Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Wednesday, March 6, 2013

dia si jantung hati: bab 32


Huaaahhh!
Tangannya menekup mulut yang menguap lebar. Macam mulut badak air pula. Kalau sang putera nampak mesti reject dibuat isteri. Aik! Sasha Amira melingas keliling. Saif Azrai yang tadi sekejap tayang muka toya, sekejap tersengih-sengih di sebelah sudah lesap. Mimpikah dia tadi yang lelaki itu ada memandu di sebelah? Ish, mustahil. Dia masih ingat betapa banyak lelaki itu belikannya makanan untuk sarapan pagi. Cepat-cepat dia menoleh ke kiri. Bungkusan yang digantung di tepi pintunya memang ada. Jadi, semuanya yang berlaku tadi bukanlah mimpi.
Sampai hati Saif Azrai meninggalkan dia seorang diri tidur dalam kereta. Sedangkan Saif Azrai entah ke mana hilangnya. Matanya melingas terus. Macam kenal tempat itu. Sasha Amira bergegas keluar. Baru tersedar akan blazer hitam yang membaluti tubuhnya jatuh ke tanah sebaik dia melangkah keluar. Okey. Sasha Amira tarik balik kata-katanya tadi. Sekurang-kurangnya lelaki itu menyelimuti tubuhnya sebelum meninggalkannya seorang. Blazer itu diangkatnya dan dibiarkan atas tempat duduk.
Tapi jangan harap Sasha Amira akan berlembut hati. Ini memang tidak adil. Masakan Saif Azrai memaksanya belajar semula di kolej itu sedangkan dia menghilang. Ke mana? Balik rumah? Kalau ya pun, biarlah Sasha Amira cuti sehari dua.
Tidak habis-habis Sasha Amira tidak puas hati. Kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan kolej. Keretanya tadi dibiarkan saja tidak berkunci. Kalau kena curi, padanlah muka. Semuanya salah Saif Azrai. Siapa suruh tinggalkan Sasha Amira tanpa meninggalkan kunci.



Sasha!
Sasha Amira leka memandang ke bawah dari aras dua tersentak apabila namanya dipekik nyaring. Serentak dia menoleh. Zaimah sudah berlari ke arahnya lantas memeluk erat tubuhnya. Namanya dipanggil Zaimah lagi berulang kali.
“Lamanya tak jumpa kau!” Beria Zaimah melepaskan rindu. Sasha Amira berkerut dahi. Rindulah sangat. Walhal baru semalam Zaimah datang ke majlis nikahnya. Wajah Intan Nazira yang tenang mendekati mereka berdua ditenung sejenak. Sempat Sasha Amira melambai sedang tubuhnya masih lagi dalam pelukan Zaimah.
“Eh, sudahlah tu!” Dia cuba melepaskan diri dari pelukan Zaimah. Sesak nafas dibuatnya. “Kau ni, macamlah setahun tak jumpa aku. Bukan semalam-” Sasha Amira tidak menyudahkan ayatnya. Sakit hati kembali menular bila dikenang hal semalam. Rancangannya untuk melarikan diri dari diijab kabul dengan Saif Azrai gagal semalam sekaligus mengheret dirinya terus dengan ikatan perkahwinan yang dia sendiri tidak rela.
Salahkah dia kerana tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak dia cintai? Salahkah dia kerana memilih? Kenapa mama tidak memberi peluang dia terus memilih dan kali ini terus dipaksa? Ah, lagi difikir hal itu lagi sakit hati jadinya.
“Kau buat apa dekat sini? Orang lepas kahwin, cuti seminggu dua. Pergi honeymoon. Bukan datang kolej, belajar.” Tempelak Zaimah sekaligus mematikan lagi lamunan Sasha Amira sekejap tadi.
“Entahnya. Takkan baru kahwin dah panas duduk dekat rumah.” Intan Nazira pula menyampuk. Lain macam saja nada kawannya yang seorang itu. Ah, lantaklah. Minah seorang ni memang macam tu cakapnya. Kalau menyindir, memang boleh buat orang sakit telinga.
“Eh, kau dah pakai belum hadiah yang aku bagi tu?” Zaimah berbisik sambil tersengih nakal. Terbatuk-batuk Sasha Amira dibuatnya. Sengaja dia buat-buat batuk, hendak mengelak dari menjawab soalan cepumas Zaimah. Tidak adakah soalan lain yang hendak ditanya. Itu pula yang dia ingat di kepala.
Sasha Amira hempas keluhan tiba-tiba. Tubuhnya dipalingkan semula menghadap tembok. Tangan diletak atas palang lalu kepalanya dilekapkan ke lengan. Jauh dia bermenung.
“Hei, pengantin baru! Termenung pula dia, kenapa? Dah berisi ke?” tegur Zaimah lagi seraya menampar bahu Sasha Amira. Kali ini Sasha Amira betul-betul terbatuk. Kuat sungguh penampar Zaimah hingga menggelungsur kepalanya ke depan dan menyebabkan batang lehernya terhantuk ke palang besi. Aduh. Sakitnya macam hendak tercabut rasanya lehernya itu.
Namun sakitnya boleh dia tahan geram. Nasib baik sikit saja. Tapi jenaka Zaimah tadi memang tidak boleh dimaafkan. Berisi? Huh, jangan mimpi!
“Kau dah bunting pelamin ya?” teka Zaimah lagi dengan muka beria.
“Huish! Jangan mengarutlah!” Lekas Sasha Amira membidas. Pandai-pandai saja kawannya itu mengagak macam-macam. Zaimah terus menayang muka ceria walaupun Sasha Amira keras menafikan. Kemudian Zaimah tergelak-gelak. Telefon bimbit yang bergegar dalam kocek seluar mematikan perbualan mereka. Sasha Amira tersentak.
Bila pula aku bawa telefon? Dia tertanya-tanya sambil tangan menyeluk poket. Memang telefonnya yang berdering lagu andaiku bercinta lagi yang dipopularkan oleh kumpulan Mojo.
Aduhai. Siapa pula yang pandai-pandai tukar ringtone telefon aku ni? Lagu cinta lagi. Balik-balik cinta. Tak boleh dimaafkan!
“Hai, cik abang dah telefon...” Zaimah masih mengusik.
Dalam geram, Sasha Amira menjawab panggilan. Benar tekaan Zaimah. Memang suara Saif Azrai yang bergema di gegendang telinga.
“Awak kat mana? Kenapa tinggalkan kereta tak beritahu?”
Sasha Amira gumam bibir. Manalah dia tahu yang ada telefon dalam koceknya. Saif Azrai pun lesap macam itu saja. Macam mana hendak beritahu. Sekarang, hendak cari salah Sasha Amira pula. Lepas itu, Saif Azrai memintanya datang balik ke kereta. Amboi. Sudah pandai memberi arahan pula nampaknya. Eii... memang betul geram ni.
Sasha Amira tidak membalas walau sepatah. Talian terus diputuskan apabila Saif Azrai selesai bercakap. Dia merenung tajam ke arah skrin telefon di tangan. Rupanya macam hendak makan saja telefon itu.
“Cik abang dah panggil ke? Hai, untunglah orang tu ada cik abang. Baru hilang kejap dari mata, dah rindu...”
Hendak termuntah Sasha Amira mendengar gurauan Zaimah. Sudah-sudahlah tu Zaimah. Nanti aku muntah betul-betul depan kau nanti.
Sasha Amira tayang senyum paksa. Tangannya melambai kawan-kawannya sebelum berlalu pergi.
Enjoy your honeymoon, darling!” Sempat Zaimah memekik.
Heuw! Bila masa aku cakap kitorang nak pergi honeymoon. Tolong sikit. Getusnya lagi tidak selesa. Rasa mual makin menjolok-jolok anak tekak. Langkahnya dihayun lebih laju. Lagi cepat dia tinggalkan Zaimah, lagi cepat telinganya lapang dari usikan melampau kawannya itu. Sabar sajalah.
“Sasha!”
Sekali lagi namanya dipanggil. Kali ini suara garau. Tapi rasanya bukan milik Saif Azrai kerana Sasha Amira sudah dapat melihat susuk tubuh Saif Azrai yang menanti di kereta. Lelaki itu masih tidak nampak akannya. Langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil buat kali kedua. Serentak, tangannya dipaut dari belakang. Berpusing tubuh Sasha Amira ditarik kuat lelaki itu. Kasarnya.
Kairel Azam terpacak depan mata. Huh! Kecil betul kolej ini. Atau hidung lelaki itu yang begitu awas akan kehadiran Sasha Amira di situ walaupun sekejap. Lelaki ini... salah satu punca kenapa Sasha Amira dipaksa kahwin. Ah, terlalu banyak sebabnya yang menyebabkan dia bergelar isteri atas kertas.
“Aku dengar kau quit dari teater.” Lelaki itu bersuara setelah agak lama diam. Sukar benar agaknya hendak memulakan bicara. Wajahnya berwarna kelat.
“Kenapa kau berhenti?”
Sasha Amira membuang pandangannya ke tepi. Bibir tersenyum sinis. “Perlukah aku beritahu kau? Kenapa, aku perlu report pada kau untuk semua yang aku buat atau akan aku buat?” selanya kurang senang.
Tiba-tiba saja tangannya disambar Kairel Azam. Wajah kelat lelaki itu kini berkerut seribu. Bagai merayu-rayu. “Sasha, please. Don’t leave me behind.”
Sasha Amira terkesima. Apa hal pula ni? Tengah praktis berlakonkah? Sasha Amira dapat merasakan tangannya hangat diramas Kairel Azam.
“Aku tak boleh berlakon dengan orang lain. I want you back... berlakon dengan aku.”
Kali ini Sasha Amira merengus. Marah ada, kelakar pun ada.
“Apa kejadahnya kau jadi pelakon utama kalau tak boleh nak berlakon dengan dengan sesiapa saja yang pegang watak heroin tu? Baru jadi pelakon teater kolej, dah nak demanding? Kalau tak boleh nak berlakon, suruh aje krew produksi pilih pelakon lain!” Pedas jawapan Sasha Amira seraya menarik tangannya dari pegangan Kairel Azam. Suka-suka saja lelaki itu meramas tangannya. Rimas betul.
Seketika, bahunya pula yang terasa hangat. Ditarik dan dirapatkan ke tubuh seseorang. Terkesima lagi dia di situ. Degupan jantungnya kala ini begitu kencang, seperti dapat didengar telinganya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka.
Saif Azrai menayang senyum di depan Kairel Azam sambil terus memeluk tubuh Sasha Amira rapat ke tubuhnya. Lebarnya senyum, sampai hujung pipi. Baru nampak lesung pipit lelaki itu lebih jelas dari tepi.
“Kau lagi!” Kairel Azam nampak bengang. Tangannya diseluk dalam kocek jaket yang dipakainya. Kalau boleh Sasha Amira tilik, agaknya sudah bergumpal buku lima lelaki itu. Hendak sorok penumbuk dalam poket agaknya.
Saif Azrai masih tersenyum tenang.
“Kau ni siapa? Asyik-asyik berkepit dengan Sasha!” Nada suara Kairel Azam sudah separuh bergegar. Tapi Saif Azrai tetap berlagak tenang.
“Bagus soalan tu!”
Kairel Azam makin bengang riaknya apabila Saif Azrai membalas. Dahinya berkerut. Kurang mengerti barangkali atau marah bila dia dilayan seperti budak hingusan yang bertanyakan gerangan Saif Azrai di sisi Sasha Amira. Entahlah. Lelaki itu lebih tahu apa yang dirasakan.
Saif Azrai melepaskan pelukannya. Tangannya berlari mencari pergelangan tangan Sasha Amira. Jari jemari Sasha Amira kini sudah dalam genggamannya.
“Aku Azrai, suami Sasha dan Sasha, isteri aku.” Wajah Sasha Amira direnung seketika. Lembut renungannya dengan senyum manis yang tidak lekang di bibir. Kemudian tangan kanannya pula dihulur kepada Kairel Azam.
Kairel Azam sudah terpempan kaku. Tubuhnya yang tegak tadi kini kendur. Huluran tangan Saif Azrai juga tidak disambut. Wajah Sasha Amira ditenung lama. Seperti mengharapkan penjelasan mahupun pengakuan yang sama dari gadis itu. Jauh di sudut hati, dia mahukan Sasha Amira menafikan semua yang diberitahu lelaki di sebelahnya sekarang. Mustahil. Tak mungkin.

Sunday, March 3, 2013

dia si jantung hati: bab 31


Apa ni? Tak aci betul! Sasha Amira merusuh. Letih kerana majlis pernikahan yang dipaksa semalam pun belum surut. Sakit seluruh badan. Kalau diajak pergi spa dan ada orang yang tolong urutkan, tidak apalah juga. Biar selesa sikit badannya. Tapi, pagi-pagi lagi Saif Azrai sudah mengejutkannya bagai mengejut anak kecil bangun tidur.
Ingatkan selepas solat Subuh, bolehlah Sasha Amira bermalas-malasan atas katil. Menyambung tidur yang terasa begitu pendek malam semalam. Bukan. Malam sudah berakhir sewaktu dia mula lelapkan mata. Agaknya ketika itu sudah menjangkau dua tiga pagi. Sasha Amira kurang pasti.
Tidurnya terjaga apabila dunia seperti bergoncang. Celik mata saja, matanya terlihat jalan raya yang sesak dengan kenderaan. Dia pandang sebelah, Saif Azrai selamba saja memandu. Tidak sedikit pun dia menoleh ke arah Sasha Amira walaupun puas Sasha Amira melopong di sebelah. Bukannya dia tidak tahu yang Sasha Amira sudah terjaga dari tidur. Dia juga yang sengaja buka radio kuat-kuat. Bising betul.
“Nak ke mana ni?” Gelisah Sasha Amira menyoal. Bukan saja gelisah. Panik, hairan, geram, marah, semuanya ada. Tapi lelaki itu buat tidak endah saja soalannya. Tengok. Sengaja tayang muka tidak bersalah. Eii.. geramnya. Sasha Amira hempas keluhan halus. Radio yang memekak dimatikan terus.
“Kita nak ke mana ni?” ulang Sasha Amira lagi. Tengoklah, kalau Saif Azrai boleh buat-buat tidak dengar lagi.
Seketika lelaki itu menoleh ke arahnya sekilas. Berjaya juga caranya. Sah memang radio itu yang bising.
“Nak pergi kolej.” Pendek jawapan Saif Azrai. Bersahaja nadanya tapi Sasha Amira yang menganga.
“Kolej buat apa?”
“Hantar awaklah.”
Ha? Lagi sekali Sasha Amira melopong. Orang lain kahwin terus berbulan madu. Sasha Amira pula jangan kan bulan madu, hendak cuti goyang kaki pun tak boleh. Baru semalam jadi bini orang, hari ini sudah perlu ke kolej. Buang tebiat ke apa?
“Nak hantar saya ke kolej buat apa? Kan mama kata saya dah berhenti belajar. Awak pun tahu kan.”
“Saya tak nak isteri saya tak habis belajar. Nanti bila anak-anak tanya kan malu nak beritahu mama mereka tak habis belajar.” Serius nada suara Saif Azrai. Matanya tidak sedikit pun menjeling reaksi Sasha Amira. Fokus benar dia memandang depan. Kalau dia lihat Sasha Amira, mesti dia tahu yang Sasha Amira memang tidak puas hati.
Memang tidak adil sungguh. Sudahlah dipaksa berkahwin dengan Saif Azrai kerana kononnya Sasha Amira mahu berhenti belajar. Lepas terpaksa bergelar isterinya, Sasha Amira dipaksa pula sambung belajar. Mana aci! Lebih baik dari awal mama dengar penjelasannya yang memang tidak berniat untuk berhenti belajar.
“Kalau malu, buat apa awak kahwin dengan saya?” Sasha Amira sudah tayang muncung. Saif Azrai tetap buat tidak kesah. Berbakul rasanya geram di hati. “Dahlah angkut saya dengan baju tidur lagi. Mandi pun tak sempat...” Mulutnya mengomel sendiri.
Bertambah geram bila melihat pakaian yang dipakainya malam tadi masih membaluti badan. Itupun nasib baik bukan baju tidur seksi yang diberi Zaimah. Kalau orang lihat pun bukannya orang tahu Sasha Amira pakai baju yang dibuat tidur semalam. Badannya dihidu sedikit. Nasib baik tak busuk sangat.
Dalam diam, Saif Azrai menahan geli hati. Matanya curi-curi menjeling gelagat Sasha Amira di sebelah walaupun nampak seperti memberikan tumpuan penuh pada pemanduannya. Nampak saja stesen minyak, Saif Azrai membelok masuk lalu berhenti di tepi stesen. Dekat dengan tandas. Muka Sasha Amira dipandang lama.
Sasha Amira melihat keluar dan kemudian renungan Saif Azrai dibalas. Matanya berkelip-kelip seperti meminta penjelasan. Namun, Saif Azrai cuma panjang muncung ke depan.
“Saya tak terasa nak buang air.”
Saif Azrai tersenyum. Tangannya mencapai sesuatu dari tempat duduk belakang. Kemudian sebuah beg ain berwarna hitam diletakkan atas pangkuan Sasha Amira. Fuh! Berat betul beg itu.
“Saya dah bawakan pakaian untuk awak. Ada sabun, syampu, berus gigi semua ada. Tuala pun ada.”
Sasha Amira ternganga lagi mendengar. Dia nak suruh aku buat apa pula dengan semua benda tu? Saif Azrai asyik tersenyum kambing sambil matanya sesekali melirik ke luar. Ke tandas?
“Awak nak suruh saya mandi dekat sini?” Diam. Huh! Jangan harap! Gerutu hatinya bukan kepalang. Beg berat macam bawa beras spuluh kati itu dihempas ke pangkuan Saif Azrai. Dia memeluk tubuh lalu wajahnya dipalingkan dari lelaki itu.
“Betul awak tak nak mandi? Tak busukkah?”
Ada tawa di hujung cakap Saif Azrai. Menebal sakit di hati Sasha Amira. Soalan atau pun gurauan Saif Azrai tadi dibiarkan tidak berjawab. Kalau busuk, pandai-pandailah lelaki itu tahan hidung. Pandai sangat angkut Sasha Amira yang tidak sempat mandi pagi-pagi buta kan.
“Awak tunggu sekejap.”
Sekelip mata Saif Azrai sudah hilang. Cakaplah tangki dia yang penuh. Ada hati pula hendak kenakan orang. Hati Sasha Amira terus merusuh. Matanya meliar pandang keluar. Bayang Saif Azrai langsung tidak diendah.
Lama juga dia menunggu tapi bila dijeling, Saif Azrai masih tidak muncul dari arah tandas yang hanya di sebelah tempat duduknya. Orang lain saja yang ramai keluar masuk. Mat bangla, pekerja stesen minyak itu pun sempat betul-betulkan seluar depan pintu tandas. Hingga terselak baju sampai menampakkan bulu dadanya. Ish, tak senonoh betul. Menyesal Sasha Amira perhatikan ke sana. Cepat-cepat Sasha Amira membuang pandangan ke tempat lain.
Dalam dia tengah rasa malu, tiba-tiba pintu kereta dibuka. Fuh, semangat. Terkejut Sasha Amira bila Saif Azrai masuk tiba-tiba. Pergi membeli-belah rupanya. Bungkusan yang dibeli Saif Azrai semuanya dihulur kepada Sasha Amira. Berkali-kali lelaki itu mengunjukkan adanya, barulah Sasha Amira menyambut. Tergamam sekejap.
“Awak mesti lapar sebab tak makan lagi pagi ni. Semalam pun, bukannya awak makan sangat. Saya tak tahu apa yang awak suka makan, apa yang awak tak suka. Kalau tak suka, beritahu saya. Lepas ni, saya takkan bagi awak makan apa yang awak tak suka lagi.” Beritahu lelaki itu sambil sibuk memutar stereng meninggalkan stesen minyak tadi.
Sementara Sasha Amira terkial-kial membelek makanan dalam beg plastik yang dihulur Saif Azrai tadi. Amboi. Banyak betul makanan yang dibeli lelaki itu. Roti manis ada, roti pedas ada... berbungkus-bungkus banyaknya. Ada lagi nasi lemak, mi goreng, snek ringan pun ada sama. Nak suruh sarapankah, buat makan seminggu? Mi goreng memanglah Sasha Amira tolak awal-awal sebab dia memang tidak suka mi kuning. Tiada pilihan, nasi lemak diambil dari bungkusan sebagai santapan makan paginya. Makanan lain disangkutnya di tepi pintu.
Saif Azrai tersenyum-senyum melirik gelagat Sasha Amira makan di sebelah. Sasha Amira sekejap-sekejap membawa lari bekas nasi lemak dan berpaling ke luar tingkap. Sengaja hendak menyorok dari pandangan Saif Azrai. Pandang-pandang pula lelaki itu. Hilang seleranya nanti.
Licin satu bekas nasi lemak. Alhamdulillah. Kenyang perut Sasha Amira. Memang dari semalam dia menahan lapar. Susah betul jadi pengantin. Hendak menjamah makan pun payah. Kak Salehalah yang asyik melarang. Nanti kotor baju pengantinlah, nanti mulut bau karilah. Macamlah Sasha Amira ni budak kecil.
Bak kata orang, bila perut kenyang hati senang. Mata pun mulalah terkebil-kebil menahan kantuk. Makin lama makin kabur pandangan mata. 

Friday, March 1, 2013

Sayang Kata Benci

Hii readers!!! Finally, rombakan semula e-novel 'Dia si Jantung Hati' akan dikongsi di sini sedikit demi sedikit. Dan judulnya juga bertukar kepada 'Sayang Kata Benci'. cerita ini masih lagi dalam proses penulisan, belum siap sepenuhnya. Cerita ni dah siap sepenuhnya and tengah tunggu penilaian. Harap korang doakan kejayaan yuri yer. Sorry okey, atas sebarang kesulitan sama ada k]orang terkonfius ke dengan tajuknya atau watak perwatakan dalam dua e-novel ini.

Harap korang enjoy dengan rombakan semula cerita ni... selamat membaca 'SAYANG KATA BENCI' ^_^

 Sinopsis

Saif Azrai dan Izi Helmy merupakan pasangan sepupu yang akrab dan sekepala. Kedua-dua pernah digelar kaki perempuan di kalangan teman-teman. Namun setelah Aina muncul dalam hidup Izi Helmy, dia belajar untuk setia. Sementara Saif Azrai, masih di takuk yang sama. Bukan playboy, cuma memilih untuk mencari teman, tapi bukan untuk dibuat isteri. Risau dengan perangai anaknya, Haji Rauf membuat tawaran. Siapa antara dua sepupu ini yang terlebih dulu berkahwin, akan mewarisi anak syarikatnya. Lantaran kerana tidak mahu kalah, Saif Azrai berusaha melamar teman wanitanya.

Sasha Amira yang diperkenalkan oleh ibunya dijadikan jalan terakhir. Pun begitu, kisah cinta lampau Sasha Amira membuatkan hatinya tawar untuk bercinta. Apatah lagi berumahtangga. Berjayakah rancangan Saif Azrai untuk tidak tewas kepada Izi Helmy yang terlebih dulu sudah sedia calon isteri?


[1], [2], [3], [4], [5], [6], [7], [8], [9], [10], [11], [12], [13], [14], [15], [16], [17], [18], [19], [20], [21], [22], [23], [24], [25], [26], [27], [28], [29], [30], [31], [32], [33], [34], [35], [36], [37], [38], [39], [40], [41], [42: END]