis tu, kau dah cedera depan aku. Takkan aku nak blah macam tu aje. Eh,
seburuk-buruk aku ni pun aku masih gentleman
okey!” jerkah Joe Redzuan dalam nada bengang.
Hampir tergelak pula Nurul Syakira mendengar ayat terakhir Joe Redzuan
tadi. ‘Huh, mengaku juga perangai tu buruk. Ingatkan tak sedar!’
“Ikan kecil punya pasal sampai dah tak boleh nak berjalan, hah. Kalau ikan
tu mati pun, berapa ringgit sangatlah kau nak kena beli yang baru. Buat orang
risau aje...” Joe Redzuan menyambung dan terus menyambung leterannya hingga
tidak terlarat Nurul Syakira mahu pasang telinga. Biarkan saja ia tembus ke
gegendang hingga keluar ikut lubang telinga sebelah. Entah sejak bila lelaki
itu menggantikan Dani Imran menjadi mat leter kepadanya. Pertama kali Nurul
Syakira lihat Joe Redzuan begitu.
Apasal la asal aku
sakit aje dia ada. Asal dengan dia aje, aku sakit. Dulu masa aku pengsan, dia
yang bawa aku pergi hospital. Lepas tu, masa family day aku jatuh terseliuh pula depan dia. Oh, masa aku
cirit-birit tu bukan dengan dia. Yang itu dengan Aiman. Sekarang ni, mamat ni
pula yang papah aku. Tebalnya muka.
Baru saja Nurul
Syakira menyebut nama Aiman dalam benaknya, lelaki itu tiba-tiba pula muncul
depan mata. Serentak langkah Nurul Syakira terhenti apabila Aiman menegur. Joe
Redzuan juga ikut berhenti.
“Kenapa dengan kaki
awak ni?” Aiman melihat kaki Nurul Syakira yang sudah berbalut dan
terjengkit-jengkit tidak mahu menjejak lantai. Ada garis bimbang di wajah Aiman.
Nurul Syakira turut
mengikut pandangan Aiman. Melihat ke bawah, ke arah kakinya. Tidak lama, dia
mengangkat mukanya semula lalu tersengih. “Oh, tak ada apa. Terpijak kaca aje…”
Aiman menggelengkan
kepala. “Awak ni asyik sakit ajelah. Buat orang risau aje…”
Nurul Syakira hanya
tersengih. Ayat Aiman serupa ayat Joe Redzuan tadi. Nurul Syakira juga
menyedarinya.
“Habis tu, mesti
awak dah dapat MC kan. Mari saya hantar awak balik.” Aiman mempelawa. Mendengar
pelawaan itu Joe Redzuan terus menarik bahu Nurul Syakira rapat ke tubuhnya.
Ei mamat ni. Ingat
aku ni tunggul ke apa dekat depan ni. Saja nak bagi aku sakit hati. Jangan
harap aku nak lepaskan perempuan ni dekat kau!
“Tak payah. Aku pun
boleh hantar dia balik!” Terus saja Joe Redzuan bersuara. “Dah, jom. Nanti aku
bagitahu Umi yang kau tak sihat!” Joe Redzuan memapah Nurul Syakira terus ke
depan meninggalkan Aiman yang sekadar melihat.
Nurul Syakira
menoleh ke belakang sekilas. Rasa bersalah pada Aiman atas tindakan Joe
Redzuan. Makin menebal sakit di hatinya terhadap Joe Redzuan. Suka-suka hati
saja dia hendak tunjuk sombong di depan kawan Nurul Syakira.
“Apasal kau cakap
macam tu dengan kawan aku? Lain kali cakap tu biarlah berbahasa!” Nurul Syakira
menegur tidak senang. Ingatkan banyak yang dia mahu leterkan. Biar Joe Redzuan
pula yang menyumbat telinga. Namun bila melihat wajah tegang Joe Redzuan, Nurul
Syakira pula terdiam. Tidak kesampaian dia mahu melontarkan rasa marahnya terus
pada lelaki itu. Malah, Nurul Syakira seakan dapat menghidu sesuatu yang
ganjil.
Mamat ni bermusuh
dengan Aiman ke atau dia… takkanlah dia cemburu kut?! Dahlah dia tolong aku
hari ni walaupun aku dah bagi dia penampar sulung aku semalam. Apasal dia masih
nak layan aku lagi? Nurul Syakira membuat tafsiran sendiri. Ish, aku ni cepat
perasanlah!
No comments:
Post a Comment